Wednesday, September 28, 2011

Hakikat Taubat

Oleh Wan Am


Kehidupan di dunia sememangnya penuh dengan ujian dan cabaran. Bagi mereka yang beriman, langkah demi langkah dihayun dengan penuh kewaspadaan agar tetap dalam ketaatan. Manakala bagi mereka yang lalai, hasutan syaitan lebih gemar dituruti, lantas menyebabkan diri lena diulit kemaksiatan.

Pun begitu, selagi makhluk itu bernama manusia, ia pasti tidak akan terlepas daripada kesilapan dan keterlanjuran. Dalam menempuh hidup ini, pasti ada saja dosa-dosa yang dilakukan sehari-hari. Jika tiada cetusan keinsafan dalam diri, tunggu sajalah balasan seperti yang dijanjikan Ilahi.

Namun bagi mereka yang mahu pulang ke pangkuan Tuhan, masih ada waktu untuk mereka memperbaiki diri. Dosa kecil, antara lain boleh dihapuskan dengan cara beristighfar dan berterusan melakukan amal kebaikan. Manakala bagi dosa besar, ia harus dicuci dengan samudera taubat, tulus merintih keampunan daripada-Nya.

Firman Allah:

“Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kebodohan, kemudian mereka bertaubat dengen segera, maka taubat mereka itulah yang diterima oleh Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (an-Nisa’ : 17)

Artikel ini berhasrat untuk mengajak kita sama-sama mengenal dan menghayati hakikat taubat.

Apa itu taubat? Menurut Dr. Shaleh Ghanim Assadlani dalam bukunya “Wajibut Taubat Ila Allah”, perkataan taubat berasal dari kata akar “tawaba” yang bererti kembali. Seseorang dikatakan kembali atau bertaubat apabila dia menjauhi semua perbuatan dosa. Maka erti taubat ialah kembali kepada Allah dengan melepaskan seluruh hubungan hati dengan dosa, kemudian kembali mengerjakan kewajipannya kepada Allah.

Taubat di segi syarak pula bermaksud meninggalkan seluruh perbuatan dosa dan menyesali semua kemaksiatan yang telah dikerjakannya kerana Allah. Kemudian berusaha untuk tidak mengulanginya bila dan di mana saja walaupun dia mampu dan tahu akan kemungkinan untuk mengulanginya.

Allah berfirman:

“Sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dia Kehendaki dan memberi petunjuk orang yang bertaubat kepada-Nya.” (ar-Ra’d : 27)

Mengenai hakikat taubat, Muhammad isa Selamat dalam bukunya “Taubat – Amalan & penghayatannya” telah menyatakan, “Taubat adalah perasaan hati kecil yang merupakan penyesalan atas segala yang telah terjadi, kemudian mengharap ampunan daripada Allah dengan menjauhi segala perbuatan dosa, dan selalu berbuat kebaikan. Dengan perbuatan baik inilah, taubat seseorang dan seluruh ketaatannya akan diterima oleh Allah. Barangsiapa yang bertaubat hanya sekadar mengisi kekosongan dan tidak mengerjakan apa-apa yang dicintai oleh Allah, maka dia tidak dikatakan bertaubat, kecuali kalau dia benar-benar kembali kepada Allah dan berusaha melepaskan kaitan hati dari mengulangi perbuatan dosa serta menetapkan makna taubat di dalamnya sebelum mengucapkannya secara lisan, dan membuktikan dengan kesungguhan taubatnya dengan menjauhi segala yang dibenci Allah serta kembali kepada yang dicintai dan diredai-Nya.”

Daripada kata-kata tersebut, dapat disimpulkan bahawa sesuatu taubat itu sebenarnya mempunyai syarat-syarat khusus yang akan menentukan sama ada ia akan diterima atau tidak oleh Allah. Syarat-syarat taubat meliputi:

1. Ikhlas ingin bertaubat

Apa saja amalan, walaupun caranya benar di sisi syariat namun bukan kerana Allah, amalan itu tetap tertolak. Begitu jugalah dengan taubat, Allah tidak akan menerima taubat seseorang melainkan ia dilakukan dengan rasa ikhlas hanya kerana Allah semata-mata, bukan kerana manusia atau dunia.

