Oleh Wan Am
Ingat lagikah anda kepada penulisan saya mengenai masa? Dalam surah al-Asr, Allah ada menyebut bahawa manusia itu berada dalam kerugian, kecuali bagi mereka yang mempunyai empat sifat; beriman, beramal salih, berpesan-pesan pada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran. Dalam istilah lain, sifat ketiga dan keempat itu bolehlah dikatakan juga sebagai melaksanakan dakwah.
Hari ini melalui pelbagai wahana kita menyaksikan ramai anak muda segenerasi kita hanyut dalam kebejatan gejala sosial dan keruntuhan akhlak dan moral. Gaya hidup hedonisme yang merupakan salah satu pakej utama kepercayaan materialisme, dirangkul erat oleh anak-anak muda kini. Dengan lemahnya iman dan tidak berputiknya nilai-nilai Islam dalam diri membuatkan mereka lebih berminat untuk mengamalkan gaya hidup orang-orang Barat dalam kehidupan seharian mereka.
Baru semalam (11 Januari 2011) saya terlihat dalam sebuah akhbar tabloid arus perdana, yang mana terpampang gambar seorang aktres popular beragama Islam di muka hadapan akhbar tersebut, memakai bikini di pantai di sebuah negara jiran. Na'uzzubillah. Gambar tersebut yang dimuat naik dari sebuah laman facebook, sememangnya bukan super impose. Dia sendiri mengaku perempuan dalam gambar itu adalah dirinya. Lantas memohon maaf dan menyesal atas kesalahannya itu. Kita hendak maafkankah? Hm.. Teringat pula kepada lirik sebuah lagu dalam filem Pendekar Bujang Lapok, "Wahai cik adik jangan marah sangat, sedangkan nabi ampunkan umat..."
Bukan itu sahaja, akhbar tersebut juga turut mengimbas kembali peristiwa-peristiwa kontroversi sebegini yang melibatkan artis-artis dalam industri hiburan di tanah air kita dalam sepuluh tahun kebelakangan ini. Ramai pula dalam kalangan mereka itu menjadi idola anak-anak muda.
Dengan realiti sedemikian rupa, memang wajarlah umat Islam, termasuk generasi muda kembali melaksanakan tugas asasi untuk membaiki masyarakat dan teman-teman segenerasi agar kembali kepada cara hidup Islam. Dalam erti kata lain, berdakwah. Dakwah dari segi bahasa membawa maksud menyeru atau memanggil, samada kepada yang hak atau batil. Dari segi syarak pula maknanya lebih khusus, iaitu seruan atau panggilan ke jalan Allah. Dalam hal ini Ibnu Taimiyyah pernah menyatakan, "Dakwah ialah satu usaha seruan ke arah beriman kepada Allah dan apa yang disampaikan oleh rasul-rasul-Nya, iaitu dengan membenarkan segala perkara yang disampaikan oleh rasul-rasul dan mentaati perintah mereka."
Firman Allah:
"Hai Nabi, kami mengutuskan engkau sebagai saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan, dan untuk menjadi penyeru (da'i) kepada (ad-Deen) Allah dengan seizin-Nya dan untuk menjadi cahaya yang menerangi." (Al-Ahzab : 45-46)
Dakwah adalah suatu kewajipan, bukan pilihan. Hal ini adalah berasaskan kefahaman bahawa tugas menggerakkan dakwah adalah menjadi kewajipan bagi setiap individu yang bergelar Muslim dan mengucapkan kalimah 'La Ilaha IllaLlah Muhammadur Rasulullah'. Malah, ia merupakan sunnah terbesar Nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam, serta para rasul dan nabi sebelumnya, yang mana tujuan diutuskan mereka kepada setiap umat manusia adalah tidak lain dan tidak bukan, untuk membawa dan mengembangkan risalah Islam ini.
