Oleh Wan Am
Baru-baru ini saya telah diundang untuk menghadiri suatu program konvensyen yang menghimpunkan ratusan anak muda dari seluruh tanah air di sebuah istitusi pengajian tinggi di Kajang. Alhamdulillah, berpeluang juga untuk bersua kembali dengan teman-teman yang sudah agak lama tidak ketemu; mereka yang pernah bersama dalam satu kafilah pada zaman muda-muda dahulu. Rata-rata semuanya masih aktif dan terus istikamah dalam dunia dakwah. Pada masa yang sama, berkesempatan pula beramah mesra dengan kenalan-kenalan baru; generasi penyambung rantai perjuangan yang pernah kami nikmati.
Hal yang ingin saya kongsikan dalam artikel ini adalah mengenai ZINA. Saya ingin membangkitkan perkara ini kerana semasa berlangsungnya program yang saya sebutkan tadi, terdapat satu slot yang amat menggamit perhatian saya. Slot yang berkisar tentang usaha sebuah badan bernama Raudhatus Sakinah dalam menangani isu zina yang kini kian melarat dalam kalangan muda-mudi di negara Malaysia yang tercinta ini. Walaupun hanya sekadar slot selingan, namun relevan sekali ditalakan kepada orang-orang muda dalam program tersebut. Tidak kisahlah, mereka yang hadir mungkin orang baik-baik belaka. Namun, mesej sedemikian memang wajar disampaikan tidak kira kepada sesiapa pun. Salih hari ini, bukan jaminan salih pada esok hari.
Komitmen Raudhatus Sakinah untuk membendung gejala zina dalam kalangan generasi muda memang wajar dipuji. Melalui kempen "Anda Bijak Jauhi Zina" yang mereka lancarkan sejak tahun 2007, mereka terus-menerus berusaha memberikan kesedaran, khususnya kepada pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta warga belia akan keburukan jenayah zina ini agar tidak membarah dengan lebih dahsyat lagi dalam masyarakat. Dalam menyampaikan mesej murni tersebut, banyak "lubuk" orang muda telah mereka jejaki, manakala puluhan ribu remaja telah dapat mereka santuni bagi menyampaikan mesej ini.
Malah, pada tahun 2010, selain kempen Anda Bijak Jauhi Zina yang terus giat dilaksanakan, komitmen ini terus mereka pertingkatkan dengan penganjuran beberapa program berimpak tinggi (high impact) bagi memastikan mesej ini lebih meluas dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat. Strategi mereka dengan mengundang penyanyi antarabangsa yang cukup popular dewasa ini iaitu Maher Zain untuk mengadakan persembahan khas di Malaysia sambil mempromosikan kesedaran mengenai isu gejala sosial kepada rakyat di negara ini sedikit sebanyak telah mencelikkan mata dan hati banyak pihak mengenai isu zina ini. Selain itu, "Himpunan 1000 Jiwa 1 Hati" juga telah diadakan pada 31 Disember 2010 yang lalu, yang mana seribu orang anak muda, termasuk mereka yang pernah bersama dalam program Anda Bijak Jauhi Zina telah dihimpunkan kembali untuk bersatu lantas memperbaharui azam bagi menjauhi perbuatan zina yang merosakkan.
Di samping usaha kesedaran dan pencegahan, Raudhatus Sakinah sebenarnya telah lama terlibat dalam memberikan perlindungan kepada remaja yang terjebak dalam kemelut zina ini. Sejak 1998, Raudhatus Sakinah telah menabur bakti melindungi dan memberikan bimbingan kepada ratusan, jika tidak ribuan anak-anak muda yang telah tersasar. Tempoh setahun remaja-remaja ini di Raudhatus Sakinah menjadi detik terbaik bagi mereka untuk menginsafi keterlanjuran yang telah dilakukan, lantas memperbaiki diri menjadi insan yang lebih dekat dengan Tuhan.
