Sunday, November 27, 2011

Dunia Hari Ini

Oleh Wan Am


Dunia sedang berada di penghujung usia. Wajah dunia tidak lagi permai seperti asalnya. Lahiriahnya penuh dengan derita. Bukit, laut, rimba, sungai, udara menjadi mangsa. Semuanya gara-gara keserakahan manusia mencari laba.

Tamadun Barat yang kini memerintah dunia, menanti detik kejatuhan. Fakta dari Barat sendiri yang menjadi beban bukti. Di negara-negara mereka ajaran agama diketepikan, jenayah semakin meningkat, masyarakat mementingkan diri sendiri, pemimpin mengamalkan rasuah, dan ketidakadilan sosial bermaharajalela.

Kata Zaid Kamaruddin, seorang tokoh aktivis masyarakat, “Lazim peradaban runtuh atas sebab kelemahannya sendiri. Kelemahan sistem dan moralnya. Jarang ia jatuh kerana ditolak dari luar.” Tiada lagi sangsi, hegemoni Barat akan menemui titik noktahnya sedikit masa lagi.

Jika begitu, selagi dunia masih bernafas, siapa pengganti tamadun Barat? Giliran tamadun Islamkah kembali mengambil tempat? Tamadun Islam bakal menjadi penyelamat? Jika hendak dikatakan begitu, perlu direnung sebentar realiti umatnya, dan harus ditinjau perjalanan pentadbiran pemimpin-pemimpinnya. Dari situ mungkin terserlah jawapan yang selayaknya.

Orang kata, gejolak umat di negara Islam tidaklah berbeda dengan gejala di Barat. Tidak sukar mencari statistiknya. Tak payah memandang jauh, di negara Islam bernama Malaysia sudah boleh dilihat “bencana”nya. Pusat Serenti, orang Melayu yang memenuhinya. Anak tidak berbin atau berbintikan bapanya, bangsa Melayu juga menjadi majoriti. Kes juvana, anak-anak orang Melayu juga yang dihukum. Ada lagi, hampir setiap hari remaja Melayu ditahan pihak berkuasa kerana menjadi samseng jalanan.

Di Malaysia, Melayu bersamaan dengan Islam. Maka rumusannya, umat Islam di negara ini sedang diserang luka yang cukup dalam. Keadaan pastinya tidak berbeza di negara umat Islam yang lain. Atau mungkin negara mereka lebih bejat lagi.

Pemerintahan pemimpin Islam pula tidak banyak membantu. Bak kata Zaid Kamaruddin lagi, negara orang Islam tidak ada yang ditadbir dengan lebih baik. Pemerintah umat kebanyakannya berseteru dengan rakyat. Rasuah semakin menerap. Kepemimpinan tidak dianggap suatu amanah, malah suatu keistimewaan.

Sebab itu baru-baru ini rakyat di negara-negara Timur Tengah dan utara benua Afrika bangkit melawan pemimpinnya. Kemarahan mereka sudah tidak dapat dibendung lagi. Mereka sudah tidak tahan dengan kezaliman yang melata. Mana mungkin pemimpin dan ahli keluarga mereka membolot harta negara berbilion-bilion U.S. Dolar, sedang rakyat menahan lapar berhari-hari lamanya. Akhirnya tumbanglah pemimpin-pemimpin Islam bermahligai tirani; ada yang kini sedang dibicarakan, ada yang dalam pelarian, dan ada yang sudah dijemput pulang menghadap Tuhan.

Justeru, dengan realiti sedemikian rupa, mampukah Tamadun Islam bangkit kembali membawa sinar hidup yang lebih bermakna buat manusia pada abad 21 ini?

Jawapannya terletak kepada kemahuan umat Islam itu sendiri. Jika umat berpegang teguh dengan ajaran Islam, tidak mustahil mereka mampu menguasai dunia. Islam adalah rahmat buat sekalian alam. Islam juga adalah produk bermutu yang bukan sahaja harus dibanggakan, malah mesti dikongsikan dengan semua manusia. Peradaban Islam kini belum mampu bangkit kembali dari lenanya yang panjang kerana kealpaan umatnya sendiri yang berterusan menjauhi syariat Islam.

Belajarlah daripada sejarah. Sejarah jarang sekali menipu. Dunia pernah merentasi zaman keemasan Islam, suatu zaman di mana dunia ditadbir oleh para pemimpin Islam yang sejati. Mereka menjadi teladan kepada rakyatnya dalam menjalankan amanah kepemimpinannya. Pemerintahan mereka bersatu dengan Islam, mereka menghukum dengan hukum-hukum Tuhan, dan tidak hairanlah pemerintahan mereka dan dunia ketika itu cukup gemilang. Sehinggakan pada suatu masa, seluruh rakyat cukup segala keperluan hidupnya lantaran keadilan pemerintahan yang tertegak dan terpelihara dengan sebaik-baiknya.

Pakej sebegini tiada pada peradaban Barat. Materialisme, sistem ekonomi kapitalis, dasar pasaran bebas dan demokrasi bukanlah barang baik buat umat. Ia sebenarnya membawa kepada jalan yang lebih cela. Dunia menuju kehancuran kerana kecetekan tamadun mereka.

Jika dilihat kepada putaran hidup semasa, dunia masih ada harapan untuk melihat kebangkitan semula kuasa Islam sebagai pentadbir jagat raya. Masa akan menentukannya. Ia mungkin mimpi hari ini, namun tidak mustahil kenyataan hari esok, insya-Allah.

