Oleh Wan Am
Tajuk artikel kali ini sememangnya mirip dengan tajuk lagu sebuah kumpulan alternatif dari seberang yang cukup popular lebih kurang sedekad yang lalu. Hm.. waktu itu muzik alternatif memang mendapat tempat di hati muda-mudi. Saya pun pernah terdedah kepada muzik tersebut (namun tidaklah sampai menjadi pengikutnya) lantaran dua tiga orang teman sebilik di bangku universiti dahulu meminati genre muzik sedemikian dan sering mengumandangkan lagu-lagu kumpulan tersebut di radio kongsi kami.
Apa pun, dengar khabar baru-baru ini salah seorang gitaris kumpulan tersebut telah pun berubah menjadi insan yang lebih akrab dengan amalan Islam, malah turut sama mengajak orang lain kepada perkara kebaikan. Alhamdulillah.
Baiklah, pada kesempatan ini saya ingin melayarkan sebuah kisah, yang sebenarnya ada kaitannya dengan artikel saya yang lalu mengenai zina. Kisah ini saya petik dari kitab 'Tanbihul Ghafilin'. Namun sebelum mempersembahkannya saya cenderung untuk berkongsikan firman Allah berikut:
"(Bujukan orang-orang munafik itu adalah) seperti (bujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: "Kafirlah kamu", maka tatkala manusia itu telah kafir ia berkata: "Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan semesta alam". Maka adalah kesudahan keduanya, bahawa sesungguhnya keduanya (masuk) ke dalam neraka, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan orang-orang yang zalim." (al-Hasyr : 16-17)
Maka tersebutlah kisah...
Diceritakan dalam salah satu riwayat bahawa pada zaman Bani Israil, hidup seorang ahli ibadah bernama Birshish. Beliau sangat tekun beribadah, sering berada di tempat ibadahnya, dan doanya mustajab. Sehingga ramai orang yang datang kepada beliau agar dapat mendoakan penyakit mereka supaya sembuh.
Melihatkan keadaan ini, Iblis lantas memanggil syaitan-syaitan dan berkata, "Siapakah di antara kamu yang mampu menggoda orang ini?" Salah satu syaitan yang bernama Ifrit berkata, "Aku yang akan menggodanya, bila aku tidak berjaya menggodanya maka janganlah kamu menghormati aku juga." Iblis lalu berkata, "Pergilah sekarang juga."
Maka syaitan itu pun pergi ke rumah salah seorang raja Bani Israil yang memiliki puteri yang sangat cantik. Pada suatu ketika, iaitu ketika puteri raja tersebut sedang duduk bersama ibu, ayah dan saudara-saudaranya, tiba-tiba dia berubah menjadi seperti orang gila. Beberapa hari pun berlalu, namun puteri raja itu tidak juga sembuh. Lalu syaitan tersebut yang menyamar sebagai manusia pun mendatangi rumah raja tersebut lalu berkata, "Jika kamu mahu menyembuhkan anakmu yang sedang sakit hilang ingatan itu, maka kamu hantarlah dia kepada pendita Birshish supaya dia dapat mendoakan kesembuhan anak gadismu itu."
Kemudian raja itu pun menghantar puterinya kepada Birshish, dan setelah didoakan oleh beliau, maka puteri tersebut pun sembuh seperti sedia kala. Namun sebaik sahaja pulang ke istana, penyakit itu pun menyerang lagi. Lalu syaitan datang kembali kepada raja tersebut dan berkata, "Jika kamu hendakkan anak kamu benar-benar sembuh, maka biarkanlah dia menginap di rumah pendita Birshish untuk beberapa hari." Kemudian raja pun menghantar anaknya kepada Birshish, namun permintaannya ditolak oleh Birshish. Namun, akibat paksaan raja tersebut, Birshish terpaksa menerimanya. Maka bermulalah pula misi syaitan untuk menggoda Birshish dengan puteri raja tersebut.
Pada suatu hari, ketika Birshish sedang duduk untuk makan, syaitan pun membuka aurat puteri raja, dan terpandanglah Birshish akan keadaan tersebut, lantas terpegun dengan kecantikan puteri raja itu. Hari-hari yang berikutnya Birshish teringat-ingat akan kecantikan puteri raja tersebut sehinggalah beliau tergerak hati untuk berbuat maksiat dengannya. Akhirnya Birshish jatuh ke dalam perangkap syaitan lantas berzina sehingga puteri raja itu hamil.
Kemudian syaitan pun berbisik ke hati Birshish, "Kamu sudah menyebabkan gadis ini hamil. Kamu pasti tidak akan terlepas daripada hukuman raja, melainkan kamu membunuh gadis ini dan menguburkannya di bawah tempat ibadahmu. Jika keluarga raja itu bertanyakanmu tentang gadis ini, kamu katakanlah bahawa gadis itu telah mati. Tentu mereka percaya." Lalu Birshish pun membunuh puteri raja itu dan melakukan seperti yang dinasihatkan oleh syaitan tadi. Kemudian keluarga raja pun menanyakan keadaan puteri raja tersebut kepada Birshish, dan beliau menjawab bahawa puteri raja itu sudah mati. Keluarga raja mempercayai kata-kata Birshish (Dalam riwayat yang lain disebutkan bahawa Birshish memberitahu kepada mereka bahawa puteri raja itu telah sembuh dan pulang sendiri ke istana. Namun apabila keluarga raja pulang, mereka dapati puteri raja tiada di sana lantas mencarinya di merata tempat).
Kemudian syaitan pun memberitahu kepada mereka bahawa puteri raja itu telah diperkosa oleh Birshish lalu hamil, dan kerana takut dihukum oleh raja, Birshish telah membunuh puteri raja tersebut dan menguburkannya di tempat ibadah beliau. Maka sang raja pun mengerahkan orang-orangnya ke rumah Birshish dan menggali tempat yang dimaksudkan, dan ditemui mayat puteri tersebut yang telah dibunuh oleh Birshish. Birshish terus ditangkap dan digantung oleh orang-orang raja tersebut.
Pada saat itu syaitan pun datang kepada Birshish dan berkata kepadanya, "Akulah yang menjadi dalang kepada semua ini, dan aku masih boleh menyelamatkan kamu, iaitu dengan memberitahu kepada mereka dan mereka pasti percaya kepadaku. Namun ada satu syarat yang harus kamu penuhi, iaitu kamu sujud kepadaku sekali sahaja." Birshish lantas bertanya, "Bagaimana aku boleh sujud kepada engkau dalam keadaan begini?" Syaitan pun menjawab, "Cukuplah hanya dengan mengganggukkan kepala kamu." Birshish pun mengganggukkan kepalanya tanda sujud kepada syaitan. Maka berjayalah misi syaitan untuk menyesatkan Birshish, dan Birshish mati dalam kehinaan.
Berfikir dan berzikirlah. Semoga kisah klasik ini ada pengiktibarannya buat generasi kini dan masa depan.
memngingatkan kembali ttg sejarah dahulu kala...semoga kita dpt ambil ikhtibar dlm melalui kehidupan sbg seOrg insan...
ReplyDelete