Monday, January 10, 2011

Peduli Ibadah Sunat

Oleh Wan Am

Selain ibadah wajib seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, zakat dan haji bagi yang mampu, Islam juga sangat menggalakkan umatnya untuk meningkatkan amal ibadah-ibadah sunat. Jika ibadah wajib adalah tiang seri agama, maka ibadah sunat pula adalah penyokong dan pengukuhnya. Ibadah-ibadah sunat ini disyariatkan oleh Allah adalah untuk menampal, menampung dan menyempurnakan kelemahan dan kekurangan yang wujud dalam pelaksanaan ibadah-ibadah wajib yang kita lakukan.

Dalam satu hadis mengenai kelebihan solat sunat, Abu Hurairah radhiyallahu anhu meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya amalan manusia yang mula-mula dihisab pada hari kiamat adalah solat mereka. Tuhan kita berfirman kepada Malaikat-Nya padahal Ia lebih mengetahui: Periksalah solat hamba-Ku! Sempurnakah atau kurang? Jika solatnya sempurna dicatatlah sempurna, dan jika terdapat kekurangan Tuhan berfirman pula: Periksalah, apakah hamba-Ku mempunyai amalan solat sunat? Jika ia mempunyai amalan solat sunat lalu Tuhan berfirman: Sempurnakan solat fardu hamba-Ku dengan solat sunatnya. Kemudian diperhitungkan amalan-amalan itu dengan cara demikian.” (Hadis riwayat Abu Daud, an-Nasai dan at-Tirmizi)

Pada usia muda ini, rebutlah peluang untuk kita membiasakan diri dengan ibadah-ibadah sunat berikut:

1. Mengerjakan solat sunat rawatib setiap hari. Diriwayatkan dari Ummul Mukminin Habibah, beliau mendengar Rasulullah sallahu alaihi wasallam bersabda, “Jika hamba yang Muslim solat sebanyak dua belas rakaat kerana Allah pada setiap hari, secara sunnah bukan wajib, maka Allah membangun rumah untuknya di syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

2. Rajin mengerjakan solat sunat witir walaupun satu rakaat. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiyallahu anhu yang berkata, “Aku diberi wasiat tiga hal oleh kekasihku Rasullah sallahu alaihi wasallam, iaitu puasa tiga hari pada setiap bulan, (mengerjakan) dua rakaat solat Dhuha, dan mengerjakan solat Witir sebelum tidur.” (Muttafaq Alaih)

3. Duduk setelah solat Subuh di masjid untuk berzikir, membaca al-Quran hingga matahari terbit dan solat dua rakaat. Diriwayatkan daripada Anas radhiyallahu anhu yang berkata, Rasullah sallahu alaihi wasallam bersabda, “Barangsiapa solat Subuh dengan berjemaah, lalu duduk berzikir kepada Allah Taala hingga matahari terbit, lalu solat dua rakaat, maka itu seperti pahala penuh haji dan umrah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi, tergolong dalam hadis hasan)

4. Rajin solat Dhuha.

5. Mengerjakan qiammullail walaupun sebentar.

6. Berpuasa pada hari-hari mulia, antaranya enam hari di bulan Syawal, hari Arafah, hari Asyura dan hari Isnin atau Khamis.

7. Menyumbang dana untuk projek dan aktiviti Islam walaupun sedikit.

Salah satu ibadah sunat yang disukai Allah dan menduduki tempat yang tinggi dalam usaha kita untuk muraqabah (meyakini dengan sepenuh hati Allah melihat dan mengawasi gerak-gerak kita) dan mendekatkan diri kepada Allah ialah ibadah zikir. Ia merupakan amalan hamba yang sentiasa sedar akan tuntutan kewajipan mengingati dan mensyukuri Penciptanya. Dengan berzikir, Allah akan memberikannya keampunan dan pahala yang besar. Firman Allah:

“Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (al-Ahzab : 35)

Ibnu Abbas radhiyallahu anhu pernah menegaskan kepentingan zikir ini dengan katanya, “Sesungguhnya setiap kewajipan yang diperintahkan Allah terhadap hamba-hamba-Nya ada batasannya. Bagi yang uzur, dimaafkan oleh-Nya. Namun tidak bagi zikrullah. Tidak ada batas dan uzur yang dapat diterima untuk keringanan daripada berzikir kecuali apabila akal seseorang itu telah berubah menjadi gila.”

Zikir itu mempunyai tingkatannya. Paling tinggi ialah zikir dengan kedua-dua hati dan lidah, disusuli zikir dengan hati. Zikir dengan lidah adalah tingkatan yang paling rendah.

Zikir juga dapat dilakukan dalam banyak keadaan. Dalam kita al-Azkar, Imam Nawawi berkata, “Telah ijmak ulama berkenaan dengan keharusan berzikir dengaan hati dan lidah bagi semua orang termasuk mereka yang berhadas, yang berjunub, yang haid dan yang mengalami nifas, tidak kira samada zikirnya berbentuk tahlil, tahmid, takbir, selawat, doa dan yang seumpamanya kecuali membaca al-Quran…” Malah, solat lima waktu juga mengandungi pelbagai jenis zikir yang memberikan peluang kepada setiap Muslim untuk untuk membersihkan diri dan rohaninya serta menumpukan ingatannya kepada Allah.

Begitu juga zikir mempunyai kaitannya dengan ilmu. Dalam kitab yang sama Imam Nawawi menyatakan, “Sebenarnya zikir tidak hanya dikaitkan dengan majlis tahlil, tasbih, tahmid, takbir dan yang seumpamanya sahaja. Bahkan setiap mereka yang melaksanakan amalan taat kepada Allah dianggap sebagai golongan yang berzikir. Pendapat ini diutarakan oleh Imam Said bin Jubair serta ramai ulama lain. Imam Atha berpendapat majlis zikir adalah majlis yang berbicara tentang halal dan haram, hukum hakam jual beli, solat, puasa, nikah, talak, haji dan seumpamanya.”

Justeru, sentiasalah kita berzikir kepada Allah yang telah menganugerahkan pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya kepada kita. Dengan zikrullah, insya-Allah hati kita akan sentiasa dilimpahi ketenangan dan terdidik di bawah pengawasan Allah serta menjadi perisai daripada maksiat dan dosa.

No comments:

Post a Comment