2. Meninggalkan segala dosa

Ia bermaksud meninggalkan segala bentuk maksiat sama ada pernah atau tidak pernah dilakukannya. Hendaklah dia berusaha bersungguh-sungguh untuk menghilangkan akar-akar kemaksiatan yang ada dalam hatinya agar kembali bersih dan suci, meninggalkan segala larangan Allah dan melaksanakan apa-apa yang diwajibkan ke atas dirinya.

3. Menyesal atas dosa yang dilakukan

Orang yang bertaubat hendaklah benar-benar menyesal atas segala kejahatan yang pernah dilakukannya pada masa lampau. Dia merasa sedih di hadapan Allah atas dosa-dosanya dan mengakui bahawa kelakuannya itu adalah perbuatan yang salah di sisi agama.

4. Tidak mengulangi lagi perbuatan maksiat

Orang yang bertaubat hendaklah bertekad untuk tidak lagi mengulangi segala perbuatan maksiat pada masa hadapan. Sesungguhnya taubat yang diselangi dengan pengulangan perbuatan dosa adalah taubat golongan pendusta yang Allah tidak akan ampuni dan memasukkannya ke dalam syurga.

5. Dikerjakan sebelum ajal tiba

Sesuatu taubat itu akan diterima Allah apabila ia dikerjakan sebelum waktu ajalnya, juga sebelum tiba Hari Kiamat. Bila sahaja Malaikat maut telah datang menjemput, maka taubat pada waktu itu sudah tidak berguna lagi.

“Dan tidaklah taubat orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu diterima oleh Allah hingga apabila ajal datang kepada seseorang di antara mereka, barulah mereka mengatakan: ‘Sesungguhnya saya bertaubat sekarang.’ Dan tidak pula taubat orang-orang yang mati dalam kekafiran diterima-Nya. bagi mereka telah Kami sediakan seksa yang pedih.” (an-Nisa’ : 18)

Orang-orang yang bertaubat akan beroleh keutamaan yang besar di sisi Allah. Memandangkan taubat adalah salah satu amalan yang paling utama, maka Allah telah menjanjikan kejayaan kepada mereka yang bertaubat.

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (an-Nur : 31)

Orang-orang yang bertaubat juga akan diampuni oleh Allah walaupun dia telah banyak melakukan dosa, hatta sebanyak buih di laut sekalipun. Hal ini bertepatan dengan firman Allah:

“Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menyesatkan dirinya sendiri, kemudian ingat akan Allah dan memohon ampun atas dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah. Dan mereka tidak meneruskanperbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui.” (Ali Imran : 136)

Selain itu, pintu rahmat Allah akan sentiasa terbuka kepada hamba-hamba-Nya yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat, sehinggakan tidak ada apa-apa hijab (penghalang) antara mereka dengan Tuhannya. Dalam al-Quran Allah berfirman:

“Kecuali bagi siapa saja yang bertaubat, beriman dan beramal salih, nescaya mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan tidak disesatkan sedikit jua pun. Iaitu syurga Adn yang telah dijanjikan oleh Tuhan Yang Maha Pemurah kepada hamba-hamba-Nya sekalipun syurga itu tidak nampak, sesungguhnya janji Allah itu pasti akan ditepati.” (Maryam : 60-61)

Malah, dalam taubat terkandung kemuliaan, iaitu selain keampunan, Allah turut mengirimkan bersamanya rezeki yang melimpah-ruah serta zuriat keturunan yang baik-baik. Firman Allah yang bermaksud:

“Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya dia akan mengirimkan kepadamu hujan yang lebat. Dan melimpahkan kepadamu harta dan keturunan, menyediakan untukmu kebun-kebun dan sungai-sungai.” (Nuh : 10-12)

Justeru, bagi kita yang tidak pernah bertaubat, berbuatlah demikian selagi nyawa dikandung badan. Bagi yang jarang bertaubat pula, perhebatkanlah taubat kita kepada Allah. Ingatlah, Rasulullah s.a.w. sendiri pun masih tetap memperbaharui taubat baginda pada setiap saat dan ketika walaupun baginda bersifat maksum dan telah dijamin syurga oleh Allah.

