Friday, May 22, 2020

Dua Soalan Mencabar Tentang Kewujudan Tuhan

Oleh Wan Am


Dalam masyarakat dunia hari ini, wujud satu golongan yang tidak tahu cara untuk mereka mempercayai Tuhan kerana pada pandangan mereka kewujudan Tuhan tidak dapat dibuktikan. Fahaman ini dikenali sebagai agnotisme. Kebiasaannya fahaman ini dianuti oleh mereka yang pada asalnya menyembah Tuhan, namun kemudiannya memilih untuk menjadi agnostik lantaran keraguan yang mula timbul mengenai kewujudan Tuhan. 

Berbeza dengan ateis, golongan agnostik tidak seratus peratus menolak kewujudan Tuhan, namun mereka menuntut jawapan bagaimana kewujudan Tuhan dapat dibuktikan. Menurut pengalaman dan pengkajian penulis, terdapat dua kemusykilan yang lazim ditanyakan oleh golongan agnostik (juga oleh sebahagian ateis) mengenai kewujudan Tuhan. Ia boleh menjadi soalan yang mencabar jika kita sebagai Muslim tidak mempunyai ilmu dan teknik yang betul untuk menjawabnya. 

Soalan pertama: “Jika Tuhan mencipta sesuatu, siapa yang mencipta Tuhan?”

Untuk memulakan jawapan kepada soalan ini, kita boleh bertanyakan kembali satu soalan santai kepada agnostik yang bertanya, “Anda mempunyai seorang kawan bernama Peter, dia pergi ke hospital untuk bersalin dan kemudiannya telah melahirkan seorang anak. Adakah anda boleh meneka sama ada anak yang dilahirkan oleh Peter itu lelaki atau perempuan?” Hampir pasti dia akan menjawab, “Soalan ini tidak logik, bagaimana mungkin seorang lelaki boleh melahirkan anak?” Dengan jawapan itu sebenarnya dia juga telah memberikan jawapan kepada soalan yang ditanyakannya tadi. 

Katakan kepadanya, “Soalan anda juga adalah soalan yang tidak logik kerana Tuhan itu adalah Yang Maha Pencipta, bukan yang dicipta. Jika ada pihak lain yang mencipta Tuhan, maka logiknya Tuhan itu sudah tidak sewajarnya dianggap Tuhan kerana ada yang lebih berkuasa daripada-Nya. Sedangkan Tuhan itu sifatnya juga adalah Yang Maha Berkuasa, bermaksud tiada satu pun yang boleh mengatasi kekuasaan-Nya.” Ini proses awal untuk mengajak orang agnostik berfikir. 

Malah sebenarnya manusia akan menemui jalan buntu jika mereka terus berusaha mencari jawapan siapa pencipta Tuhan. Katakanlah ‘X’ adalah pencipta Tuhan, maka akan timbul pula persoalan lain, “Siapa yang mencipta ‘X’?” Andai ‘Y’ pula adalah pencipta ‘X’, maka soalan seterusnya, “Siapa yang mencipta ‘Y’?” Dan begitulah seterusnya persoalan ini tidak akan berkesudahan. 

Mari kita fikirkan analogi berikut pula. Dari manakah asalnya angka ‘1’? Angka selepasnya iaitu ‘2’ berasal daripada ‘1 + 1’, manakala angka ‘4’ berasal daripada ‘2 + 2’, dan begitulah angka-angka lain seterusnya yang semuanya tercipta daripada angka ‘1’. Tidak seperti angka-angka yang lain, angka ‘1’ adalah angka tunggal, ia boleh mencipta angka lain, tetapi ia tidak tercipta daripada angka apa pun. Justeru daripada analogi tersebut, sebenarnya adalah munasabah untuk kita menerima kenyataan bahawa Tuhan itu adalah Tunggal, iaitu Tuhan yang mencipta segala sesuatu tetapi tidak diciptakan. 

Kita terus berikan jawapan yang lebih serius mengenai persoalan ini dengan menerangkan ciri-ciri Tuhan yang dinyatakan di dalam Al-Quran, melalui ayat-ayat berikut (yang bermaksud):

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Dia tidak beranak, dan Dia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya.’" (Al-Ikhlas 112 : 1-4)

Melalui surah Al-Ikhlas ini, kita mengenali Tuhan kepada sekalian alam ini ialah Allah. Perkataan “Allah” disebut lebih 2,500 kali di dalam Al-Quran. Perkataan “Allah” adalah kata ganti nama khas yang merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa, yang telah mencipta, mentadbir dan memiliki alam semesta ini beserta isinya. Segala yang ada di dalam alam semesta ini bergantung kepada Allah. 

Melalui surah ini juga, kita mengetahui bahawa Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan. Ini bermaksud Allah tidak mempunyai ibu atau bapa dan tidak mempunyai anak. Logiknya jika Tuhan mempunyai ibu dan bapa, sudah tentu ibu dan bapa Tuhan itu lebih berkuasa daripada-Nya. Sedang Allah itu bersifat Al-‘Aziiz, bermaksud Maha Berkuasa. Tidak ada satu pun kekuatan yang dapat mengatasi kekuasaan-Nya. Dengan sifat tersebut membuktikan Allah tidak sekali-kali diciptakan, malah Dialah Tuhan yang mencipta segala kejadian. 

Firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Allah tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersama-Nya; (kalaulah ada banyak tuhan) tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan segala yang diciptakannya dengan bersendirian, dan tentulah setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang dikatakan oleh mereka (yang musyrik) itu.” (Al-Mu’minun 23 : 91)

Melalui ayat “Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengan-Nya” pula, kita memahami bahawa Allah Yang Maha Pencipta mestilah berbeza dengan apa yang dicipta-Nya. Kalaulah Tuhan itu cirinya sama dengan ciptaan-Nya, maka Tuhan itu juga adalah bersifat sementara (temporal) sebagaimana ciptaan-Nya. Tuhan tidak sepatutnya terikat dengan masa, kerana masa itu sendiri adalah ciptaan Tuhan. 

Allah adalah bersifat Al-Awwal, bermaksud Maha Permulaan. Allah adalah awal daripada segala segala sesuatu. Sebelum makhluk dan seluruh jagat raya ini diciptakan, Allah sudah ada. Allah juga bersifat Al-Aakhir, bermaksud Maha Akhir, iaitu Allah tidak ada masa berakhirnya. Tidak seperti makhluk, keberadaan Allah itu kekal. Semua makhluk ada masa berakhirnya, iaitu kematian atau kehancuran. Sedang Allah adalah abadi sepanjang masa. 

“Dialah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zahir dan Yang Batin, dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Al-Hadid 57 : 3)

Soalan kedua: “Jika Tuhan itu ada, kenapa Tuhan biarkan manusia dalam kesusahan dan ditimpa bencana?”

Tidak dinafikan, ramai manusia yang menjadi tidak percaya kepada Tuhan apabila sesuatu yang buruk berlaku kepada mereka. Mereka merasakan Tuhan itu tidak adil kerana menyebabkan mereka ditimpa kesusahan, sehingga kemudiannya mereka mula meragui kewujudan Tuhan, malah ada yang langsung menolak kewujudan Tuhan. Ini adalah sesuatu yang normal bagi mereka yang tidak mengetahui hikmah di sebalik kesusahan yang mereka alami. Mungkin juga mereka beranggapan, disebabkan Tuhan itu Maha Berkuasa, sepatutnya Tuhan menghapuskan sahaja semua kesusahan yang ada di atas dunia ini dan memberikan hanya penghidupan yang baik kepada semua manusia. 

Ironinya, mereka tidak pula memikirkan bahawa tidak semua manusia di atas dunia ini yang dirundung kesusahan. Jika diperhatikan sebenarnya lebih ramai manusia hidup dalam kesenangan berbanding mereka yang hidup melarat. Lebih ramai manusia yang sihat berbanding yang sakit. Lebih ramai juga manusia yang hidup dalam suasana aman berbanding kacau-bilau. Semua itu juga adalah kurniaan Tuhan kepada manusia. Maka adalah tidak adil untuk kita beranggapan bahawa Tuhan hanya memberikan kesusahan kepada manusia. Sewajarnya apabila kita melihat sekeping duit syiling, haruslah kita melihat kepada kedua-dua belah permukaannya!

Untuk menjawab persoalan di atas, mari kita amati kisah berikut. Pada suatu hari terdapat seorang lelaki ke kedai gunting rambut untuk menggunting rambutnya. Ketika rambutnya sedang digunting, dia dan si tukang gunting rambut berbual tentang banyak perkara termasuk mengenai Tuhan, sehinggalah si tukang gunting rambut itu berkata, “Saya tidak percaya kewujudan Tuhan.” Pelanggan itu bertanya, “Mengapa awak berkata demikian?” Si tukang gunting rambut itu menjawab, “Kalau betul Tuhan itu wujud, kenapa ketika manusia dalam kesusahan Tuhan tak bantu. Kalau betul Tuhan itu wujud, semestinya takkan ada manusia dalam kesusahan di dunia ini.” Mendengar jawapan tersebut, pelanggan tersebut mendiamkan diri sambil tersenyum. Apabila rambutnya siap digunting, lelaki tersebut terus keluar dari kedai tersebut. 

