Oleh Wan Am
Dalam artikel yang lalu, saya telah menyatakan bahawa salah satu faktor yang boleh membawa manusia kepada zina ialah pergaulan bebas antara lelaki dan wanita. Pergaulan bebas berlaku apabila umat yang dahulunya begitu memelihara sempadan pergaulan silang jantina, kini telah semakin lalai dan longgar pegangan agamanya termasuk dalam hal menjaga adab pergaulan sesama mereka.
Bagi mereka, ketawa berdekah-dekah, bercubit tampar serta bergurau-senda yang penuh mesra dan kadangkala sumbang antara lelaki dan wanita sudah tidak dianggap janggal dalam kehidupan seharian. Wahana komunikasi terkini pula telah menggalakkan para pelanggannya untuk tidak lagi berahsia dalam hal-hal peribadi; rupa paras, bentuk badan, perasaan, sikap dan tabiat, semuanya boleh ditatap oleh sesiapa sahaja, baik kawan mahupun lawan.
Selanjutnya, berlangsunglah drama-drama romantis mereka yang mula berpacaran, yang mana membibitkan pula gerak laku prazina; berpegangan tangan, berdua-duaan dan berpelukan, yang mana akhirnya menghumbankan mereka ke kancah perzinaan, yang tidak semestinya tidak berlaku pula jenayah-jenayah lain selepasnya. Semuanya seolah-olah sudah menjadi lumrah kehidupan, terutamanya dalam kalangan generasi muda kini.
Jika pergaulan bebas menjadi antara faktor utama kepada jenayah zina, maka antara sebab penting berlakunya pula pergaulan bebas ialah kerana manusia sudah hilang perasaan "malu" dalam diri mereka. Bila sifat malu sudah tiada, maka hawa nafsulah yang menjadi pemandu utama bagi setiap tindakannya. Andai masih ada pun sifat malu, ia hanyalah malu dalam konteks yang sempit; malu kerana tiada jenama pada pakaiannya, malu kerana wajah tidak secantik rakan-rakan yang rupawan, malu kerana tiada teman istimewa seperti pasangan lain dan malu kerana bapa hanya berkerjaya pesawah dan ibu seorang penoreh getah!
Islam sangat memberikan penekanan kepada sifat malu ini. Ini kerana malu merupakan asas yang kuat untuk membentuk iman yang utuh dan menjadi pembenteng diri daripada gejala-gejala yang merugikan. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w. meletakkan perasaan malu sebagai sebahagian daripada iman, sebagaimana hadis baginda berikut yang terdapat dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim daripada Ibnu Umar r.a.:
Nabi Muhammad s.a.w. melintasi seorang lelaki yang sedang menegur saudaranya kerana malu, katanya: "Ia memudaratkan kamu." Lalu Rasulullah s.a.w. menegurnya: "Biarkan dia. Sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman."
Istilah al-hayaa’u (malu) berasal dari perkataan al-hayaatu (hidup). Hujan disebut kehidupan kerana dengan adanya hujan bumi dan tumbuh-tumbuhan dapat hidup. Begitu juga dengan malu, iaitu disebut sebagai kehidupan dunia dan akhirat. Mereka yang mempunyai sifat malu dianggap hidup di dunia dan akan berbahagia di akhirat.
Dalam kitab "Syarah 50 Hadis" karangan Ibnu Rajab al-Hanbali, disebutkan bahawa terdapat dua kategori malu:
Pertama: Ia merupakan sifat semulajadi dan tidak perlu diusahakan untuk memilikinya. Ini merupakan semulia-mulia akhlak yang dianugerahkan oleh Allah kepada seseorang hamba-Nya dan semulia-mulia sifat semulajadi yang diberikan Allah kepadanya. Contoh malu yang bersifat fitrah ini ialah malu untuk bertelanjang. Sepertimana Nabi Adam dan Siti Hawa yang berasa malu untuk mendedahkan aurat masing-masing, lantas apabila terdedah mereka cepat-cepat menutup anggota badan tertentu mereka.
Kedua: Sifat malu yang diperoleh menerusi usaha yang dilakukan. Iaitu dengan makrifah kepada Allah, mengetahui keagungan-Nya, dan betapa dekatnya Dia kepada hamba-Nya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
"Merasa malu kepada Allah ialah kamu memelihara kepalamu dan apa yang difikirkan. Engkau memelihara perut dan segala isi kandungannya (makan minum) dan kamu selalu mengingati mati yang mereputkan tulang-belulang. Sesiapa yang mahukan akhirat, hendaklah dia meninggalkan perhiasan dunia. Sesiapa yang melakukannya, dia telah malu kepada Allah." (Hadis riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)
Maka, bagaimana untuk melahirkan sifat malu? Cubalah bermujahadah untuk mengamalkan tips-tips di bawah ini:
1. Menahan diri daripada melakukan perkara yang memudarkan perasaan malu dalam diri dari segi perbuatan mahupun pertuturan (percakapan dan perbuatan yang tidak senonoh serta ditegah agama).
2. Istikamah dalam mempelajari keutamaan malu, serta menyematkannya dalam hati dan tanamkan keinginan untuk memelihara sifat tersebut.
3. Meningkatkan iman dan akidah dalam hati. Ini kerana malu adalah buah kepada iman.
4. Beribadah dengan merenungi asmaul husna yang berkaitan dengan sifat Allah yang mengawasi gerak-geri hati dan perbuatan manusia.
5. Mengerjakan ibadah-ibadah wajib dan sunat seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain yang Allah firmankan dalam al-Quran.
6. Bersikap jujur dan menjauhkan dusta, ini kerana sikap jujur membimbing kita ke arah kebajikan (malu sebahagian daripada kebajikan).
7. Membiasakan diri bersikap malu setahap demi setahap, sampai jiwa dan hati telah menyatu dengan sifat tersebut dan malu menjadi tabiat dan perilaku jiwa.
8. Bergaul dengan orang-orang salih. Mencontohi tingkah-laku mereka, mendengarkan perbicaraan mereka serta mempelajari rasa malu mereka.
9. Menjadikan sifat malu Rasulullah sebagai contoh teladan yang baik untuk manusia, dan mentelaah sejarahnya yang mengharumkan. Rasa malu yang ada pada sahabat r.a juga harus diteladani.
10. Memisahkan diri dari lingkungan yang rosak yang mencegah akhlak yang terpuji terutama kerosakan yang timbul daripada pengaruh media massa dan elektronik.
Pernah dengar lagu terkini yang dinyanyikan oleh Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan dan Altimet bertajuk "Kalau Berpacaran"? Lagu ini sedang ligat dimainkan oleh juruhebah-juruhebah radio arus perdana tempatan. Jika anda ada mendengar, cuba hayati sebahagian lirik lagu tersebut:
"Boleh pandang-pandang
Jangan pegang-pegang
Duduk renggang-renggang
Bertambah sayang
Biar malu-malu
Biar segan-segan
Kerana malu itu perisai orang beriman."
Jadi, renung-renungkan, dan selamat beramal!
No comments:
Post a Comment