Kembalilah kita ke jalan kebenaran, moga-moga kita dapat mengecapi kehidupan di dunia dan akhirat dengan penuh kebahagiaan.

Monday, September 19, 2011

Dahsyatnya Seksa Neraka

Oleh Wan Am


Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, antara punca utama manusia begitu mudah terjebak dengan perbuatan dosa adalah kerana kejahilan tentang sesuatu akibat lantaran perbuatan dosa yang dilakukan. Kejahilan mengenai akibat dosa ini jugalah yang menyebabkan ada insan berterusan melakukan maksiat tanpa rasa bersalah sedikit pun. Selagi karat kejahilan itu tidak dihilangkan dengan pengetahuan dan pendidikan, maka seseorang pelaku maksiat itu akan terus obses melayani kehendak hawa nafsu dan syaitan tanpa menyedari tindakannya itu boleh menyerkapnya ke lembah kehancuran.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan (ingatlah kisah) Lut, ketika dia berkata kepada kaumnya: ‘Mengapa kamu mengerjakan perbuatan fahisyah (keji), padahal kamu melihatnya (kekejian perbuatan maksiat itu)? Mengapa kamu mendatangi laki-laki untuk (memenuhi) syahwat(mu), bukan (mendatangi) perempuan? Sungguh, kamu adalah kaum yang tidak mengetahui (akibat perbuatanmu).’” (an-Naml : 54-55)

Allah telah berjanji bahawa para pelaku maksiat dan dosa, tempat mereka di akhirat kelak adalah di neraka. Bagi syaitan, Iblis dan orang-orang kafir, ia akan berada di neraka buat selama-lamanya. Namun, bagi orang Islam yang berdosa (tetapi tidak mensyirikkan Allah), mereka akan tetap diseksa di neraka, namun akhirnya akan turut menempuh alam syurga.

Antara janji Allah dalam al-Quran mengenai seksa neraka yang akan dihadapi oleh para pelaku dosa adalah seperti berikut (yang bermaksud):

“Maka takutlah kamu kepada neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu. Neraka itu disediakan bagi mereka yang kafir.” (al-Baqarah : 24)

“Barangsiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya dan melampaui batas larangannya, dimasukkan ke dalam neraka, kekal di dalamnya. Dia menderita seksa yang hina dina.” (an-Nisa’ : 14)

“Allah telah menyediakan untuk mereka yang munafik laki-laki mahupun perempuan dan orang kafir itu neraka Jahannam. Mereka itu kekal di dalamnya. Allah melaknati mereka itu dan untuk mereka itu azab yang kekal.” (at-Taubah : 68)

Neraka dalam bahasa arab disebut “an-Naar” yang bermaksud api. Neraka juga dinamakan an-Naar kerana penghuni neraka disediakan bagi mereka tempat tinggal yang dibuat daripada api, pakaian daripada api dan mereka pun diseksa dengan api. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:

“Maka Kami memperingatkan kamu dengan neraka yang menyala-nyala, tidak ada yang masuk ke dalamnya melainkan orang yang paling celaka.” (al-Lail :14-15)

Api neraka adalah api yang maha panas. Panasnya api neraka berjuta kali ganda melebihi kepanasan api yang ada di dunia ini. Malah, bumi ini pasti hancur berkecai jika api neraka yang hanya sebesar zarah jatuh ke atasnya.