Namun tidak lama kemudian lelaki itu datang semula ke kedai tersebut dengan membawa seorang pengemis yang keadaan rambutnya sangat kusut. Lantas dia bertanya kepada si tukang gunting rambut, “Benarkah tukang gunting rambut wujud di bandar ini?” Tukang gunting rambut itu menjawab, “Mestilah wujud, saya ni kan tukang gunting rambut.” Lantas pelanggan itu membalas, “Kalau betul tukang gunting rambut wujud, mengapa ada orang yang rambutnya kusut masai seperti ini. Kalau betul tukang gunting rambut wujud, sudah pasti rambutnya terurus.” Si tukang gunting rambut pun berkata, “Dia yang tak pernah mencari tukang gunting rambut, mestilah rambutnya tak terurus.” Mendengar jawapan tersebut, pelanggan itu pun berkata, “Maka, itulah jawapan saya untuk soalan kamu tadi. Manusia ditimpa kesusahan kerana mereka jauh daripada Tuhan. Kalau mereka mencari atau mendekati Tuhan dengan cara melaksanakan segala perintah Tuhan, pasti Tuhan akan membantu mereka keluar daripada kesusahan.”

Berdasarkan kisah tersebut, kita akan memahami bahawa kesusahan yang dialami oleh manusia sebenarnya adalah berpunca daripada diri mereka sendiri. Malah disebabkan nafsu serakah manusia, muncullah pelbagai kerosakan, kesesatan dan kemaksiatan di dalam dunia ini. Bencana yang menimpa manusia juga adalah balasan daripada Tuhan kepada mereka yang melampaui batas. Allah berfirman di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Ar-Ruum 30 : 41)

Walaupun punca kepada segala kerosakan dan kemaksiatan adalah disebabkan oleh manusia, namun Allah tetap memberikan peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini. Itulah tanda pemurahnya Tuhan kepada manusia. Jika mereka terus melakukan kerosakan dan kemaksiatan, Tuhan berjanji akan memberikan balasan yang setimpal kepada mereka pada Hari Pembalasan yang telah ditetapkan. Firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (Dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hamba-Nya.” (Fatir 35 : 45)

Hakikatnya sebagai Muslim, kita meyakini bahawa segala kesusahan yang menimpa manusia adalah ujian daripada Tuhan. Malah itulah sebenarnya antara tujuan penciptaan manusia, juga merupakan salah satu jawapan kepada persoalan asas manusia “Mengapa manusia diciptakan?” Di dalam Al-Quran, Allah menyatakan bahawa tujuan kehidupan manusia adalah untuk Dia menguji siapa yang paling baik amalannya. 

“Dia lah yang telah menciptakan mati dan hidup (kamu) untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Berkuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Al-Mulk 67 : 2)

Realitinya setiap manusia berhadapan dengan ujian hidup yang berbeza-beza. Ada manusia yang diuji dengan penyakit. Ada manusia yang diuji dengan hidup melarat. Juga ujian-ujian kehidupan lain seperti kehilangan insan tersayang, bebanan hutang keliling pinggang, dilemparkan cemuhan dan cacian, kediaman ditimpa bencana alam dan kegagalan dalam suatu pekerjaan. Malah, ramai juga manusia yang diuji Tuhan dengan kemewahan dan limpahan harta kekayaan. 

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati, dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan kepada Kami-lah kamu semua kembali.” (al-Anbiya’ 21 : 35)

Salah satu bentuk ujian yang dihadapi oleh manusia ialah musibah. Musibah bolehlah diertikan sebagai segala sesuatu yang tidak disukai oleh manusia seperti kemiskinan, kegagalan, bencana, kesakitan, kematian dan lain-lain. Musibah pasti menimpa semua manusia, tidak kira apa latar belakangnya. Yang kaya atau yang miskin, yang baik atau yang jahat, yang muda dan yang tua, semuanya tidak terkecuali daripada merasai musibah dalam kehidupan mereka.

Malah Tuhan turut menimpakan musibah ke atas orang beriman yang melakukan kebaikan. Musibah ini adalah tanda kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya yang beriman. Mereka yang merasai musibah ini akan mendapat pahala yang berganda serta ditinggikan darjatnya di sisi Tuhan. 

Antara orang beriman yang turut diuji Tuhan dalam bentuk musibah ialah para Nabi dan Rasul. Melalui Al-Quran, kita mengetahui  kisah Nabi Nuh a.s. yang diuji dengan banjir besar, Nabi Ibrahim a.s. dicampakkan ke dalam api besar yang marak membara, Nabi Yusuf a.s. difitnah dan dipenjarakan oleh pemerintah Mesir, Nabi Ayub a.s. ditimpa penyakit kulit yang berat, serta Nabi Yunus a.s. yang ditelan oleh ikan Nuun. Namun mereka semua diselamatkan oleh Tuhan daripada ujian-ujian tersebut kerana kesabaran dan keteguhan iman mereka kepada Tuhan. 

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: ‘Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?’ Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Al-Baqarah 2 : 214)

Sesungguhnya dunia ini adalah tempat ujian, bukan syurga. Jika tiada ujian di dunia ini, maka tidak perlulah Tuhan mencipta syurga sebagai tempat pembalasan. Disebabkan dunia ini bukan syurga juga, maka setiap manusia akan merasai kematian. Bagi manusia yang berjaya menghadapi ujian Tuhan sewaktu mereka hidup di atas dunia ini, Allah menjanjikan syurga buat mereka di hari Akhirat kelak. 


Rujukan:

Gejala Agnostik Satu Ancaman Akidah, Majlis Agama Islam Selangor, 2015

Islam Questions & Answers, Muhammad Nabil Fikri Suberi dan Kamarudin Abdullah, Islamic Propagation Society International, Januari 2016

Why Does Allah Allow Bad Things to Happen?, Sharifah Khadijah Husien Alkaff, Islamic Dawah Centre Bunei Darussalam, 2017

Friday, May 15, 2020

Bukti Kewujudan Tuhan

Oleh Wan Am


Persoalan mengenai kewujudan Tuhan melingkari kehidupan manusia sejak zaman-berzaman. Walaupun ia bukanlah persoalan utama bagi kebanyakan manusia memandangkan lebih ramai yang beragama berbanding yang tidak beragama, namun statistik mutakhir ini menunjukkan bilangan mereka yang sudah tidak mengakui adanya Tuhan semakin meningkat di seluruh dunia. Kajian yang dijalankan oleh Pew Research Center pada 2015 menunjukkan kumpulan yang tidak menganut apa-apa agama mencapai 16 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk dunia, kedudukan ketiga dalam senarai agama paling besar di dunia selepas Kristian (31.2%) dan Islam (24.1%).

Bagi seorang Muslim, kewujudan Tuhan tidak menjadi isu kerana keimanan kepada Allah, Tuhan sekalian alam merupakan rukun pertama dalam Rukun Iman. Walaupun manusia tidak dapat melihat Tuhan dengan pancaindera, namun Muslim meyakini kewujudan Tuhan melalui ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan-Nya, juga melalui pengamatan kepada kejadian alam dan manusia. Wahyu dan akal fikiran kurniaan Tuhan digunakan secara seiringan dalam menghayati keagungan dan kekuasaan-Nya, seterusnya mendekatkan diri kepada-Nya. 

Firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Dan Dialah yang mencipta dan meramaikan kamu di bumi dan kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan. Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang mengatur pergantian malam dan siang, tidakkah kamu berfikir tentangnya?” (Al-Mu’minun 23 : 79-80). 

“Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkan-Nya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya. Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, serta keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.” (Al-Jaathiyah 45 : 4-5)

Namun kita menyedari bahawa masih ramai insan di dunia ini yang tidak mengakui atau meragui kewujudan Tuhan, terutamanya dalam kalangan mereka yang tidak beragama. Bagi golongan ateis, hujah mereka mudah, “Aku tidak nampak Tuhan, jadi bagi aku Tuhan itu tiada..”, atau “Alam ini terjadi dengan sendirinya..” Mungkin juga persoalan-persoalan mencabar seperti “Jika Tuhan mencipta sesuatu, siapa yang mencipta Tuhan?” atau “Jika Tuhan itu ada, kenapa Tuhan biarkan manusia dalam kesusahan dan ditimpa bencana?” yang membelenggu golongan agnostik, membuatkan mereka meragui kewujudan Sang Pencipta dan langsung memilih untuk tidak beragama. Malah mungkin juga dia seorang yang beragama, namun masih tidak menemui jawapan yang memuaskan melalui agamanya mengenai persoalan asas manusia “Bagaimana aku boleh berada di sini? Siapa yang menciptakan aku?”

Melalui sirah, kita mengetahui bahawa ada nabi dan rasul terdahulu yang turut berhadapan dengan manusia yang menolak kewujudan Tuhan, malah mengaku menjadi Tuhan. Nabi Ibrahim a.s. misalnya, berhadapan dengan Raja Namrud pemerintah Babylon yang menganggap dirinya Tuhan. Nabi Ibrahim berdialog dengan Namrud dan mengajaknya berfikir tentang kewujudan Tuhan. Dialog ini terkandung di dalam Al-Quran melalui ayat berikut (yang bermaksud):

“Tidakkah kamu memperhatikan orang yang berdebat dengan Ibrahim mengenai Tuhannya kerana Allah telah memberinya kerajaan (kekuasaan). Ketika Ibrahim berkata, ‘Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan.’ Dia berkata, ‘Aku pun dapat menghidupkan dan mematikan.’ Ibrahim berkata, ‘Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat.’ Maka bingunglah orang yang kafir itu. Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang zalim.” (Al-Baqarah 2 : 258)

Begitu juga dengan Nabi Musa a.s. yang berhadapan dengan Firaun, raja Mesir yang mengaku dirinya adalah Tuhan. Nabi Musa a.s. menunjukkan mukjizatnya berupa tongkat baginda yang boleh bertukar menjadi ular yang besar dan menelan ular-ular kecil kepunyaan ahli-ahli sihir Firaun. Mukjizat ini telah menyedarkan ahli-ahli sihir tersebut akan kewujudan Tuhan dan membawa mereka kepada iman. Malah Firaun sendiri sebelum ditenggelamkan di dalam Laut Merah, beliau sempat mengakui akan kewujudan Tuhan. Namun sudah terlambat untuk beliau bertaubat dan beliau bersama bala tenteranya mati dalam kehinaan. 

“Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): ‘Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)’. (Allah berfirman): ‘Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telah pun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?’” (Yunus 10 : 90-91)

Kewujudan Tuhan boleh dibuktikan jika akal digunakan dengan sebaiknya. Jika direnung pada kejadian bahagian-bahagian di dalam alam semesta yang saling berkait secara harmoni dan serasi, juga sistem tubuh badan manusia yang begitu unik, kompleks dan teratur, adalah tidak munasabah untuk mengatakan segala ciptaan ini wujud dengan sendirinya. Akal yang waras akan mengatakan bahawa setiap ciptaan pasti ada penciptanya. Analoginya, jika anda mempunyai telefon bimbit, pasti anda meyakini bahawa telefon bimbit itu ada syarikat yang mengeluarkannya, sama ada Samsung, Lenovo, Nokia atau Apple (sekadar menyebut beberapa nama). Tidak mungkin telefon bimbit yang begitu canggih teknologinya boleh tercipta dengan sendirinya.

Berhubung dengan perkara ini Allah menempelak mereka yang tidak mempercayai kewujudan-Nya melalui ayat-ayat berikut di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Atau apakah mereka tercipta tanpa asal-usul atau apakah mereka yang menciptakan diri mereka sendiri? Atau apakah mereka yang telah menciptakan langit dan bumi? Sebenarnya mereka tidak yakin dengan apa yang mereka katakan.” (At-Tur 52 : 35-36)

Analogi lain yang boleh difikirkan, jika seseorang melihat adanya kesan tapak kaki di pepasir di pantai, dia pasti meyakini bahawa kesan tapak kaki itu ditinggalkan oleh manusia yang melalui pantai tersebut tidak lama sebelum itu, walaupun dia tidak melihat kejadian tersebut berlaku. Dia pasti tidak percaya jika dikatakan kesan tapak kaki tersebut secara kebetulan terbentuk akibat ombak dari laut yang mendesir pantai dari masa ke masa. Realitinya, dalam kehidupan ini banyak perkara yang kita tidak dapat lihat dengan mata kasar, namun kita percaya kewujudannya kerana kita dapat merasai kesan yang ditinggalkannya. 

Begitulah juga jika kita berhadapan dengan pendapat yang mengatakan, “Aku tidak nampak Tuhan, jadi bagi aku Tuhan itu tiada..” Kita boleh katakan kepadanya, “Di dalam dunia ini banyak perkara yang kita tidak nampak, tapi kita yakin ia ada..” Berikan analogi yang sesuai dengan suasana semasa bagi membuktikan kenyataan kita, misalnya arus elektrik. kita tidak nampak arus elektrik dengan mata kasar, namun kita yakin ia wujud disebabkan berfungsinya alat-alat elektrik di sekeliling kita seperti kipas, lampu, peti sejuk, televisyen, cerek elektrik, komputer dan sebagainya.  

Ajakan kepada manusia untuk berfikir mengenai analogi yang mudah difahami adalah satu pendekatan dakwah yang baik. Imam Abu Hanifah pernah ditanya oleh sekumpulan manusia mengenai bukti kewujudan Tuhan. Beliau menjawab, “Aku sedang berfikir mengenai sebuah kapal di laut yang sarat dengan muatan dan barang dagangan tetapi yang peliknya kapal ini tidak ada nakhoda dan anak-anak kapal. Ia belayar ke sana ke mari dan menyelesaikan masalah dengan sendirinya.” Mereka yang mendengar perkataan Imam Abu Hanifah ini terus berkata, “Ini adalah suatu kisah gila yang tidak masuk akal.” Imam Abu Hanifah menjawab, “Kamu menganggap orang yang mengatakan kapal dapat belayar dengan sendirinya adalah seorang yang gila. Bagaimana pula dengan golongan yang mengatakan, alam ini yang begitu halus dan tersusun kejadiannya, terjadi dengan sendirinya tanpa pencipta dan pengurus?” Golongan yang menemui Imam Abu Hanifah itu tergamam dan akhirnya memeluk Islam.

Pendekatan yang sama digunakan oleh Imam Malik yang pernah ditanya oleh Khalifah Harun ar-Rasyid mengenai bukti kewujudan Tuhan. Beliau menjelaskan, “Buktinya, setiap manusia dikurniakan mulut dan lidah yang lebih kurang sama, tetapi bahasa, suara dan intonasi setiap seorang daripada mereka berbeza.”

Imam Syafie pula apabila ditanya mengenai bukti kewujudan Tuhan, beliau menjawab, “Lihatlah daun Tut ini (mullberry leaves). Apabila dimakan oleh ulat, ia mengeluarkan sutera. Apabila dimakan oleh lebah, ia mengeluarkan madu. Apabila dimakan oleh binatang ternakan, ia mengeluarkan najis. Apabila dimakan oleh rusa, ia mengeluarkan kasturi. Bagaimana semua ini boleh berlaku sedangkan daun yang dimakan adalah sama jenisnya?” 

Ilmu berkaitan sains semasa juga boleh dimanfaatkan untuk membuktikan kewujudan Tuhan. Banyak fenomena alam semesta yang mana bila dikaji secara terperinci, boleh menafikan pendapat yang mengatakan alam ini wujud dengan sendirinya. Malah seorang saintis Barat iaitu Andrei Linde dalam artikelnya The Self-Reproducing Inflationary Universe (Scientific American, vol. 271, 1994) telah mengatakan, “Teori Big Bang menetapkan kesemua bahagian alam semesta mengembang secara serentak (selepas ledakan). Namun, bagaimana bahagian-bahagian alam yang berbeza ini mengembang secara seimbang (synchronize) pada peringkat awal ini? Siapakah yang memberikan arahan itu?” Stephen Hawking juga pernah menulis di dalam bukunya A Brief History of Time seperti berikut, “Sekiranya laju pengembangan satu detik selepas ‘dentuman besar’ itu lebih kecil, bahkan daripada satu bahagian per seratus ribu juta, alam semesta ini akan hancur sebelum ia mencapai ukuran sekarang.”

Sememangnya kejadian awal alam semesta berlaku melalui satu perancangan yang begitu teliti. Andai kata ia berlaku secara kebetulan, bagaimana mungkin dentuman yang dahsyat itu boleh menghasilkan susunan objek-objek alam yang begitu tepat dan luar biasa? Misalnya perjalanan matahari dan bulan yang begitu teratur dan harmonis dan tidak pernah terbabas dari garis edarnya. Hasilnya boleh dilihat melalui fenomena pertukaran malam dan siang yang sentiasa menepati waktunya. 

Mari kita terus berfikir mengenai kejadian bumi. Kedudukan bumi terletak kira-kira 150 juta kilometer dari matahari. Kalaulah jarak bumi dari matahari kurang daripada jarak sekarang, sudah pasti suhu bumi meningkat dan tidak akan ada benda hidup yang boleh wujud (sebagaimana planet Utarid dan Zuhrah yang lebih dekat dengan matahari). Kalaulah jarak bumi dari matahari lebih jauh daripada jarak sekarang pula, pasti suhu bumi akan menjadi terlalu sejuk dan tidak ada sesuatu pun yang boleh hidup dalam keadaan tersebut (seperti planet Marikh yang mempunyai jarak 228 juta kilometer dari matahari). Maka persoalannya, siapakah yang menentukan kedudukan bumi ini yang begitu tepat sehingga boleh ada makhluk bernama manusia yang dapat hidup di atasnya dengan selesa? Tidak mungkin bumi boleh menentukan kedudukannya sendiri tanpa ada arahan daripada sesiapa. Pemberi arahan itu adalah Allah, Tuhan yang Maha Pencipta dan Maha Mengetahui segala ciptaan-Nya, juga Tuhan yang mentadbir perjalanan alam semesta. 

Firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Apakah kamu tidak melihat bahawa Allah mempermudah untuk kamu apa yang ada di bumi. Bahtera yang belayar di lautan belayar dengan izin-Nya. Dan Dia menahan (objek-objek) langit daripada jatuh ke bumi. Semuanya berlaku dengan izin-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Penyayang kepada manusia.” (Al-Hajj 22 : 65)

Mari kita berfikir tentang kejadian manusia pula. Bermula dengan satu sel yang terlalu kecil yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, sel ini kemudiannya berkembang menjadi dua, empat, lapan, enam belas, tiga puluh dua dan begitulah seterusnya. Kemudian sel-sel ini berubah menjadi otot, tulang, otak, mulut, mata, telinga, jari dan sebagainya dan kemudian membentuk satu tubuh badan manusia yang sempurna. Ajaibnya, bagaimana sel-sel itu boleh tahu cara untuk menjadi setiap satu daripada anggota tubuh badan manusia, malah berada pada kedudukan dan susunan yang tepat? Siapakah yang memberi arahan kepada sel-sel yang membentuk hidung manusia dengan kedudukan kedua-dua lubang hidung menghala ke bawah dan tidak ke atas? Apa pula akan terjadi kalau lubang hidung manusia menghala ke atas? Adakah semua ini terjadi secara kebetulan dan tidak dirancang? Sudah tentu tidak. Terbukti ada satu kuasa besar yang mencipta dan memberikan arahan supaya sel-sel ini membentuk tubuh badan manusia dengan begitu cantik sekali. Dialah Allah, Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. 

Firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud)

“Sesungguhnya Kami menciptakan insan dalam bentuk penciptaan yang terbaik.” (At-Tiin 95 : 4)

Banyak lagi penemuan-penemuan lain berkaitan sains semasa yang boleh kita ketengahkan untuk membuktikan kewujudan Tuhan. Malah bukti-bukti ini telah menerbitkan keyakinan di dalam diri ramai manusia yang tidak beragama  untuk menerima kewujudan Tuhan, malah turut menjadi asbab kepada sebahagian mereka untuk memeluk agama Islam. Lebih menarik, fenomena ini turut berlaku di negara-negara Barat yang mempunyai ramai penganut ateis, malah melibatkan tokoh-tokoh besar yang menjadi pakar rujuk dalam pelbagai bidang. 

Antara kisah ateis yang terkenal ialah Dr. Antony Flew, seorang pakar dalam bidang ilmu falsafah, juga merupakan pakar rujuk ateisme yang berasal dari Britain. Beliau memperjuangkan falsafah ateisme selama 50 tahun dan telah menghasilkan lebih 30 buku mengenai ateisme. Namun pada tahun 2004 (ketika berusia 81 tahun), Dr. Antony Flew mengisytiharkan keyakinan beliau akan kewujudan Tuhan. Perubahan keyakinan beliau adalah disebabkan kajian beliau yang mendalam tentang kejadian DNA yang merupakan sebahagian daripada ilmu sains moden. Pada tahun 2007, beliau bersama Roy Abraham Varghese menulis sebuah buku bertajuk “There is a God: How the World’s Most Notorious Atheist Changed His Mind”.

Dr. Jeffrey Lang, profesor dalam bidang Matematik di Universiti Kansas di Amerika Syarikat pula adalah seorang individu ateis yang kini merupakan penganut Islam. Beliau lahir dalam keluarga Kristian Roman Katolik, namun kemudiannya menjadi ateis kerana mendapati banyak kontradiksi dan kecelaruan dalam agama lamanya. Beliau akhirnya memilih untuk memeluk Islam setelah membuat kajian terhadap isi-isi Al-Quran yang sarat dengan ilmu sains moden.

Seorang lagi tokoh ateis yang memeluk Islam ialah Profesor Periyadarshan dari India. Selain merupakan pakar psikoterapi, beliau juga adalah pakar rujuk ateisme di negara asalnya. Beliau akhirnya mendapat hidayah untuk bersama dalam agama Islam setelah membuat kajian terhadap kitab Al-Quran. Beliau meyakini bahawa kitab tersebut adalah autentik dan datang secara langsung daripada Tuhan. Kisah beliau diceritakan di dalam akhbar arabnews.com pada 12 Mac 2010 di bawah tajuk “Indian Atheist Embraces Islam”.

Sesungguhnya tanda-tanda kewujudan Tuhan ada di mana-mana. Ia boleh diperoleh melalui Al-Quran, juga terbentang luas pada seluruh alam ciptaan-Nya. Tanda-tanda itu juga ada pada diri manusia itu sendiri, sebagaimana kata-kata Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Kami memperlihatkan kepada mereka ayat-ayat (tanda-tanda) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka, ia adalah benar.” (Fushilat 41 : 53)


Rujukan:

https://www.pewresearch.org/fact-tank/2017/04/05/christians-remain-worlds-largest-religious-group-but-they-are-declining-in-europe/

Minda Muslim Super, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Millenia Sdn. Bhd., 2008

Tuan Bertanya, Dr. Danial Menjawab Mengenai Persoalan Islam yang Kontemporari, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Millenia Sdn. Bhd., 2011

Menjadi Ulul Albab, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Publishing House Sdn. Bhd.,2015

Dia di Mana-mana, M. Quraish Shihab, PTS Darul Furqan Sdn. Bhd., 2013

Is There a True Religion?, Dr.A. A. Bilal Philips, November 2010

www.onereason.org 

Friday, May 8, 2020

Amerika Syarikat: 21 Hari yang Bermakna!

Oleh Wan Am

“Salam Wan, this is Riaz here, Senior Advisor at the U.S. Embassy in Kuala Lumpur, would like to talk to you about the trip to the U.S. from Nov 30 – Dec 21. Do call me when you have a moment, thanks.”

Tengah hari Khamis, 26 September 2019, saya menerima mesej di atas melalui aplikasi Whatsapp. Melihatkan nama Tuan Riazurrahman Sadayan di skrin telefon, sekilas saya teringat akan borang permohonan untuk menyertai International Visitor Leadership Program (IVLP) yang saya hantar kepada beliau kira-kira lima bulan sebelumnya. Program IVLP tersebut diperkenalkan kepada saya oleh guru sekolah saya, Ustaz Mohd Zubir Osman (kini merupakan Pengetua, Sekolah Menengah Islam Al-Amin Bestari D’Merlimau) yang pernah menyertainya pada tahun 2017. Maka dengan berbekalkan sekelumit pengalaman sebagai Ahli Lembaga Pengelola Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad, saya mencuba nasib dengan menghantar borang permohonan berkenaan. 

Saya tidak menyangka rezeki Tuhan tiba begitu awal. Sebenarnya saya jangkakan peluang untuk menyertai IVLP mungkin akan tiba setahun dua lagi, jika terpilih. Namun mesej daripada Tuan Riazurrahman tersebut telah mengesahkan perjalanan saya ke Amerika Syarikat pada 30 November hingga 21 Disember 2019 melalui program berkenaan. Alhamdulillah, mungkin peluang ini saya peroleh sekali sahaja dalam seumur hidup dan tidak wajar saya lepaskan!

Setelah mendapat keizinan daripada majikan saya di Hidayah Centre Foundation serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada isteri tercinta, maka bermulalah persiapan saya untuk menyertai IVLP ini. Penghargaan khusus saya kepada Pegawai Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Puan Nur Farizan Zulkifli yang banyak memberikan nasihat dan panduan kepada saya dalam pelbagai aspek, termasuk urusan permohonan visa (agak rumit juga prosesnya). Saya juga dimaklumkan terdapat lima orang lagi peserta yang akan bersama saya dalam IVLP ini. Tambah menarik, bila dirujuk kepada aturcara program yang kami terima, kami akan berkunjung ke empat destinasi di Amerika Syarikat sepanjang IVLP tersebut iaitu Washington, D.C. (30 November - 5 Disember 2019), San Francisco, California (5 - 11 Disember 2019), Salt Lake City, Utah (11 - 17 Disember 2019) dan Dallas, Texas (17 - 21 Disember 2019).

Sedikit pengenalan ringkas mengenai IVLP. Ia adalah program anjuran Jabatan Negara Amerika Syarikat (U.S. Department of State), dengan matlamat untuk membina persefahaman bersama antara Amerika Syarikat dengan negara-negara lain melalui lawatan profesional oleh para pemimpin dan aktivis dalam pelbagai bidang ke negara tersebut. Sejak dilancarkan pada tahun 1941, ramai dalam kalangan ketua negara dan bekas ketua negara pernah menyertai IVLP (antara alumni IVLP dari Malaysia ialah Allahyarham Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad). Kini setiap tahun IVLP menerima kehadiran lebih 4,500 peserta yang terpilih dari seluruh dunia untuk mengadakan lawatan ke Amerika Syarikat dan memahami selok-belok negara tersebut berdasarkan bidang kerjaya dan medan penglibatan mereka dalam masyarakat. 

IVLP yang kami sertai kali ini adalah bertemakan “School Management and Pedagogy Systems for Madrasah Educators”. Antara objektif yang ingin dicapai dalam IVLP ini ialah untuk memperkenalkan pengurusan sistem pendidikan, pedagogi dan kurikulum peringkat sekolah dan pendidikan tinggi Amerika Syarikat, selain memerhatikan model pengoperasian sekolah awam dan swasta di sana. Bagi mencapai objektif ini, kami akan dibawa melawat pelbagai badan dan institusi pendidikan dan melakukan pertemuan rasmi dengan wakil-wakil organisasi berkenaan (pandangan mereka tidak semestinya mencerminkan pendirian Kerajaan Amerika Syarikat).

Gambar 1: Penulis (kanan sekali) bersama teman-teman IVLP 2019 (dari kiri): Farhan Ashari, Nadziroh Mohd Nasir, Nur Arifah Md Razif, Nurul Nadia Ansar Ahmad Khan dan Noor Hasilah Abdullah

Gambar 2: Pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat, Dr. Lawrence Fisher (kiri sekali) dan Shawn Callavan (tiga dari kiri) menyambut kedatangan kami pada hari pertama kami di Amerika Syarikat. Mereka adalah pengiring kami sepanjang tiga minggu di sana dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu

Gambar 3: Makan tengah hari di bandar Washington, D.C. bersama para pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat dan Meridian International Center (organisasi yang menguruskan perjalanan IVLP yang kami sertai)

Gambar 4: Kunjungan rasmi ke bangunan Jabatan Negara Amerika Syarikat di Washington, D.C.