Wednesday, November 16, 2011

Pemimpin Oh Pemimpin!

Oleh Wan Am


Bulan Disember ini, genaplah 18 bulan saya berkhidmat sepenuh masa dengan seorang pemimpin kanan kerajaan sebuah negeri. Saya masih ingat lagi sewaktu mula-mula ditawarkan kerjaya ini dahulu, dalam hati asyik tertanya-tanya, “Boleh ke aku perform dengan kerja ni?” Maklumlah, sebelum ini saya langsung tiada pengalaman dalam arena politik tanah air, apatah lagi ilmu mentadbir sebuah negeri.

Namun, pada waktu itu saya merasakan tiada salahnya untuk saya mencabar diri sendiri dengan menerima amanah ini. Tambah pula pengalaman yang bakal dihirup tidak mudah untuk diraih di mana-mana. Mungkin juga peluang sebegini akan datang sekali sahaja dalam seumur hidup.

Akhirnya saya menerima tawaran tersebut, dan berkecimpunglah saya dalam “dunia” serba baru. Sejak awal lagi saya merasakan tanggungjawab ini tidak mudah, memandangkan amanah yang tergalas di bahu ini begitu besar dalam misi membantu majikan saya melunaskan segala harapan dan mandat rakyat sebaik mungkin. Cabarannya juga tidak menentu; terkadang pahit, namun lebih banyak manisnya. Semuanya diredah demi menjayakan wawasan hidup mencapai keredaan Tuhan.

Tidak sedikit juga pengalaman berharga yang ditimba sepanjang bersama karier ini. Paling mengujakan, medan ini menyediakan ruang yang luas untuk saya menabur bakti kepada pelbagai segmen masyarakat; daripada usia bayi hinggalah kepada warga emas. Selain itu, memandangkan majikan saya dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hal berkenaan kebajikan rakyat, maka melalui celah inilah juga saya saya didekatkan dengan realiti kesusahan yang masih mengulit kehidupan sebahagian besar rakyat, di negeri yang dikatakan paling maju di Malaysia. Cukup bernilai pengalaman ini, kerana melaluinya saya sentiasa mengingatkan diri saya sendiri supaya tidak lupa bersyukur dengan segala nikmat yang telah dan sedang dikecap. Di sinilah saya belajar erti hidup, bahawa sesusah mana pun diri kita, pasti ada lagi insan yang lebih sengsara.

Kerjaya ini juga, menyedarkan saya bahawa tidak mudah sebenarnya untuk menjadi seorang pemimpin. Apatah lagi jika diamanahkan menjadi pemimpin kepada suatu kelompok manusia yang besar, seperti menjadi pemimpin masyarakat, wakil rakyat atau pemerintah sesebuah kerajaan. Malahan dalam Islam, kepemimpinan sangat berkait rapat dengan tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi teras kepada wujudnya suasana aman dan sejahtera bagi sesebuah negara.

Lihatlah bagaimana keadaan Umar Abdul Aziz sewaktu diangkat menjadi khalifah. Beliau seakan tergamam dan bersedih, lantas terus bersendirian bersolat dan menangis. Sewaktu isterinya Fatimah bertanya tentang keadaan dirinya, Umar berkata, “Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang pelbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar, yang sakit lagi derita, orang yang tidak berpakaian yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan hartanya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu Tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis...”

Namun, kerana kejahilan sebahagian orang Islam, ada pula dalam kalangan kita yang berebut-rebut hendak menjadi pemimpin. Masing-masing cuba menonjolkan diri agar dipilih atau dilantik menghuni jawatan atau pangkat tertentu. Lebih menyedihkan apabila persaingan ini tercetus kerana hendak meraih kepentingan peribadi. Hal rakyat atau orang bawahan menjadi soal kedua. Amanah yang sepatutnya dilangsaikan pula tercicir entah di mana. Nampaknya mereka lupa atau buat-buat lupa kepada pesanan Nabi Muhammad s.a.w. bahawa setiap daripada kita adalah pemimpin dan kelak setiap daripada kita juga akan ditanya oleh Tuhan mengenai tanggungjawab kepimpinan kita.

Pepatah ada menyebut, “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Ya, pemerintah atau pemimpin yang adil bukan sekadar dihormati, malah pasti akan mendapat ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi daripada rakyatnya. Malah, dia akan lebih dicintai jika nilai-nilai Islam seperti tawaduk, bertanggungjawab, penyayang, bertimbang rasa, berakhlak mulia dan bertakwa berakar kuat di dalam dirinya. Kejayaan dan kecemerlangan kawasan atau negara yang ditadbirnya pula pasti akan jelas terserlah dan mendapat keberkatan daripada Allah.

Berbeza pula dengan pemerintah atau pemimpin yang zalim. Bukan sahaja tidak disukai, malah tidak akan mendapat ketaatan yang setimpal daripada rakyatnya. Jika ada ketaatan pun, ia hanyalah kerana terpaksa. Lebih buruk lagi, bukan setakat azab di akhirat, malah di dunia lagi dia mungkin menerima balasan yang setimpal atas kezaliman yang dilakukan terhadap rakyatnya.

Maka pesan saya kepada para pemimpin sekalian..

..Jadilah pemimpin yang adil, kerana dengannya dirimu akan sentiada diredai Allah.

..Jadilah pemimpin yang adil, insya-Allah segala doamu pasti akan dimakbulkan.

..Jadilah pemimpin yang adil, kerana sesungguhnya pemimpin yang adil adalah tergolong dalam tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri (Intisari hadis riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah).