Oleh Wan Am
Ingat lagikah anda, dalam artikel terdahulu saya ada berkongsi bahawa, oleh kerana manusia dicipta untuk beribadah kepada Allah, maka sudah tentu dalam Islam, seluruh kegiatan manusia adalah ibadah kepada Allah. Asalkan ia diniatkan untuk Allah, maka segala-galanya menjadi ibadah. Berhubung perkara tersebut, suatu hal yang ingin saya ketengahkan dalam artikel kali ini adalah mengenai "niat".
Kepentingan persoalan niat ini usah kita pertikaikan. Daripada petikan ayat di atas sahaja sudah boleh menggambarkan betapa mustahaknya niat dalam kehidupan kita seharian.
Sebelum saya pergi jauh, saya berhasrat untuk mengaitkan topik ini dengan hadis masyhur daripada Umar r.a., yang mana beliau mendengar Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berkata, "Sesungguhnya setiap amal disertai niat dan sesungguhnya bagi setiap insan apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehnya ataupun untuk seorang wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya kepada sesuatu yang dimaksudkan dalam hijrahnya itu." (Muttafaq `Alaih)
Hadis ini sebenarnya mengisahkan tentang peristiwa umat Islam yang berhijrah dari Makkah ke Madinah pada zaman Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, yang mana melibatkan salah seorang sahabat yang berhijrah semata-mata kerana keinginannya untuk mengahwini seorang wanita bernama Ummu Qais. Rasulullah lantas memberikan peringatan sebagaimana yang terkandung dalam hadis di atas setelah mengetahui maksud lelaki berkenaan.
Teguran dan peringatan ar-Rasul pada ketika itu adalah kerana pada saat-saat yang genting itu, baginda dan sahabat-sahabat yang lain menyandarkan tujuan penghijrahan mereka dari kampung halaman yang tercinta di Makkah ke Madinah itu semata-mata hanya kerana Allah. Dengan kata lain, penghijrahan bagi kepentingan, penyebaran dan kedaulatan agama Islam. Maka, oleh sebab niatnya itu, tiadalah yang diperoleh oleh lelaki berkenaan kecuali apa yang dihajatinya.
Di sinilah diperlihatkan betapa niat menjadi paksi dalam menentukan kedudukan amalan atau perbuatan seseorang. Bahkan, niat turut menjadi syarat bagi penerimaan sesuatu amalan atau ibadah yang dilaksanakan oleh seseorang hamba.
Setiap amal kebaikan sewajarnya diiringkan dengan niat yang baik. Bagi amalan yang baik, tetapi dijalankan tidak mengikut aturan syarak pula, contohnya pemerolehan sumber pendapatan atau kekayaan yang didapati melalui cara penipuan, penindasan, kezaliman dan penganiayaan terhadap orang lain, tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat, walaupun disertakan dengan niat yang baik. Begitu juga suatu amalan baik yang diniatkan kerana selain Allah, juga tidak akan memberikan faedah kepada pelakunya.
Ulama juga ada berkata, suatu amalan kecil boleh menjadi besar disebabkan niat, dan begitu juga sebaliknya, amalan yang besar boleh menjadi kecil juga kerana niat. Dan sesuatu amalan akan dibalas berpandukan niat si pembuatnya.
Oleh itu, laksanakanlah segala amal perbuatan hanya untuk mendapat keredaan Allah. Cubalah atasi segala perasaan yang boleh menjejaskan niat baik kita, contohnya hendak menjadi insan popular, ingin mendapat pengikut, ingin mengisi waktu lapang, ingin dipuji oleh orang lain, apa lagi ingin mendapat habuan dan ganjaran wang! Lekas-lekaslah beristighfar jika timbul niat sedemikian.
Namun, wujud juga persoalan, bagaimana jika masih belum wujud niat yang ikhlas sewaktu ingin menunaikan suatu amalan? Perlukah amal itu ditangguhkan? Contohnya selepas solat fardu berjemaah, kita hendak melaksanakan solat sunat rawatib. Namun timbul kebimbangan, takut-takut timbul pula perasaan riak.
Jika berkeadaan begitu, jangan pula berhenti beramal. Walaupun berasa niat belum ikhlas, teruskan sahaja beramal sambil berusaha untuk meluruskan niat. Sedarlah, itu adalah godaan syaitan. Teruskan dan teruskan, serta iringkan doa semoga Allah membantu usaha kita dalam mengikhlaskan niat dalam apa jua amalan yang kita kerjakan.
Apa yang penting? Kerjasama! Eh, bukanlah. Apa yang penting ialah amal yang baik harus bermula dengan niat baik, dilakukan pula dengan cara yang baik. Itulah yang sewajarnya.
No comments:
Post a Comment