Sebelum mendalami perjalanan sistem pendidikan Amerika Syarikat, kami terlebih dahulu diberikan kefahaman asas mengenai sistem pentadbiran negara tersebut. Amerika Syarikat yang mula terbentuk melalui pengisytiharan kemerdekaan pada 4 Julai 1776 adalah sebuah negara republik berperlembagaan persekutuan yang kini terdiri daripada 50 negeri dan satu daerah persekutuan. Pentadbiran negara tersebut dibahagikan kepada tiga peringkat kerajaan; persekutuan, negeri dan tempatan. 

Kerajaan Persekutuan terdiri daripada tiga cabang bebas yang merangkumi Legislatif (Dewan Perwakilan dan Senat), Eksekutif (diketuai oleh Presiden Amerika Syarikat) dan Kehakiman. Ketiga-tiga cabang ini mempunyai fungsi masing-masing dan saling memeriksa dan mengimbang (check and balance) antara satu sama lain. Kuasa Kerajaan Persekutuan dibataskan oleh Perlembagaan, yang mengikut Pindaan Kesepuluh, menyatakan kuasa lain yang tidak diberikan secara tersurat kepada Kerajaan Persekutuan adalah diperuntukkan bagi negeri atau rakyat. Perlembagaan Amerika Syarikat menghadkan kuasa Kerajaan Persekutuan kepada perkara berkaitan pertahanan, polisi luar negara, pencetakan mata wang, mengawal perdagangan, perhubungan antara negeri-negeri serta melindungi hak asasi manusia (terdapat lima perkara asas berkenaan hak asasi manusia di Amerika Syarikat yang terkandung dalam Bill of Rights; Freedom of Religion, Freedom of Speech, Freedom of the Press, Freedom of Assembly, Freedom of Petition).

Jika diperhatikan pula kepada sistem kerajaan negeri di Amerika Syarikat, setiap negeri (diketuai oleh seorang Gabenor) mempunyai perlembagaan yang tersendiri. Adalah tidak menghairankan jika terdapat perbezaan yang amat ketara dari segi undang-undang dari satu negeri ke negeri yang lain, terutamanya hal-hal berkaitan pendidikan, jenayah, hartanah dan kesihatan. Akta berkaitan pendidikan di Texas mungkin banyak bezanya dengan akta pendidikan di California. Begitu juga sewaktu berada di Salt Lake City di Utah, saya difahamkan penduduk di negeri tersebut bebas memiliki senjata api, yang mana perbuatan tersebut menjadi kesalahan jenayah di banyak negeri yang lain. 

Sewaktu di Washington, D.C., kami dapat melawat beberapa monumen penting dan bersejarah yang menjadi lambang kepada pemerintahan negara Amerika Syarikat. Antaranya ialah White House, U.S. Capitol, Jefferson Memorial dan Lincoln Memorial. Namun yang paling mengujakan saya ialah apabila dapat menjejakkan kaki di Perpustakaan Kongres (Library of Congress) yang merupakan perpustakaan penyelidikan yang berkhidmat untuk Kongres Amerika Syarikat, juga perpustakaan negara untuk Amerika Syarikat. Ia merupakan institusi budaya persekutuan tertua di Amerika Syarikat. Perpustakaan Kongres juga dikatakan sebagai perpustakaan terbesar di dunia. Walaupun ia dibuka untuk orang ramai, namun hanya pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi sahaja dibenarkan untuk meminjam buku-buku dan bahan-bahan dalam Perpustakaan Kongres (kecuali peminjaman melalui Pinjaman Antara Perpustakaan yang dibenarkan untuk orang awam).

Bangunan Perpustakaan Kongres yang didirikan sejak tahun 1800 mempunyai reka bentuk yang unik. Setiap sudut binaan di dalam bangunan tersebut tertera ukiran dan lukisan yang mengandungi makna tersendiri dari segi ilmu, nilai dan budaya. Koleksi buku dan bahan-bahan lain di Perpustakaan Kongres pula adalah universal, tidak terhad kepada subjek, format, mahupun sempadan negara, serta termasuk bahan penyelidikan dari seluruh dunia dan dalam lebih 450 bahasa. 

Menurut sejarah, kebanyakan koleksi asal di Perpustakaan Kongres telah dimusnahkan oleh British ketika Perang 1812. Untuk membina semula koleksi mereka, pihak perpustakaan telah membeli koleksi peribadi bekas Presiden Amerika Syarikat, Thomas Jefferson sebanyak 6,487 buah buku (betapa cintanya beliau kepada buku). Namun pada tahun 1851, kebakaran telah berlaku dan memusnahkan sejumlah besar koleksi perpustakaan, termasuk buku-buku daripada koleksi Jefferson. Selain itu di Perpustakaan Kongres kami berpeluang menatap naskhah-naskhah asal dari Tanah Melayu yang berusia ratusan tahun, antaranya karya Munsyi Abdullah, Sejarah Melayu dan surat-surat daripada Sultan Melayu kepada pihak British.

Gambar 5: Sesi bersama Mr. Akram Elias (Presiden dan CEO, Capital Communications Group, Inc.) yang memberikan penerangan kepada kami tentang sistem pentadbiran Amerika Syarikat

Gambar 6: Di hadapan White House, pusat pentadbiran Presiden Amerika Syarikat

Gambar 7: Arca Thomas Jefferson, Presiden Ketiga Amerika Syarikat dan individu penting yang menulis Pengisytiharan Kemerdekaan 1776

Gambar 8: Di hadapan bangunan Lincoln Memorial

Gambar 9: Bangunan U.S. Capitol yang mula digunakan sejak tahun 1800 menempatkan Dewan Perwakilan dan Senat

Gambar 10: Utah State Capitol Building di Salt Lake City yang menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Negeri Utah

Gambar 11: Sesi bersama Rep. Elizabeth Weight (kanan), wakil Parti Demokrat di Utah State House

Gambar 12: Di hadapan bangunan utama Perpustakaan Kongres di Washington, D.C.

Gambar 13: Suasana di dalam ruang bacaan utama di Perpustakaan Kongres

Gambar 14: Ruangan di Perpustakaan Kongres yang menempatkan koleksi asal (dan salinan) buku yang dibeli daripada Thomas Jefferson

Gambar 15: Salah satu bahagian dalam Perpustakaan Kongres yang menempatkan buku dan sumber rujukan dari Asia

Gambar 16: Contoh sumber primer dari Tanah Melayu (dalam Tulisan Jawi) berusia ratusan tahun yang disimpan di Perpustakaaan Kongres

Secara umumnya terdapat dua jenis sekolah di Amerika Syarikat; sekolah awam dan sekolah swasta. Namun sejak awal 1990-an, sekolah piagam awam (public charter school) mula diperkenalkan (bermula di Minnesota pada 1991). Sekolah jenis ini lazimnya diasaskan oleh kumpulan guru, ibu bapa, badan bukan kerajaan atau individu yang pernah atau sedang berkhidmat dengan entiti kerajaan dan universiti. Sekolah piagam awam tidak mengenakan yuran kepada murid, namun menerima pembiayaan daripada kerajaan kurang berbanding sekolah-sekolah awam. 

Bagi sekolah swasta pula, ia tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan. Justeru kebiasaannya sekolah jenis ini mengenakan yuran yang tinggi kepada pelajar. Sekolah swasta ditubuhkan sama ada yang berasaskan keuntungan atau bukan untuk keuntungan didirikan bagi memenuhi pelbagai tujuan; untuk pelajar berbakat, untuk pelajar kurang upaya, untuk pelajar mendapatkan ilmu agama, untuk ibu bapa yang mahukan anak mereka mendapat ruang belajar yang kecil dan selesa dan sebagainya. 

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri saling bekerjasama dalam melaksanakan pendidikan awam. Namun kerajaan negeri dan tempatan lebih berkuasa dalam menentukan piawaian pendidikan untuk sistem sekolah awam di negeri mereka, termasuk dalam aspek kurikulum, peperiksaan, pembangunan guru, teknologi pendidikan, kegiatan luar dan kepimpinan pelajar. Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pendidikan (Department of Education) lebih berperanan dalam menetapkan dasar pendidikan negara serta memberikan nasihat kepada Presiden Amerika Syarikat berkenaan isu pendidikan secara umum, di samping bertanggungjawab dalam pendidikan tinggi dan vokasional, program bantuan pendidikan persekutuan dan tajaan kepada penyelidikan berkaitan pendidikan. Majoriti besar dana pendidikan awam diperoleh daripada hasil cukai negeri dan tempatan, dibantu peruntukan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan. Mengikut undang-undang negeri di Amerika Syarikat, pendidikan adalah diwajibkan kepada semua kanak-kanak.

Gambar 17: Sesi bersama Ms. Sambia-Shivers-Barclay (Lead, International Visitors Program) di bangunan Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat di Washington, D.C.