Ada sebuah hadis daripada Ibnu Mas’ud r.a. berkata, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Adapun panas api yang kamu nyalakan di dunia ini (termasuk matahari) hanya sepertujuh puluh daripada panasnya api neraka di akhirat. Kalau sedikit sahaja jatuh ke atas dunia, nescaya mendidih air laut kerana panasnya.” (Riwayat Muslim)

Melalui petunjuk hadis, diketahui bahawa neraka itu terdiri daripada tujuh pintu, yang juga bererti tujuh tingkat. Nama-nama tingkat neraka itu pula menurut al-Quran adalah:

1. Neraka Jahannam

“Katakanlah kepada orang kafir itu: ‘Nanti kamu dikalahkan oleh orang Islam, dan dihimpunkan kamu ke dalam beraka Jahannam. Di sanalah tempat yang seburuk-buruknya.” (Ali Imran : 12)

2. Neraka Luza

“Sebab itu Kami beri khabar pertakut kamu dengan neraka Luza (neraka yang menyala-nyala). Tiada yang masuk ke dalamnya selain orang yang celaka. Iaitu orang yang mendustakan agama dan berpaling daripadanya.” (al-Lail : 14-16)

3. Neraka Hathamah

“Sebenarnya dia akan dilemparkan ke dalam neraka Hathamah. Tahukah engkau apakah Hathamah itu? Iaitu api neraka yang bernyala-nyala. Yang membakar hati manusia. Api yang ditutupkan kepada mereka. Sedangkan mereka itu diikatkan kepada tiang yang panjang.” (al-Humazah : 4-9)

4. Neraka Sair

“Bahawasanya orang-orang yang memakan harta anak yatim dengan aniaya, sesungguhnya mereka memakan api sepenuh perutnya. Dan nanti mereka akan dimasukkan ke dalam neraka Sair.” (an-Nisa’ : 10)

5. Neraka Saqru

“Di dalam syurga mereka saling bertanya dari hal orang berdosa. Apakah sebabnya kamu masuk neraka Saqru. jawabnya: Kerana kami tidak sembahyang, tidak memberi makan orang miskin, kami percaya kepada yang bukan-bukan. Kami mendustakan hari kiamat.” (al-Mudasir : 40-46)

6. Neraka Jahim

“Ambillah orang-orang yang berdosa itu, dan bawalah ke dalam neraka Jahim. Sesudah itu tumpahkan ke kepalanya air panas untuk menyeksanya. Rasailah seksaan itu, sesungguhnya dahulu orang yang gagah lagi mulia. Inilah seksa yang kamu ragu-ragukan di masa dahulu itu.” (ad-Dukhan : 47-50)

7. Neraka Hawiyah

“Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, maka dia dilemparkan ke neraka Hawiyah. Tahukah engkau apakah neraka Hawiyah itu? Iaitu api yang sangat panas.” (al-Qari’ah : 8-11)

Sesungguhnya neraka itu dimasuki dengan dua cara; pertama, dihalau dan dilemparkan masuk ke neraka. Cara ini digunakan kepada mereka yang kafir, munafik dan iblis. Manakala cara kedua ialah dengan meniti Titian Shirathal-Mustaqim. Cara ini akan dilalui oleh umat bertauhid, umat Nabi Muhammad s.a.w., dan umat nabi-nabi yang terdahulu, baik mereka yang beramal salih mahupun mereka yang derhaka. Bagi mereka yang akan masuk syurga, mereka akan selamat melalui titian ini. Namun bagi mereka yang diputuskan hukumannya di neraka, mereka akan terjatuh ke dalam lubang Neraka Jahannam.

Dalam al-Quran juga Allah telah menceritakan mengenai cara penghuni neraka itu dibakar. Bila sahaja kulit tubuh mereka hangus, kulit yang baru akan tumbuh dan tubuhnya dibakar lagi sehingga hangus. Kemudian tumbuh lagi kulit yang baru dan dibakar lagi, dan begitulah seterusnya mereka diseksa berulang-ulang dengan penuh kesakitan.

