Oleh Wan Am
Zaman yang kita hidup sekarang adalah zaman yang memperlihatkan begitu galaknya percampuran di antara lelaki dan wanita. Di sekolah, di universiti dan di tempat kerja, percampuran sedemikian sudah menjadi kelaziman. Bila sudah bercampur, perhubungan dan pergaulan di antara mereka sudah pasti tidak dapat dielakkan. Tambah lagi dengan kecanggihan teknologi komunikasi dan media sosial masa kini seperti Yahoo Messenger, SMS, e-mail dan facebook, menyebabkan yang jauh semakin dekat, dan yang dekat semakin mesra. Kita sendiri pun tidak tertinggal untuk memiliki sarana-sarana media kontemporari yang saya sebutkan tadi.
Antara isu hangat yang sedang dibincangkan kini, samada melalui platform ilmiah mahupun sembang warung kopi ialah isu pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita, terutamanya dalam kalangan remaja. Rumusan daripada perbincangan sedemikian pula cukup mudah, yang mana tiada apa-apa yang bermanfaat daripada pergaulan bebas ini melainkan yang buruk-buruk belaka. Lebih parah, pergaulan bebas menjadi antara penaja terbesar yang membawa manusia ke lembah perzinaan, yang akhirnya membawa pula kepada maksiat dan jenayah yang lain seperti pembuangan bayi, penderaan dan sebagainya.
Saya hendak kaitkan sedikit dengan isu semasa. Baru-baru ini RapidKL melancarkan bas khas untuk wanita, menuruti derap langkah Keretapi Tanah Melayu yang sebelum itu telah juga mewujudkan coach khas untuk wanita. Dengan kelahiran perkhidmatan sebegini, yang mana tiadanya percampuran antara lelaki dan wanita, ada pihak yang berharap isu gangguan seksual yang dihadapi oleh penumpang wanita akan dapat diatasi. Namun ada juga yang beranggapan, langkah mengasingkan golongan wanita dan lelaki hanyalah penyelesaian bersifat sementara dan tidak semestinya dapat membendung masalah gangguan seksual. Hal ini kerana tindakan tersebut langsung tidak dapat mendidik masyarakat menghargai serta menghormati kaum wanita.
Maka, apakah solusi terbaik untuk menangani isu percampuran antara lelaki dan wanita, lebih-lebih lagi pergaulan bebas ini?
Islam ada mendiskusikan hal-hal mengenai ikhtilat. Tahu tak apa itu ikhtilat? Secara umumnya, ikhtilat ialah suatu bentuk pergaulan secara bebas yang melibatkan lelaki dan perempuan yang ajnabi (boleh dikahwini). Pergaulan sebegini sememangnya ditegah oleh Islam dan merupakan suatu ciri pergaulan masyarakat jahiliah dan juga berasaskan kepada nilai dan sistem hidup jahiliah.
Seperti yang saya katakan pada awal artikel ini, muamalah di antara lelaki dan wanita memang tidak dapat dihindarkan pada zaman ini. Keadaan tersebut sebenarnya adalah sesuatu yang fitrah dan berlaku sejak dahulu lagi, malah al-Quran telah turut memberikan penegasan dalam hal perhubungan antara lelaki dan wanita, iaitu hubungan hanyalah dalam konteks dakwah dan beribadah kepada Allah. Dalam al-Quran Allah berfirman:
"Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (at-Taubah : 71)
Namun setiap sesuatu perbuatan ada batasnya. Begitu jugalah dalam hal pergaulan antara lelaki dan wanita. Islam yang merupakan rahmat buat sekalian alam, telah menetapkan garis panduan terhadap umatnya dalam hal perhubungan silang jantina ini. Jika seseorang Muslim menepati garis panduan ini, ia akan memastikan segala muamalahnya dengan yang bukan mahramnya tidak terkeluar dari landasan syarak.
Nabi Muhammad s.a.w. sendiri amat mengambil berat mengenai persoalan pergaulan di antara lelaki dan wanita pada zaman baginda. Hal ini boleh kita rujuk dalam hadis daripada Abi Usaid al-Ansori daripada ayahnya: Bahawa dia (iaitu ayah Abi Usaid al-Ansori) telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, di mana ketika itu Rasulullah s.a.w. berada di luar masjid, dan berlaku ikhtilat dalam kalangan lelaki dan perempuan (di mana Rasulullah s.a.w. melihat ikhtilat tersebut): "Kebelakanglah kamu,sesungguhnya kamu tidak boleh berada di tengah jalan, kamu mestilah berjalan di tepi jalan." (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)
Apakah garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam berhubung hal pergaulan antara lelaki dan wanita ini? Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya "Al-Fatawa Al-Mu’asoroh" telah menjelaskan dhowabit atau garis panduan dalam pergaulan di antara lelaki dan wanita. Antaranya:
1. Kedua-dua belah pihak hendaklah sentiasa menundukkan pandangan, tidak memandang aurat dan dengan perasaan syahwat. Firman Allah:
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka." (an-Nur : 30-31)
2. Perempuan muslimah mestilah sentiasa memakai pakaian yang telah ditetapkan oleh syarak yang menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Juga tidak terlalu nipis dan tidak mengikut bentuk badan. Dalam hal ini Allah menegaskan:
"Dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya." (an-Nur : 31)
3. Sentiasa menjaga adab muslimah, terutama ketika berinteraksi dengan lelaki dari segi percakapan, cara berjalan dan pergerakan. Antara dalil-dalilnya:
"Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti perempuan yang lain kalau kamu bertakwa. Maka janganlah kamu berbicara dengan lembut manja kerana boleh menimbulkan keinginan orang yang di dalam hatinya ada penyakit; dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik, sesuai dan sopan." (al-Ahzab : 32)
"Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka." (an-Nur : 31)
"Dua golongan yang termasuk dari kalangan ahli neraka.. perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang-lengguk dan sanggul rambutnya (ataupun sebarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini." (Hadis riwayat Muslim)
4. Hendaklah menjauhi perkara-perkara yang boleh merangsangkan syahwat seperti bau-bauan, minyak wangi, warna-warna yang menarik yang sepatutnya hanya dipakai di rumah, bukan di jalanan untuk bertemu dengan lelaki.
5. Sentiasa berwaspada, agar lelaki dan wanita tidak berdua-duaan tanpa mahram.
"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka jangan sekali-kali dia bersendirian dengan seorang perempuan yang tidak bersama mahramnya, kerana yang ketiganya ialah syaitan." (Hadis riwayat Ahmad)
6. Pertemuan itu mestilah berdasarkan keperluan atas urusan kerja tanpa melampaui sehingga menyebabkan wanita itu lalai dalam menguruskan rumahtangga dan mendidik generasi.
Justeru, ambil pusinglah kita mengenai hal-hal ikhtilat ini. Sudah nyata pergaulan dan percampuran yang tidak dibatasi syariat boleh menyebabkan manusia yang serba lemah melakukan dosa yang lebih besar. Jangan lupa pula kepada syaitan yang takkan henti-henti mencari ruang untuk memancarkan laser-laser tipu dayanya, agar kelak kita tergolong bersama-samanya dalam api neraka.
No comments:
Post a Comment