Terdapat banyak dalil yang terkandung dalam al-Quran, yang jelas menunjukkan bahawa melaksanakan usaha dakwah, iaitu melakukan amar makruf dan nahi mungkar adalah suatu tuntutan keimanan yang tidak boleh diabaikan. Salah satu dalil tuntutan dakwah adalah sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah dalam al-Quran:
“Dan ingatlah ketika suatu umat di antara mereka berkata: ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?’ Mereka menjawab: ‘Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa.’” (Al-A’raf : 164)
Ayat ini menjelaskan, menjalankan usaha dakwah walaupun dalam keadaan umat telah bergelumang dengan kemungkaran maksiat tetap menjadi tanggungjawab seorang Muslim. Kerana tindakan sedemikianlah yang akan menjadi alasan dan perlepasan kepada kita sewaktu ditanya oleh Allah kelak, disebabkan kita telah menunaikan tugas kita untuk mencegah kemungkaran dalam masyarakat, walaupun mereka tidak mahu berubah. Secara peribadi, inilah antara ayat yang cukup memotivasikan saya untuk melaksanakan dakwah.
Berhubung persoalan dakwah, Imam Said bin Jubair pernah berkata, "Jika seseorang itu tidak mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar sehinggalah dia berada dalam keadaan sempurna, maka tidak akan ada sesiapa pun yang mengajak kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar."
Dalam hal ini, salah satu kekeliruan yang kerap didapati dalam konteks dakwah adalah seseorang individu itu perlu memastikan kesempurnaan dirinya sebelum terjun menjalankan usaha dakwah. Sekiranya mentaliti ini masih bertakung di minda kebanyakan individu Muslim, umat Islam akan terus-menerus ketandusan anasir-anasir dakwah yang mampu membawa perubahan yang diharapkan. Ini kerana tiada seorang pun yang akan mencapai tahap kesempurnaan, samada dalam aspek keperibadiannya mahupun tahap keilmuannya.
Rasulullah sallahu alaihi wasallam telah bersabda:
"Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dicegah dengan tangannya, jika tidak mampu, cegahlah dengan kata-katanya, jika tidak mampu juga, cegahlah dengan hatinya, dan itu adalah tanda selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)
Islam mengakui tahap keupayaan setiap individu. Ini didasarkan sabda Nabi di atas, setiap muslim dituntut berdakwah berteraskan kemampuannya. Dalam konteks mencegah kemungkaran, usaha paling minimum yang boleh dilakukan adalah membenci sesuatu kemungkaran itu dengan hati. Ini kerana mengingkari kemungkaran dengan hati adalah wajib hukumnya ke atas setiap Muslim. Ini juga menunjukkan tanda-tanda keimanan seseorang, yang mana salah satu neraca pertimbangannya adalah membenci maksiat.
Seseorang pendakwah juga perlu mempersiapkan dirinya dalam tiga perkara; ilmu, warak dan akhlak. Dalam hal ini, Imam al-Ghazali pernah menjelaskan, "Berkaitan dengan ilmu, seseorang pendakwah perlu mengetahui suasana dakwahnya, batas-batasnya, tempat berlakunya kemungkaran, serta penghalang-penghalangnya, supaya dakwahnya berjalan di atas landasan agama. Warak bermakna seseorang pendakwah menjauhi perbuatan-perbuatan salah yang diketahuinya. Berhubung dengan akhlak yang baik, seseorang pendakwah hendaklah berdakwah dengan lemah-lembut dan kasih sayang... Dengan tiga sifat ini, dakwah menjadi amalan yang mendekatkan seseorang kepada Allah. Tanpa ketiga-tiganya, kemungkaran tidak akan tertolak, malah kadangkala dakwah bertukar menjadi kemungkaran, kerana melampaui batas-batas agama."
Ingatlah kita bahawa golongan pemuda adalah satu kelompok individu yang sangat besar sumbangan dan peranannya terhadap masyarakat. Seandainya golongan pemuda berjaya menjalankan tugas dakwah ini dengan baik, maka masyarakat tersebut akan mencapai kemajuan bukan sahaja dalam aspek pembangunan insan, malah dalam pembangunan material juga. Sebaliknya, masyarakat akan menjadi lesu dan kurang bermaya jika generasi mudanya melalaikan kewajipan dan tanggungjawabnya membina masyarakat.
Generasi muda hari ini adalah harapan umat. Sedarlah, tanggungjawab membangunkan umat dan memperjuangkan risalah-Nya adalah tergalas di bahu kita. Sememangnya tugas ini amat berat, dan pastinya menagih pengorbanan yang bukan sedikit. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi tribulasi yang cukup hebat dan menyesakkan pada alaf ini.
Apa lagi teman-teman sekalian? Jom berdakwah!
No comments:
Post a Comment