“Terbakar muka mereka oleh api, dan mereka di dalam bermuka masam.” (al-Mukminun : 104)

“Bukan begitu: Sesungguhnya neraka itu menyala-nyala, lagi membongkar kulit kepala.” (al-Ma’arij : 15-16)

“Pada hari itu seksaan menutupi mereka dari atas kepala dan dari bawah kaki. Ketika itu Allah berkata: ‘Tahanlah olehmu seksaan ini (hasil dari) apa yang kamu usahakan di dunia.’” (al-Ankabut : 55)

Dalam bukunya “Tazkirah”, Sheikh Qurtubi menulis, “Pada waktu api membakar itu, maka mengelupas seluruh kulit, gugur daging yang melekat di tubuh dan kelihatan tulang memutih. Mereka meronta-ronta kesakitan, memekik sekuat-kuatnya. Mereka menangis. Air mata bercucuran. habis air mata, maka keluarlah darah. Terjadilah penyesalan-penyesalan. Namun sedikit pun tiada gunanya...”

Ya, walau menangis air mata darah sekali pun, penghuni neraka sudah tidak akan lagi mendapat keampunan daripada Allah. Segala penyesalan sudah tidak berguna lagi. Tiada ahli keluarga dan rakan-rakan yang akan dapat membantu. Hatta Malaikat penjaga neraka pun tidak akan dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya daripada terus diazab.

“Rasalah olehmu, kerana kamu melupakan peristiwa yang akan terjadi pada hari ini. Kerana itu maka Kami melupakan kamu pula. Dan rasalah seksaan itu selama-lamanya. Hal ini adalah kerana amal perbuatan kamu sendiri.” (as-Sajadah : 14)

Dengan janji Tuhan mengenai seksaan di neraka yang amat dahsyat, saya percaya tak mungkin akan terlintas walau sedikit pun di hati nurani kita untuk mendiaminya walau sebentar. Tak mungkin kita mahu termasuk dalam golongan yang merasai kesakitan yang amat sangat di neraka sedangkan terdapat golongan manusia lain yang bersenang-lenang dengan segala nikmat Tuhan yang penuh gratis di syurga. Justeru selagi masa masih bersisa, bertaubatlah kita atas dosa-dosa yang pernah dilakukan. Ketahuilah bahawa walau mungkin dosa kita menggunung tinggi, namun pintu keampunan Allah itu sentiasa terbuka seluas tujuh petala langit dan bumi.

Sunday, September 11, 2011

Berwaspada Dengan Dosa

Oleh Wan Am


Manusia yang hidup di atas muka bumi ini sebenarnya tidak diciptakan dengan sia-sia. Kedatangan mereka ke dunia menggalas dua misi hakiki; pertama, sebagai hamba (‘abd) kepada Tuhan, dan kedua, menjadi khalifah-Nya.

Di samping itu Tuhan telah menetapkan syariat (peraturan) yang sesuai dengan fitrah manusia sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah bagi memastikan mereka berjaya mendepani gendala kehidupan. Bagi mereka yang teguh menuruti perintah Tuhan, maka dia akan memperoleh ganjaran pahala. Manakala bagi mereka yang melanggar larangan-Nya, balasan dosa pula yang menanti mereka.

“Dan apa yang diberikan rasul kepadamu maka terimalah dia, dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah.” (al-Hasyr : 7)

Namun, hakikatnya lebih ramai manusia yang memilih untuk meredah jalan sempit berhias dosa berbanding jalan luas dipenuhi pahala. Buktinya, perhatikan sahajalah fenomena kejahatan yang melata di sekeliling kita; rasuah, zina, riba, rogol, bunuh, buang anak, gengsterisme, minum arak, merempit, ragut, dadah, penderaan, fitnah, judi dan lain-lain lagi. Lebih menghibakan, di negara kita ini orang Islamlah yang menjadi “juara”nya. Nampak sangat syaitan telah begitu bergaya dalam agendanya untuk menyesatkan umat manusia menuju jurang neraka.

