Oleh Wan Am
Seperti yang saya nukilkan dalam artikel sebelum ini, generasi muda adalah suatu golongan yang mempunyai kekuatan yang pelbagai, semangatnya sentiasa membara, dan idealismenya sarat dengan cita-cita. Justeru, mereka harus menyedari bahawa pada tahap usia yang sedang dialami, ia adalah detik terbaik untuk mereka menyediakan diri lantas mendekatkan diri kepada Allah dengan beribadah kepada-Nya.
Oleh sebab itulah mana-mana masyarakat pun, hatta seseorang pemimpin yang berpengaruh turut memandang tinggi serta bergantung harapan yang menggunung terhadap generasi muda. Saya kira dalam kalangan anda pasti ada yang pernah mendengar ungkapan keramat berikut oleh Presiden pertama Indonesia, Sukarno, "Berikanku sepuluh orang pemuda, maka akanku goncang dunia..."
Persoalannya, wujudkah sepuluh orang pemuda seperti yang diidamkan oleh Sukarno pada era ini? Bagaimana pula ciri-ciri pemuda yang dikehendaki oleh Sukarno tersebut? Saya kira pastinya tidak cukup dengan kriteria umum pemuda yang saya sebutkan sebelum ini, kerana ia berkait dengan keinginan untuk menggoncang dunia. Di sana pasti ada nilai-nilai tambah yang diperlukan.
Namun, kita percaya pemuda-pemuda sedemikian pernah wujud. Dalam hal ini saya cenderung untuk menyingkap di sebalik tabir sirah, yang mana dengan bersumberkan al-Quran, kita dapati bahawa pendukung, pemikul dan pelopor risalah Ilahi adalah terdiri daripada golongan pemuda.
Berhubung hal ini, saya ingin memetik beberapa ayat al-Quran yang bersangkutan, yang saya mulakan dengan kisah pemuda Ashabul Kahfi (penghuni gua):
"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan buat mereka dengan hidayah petunjuk." (Al-Kahfi : 13)
Al-Kitab turut menceritakan tentang kisah seorang pemuda bernama Ibrahim:
"(Setengah dari) mereka berkata: Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya." (Al-Anbiya’ : 60)
Dalam ayat yang lain, kisah seorang pemuda bernama Ismail yang sanggup berkorban turut dirakamkan Allah dalam kitab yang mulia:
"Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayahku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, dengan izin Allah, ayah akan mendapati aku daripada orang-orang yang sabar." (Al-Saaffaat : 102)
Satu lagi kisah yang turut menarik perhatian adalah keteguhan iman seorang pemuda bernama Yusuf dalam menongkah godaan yang menduga:
"...wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya..." (Yusuf : 33)
Saya berharap anda semua dapat mencari rujukan tambahan yang bersesuaian mengenai ayat-ayat yang telah saya kongsikan tadi. Saya akui saya bukanlah orang yang terbaik untuk menghuraikannya dengan panjang lebar.
Namun, saya kira anda pasti bersetuju bahawa daripada perkongsian ayat-ayat tersebutlah kita telah memperoleh contoh para pemuda hebat yang pernah lahir dalam sejarah manusia. Pemuda yang tidak henti-henti bermujahadah dan bermuraqabah terhadap Tuhannya. Dan mereka jualah yang akhirnya membawa perubahan kepada kaum mereka. Maka, tidak hairanlah mereka adalah golongan yang mendapat bantuan Allah, lantaran kegigihan dan keikhlasan mereka untuk membuahkan syiar-Nya dalam kehidupan.
Itu belum saya kisahkan lagi mengenai generasi zaman Nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam, yang mana kita dapati bahawa semua orang mukmin pada awal Islam adalah pemuda. Rasulullah sendiri berusia 40 tahun ketika diutus menjadi utusan-Nya. Abu Bakar pula tiga tahun lebih muda daripada baginda. Sementara Umar lebih muda daripada mereka berdua. Begitu juga Usman, serta Ali yang masih dalam usia kanak-kanak sewaktu melafazkan syahadah. Demikian juga Abdullah bin Mas'ud, Abdul Rahman bin Auf, al-Arqam bin Abi Arqam, Said bin Zaid, Bilal bin Rabah, Ammar bin Yasir dan lain-lain. Mereka semua adalah dalam kategori pemuda.
Justeru, optimiskah anda, bahawa pemuda sedemikian akan lahir lagi dalam kalangan generasi muda hari ini? Mungkin telah ada, dan sedang digilap kemilaunya.
Pilihan kitalah yang menentukan...
No comments:
Post a Comment