Oleh Wan Am
Saya bersyukur kerana Allah masih lagi memberikan kesempatan kepada saya untuk menarikan jejari di atas papan kekunci komputer peribadi saya bagi menulis artikel ini, di celah-celah hambatan tugasan kerjaya seharian yang tidak pernah surut. Akhir-akhir ini, asal ada sahaja masa yang terluang, walau setengah jam, saya akan pastikan ilham penulisan yang terperap di dalam minda ini ditumpahkan ke ruangan yang telah tersedia. Biarpun sekelumit cuma. Buah tangan istimewa yang tidaklah seberapa buat teman-teman segenerasi.
Juga, keadaan sedemikian sebenarnya sedikit sebanyak menginsafkan saya akan peri pentingnya masa dalam kehidupan ini. "Masa itu emas". Benar, namun lebih tepat lagi, masa adalah jauh lebih berharga daripada emas. Emas, jika hilang dari tangan kita, kita boleh mendapat gantinya semula. Namun, masa yang pergi walau sedetik, pasti takkan kembali lagi. Lazim juga kita mendengar, "Masa itu ibarat pedang. Jika kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu".
Malah, begitu tidak ternilainya masa ini hinggakan Allah telah bersumpah dengannya dalam al-Quran:
"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal salih dan mereka yang berpesan-pesan pada kebenaran dan mereka yang berpesan-pesan pada kesabaran." (al-'Asr : 1-3)
Dalam ayat-ayat tersebut sebenarnya Allah telah memandu kita untuk benar-benar memanfaatkan masa dengan sebaiknya. Jika kita tidak melaksanakan empat perkara tersebut, maka masuklah kita dalam golongan mereka yang merugi. Bukan sahaja di akhirat, malah di dunia lagi.
Mengenai nilai masa ini, salah seorang murid Imam al-Nawawi pernah menceritakan, "Guru saya pernah menyebut bahawa dia tidak pernah membuang masa, baik pada waktu siang atau malam, hatta ketika berjalan. Hal ini berlanjutan selama enam tahun. Kemudian dia mula menulis, mengajar, memberi nasihat dan menyampaikan kebenaran. Dia hanya makan dan minum sehari sekali, iaitu pada waktu sahur. Dia terus menyusun buku-buku, menulis, mengajar dan menyebarkan ilmu, beribadah, berwirid, berpuasa dan berzikir serta sabar dengan hidup yang seadanya dari segi makanan dan pakaian. Dia hanya berpada makan dan pakai dengan apa yang perlu sahaja."
Suka juga saya untuk mencedok kata-kata nasihat Imam Ibn al-Jawzi kepada anaknya, "Ketahuilah wahai anakku! Bahawa dua malaikat sentiasa datang mencatat segala perkataan dan penglihatanmu. Sesungguhnya nafas-nafas orang yang hidup ada sejak dari awal kehidupannya hingga ajalnya. Masa ia tinggal di kubur amatlah panjang, sedangkan azab dibalas mengikut apa yang dilakukan oleh hawa nafsu dan kejahatan. Sekiranya kita ditanya: "Di manakah kelazatan semalam?" Ia sebenarnya telah berlalu pergi. Apa yang tinggal hanyalah penyesalan. Ke manakah perginya hawa nafsu? Berapa banyak masa yang sudah dihabiskan sia-sia? Padahal itu semua boleh merosakkan pemikiran dan menghapuskan segala kebaikan."
Dalam artikel yang lalu, saya ada berkongsikan tentang ibadah. Ada kaitankah antara ibadah dan masa? Ya, memang ada. Kerana antara hikmah kita melaksanakan ibadah adalah ia menjadikan kita untuk lebih peka terhadap masa. Contohnya, ibadah solat fardu lima waktu yang kita kerjakan. Kita sangat digalakkan untuk menunaikannya seawal waktu yang mungkin. Keadaan ini sebenarnya mendidik kita untuk peka dengan masa sekali gus boleh menjadikan kita manusia yang bijak mengurus masa dengan sebaiknya.
Begitu juga, kita pada zaman ini tidak berpeluang untuk hidup lama seperti manusia zaman-zaman terdahulu. Nabi Nuh hidup kurang sedikit dari umur seribu tahun. Begitu juga Nabi Musa. Mungkin kita berfikir, kita telah kalah dalam bab mengejar pahala amal kebajikan, kerana lamanya tempoh masa mereka yang telah Allah berikan untuk beribadah kepada-Nya.
Namun sedarkah kita, bahawa Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang sebenarnya telah menyediakan ruang yang luas untuk kita umat Nabi Muhammad Salllahu Alaihi Wasallam menggandakan pahala amal-amal salih kita. Yang mana jika kita dapat memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaiknya dalam kehidupan kita yang singkat ini, amal-amal kita ini sebenarnya tidak kalah dengan amal-amal salih mereka yang telah dikurniakan usia panjang tadi.
Misalnya, ibadah solat fardu. Jika kita kerjakannya secara berjemaah, seolah-olah kita telah solat sebanyak 27 kali. Jika kita lakukannya sehari semalam, dengan purata setiap solat selama lima minit, maka seolah-olah kita telah melaksanakan ibadah solat ini selama 11 jam dalam sehari!
Begitu juga ibadah kita pada bulan Ramadan, yang mana ibadah sunat yang kita tunaikan akan diberikan balasan seperti pahala ibadah fardhu, manakala amal fardhu pula, diberikan balasan 70 kali ganda. Malah, jika kita beribadah pada malam Lailatul Qadar sebanyak 30 kali Ramadan, maka kita akan mendapat ganjaran ibadah selama 2490 tahun!
Dan ingatlah kita kepada firman Allah berikut:
"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (al-Baqarah : 261)
Maka teman-teman sekalian, ayuh kita hargai masa. Dan tunaikan ibadah sebaiknya. Bak kata pujangga, "Bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi, dan beribadahlah seolah-olah kamu akan mati pada esok hari."
No comments:
Post a Comment