Gambar 18: Sesi bersama pegawai-pegawai Utah State Board of Education di Salt Lake City

Gambar 19: Di bangunan pentadbiran Dallas Independent School District, sesi bersama Timbalan Ketua Akademik, Shannon Trejo (tiga dari kiri) dan Pengarah Pengajian Sosial, Shalon Bond (tiga dari kanan) 

Melalui IVLP ini kami berpeluang melihat pelbagai model sekolah awam di Amerika Syarikat yang secara umumnya dibahagikan kepada tiga peringkat persekolahan; sekolah rendah (elementary school), sekolah menengah (middle school) dan sekolah tinggi (high school). Berikut adalah sekolah-sekolah awam yang kami lawati beserta sedikit latar belakangnya:

1. Howard University Middle School of Mathematics and Science (MS)2

Sekolah yang terletak di Washington, D.C. ini merupakan sekolah piagam awam berprestasi tinggi yang memberikan fokus kepada subjek Matematik dan Sains bagi pelajar Gred 6 hingga 8 (lingkungan umur 12 hingga 14 tahun). Sekolah ini bekerjasama dengan Howard University dalam menyediakan pelajar untuk menceburi kerjaya dalam disiplin STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics). Pada masa ini sekolah ini mempunyai seramai 294 orang pelajar yang hampir kesemuanya adalah berkulit hitam.

2. Oakland International High School (OIHS)

Sekolah ini adalah sekolah komuniti di Oakland, California yang dibuka pada Ogos 2007 dan mendapat sokongan daripada Internationals Network of Public Schools, Oakland Unified School District dan Bill and Belinda Gates Foundation. Sekolah ini menyasarkan para pelajar dalam kalangan warga asing (majoriti adalah pelarian) yang berada di Oakland dan kawasan sekitarnya. Guru-guru di sekolah ini diberikan latihan khas untuk membimbing para pelajar meningkatkan penguasaan mereka dalam bahasa Inggeris melalui tiga pendekatan utama; Heterogenous Groups, Project-based Curriculum dan Intergrated English Language Development.

3. Community School for Creative Education (CSCE)

Sebuah lagi sekolah komuniti di Oakland yang mempunyai pelajar berbilang bangsa dan menerapkan model pendidikan Waldorf (pendidikan yang menitikberatkan kreativiti) dalam kurikulumnya. Ia merupakan sekolah piagam Waldorf pertama di Amerika Syarikat. Sekolah ini berusaha memberikan pendidikan berkualiti tinggi kepada 284 orang pelajarnya (berusia 4 hingga 15 tahun) yang mana 15 peratus daripada mereka adalah pelajar istimewa (special needs), 52 peratus tidak fasih berbahasa Inggeris dan 82 peratus berasal daripada keluarga miskin. 

4. Abraham Lincoln High School (ALHS)

Sebuah sekolah tinggi di San Francisco yang menyediakan pelbagai program persediaan kepada lebih 2000 orang pelajarnya (Gred 9 hingga 12) sebelum menamatkan alam persekolahan. Antaranya ialah empat program utama akademi kerjaya; Teacher Academy, Business Academy, Digital Media Design (DMD) Academy dan The Green Academy. Selain pemantapan bahasa Inggeris, sekolah ini turut menawarkan pembelajaran bahasa antarabangsa yang lain kepada pelajarnya seperti bahasa Sepanyol, bahasa Mandarin, bahasa Perancis dan bahasa Jepun. 

5. Montessori Community School

Ditubuhkan pada tahun 1985, sekolah di Salt Lake City ini melaksanakan kurikulum Montessori kepada para pelajarnya. Kelas dan ruang pembelajaran di sekolah ini direka bentuk sesuai dengan tiga peringkat pembelajaran di sekolah ini iaitu Toddler (umur 18 bulan hingga tiga tahun), Early Childhood (umur tiga hingga enam tahun) dan Elementary (Gred 1 hingga 6). Para ibu bapa turut terlibat secara tidak langsung dalam proses pendidikan di sekolah ini yang mana mereka menawarkan diri menjadi sukarelawan dalam beberapa tugasan mingguan seperti Laundromat, Material Washer, Playdough Maker, Fresh Flower Delivery, Food Prep Supplier dan Librarian. 

6. Irma Lerma Rangel Young Women’s Leadership School

Sekolah ‘magnet’ yang terletak di Dallas ini dibuka untuk pelajar perempuan dalam Gred 6 hingga 12 dan diiktiraf sebagai sekolah awam perempuan pertama di Texas (ditubuhkan pada 2004). Nama sekolah ini diambil bersempena nama seorang wanita Mexico-Amerika pertama yang dipilih sebagai ahli Texas House of Representatives. Pencapaian cemerlang para pelajar sekolah ini dalam kurikulum mahu pun ko-kurikulum serta kejayaan mereka meraih pelbagai anugerah dalam pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan telah turut mengangkat sekolah ini sebagai antara sekolah terbaik di Amerika Syarikat.

Gambar 20: Sesi bersama Pengetua Howard University Middle School of Mathematics and Science (MS)2, Ms. Kathryn Procope

Gambar 21: Rakan-rakan IVLP beramah mesra dengan pelajar (MS)2

Gambar 22: Sesi bersama Ms. Lauren Markham (Community School Program Manager) di Oakland International High School (OIHS)

Gambar 23: Senarai negara asal para pelajar OIHS

Gambar 24: Pintu masuk utama bangunan Community School for Creative Education (CSCE) di Oakland, California

Gambar 25: Sesi bersama Pengasas dan Pengarah Eksekutif CSCE, Dr. Ida Oberman

Gambar 26: Berjalan melihat persekitaran Abraham Lincoln High School (ALHS) di San Francisco

Gambar 27: Bersama guru bahasa Jepun di ALHS, Ms. Arisa Hiroi

Gambar 28: Guru di Montessori Community School di Salt Lake City membuat demonstrasi menggunakan bahan-bahan pembelajaran berasaskan kurikulum Montessori

Gambar 29: Salah satu ruangan kelas yang direka bentuk khas untuk kanak-kanak di Montessori Community School

Gambar 30: Sesi bersama para pentadbir dan guru Irma Lerma Rangel Young Women’s Leadership School di Dallas

Gambar 31: Memerhatikan hasil karya pelajar-pelajar Irma Lerma Rangel

Di Amerika Syarikat juga kami berpeluang menziarahi institusi yang menyediakan program selepas waktu persekolahan. Di San Francisco misalnya, kami melawat Boys & Girls Clubs, sebuah institusi bukan kerajaan yang telah berusia 128 tahun (diasaskan pada 1891). Institusi ini menyasarkan golongan muda berusia 6 hingga 18 tahun dengan penumpuan kepada usaha-usaha kecemerlangan akademik, gaya hidup sihat, berkeperibadian mulia dan hubungan dengan komuniti (objektif secara tersirat adalah untuk mengelakkan pelajar-pelajar di San Francisco terlibat dengan aktiviti-aktiviti tidak sihat selepas waktu persekolahan). Di premis mereka disediakan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, studio, bilik permainan, bilik seni dan lain-lain lagi. Di Dallas pula, kami berkunjung ke Heart House, juga institusi bukan kerajaan yang mula beroperasi sejak pertengahan 1990-an dan kini mempunyai seramai 120 orang pelajar. Mereka memberikan khidmat pendidikan tidak rasmi (selepas waktu persekolahan) khusus kepada anak-anak pelarian dari pelbagai negara yang memulakan kehidupan baru di Dallas.

Perpustakaan di Amerika Syarikat turut memainkan peranan penting dalam menyokong sistem pendidikan di negara tersebut. Perpustakaan Kongres sebagai contoh, menyediakan bahan-bahan pembelajaran (termasuk sumber primer dalam bentuk digital) yang boleh diperoleh melalui website mereka dan digunakan oleh guru-guru dalam pengajaran mereka di sekolah. Salt Lake County Library Services pula, selain ruang bacaan dan pembelajaran yang selesa serta alat bantu dengan teknologi terkini yang disediakan di perpustakaan mereka, turut menawarkan pelbagai program kreatif sebagai sokongan kepada pendidikan anak-anak dan ibu bapa. Antara program tersebut ialah 1,000 Books Before Kindergarten, Books for Baby, Storytimes, Vroom App, WeeLearn, BrainFuse dan Telescope Lending Program.

Dua lagi institusi di Dallas yang kami lawati yang memberikan sokongan kepada pembangunan pendidikan dan sosial ialah Region 10 dan CitySquare. Region 10 adalah salah satu daripada 20 pusat perkhidmatan regional yang ditubuhkan oleh Texas State Legislature dengan tujuan untuk memberikan kursus latihan dan pembangunan profesional kepada guru-guru di Texas. Manakala CitySquare adalah sebuah badan yang mempunyai objektif untuk membanteras masalah kemiskinan dan gelandangan dalam kalangan warga Dallas. Antara yang mereka usahakan ialah CitySquare Food Pantry yang memberikan peluang kepada golongan sasaran untuk mengambil apa sahaja barangan makanan yang mereka perlukan setiap 15 hari sekali.

Gambar 32: Bersama Ms. Erin Gutierrez (Pengarah, Pembelajaran & Pembangunan) di Boys & Girls Club of San Francisco

Gambar 33: Gimnasium yang terdapat di Boys & Girls Club

Gambar 34: Sesi bersama Ketua Pegawai Eksekutif Heart House, Ms. Lenita Dunlap

Gambar 35: Antara ruang pembelajaran yang terdapat di Heart House

Gambar 36: Bersama Ms. Kaleena Black (Educational Resources Speacialist, Learning and Innovation Office) di Perpustakaan Kongres

Gambar 37: Lawatan ke Salt Lake County Library Services

Gambar 38: Bersama pegawai-pegawai Region 10 di Dallas

Gambar 39: Antara kemudahan latihan dan pembangunan guru yang disediakan di Region 10 

Gambar 40: Bangunan yang didirikan oleh CitySquare untuk menempatkan stok makanan dan diagihkan kepada warga Dallas yang memerlukan

Gambar 41: Kami diberi peluang melaksanakan kerja-kerja harian yang dilakukan oleh sukarelawan di CitySquare 

Subjek pendidikan agama tidak ditawarkan di sekolah awam di Amerika Syarikat. Justeru pelbagai institusi pendidikan swasta ditubuhkan (kebiasaannya oleh organisasi berkaitan agama) dengan tujuan untuk membekalkan ilmu pendidikan agama kepada generasi muda. Alhamdulillah, melalui IVLP ini kami turut dibawa menziarahi beberapa institusi pendidikan berteraskan agama yang dijalankan sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa. Sememangnya lawatan ini sangat memberikan manfaat memandangkan profesion kami yang terlibat secara langsung dalam institusi pendidikan agama di Malaysia.

Institusi pendidikan agama pertama yang kami lawati di Amerika Syarikat ialah Al Fatih Academy (AFA), sebuah sekolah swasta di bawah Muslim Education Resource Council, Inc. (MERCI) yang terletak di Virginia. Sekolah tersebut kini mempunyai 292 orang pelajar dan melaksanakan sistem pembelajaran bermula di peringkat pra-sekolah hingga Gred 8. Selain subjek berkaitan agama Islam (termasuk pendidikan Al-Quran dan bahasa Arab), subjek akademik seperti Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Pengajian Sosial turut ditawarkan yang memenuhi piawaian Virginia’s Standards of Learning (SOLs). 

Semasa di San Francisco pula, kami telah berkunjung ke Zaytuna College, institusi pengajian tinggi Islam yang pertama ditubuhkan di Amerika Syarikat. Kolej yang memulakan operasinya pada 1996 ini  diasaskan antaranya oleh Sheikh Hamza Yusuf, seorang sarjana Islam terkenal yang juga merupakan Presiden kolej tersebut. Zaytuna College menawarkan kurikulum yang memberikan para pelajarnya asas mengenai warisan intelektual dua tamadun utama dunia; tamadun Islam dan Barat. Selain pembelajaran di dalam kelas, para pelajar kolej ini turut didedahkan dengan aktiviti bersama komuniti setempat; sebahagiannya menjadi tutor atau mentor kepada anak-anak muda di kawasan mereka, manakala sebahagian yang lain menjalankan pelbagai aktiviti khidmat masyarakat. 

Institusi masjid turut menjadi pusat pendidikan agama Islam yang utama di Amerika Syarikat. Di Salt Lake City, kami menziarahi Khadeeja Islamic Center, sebuah masjid yang siap dibina sepenuhnya pada tahun 2001. Masjid ini menjadi tempat perkumpulan utama masyarakat Islam di Salt Lake City, sama ada dalam aktiviti-aktiviti ibadah mahu pun sosial. Ia adalah kemudahan Muslim terbesar di negeri Utah. Dalam bidang pendidikan, masjid ini menawarkan 'Sunday School' untuk anak-anak berumur 5 hingga 16 tahun mendalami ilmu agama Islam dan sehingga kini mempunyai lebih 200 orang pelajar. 

Sebuah lagi organisasi yang kami kunjungi yang menjadikan masjid sebagai pusat pendidikan agama Islam ialah Valley Ranch Islamic Center (VRIC) yang beroperasi di Irving, Texas. VRIC yang ditubuhkan pada 2009 menjalankan usaha pendidikan Islam (termasuk program hafazan Al-Quran) kepada para pelajarnya. Selain pendidikan, VRIC turut aktif memberikan khidmat kepada komuniti di kawasan Valley Ranch, Las Colinas dan Coppell dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Sewaktu berada di Salt Lake City, kami turut dibawa melawat pusat pentadbiran dan institusi pendidikan The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints (atau dikenali juga sebagai Mormon). Usaha pendidikan mereka yang bermula pada tahun 1912 (dengan jumlah pelajar seramai 70 orang), kini mereka telah mempunyai bilangan pelajar berjumlah 735,991 orang di seluruh dunia. Institusi pendidikan mereka terbahagi kepada dua kategori utama, Seminary (umur 12-18 tahun) dan Institute (umur 18-30 tahun). Di institusi pendidikan mereka, pelajar-pelajar akan mengikuti pengajaran berkaitan agama Kristian bersumberkan kitab Bible. Kebiasaannya Seminary dan Institute ini akan didirikan berhampiran dengan institusi pendidikan awam bagi memudahkan pelajar-pelajar hadir ke kelas agama anjuran mereka.

Gambar 42: Bangunan Al Fatih Academy di Virginia

Gambar 43: Bersama Ms. Pervin Divleli (Co-Founder & Head of School) dan Ms. Afeefa Syeed (Co-Founder & Chief Inspirational Officer) di Al Fatih Academy

Gambar 44: Bilik kaunseling di Al Fatih Academy yang dihias secara kreatif

Gambar 45: Sesi bersama Provos Zaytuna College di Berkeley, Dr. Omar Qureshi (tengah), turut bersama kami ialah Saudara Dani (dua dari kanan), satu-satunya penuntut Zaytuna College dari Malaysia

Gambar 46: Salah sebuah bangunan akademik di Zaytuna College

Gambar 47: Bangunan Masjid Khadeeja Islamic Center di Salt Lake City, Utah

Gambar 48: solat Jumaat di Masjid Khadeeja Islamic Center bersama komuniti Muslim dari lebih seratus negara

Gambar 49: Buku teks yang digunakan dalam program Sunday School di Masjid Khadeeja Islamic Center

Gambar 50: Bangunan Masjid Valley Ranch Islamic Center (VRIC) di Irving, Texas

Gambar 51: Taklimat mengenai Masjid VRIC disampaikan oleh Mr. Fuad M. Dadabhoy (Principal Consultant)

Gambar 52: Bilik kaca kalis bunyi di Masjid VRIC yang digunakan untuk program Hafazan Al-Quran

Gambar 53: Rombongan kami diperkenalkan kepada pelajar-pelajar di East High School Seminary, The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints

Gambar 54: Sesi dialog bersama pelajar-pelajar University of Utah yang turut menimba ilmu agama di Institute of Religion, The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints

Demikian catatan ringkas pengalaman saya bersama teman-teman IVLP sepanjang 21 hari berada di Amerika Syarikat. Secara peribadi, lawatan sambil belajar ini sangat bermakna kepada saya, malah benar-benar membuka mata saya mengenai realiti sebenar negara “Uncle Sam”. Bak kata pepatah, “Tak kenal maka tak cinta”. Bila sudah mengenali negara Amerika Syarikat dan rakyatnya, sebenarnya banyak juga perkara kebaikan yang boleh kita timba daripada mereka.

Mungkin selama ini kita rakyat Malaysia mendapat lebih banyak gambaran negatif mengenai negara Amerika Syarikat, berbanding sisi yang positif. Sejak dahulu media massa kita memaparkan tindak-tanduk kerajaan Amerika Syarikat yang sering menimbulkan konflik dan persengketaan dengan negara-negara lain di dunia. Melalui media juga kita mengenali Amerika Syarikat sebagai sebuah negara yang terkenal dengan pelbagai jenayah dan kegiatan tidak bermoral dalam kalangan rakyatnya. Perkahwinan sejenis juga kini menjadi perkara yang dibenarkan oleh undang-undang di beberapa negeri di Amerika Syarikat.

Saya teringat satu cerita rakan saya yang turut menyertai IVLP ini. Apabila beliau memberitahu kenalannya mengenai penyertaan beliau ke IVLP, lantas beliau ditanyakan soalan, “Tidak ada negara lainkah yang kamu boleh pergi?” Pengalaman saya pula, menjelang tarikh pemergian saya ke Amerika Syarikat, ada ahli keluarga yang risau takut-takut saya ditahan di balai imigresen di sana, memandangkan nama saya ada perkataan “Muhammad”. 

Reaksi sebegini sebenarnya tidaklah terlalu menghairankan. Dunia mengetahui kerajaan Amerika Syarikat mencanang Islamofobia, terutamanya pasca kemusnahan bangunan World Trade Center (WTC) pada 11 September 2001. Amarah umat Islam di Malaysia pastinya masih berbekas dek serangan tentera Amerika Syarikat ke atas Afghanistan dan Iraq beberapa tahun selepas itu. Pada waktu ini pun kerajaan Amerika Syarikat dilihat bersikap ‘berat sebelah’ dalam konflik Palestin-Israel. Rejim Zionis terus bermaharajalela menjarah bumi Palestin kerana ada ‘abang besar’ yang memberikan sokongan. Bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia pula sering menjadi tempat perhimpunan umat Islam meluahkan perasaan dan menyatakan pendirian secara aman.

Malah mungkin ada juga yang beranggapan, disebabkan kebencian melampau Amerika Syarikat terhadap agama Islam, maka penduduk Muslim di negara tersebut turut sama ditindas. Dengan hanya sekitar 1.1 peratus (3.45 juta) daripada jumlah keseluruhan penduduk Amerika Syarikat yang beragama Islam (data US Cencus, 2017), pasti menjadi masalah untuk mereka mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan. Tanggapan ini dikuatkan lagi dengan hasil soal selidik yang dilakukan oleh Pew Research Center kepada responden beragama Islam di Amerika Syarikat pada 2017 yang menunjukkan 75 peratus daripada mereka mengatakan terlalu banyak diskriminasi terhadap umat Islam di negara tersebut, 68 peratus mengatakan Presiden Trump menakutkan mereka, 62 peratus mengatakan orang Amerika tidak melihat Islam sebagai sebahagian daripada masyarakat arus perdana, 60 peratus mengatakan media Amerika Syarikat tidak memaparkan Islam secara adil, dan 50 peratus mengatakan kehidupan mereka menjadi lebih sukar dalam beberapa tahun terakhir ini. 

