Oleh Wan Am
Ada sesuatu yang menarik yang terkandung dalam khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri Selangor pada 11 Februari 2011 yang lalu. Dalam khutbah tersebut, para khatib telah mengajak para jemaah khususnya dan umat Islam umumnya untuk tidak meraikan Hari Kekasih atau Valentine Day yang kini semacam menjadi acara wajib yang disambut oleh masyarakat dunia, termasuk orang-orang kita di Malaysia pada 14 Februari setiap tahun. Dalam khutbah tersebut juga, setiap orang Islam, khasnya golongan remaja turut digesa untuk meninggalkan budaya Hari Kekasih yang jelas bertujuan untuk merosakkan akhlak masyarakat Islam.
Komitmen pihak berwajib bagi mencegah umat Islam daripada terlibat dalam sebarang aktiviti sempena Hari Kekasih ini dipertegaskan lagi apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) nekad menjalankan operasi mencegah maksiat di seluruh negeri Selangor sempena sambutan hari tersebut, sebagai salah satu usaha berterusan bagi membanteras serta membendung kegiatan maksiat yang semakin berleluasa hari ini. Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga turut tidak ketinggalan apabila mereka melancarkan kempen “Awasi Jerat Valentine’s Day” bagi mengajak umat Islam terutamanya golongan remaja supaya tidak meraikan sambutan Hari Kekasih.
Mengapa umat Islam ditegah untuk menyambut Hari Kekasih ini? Melalui sedikit pembacaan saya, dari segi sejarah terdapat beberapa versi cerita yang membawa kepada kelahiran Hari Kekasih ini. Antaranya ialah peristiwa kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol pada tanggal 14 Februari 1492, yang mana seorang paderi Kristian bernama Saint Valentine menjadi dalang kepada kejatuhan kerajaan Islam tersebut. Versi yang lain pula mengkisahkan, Hari Valentine ini diambil daripada nama Saint Valentine atas kesungguhannya mempertahankan hak para tentera pada zaman pemerintahan Claudius II untuk berkahwin. Hal ini kerana semasa Claudius II memerintah kerajaan Rom, beliau menghalang para tentera Rom untuk berkahwin bagi memastikan mereka menjadi lebih gagah untuk berperang jika masih bujang. Namun, dalam diam-diam Saint Valentine telah melakukan upacara pernikahan dan ini menyebabkan kemarahan Claudius II. Lalu, paderi tersebut dihukum gantung pada tarikh 14 Februari 269 Masihi.
Apa pandangan anda apabila mengetahui kisah-kisah tersebut? Ya, sememangnya amat tidak wajar untuk kita umat Islam menyambut Hari Kekasih ini kerana telah terbukti peristiwa-peristiwa yang mencetuskan hari tersebut tidak ada kaitan langsung dengan syiar Islam, malah tidak mendatangkan suatu kebaikan pun kepada kita sebagai Muslim. Jika ada kaitan pun, seperti dalam peristiwa kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol, ia adalah sesuatu yang sangat menyakitkan kita dan menjadi alasan yang lebih kuat untuk kita menolak sambutan hari tersebut!
Lebih utama lagi, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 pada 24 November 2005 telah memutuskan bahawa amalan merayakan “Valentine’s Day” tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Menurut persetujuan persidangan majlis ini, roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat dan ia bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Kita merasa sedih kerana Hari Kekasih ini menjadi detik yang amat ditunggu-tunggu oleh generasi muda hari ini bagi menterjemah dan membuktikan cinta kepada pasangan masing-masing. Lebih menghibakan apabila cara sambutannya terang-terangan melampaui batasan syarak, hingga ada dalam kalangan mereka yang akhirnya terjerut dalam lembah perzinaan. Kata-kata “Nikmat yang berjangkamasa beberapa minit boleh membunuh seluruh masa hadapan” sudah tidak lagi dipedulikan.
Senario ini diruncingkan lagi dengan promosi dan publisiti yang bertali arus dari pelbagai medium maya sosial dan komunikasi yang pastinya menambah kehangatan sambutan Hari Kekasih tersebut. Saya pasti sesetengah daripada kita yang memiliki telefon bimbit pasti ada menerima sistem pesanan ringkas yang berkempen mengenai Hari Kekasih ini, malah menjanjikan pelbagai tawaran menarik pula. Beberapa hari lalu saya ada menerima SMS berikut, “…Dapatkan ulasan restoran untuk temujanji Valentine dan rebut peluang memenangi iPhone 4 dalam peraduan…” Bukan sekadar ingin mengajak orang ramai untuk meraikan Hari Kekasih, malah cerdik pula menangguk di air yang keruh, mencari peluang untuk meraih keuntungan.
Kita percaya Hari Kekasih ini adalah antara jarum hedonisme berasaskan 3S (sex, song, sport) yang telah, sedang dan akan terus ditanam dan dibajai oleh musuh-musuh Islam ke dalam diri umat Islam bagi memastikan mereka terpesong dari jalan kebenaran. Musuh-musuh Islam ini selamanya tidak akan berasa aman selagi mana umat Islam, terutamanya generasi mudanya masih berpaut kuat pada ajaran Islam yang murni. Inilah kenyataan yang sedang kita hadapi, bertepatan dengan firman Allah berikut:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka.” (al-Baqarah : 120)
Justeru, selain usaha kesedaran terhadap masyarakat akan keburukan Hari Kekasih ini, usaha-usaha pencegahan maksiat yang dilakukan oleh JAKIM dan JAIS, serta beberapa pihak lain sempena Hari Kekasih ini adalah suatu langkah yang wajar dipuji, digalakkan dan diberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Operasi tersebut bukan sahaja patut dijalankan pada Hari Kekasih, malah perlu dijalankan juga pada hari-hari sebelum dan selepas Hari Kekasih. Lagi baik operasi sebegini dilaksanakan secara berkala sepanjang tahun, bukan sekadar pada Hari Kekasih, pada malam menyambut ulang tahun kemerdekaan Malaysia atau pada malam menyambut tahun baharu sahaja.
Pengalaman peribadi saya sewaktu menyertai operasi sedemikian sempena Hari Kekasih pada tahun 2010, didapati tidak banyak pasangan yang kami temui yang berada di lokasi-lokasi “panas” pada waktu malam pada Hari Kekasih. Mungkin mereka sudah tahu akan ada pihak yang menjalankan operasi pencegahan maksiat pada hari tersebut. Maklumlah, orang-orang zaman sekarang semuanya sudah menjadi bijak pandai, sehingga nak buat jenayah dan maksiat pun mereka sudah bijak menyusun strategi yang sesuai!
Selain itu, bagi melenyapkan aura sambutan Hari Kekasih ini, ayuh kita semarakkan pembangunan generasi muda dengan mengadakan program dan aktiviti yang sesuai sempena Maulidur Rasul yang pada tahun 2011 ini jatuh pada tarikh 15 Februari. Sewajarnya sebagai umat Islam, peristiwa yang melibatkan Nabi Muhammad s.a.w. kekasih Allah inilah yang harus kita raikan. Bagindalah kekasih sebenar yang harus kita kasih dan cintakan, memandangkan begitu mendalamnya kasih dan cinta baginda kepada kita sebagai umatnya dan bagindalah insan yang telah banyak berkorban untuk kita.
No comments:
Post a Comment