Sebenarnya telah begitu banyak penjelasan dan peringatan mengenai dosa dalam kitab-Nya yang mulia. Perkataan “dosa” dari segi bahasa bermakna akibat atau balasan. Dalam al-Quran, terdapat 17 perkataan dalam bahasa Arab yang boleh dimaksudkan dengan dosa, antaranya ialah “dzanb” (disebut 35 kali) bererti akibat kesalahan kita, “ithm” (disebut 48 kali) bermakna kealpaan atau tidak mendapat pahala, “sayyi’ah” (disebut 165 kali) ertinya perbuatan buruk yang menyebabkan kesedihan, dan “rijs” (disebut 10 kali) bererti kotor, baik jasmani mahupun rohani.

Mengapa manusia begitu mudah terjebak dengan dosa? Tidak lain dan tidak bukan, kerana kejahilan manusia itu sendiri mengenai balasan dosa. Lantas kejahilan tersebut jugalah yang membuatkan mereka terus-terusan merasa lazat mengerjakan maksiat.

Justeru, dalam al-Quran, Allah telah membuat penegasan mengenai balasan bagi orang yang berbuat dosa. Antaranya, golongan ini akan memperoleh balasan yang pedih pada hari akhirat kelak, sebagaimana firman-Nya berikut yang bermaksud:

“Dan tinggalkanlah dosa yang nampak dan yang tersembunyi. Sesungguhnya orang-orang yang mengerjakan dosa, kelak akan diberikan pembalasan (pada hari kiamat), disebabkan apa yang telah mereka kerjakan.” (al-An’am : 120)

Bukan sahaja di akhirat, malah di dunia lagi Allah akan menimpakan seksaan yang keras kepada mereka yang suka melakukan kejahatan dan kezaliman.

“Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang sebelum kamu, ketika mereka berbuat kezaliman, padahal rasul-rasul mereka telah datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, tetapi mereka sekali-kali tidak beriman. Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat dosa.” (Yunus : 13)

Malah, bencana yang melanda umat manusia juga sebenarnya berpunca daripada kejahatan dan dosa manusia itu sendiri.

“Maka jika mereka berpaling (dari hukum yang diturunkan Allah) ketahuilah bahawasanya Allah menghendaki akan menimpakan bencana kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia adalah orang-orang yang fasiq.” (al-Maidah : 49)

Dalam hadis, dengan jelas juga Nabi Muhammad s.a.w. telah mengingatkan bahawa bagi orang yang berbuat dosa, hatinya akan sentiasa dirundung rasa resah dan gelisah, malah boleh menyebabkannya terhalang daripada mengecapi rezeki Allah.

“Dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan jiwa kamu, dan kamu tidak senang jika sesuatu itu nampak oleh orang lain.” (Riwayat Ahmad)

“Tidak akan bertambah suatu umur kecuali dengan berbuat kebaikan, dan tidak akan ada yang dapat menolak takdir kecuali dengan berdoa, serta sesungguhnya seorang lelaki terhalang rezekinya disebabkan mengerjakan perbuatan dosa.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Berdasarkan nas-nas syarak, kebanyakan ulama telah sepakat bahawa dosa terbahagi kepada dua, iaitu dosa besar dan dosa kecil. Dalam hal ini Allah telah berfirman yang bermaksud:

“Iaitu orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil, Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas ampunan-Nya.” (an-Najm : 32)

“Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang kamu dilarang mengerjakannya, nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).” (an-Nisa : 31)

