Oleh Wan Am
Lanjutan daripada artikel yang lalu, saya ingin berbicara serba ringkas tentang perkara-perkara mengenai "kepemudaan". Kerana apa? Kerana saya masih muda? Hm.. Tahun 2011 ini saya akan melangkah ke alam 30-an. Muda lagikah?
Antara takrifan "belia" bagi negara Malaysia ialah berumur antara 18 hingga 40 tahun. Jika diambil dari sudut itu, masih dalam kategori orang mudalah nampaknya diri ini.
Atau, mungkin kerana jiwa saya sudah begitu dekat dengan orang-orang muda. Maklumlah, sebahagian usia awal dewasa saya nafkahkan untuk beraktivisme bersama teman-teman segenerasi. Bermula di alam kampus, hinggalah selama lima tahun bersama medan remaja, mahasiswa dan belia tika bertugas sepenuh masa dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam.
Atau, mungkin juga kerana dunia kerjaya saya kini yang sudah tidak lagi secara langsung bersama kumpulan anak-anak muda, yang bisa membuatkan hati ini begitu kepingin untuk mendetak papan kekunci, lantas menukilkan sesuatu yang nilainya tidaklah setara permata, khusus buat generasi yang saya kasihi ini.
Baiklah, sebagai permulaan, saya ingin berkongsi sedikit penulisan oleh Dr. Majdi al-Hilali dalam bukunya "Tugas dan Tanggungjawab Pemuda Islam" mengenai ciri-ciri seorang pemuda. Menurut beliau, antara ciri-ciri yang dimiliki oleh pemuda ialah:
1. dikelilingi pelbagai masalah, perasaan dan rasa bimbang;
2. dipenuhi cita-cita tinggi dan harapan menggunung;
3. memiliki semangat membara untuk melakukan sesuatu;
4. mampu bekerja dengan gigih dan sanggup berkorban; dan
5. mudah menerima, mengikut, terpengaruh, meniru dan bertindak balas.
Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya "Kewajipan Pemuda Islam Hari Ini" pula menjelaskan antara ciri pemuda ialah:
1. hidupnya sentiasa segar;
2. jiwa dan fikirannya sentiasa membara;
3. penuh dengan idealisme;
4. sarat dengan cita-cita; dan
5. memiliki kekuatan yang tinggi untuk memikul apa sahaja tanggungjawab.
Daripada pandangan kedua-dua tokoh tersebut kita telah mengetahui segala ciri pemuda dari setiap segi; spiritualnya, fizikalnya, emosinya dan intelektualnya. Dan ciri-ciri inilah juga yang sedikit sebanyak membezakan antara orang muda dengan orang tua. Maka, orang muda yang tiada cita-cita, kurang beridealisme, tiada jiwa dan perasaan yang membara dan tiada kekuatan yang tinggi untuk menggalas tanggungjawab dan melakukan pengorbanan, saya kira tidaklah layak mereka ini berada dalam barisan orang muda.
Namun, hal yang ingin saya tekankan dalam bab ini ialah dengan ciri-ciri yang ada pada pemuda tersebut, sewajarnya ia memudahkan kita untuk melaksanakan misi hidup kita, yakni beribadah kepada Allah. Dengan kekuatan jasmani dan rohani sedemikian, tanggungjawab kita untuk mendekatkan diri kepada-Nya sememangnya mampu untuk kita tunaikan. Paling tidak, kita dituntut untuk melaksanakan perkara yang fardu dan menjauhi perkara yang dilarang.
Ya, pernyataan berikut biasa kita dengar, "Alah, aku muda lagi. Dah tua esok aku beribadatlah!" Jawapannya, biasa juga pada pendengaran kita, "Itu kalau engkau dapat hidup sampai usia tua. Kalau mati muda, bagaimana?"
Mengenai hal ini, teringat pula saya kepada suatu hadis daripada Ibnu 'Abbas, Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam telah berkata, "Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara; mudamu sebelum tuamu, sihatmu sebelum sakitmu, kayamu sebelum kamu papa, hidupmu sebelum matimu, masa lapangmu sebelum kamu sibuk." (Hadis riwayat al-Hakim)
Sememangnya hadis ini sangat relevan untuk orang muda jadikan renungan. Juga sebagai suatu yang memotivasikan.
Malah, Dr. Majdi al-Hilali dalam buku yang sama telah mengatakan, "Sekiranya pemuda Islam dapat menggunakan peluang dan melaksanakan tanggungjawab bagi mengisi masa mudanya dengan mendekati Allah, menjaga hubungan dengan-Nya, berusaha mendidik diri dan memelihara hatinya, berusaha memahami ajaran Islam yang sebenar tanpa melampau atau cuai, tentulah mudah baginya untuk terus berjalan di jalan Allah. Tetapi bagi mereka yang melepaskan peluang tersebut tanpa berusaha merebut atau mengambilnya; tidak cuba melaksanakan ajaran Islam; maka tentulah sukar baginya untuk mencapai matlamat yang dicita-cita. Kerana kebanyakan pemuda masih tidak banyak tanggungjawab."
No comments:
Post a Comment