Bak kata Ummi Roses, iaitu pengasas Raudhatus Sakinah dalam bukunya "Ku Temui Jalan Pulang", kehidupan remaja masa kini berhadapan dengan pelbagai persoalan, pergelutan dan cabaran dalam mencari identiti diri. Bagi mereka yang menerima bimbingan yang sempurna serta bertemu dengan rakan yang baik, jalan kehidupan mereka akan terarah dan terselamat daripada godaan pancaroba alam remaja. Namun, bagi mereka yang tersasar dan tergelincir dalam kemelut kehidupan dunia remaja yang penuh warna-warni ini, mereka menjadi mangsa kepada kealpaan mereka. Akhirnya ada dalam kalangan mereka yang terjebak ke kancah masalah sosial seperti pil khayal, dadah dan pergaulan bebas, malah lebih parah lagi terjebak dalam zina dan pembuangan anak hasil zina tersebut!
Selain Raudhatus Sakinah, akhir-akhir ini beberapa pihak lain yang berautoriti juga telah turut menyahut tanggungjawab untuk membanteras gejala zina dan jenayah pembuangan bayi. Antaranya ialah Kerajaan Negeri Selangor yang telah melancarkan Kempen Anti Zina pada malam 31 Ogos 2010, dengan hasrat untuk membendung isu zina daripada peringkat akar umbi lagi, selain menangani masalah pembuangan bayi yang semakin berleluasa. Kerajaan Negeri Melaka juga, walaupun sedikit kontroversi telah menubuhkan Sekolah Harapan pada beberapa bulan yang lepas, bertujuan memastikan remaja-remaja wanita yang telah hamil samada secara sah atau luar nikah membina kehidupan dan membesarkan bayi sambil meneruskan pelajaran di sekolah itu tanpa gangguan masyarakat. Sementara di Perak pula pada penghujung Disember 2010 telah diwujudkan pusat perlindungan bayi (baby hatch) dengan kerjasama KPJ Ipoh Specialist Hospital bagi mengurangkan gejala pembuangan bayi, sekali gus mengurangkan risiko kematian dalam kalangan bayi yang baru lahir.
Kita percaya masih banyak pihak yang turut serta dalam usaha menangani gejala zina ini. Kita juga percaya gejala zina yang menjadi punca pembuangan bayi dalam masyarakat hari ini boleh dicegah sekiranya penyelesaian yang lebih holistik dilakukan. Ada pihak yang telah menyarankan supaya pihak kerajaan merangka satu pelan tindakan bersepadu yang melibatkan setiap anggota masyarakat bagi membendung pergaulan bebas dan gejala zina di negara ini. Dalam hal ini, antara perkara yang boleh dilaksanakan ialah menutup ruang yang menggalakkan zina seperti penerbitan dan pengedaran bahan media berbentuk lucah, mengawal aktiviti yang menggalakkan pergaulan bebas dan maksiat, memperkasa kedudukan wanita supaya mereka lebih sedar untuk menjaga kehormatan dan harga diri, mengadakan kempen besar-besaran supaya masyarakat memandang jijik perlakuan zina serta memperkukuh institusi keluarga.
Walau apa pun, ubat paling mujarab bagi mengatasi masalah ini ialah masyarakat perlu kembali mengamalkan cara hidup berpandukan ajaran agama masing-masing. Bagi umat Islam, tiada pilihan lain kecuali kembali sepenuhnya kepada ajaran Islam berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Remaja Muslim hari ini juga harus membataskan pergaulannya sebagaimana yang dikehendaki oleh agama, agar terselamat daripada bencana dan dosa yang besar yang mungkin boleh memusnahkan kehidupan.
Dan jangan kita lupa bahawa antara tujuh golongan manusia yang akan diberikan perlindungan oleh Allah dalam naungannya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri ialah seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah” (Hadis Rasulullah riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah).
No comments:
Post a Comment