Setiap Muslim haruslah berwaspada dengan segala gerak laku yang boleh menyebabkan dirinya terjebak dengan dosa, terutamanya dosa-dosa besar. Dosa besar, menurut pendapat banyak ulama adalah segala perbuatan yang pelakunya diancam dengan api neraka, mendapat murka Allah di akhirat serta dikenakan hukuman had di dunia. Antara dosa-dosa besar adalah seperti yang terdapat dalam hadis daripada Bakrah bin Nufai’ bin al-Harith r.a. yang berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Mahukah kamu aku khabarkan tentang sebesar-besar dosa yang tiga?” Kami menjawab, “Baiklah, ya Rasulullah.” Baginda bersabda, “Iaitu syirik kepada Allah, derhaka kepada dua orang tua.” Ketika itu baginda bersandar kemudian duduk dan bersabda lagi, “Ingatlah ucapan dusta dan saksi palsu.” Baginda mengulang-ulanginya sehingga kami berkata, “Semoga baginda diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam satu lagi hadis, Rasulullah s.a.w. turut memerintahkan kita untuk menjauhi tujuh jenis dosa besar. Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Hindarilah tujuh perkara yang membinasakan.” Lalu Rasulullah ditanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu?” Baginda menjawab, “menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan riba, melarikan diri pada saat peperangan, dan menuduh wanita yang terpelihara kehormatannya (tidak melakukan maksiat) dan beriman.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Para ulama berbeza pendapat tentang jumlah dosa besar. Abdullah bin Mas’ud berkata, “Ada empat”, Abdullah bin Umar mengatakan, “Ada tujuh”, Abdullah bin ‘Amru bin ‘Ash mengatakan, “Ada sembilan”, dan yang lainnya mengatakan, “Ada sepuluh”. Ada juga yang mengatakan, “Ada tujuh puluh”. Malah menurut Ibnu Qayyim, para ulama yang tidak membatasi dosa-dosa besar dengan jumlah bilangan, di antara mereka ada yang berkata, “Semua perkara yang dilarang oleh Allah dalam al-Quran adalah dosa besar, dan apa yang dilarang oleh Rasulullah adalah dosa kecil.” Manakala sekelompok ulama lain berkata, “Segala larangan yang diringi oleh ancaman laknat, murka dan hukuman adalah dosa besar, dan sebaliknya larangan yang tidak diiringi dengan ancaman adalah dosa kecil.”

Namun jangan sekali-kali kita memandang enteng dengan dosa-dosa kecil yang kita lakukan. Hal ini memandangkan dosa kecil boleh menjadi berganda, malah bertukar pula menjadi dosa besar apabila:

1. Melakukan sesuatu dosa secara berulang-ulang walaupun ia dosa kecil.
2. Sesuatu dosa itu dianggap sebagai perkara remeh.
3. Timbul rasa bangga kerana dapat melakukan dosa tersebut.
4. Tertipu dengan nikmat yang Allah kurniakan (istidraj).
5. Tidak segan-silu memberitahu orang lain akan dosa yang dilakukan.
6. Dosa yang dilakukan oleh seorang ulama atau tokoh dan menyebabkan ramai pengikut turut melakukannya.

Pepatah pujangga ada mengatakan, “Bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan”. Begitu jualah kita sebagai seorang manusia, pastinya kita tidak bolos daripada melakukan kesalahan dan dosa dalam hidup ini. Kita bukanlah nabi yang merupakan insan yang maksum (terpelihara daripada dosa), sebaliknya hanyalah seorang Muslim yang imannya sentiasa naik dan turun (yazid wa yanquz), malah pasti melakukan dosa seperti yang telah ditakdirkan Ilahi, sebagaimana Nabi s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah (maksudnya):

“Setiap anak Adam ada habuannya daripada dosa zina yang pasti berlaku dan tidak boleh dielakkan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, Allah telah memberi jalan keluar kepada hamba-Nya daripada terus bergelumang dengan perbuatan dosa, iaitu dengan cara bertaubat dan memohon keampunan daripada-Nya. Dengan cara demikianlah dia akan dapat membersihkan dirinya daripada dosa. Tetapi jika dia memilih untuk terus berada dalam kemaksiatan, maka nantikanlah balasan yang setimpal seperti yang Dia telah janjikan.