Friday, January 7, 2011

Katakan "Ya!" Pada Mujahadah

Oleh Wan Am

Saya masih ingat pada akhir tahun 2009, negara kita dikejutkan dengan satu statistik yang cukup menggerunkan. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada waktu itu telah melaporkan, terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga bulan Julai 2008.

Hal ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Lebih mengharukan lagi, menurut statistik pendaftaran kelahiran, kelahiran anak luar nikah dalam tempoh empat tahun sahaja (1999 hingga 2003) iaitu 30,978 daripada 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang Islam! Manakala Malaysiakini.com pada tahun lalu pernah melaporkan, mengikut statistik terbaru penghidap HIV/AIDS di Malaysia, seramai 72 peratus adalah dalam kalangan melayu Islam.

Saya rasa cukuplah sekadar itu saya kongsikan statistik-statistik yang sedemikian. Bukan itu hidangan utama saya dalam artikel kali ini. Saya kira dengan melayari internet, anda boleh sahaja mendapatkan maklumat-maklumat lain berkaitan gejala sosial dalam kalangan generasi muda hari ini jika anda berminat untuk lebih mendalaminya.

Hal yang lebih utama yang ingin saya bicarakan ialah mengenai "mujahadah". Apa itu mujahadah? Apa pula kaitannya dengan perkara yang saya lontarkan pada awal penulisan tadi? Hubungannya dengan ibadah pula bagaimana? Bagai aur dan tebingkah?

Mujahadah bererti berusaha bersungguh-sungguh melawan kehendak hawa nafsu. Istilah "mujahadah" berasal dari kata "al-jihad", iaitu berusaha dengan sepenuh kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar. Begitu juga di dalam kitab "Al-Asas fit Tafsir", Said Hawa pernah berkata, "Secara dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan hawa nafsu supaya ia mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara."

Manakala nafsu itu pula ialah tempat berkumpulnya kekuatan amarah dan syahwat (keinginan) dalam diri manusia. Di sinilah terkumpulnya sifat-sifat tercela dan sentiasa mendorong manusia untuk melakukan amal kejahatan. Dan daripada nafsu jugalah munculnya sifat-sifat mazmumah seperti takbur, dengki, marah, cintakan dunia, berbohong dan sebagainya. Hinggakan Imam al-Ghazali pernah mengatakan, nafsu ibarat kuda liar, yang mana jika tidak dididik maka kuda itu akan menjatuhkan orang yang menunggangnya. Sebaliknya jika kuda ini berjaya dijinakkan, dengan mudah ia dapat ditunggang dan akan mengikut sahaja ke mana arah tujuan. Pendek kata, nafsu adalah generator kejahatan dalam tubuh badan manusia.

Dalam al-Quran sendiri Allah telah membahagikan nafsu ini kepada tiga kategori. Pertama, nafsu mutmainnah, yakni hati yang tenang damai. Allah berfirman dalam surah al-Fajr ayat 27 hingga 30, "Wahai hati yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai. Masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku." Kedua, nafsu lawwamah, iaitu nafsu yang belum benar-benar stabil, yang mana amal kebaikan yang dilakukan belum terasa indah, namun apabila berbuat kejahatan timbul pula rasa kesal di hati. Allah menyebut tentang jenis nafsu ini dalam surah al-Qiyamah ayat 1 dan 2, "Aku bersumpah dengan hari kiamat dan aku bersumpah dengan jiwa lawwamah (yang amat menyesali dirinya sendiri)." Manakala yang ketiga, nafsu ammarah. Inilah tahap nafsu yang paling rendah martabatnya, yang mana hati dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah, dan seratus-peratus tunduk kepada kemahuan syaitan dan syahwat. Dalam hal ini Allah berkata dalam surah Yusuf ayat 55, "Dan aku tidak membebaskan diriku daripada kesalahan kerana sesungguhnya nafsu ammarah selalu menyuruh kepada kejahatan..."

Ingin ditekankan di sini juga bahawa terdapat tiga bahagian dalam penciptaan makhluk oleh Allah. Pertama, Dia menjadikan malaikat dengan hanya memiliki akal, tanpa diberikan nafsu. Kedua, Dia menjadikan haiwan yang memiliki nafsu, namun tidak dikurniakan akal. Manakala ketiga, manusia diciptakan Allah dengan dibekalkan akal dan nafsu. Bagi seorang manusia, jika akalnya dapat menundukkan nafsunya, maka dia adalah makhluk yang lebih baik dari malaikat. Namun, bagaimana pula jika akalnya ditumpaskan oleh nafsunya? Sudah tentu dia boleh diibaratkan lebih teruk daripada binatang!

Maka, bagaimana pula kaitannya antara nafsu dan ibadah? Ya, ibadah yang telah ditetapkan oleh agama sebenarnya mempunyai unsur-unsur mujahadah. Dr. Danial Zainal Abidin dalam bukunya "7 Formula Individu Cemerlang" berkata, solat yang khusyuk mampu membersihkan hati dan mencegah individu daripada perbuatan keji. Solat subuh membantu individu melawan nafsu tidur yang berlebihan. Puasa memberikan kekuatan pada individu mengawal nafsu makan, minum dan seks. Zakat pula membersihkan hati daripada penyakit tamak haloba. Manakala pencarian ilmu melemahkan nafsu yang sukakan kesenangan dan kerehatan. Maka, dengan kita bermujahadah melaksanakan ibadah-ibadah tersebut akan mendekatkan diri kita kepada takwa.

Dengan premis tersebut, saya ingin mengajak diri saya sendiri serta teman-teman segenerasi sekalian untuk kita sama-sama berusaha menjadikan program mujahadah, yakni melawan hawa nafsu ini sebagai agenda besar dalam hidup kita. Bahkan ia harus menjadi agenda utama kita dalam mengembalikan kekuatan ummah. Tamadun Islam akan gagal kita bangunkan jika nafsu ini terus bermaharajalela dalam diri umat Islam. Realiti masa kini yang saya kongsikan pada awal artikel ini, bahkan gejala negatif lain seperti rasuah, dadah, judi, gengsterisme dan lain-lain adalah natijahnya bila nafsu sudah tidak dapat dikekang lagi dalam diri umat kini.

Dan beruntunglah bagi mereka yang berusaha untuk menunaikan janji Allah berikut:

"Dan adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya." (An-Nazi'at : 40-41)

No comments:

Post a Comment