Alhamdulillah, melalui IVLP ini kami dipertemukan dengan rakan-rakan beragama Islam di Amerika Syarikat. Bukan sahaja warga tempatan, malah pada masa terluang kami juga dapat bersua dengan komuniti Melayu Malaysia yang telah lama bermastautin di sana. Bila berbual dengan mereka, keadaan yang mereka gambarkan mengenai kehidupan Muslim di Amerika Syarikat seolah-olah tidak seperti yang dipaparkan oleh statistik-statistik di atas. Mereka hidup dalam suasana masyarakat majmuk yang aman dan harmoni, malah lebih penting lagi, mereka dapat melaksanakan amalan-amalan agama tanpa sebarang halangan. Masjid-masjid dan institusi pendidikan Islam juga semakin banyak didirikan di seluruh Amerika Syarikat. 

Melalui IVLP ini juga kami dapat berinteraksi dengan warga tempatan yang berlainan agama dan budayanya dengan kami. Sudah pasti perbezaan ini tidak menghalang kami untuk berkenalan lebih rapat dengan mereka. Paling akrab dengan kami ialah dua orang pegawai daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat iaitu Shawn Callanan dan Dr. Laurence Fisher (Shawn beragama Kristian Roman Katolik manakala Dr. Laurence adalah penganut agama Yahudi). Merekalah yang mengiringi kami dan banyak membantu mempermudahkan urusan kami sepanjang tiga minggu di Amerika Syarikat. Malah melalui mereka juga saya belajar budaya-budaya positif yang berakar umbi dalam masyarakat mereka (yang masih belum menjadi budaya masyarakat kita di Malaysia). Selain itu ada juga aktiviti yang disusun yang membolehkan kami berkunjung ke rumah penduduk tempatan dan beramah mesra dengan mereka. Sehingga kini saya masih terkenangkan layanan baik mereka kepada kami. 

Saya juga masih ingat satu dialog salah seorang daripada mereka kepada kami, “Jangan anggap segala tindakan Kerajaan Amerika Syarikat adalah pendirian keseluruhan rakyat Amerika...” Tidak sukar untuk saya mengerti maksud mereka. Sudah pasti ada dasar-dasar kerajaan yang tidak mereka persetujui, termasuk yang melibatkan hubungan antara negara. Presiden Amerika Syarikat sekarang, Donald Trump pun sebenarnya tidak digemari oleh majoriti rakyat Amerika. Malah sewaktu saya masih berada di sana, Trump sedang berdepan undi tidak percaya di Dewan Perwakilan kerana salah guna kuasa (kali ketiga dalam sejarah Kongres Amerika Syarikat). 

Peluang pendidikan yang sama rata yang diberikan kepada semua penduduk Amerika Syarikat wajar dipuji dan jika sesuai, dicontohi juga oleh Malaysia. Di sana saya menyaksikan usaha murni sekolah-sekolah awam (dan sekolah piagam awam) yang menyediakan pendidikan percuma dan terbaik bukan sekadar kepada warganegara mereka sahaja, bahkan juga kepada anak-anak pendatang asing yang majoritinya merupakan pelarian. Di Oakland International High School misalnya, guru-gurunya begitu komited memastikan anak-anak bukan warganegara ini dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelbagai pendekatan yang kreatif dan efektif. Community School for Creative Education pula, kami difahamkan jika ada anak-anak warga asing kerap tidak hadir ke sekolah, guru sekolah tersebut akan menziarahi keluarga pelajar terlibat dan mengambil tahu permasalahan mereka. Satu lagi pengalaman saya di Heart House di Dallas, saya terkejut melihat statistik pelajar di situ yang ada dalam kalangan mereka dikatakan berasal dari Malaysia. Lantas saya bertanya kepada mereka, “Ada juga anak pelarian dari Malaysia?” Rupa-rupanya mereka adalah orang Rohingya yang sudah beberapa tahun tinggal di Malaysia dan kemudiannya dibawa ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan pendidikan yang lebih sempurna di sana. Nah, lihatlah begitu tinggi nilai kemanusiaan pada diri bangsa Amerika yang selama ini mungkin kita tidak pernah mengetahuinya. 

Sesungguhnya banyak lagi yang saya pelajari melalui kembara ke Amerika Syarikat ini. Mana-mana manfaat lain yang saya peroleh berkaitan pendidikan, akan saya utarakan secara khusus kepada Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad. Itulah juga antara objektif utama saya ke sana. Jika ada manfaat dari sudut dakwah pula, akan saya sesuaikan dengan penglibatan saya bersama Hidayah Centre Foundation. Namun jika ada pihak lain yang berminat untuk sama-sama mencedok segala manfaat ini, saya bersedia untuk berkongsikannya melalui program-program yang sesuai. 

Alhamdulillah, impian saya selama ini untuk menjejaki bumi Amerika Syarikat telah menjadi kenyataan. Sudah pasti ia adalah nikmat dan pemberian daripada Tuhan yang wajib saya syukuri. Kesibukan bandar Washington, D.C., kelembutan bayu pantai San Francisco, kedinginan hujan salji yang menusuk tulang di Salt Lake City dan kederasan larian kuda-kuda “Cowboy” di Dallas pastinya menjadi kenangan berharga yang tidak akan saya lupakan sepanjang hidup ini. 

Gambar 55: Hotel penginapan penulis dan rakan-rakan IVLP di Washington, D.C.

Gambar 56: Sayup-sayup kelihatan Washington Monument, salah satu mercu tanda di Washington, D.C.

Gambar 57: Aktiviti menonton teater bertajuk “Christmas Carol” bersempena perayaan Hari Natal yang bakal menjelang

Gambar 58: Rakan-rakan rakyat Malaysia membawa kami makan malam di Virginia

Gambar 59: Penulis bersama Ustaz Faisal Tan (kiri) yang merupakan Atase Pendidikan di Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat

Gambar 60: Menziarahi Islamic Center of Washington yang terletak di Massachusetts Avenue 

Gambar 61: Golden Gate Bridge, salah satu visata tumpuan pelancong di San Francisco

Gambar 62: Menyaksikan pokok-pokok tertua dan tertinggi di dunia di Muir Woods

Gambar 63: Pemandangan indah bandar San Francisco dari Twins Peak

Gambar 64: Solat Jumaat di Darussalam Mosque Islamic Society of San Francisco yang terletak di deretan kedai di Jones Street

Gambar 65: Beramah mesra dengan Mr. Steve Fisher dan isterinya di rumah mereka di luar San Francisco

Gambar 66: Bersama Ms. Jane Dewitt (Associate Dean of Academic Planning) di San Francisco State University

Gambar 67: Menara jam di dalam kawasan kampus University of California di Berkeley

Gambar 68: Memerhatikan kumpulan anjing laut yang singgah berehat di Fishermans Wharf

Gambar 69: Hujan salji turun dengan lebatnya pada hari keempat keberadaan kami di Salt Lake City, kali pertama dalam hidup penulis menyaksikan salji di hadapan mata!

Gambar 70: Temple Square pada waktu malam di Salt Lake City yang dihiasi lampu-lampu Krismas yang berwarna-warni

Gambar 71: Suasana pagi hujung minggu di Winter Market at Rio Grande

Gambar 72: Antara objek pameran di Natural History Museum of Utah yang mula dibuka pada 1963

Gambar 73: Park City di Utah, pusat peranginan bertaraf dunia dan pernah menjadi lokasi pertandingan Sukan Olimpik Musim Sejuk pada 2002 

Gambar 74: Aktiviti “Home Hospitality” di rumah pasangan Mr. Ken Ashcraft dan Ms. Danielle Turner yang tinggal di South Fairoaks Drive di Salt Lake City

Gambar 75: Menonton pertunjukan Mormon Tabernacle Choir “Music and the Spoken World” di Temple Square

Gambar 76: Melawat bangunan Family History Library di Salt Lake City

Gambar 77: Bersama komuniti Melayu Malaysia yang bermastautin di Dallas

Gambar 78: Tuan Abdul Rahman Saleh (tengah) membawa kami melawat bangunan sekolah Islam di Irving

Gambar 79: Suasana di dalam Dallas Farmers Market yang dibuka sejak tahun 1941

Gambar 80: Kemeriahan pada waktu malam di Gaylord Texan Resort menjelang Perayaan Hari Natal

Gambar 81: Fort Worth, bandar yang paling pantas berkembang di Amerika Syarikat dari segi jumlah penduduk (data U.S. Cencus Bureau) 

Gambar 82: Menonton pertunjukan di Texas Rodeo Cowboy di Fort Worth

Gambar 83: Penulis di sisi gambar Larry Hagman, salah seorang pelakon utama drama bersiri “Dallas” yang pernah disiarkan di televisyen pada 1978 hingga 1991

Gambar 84: Dari Dallas ke Kuala Lumpur, selamat tinggal dan semoga jumpa lagi Amerika Syarikat!