Friday, January 21, 2011

Apa Kata Agama Tentang Zina?

Oleh Wan Am

Dalam artikel kali ini, saya ingin ketengahkan hal-hal berkaitan zina dari perspektif yang sedikit ilmiah, yang mana saya cenderung untuk berkongsi pandangan beberapa agama mengenai zina. Terlebih dahulu, pohon maaf saya pinta andai perkongsian saya ini akan menimbulkan sedikit rasa sensitif bagi sesetengah pihak. Namun, saya harap kita dapat bersikap positif dalam hal ini. Dengan komitmen kita untuk memastikan gejala zina ini benar-benar dapat dibanteras seluruhnya, sedikit ilmu mengenainya elok juga menjadi bekalan kita.

Saya mulakan perbincangan ini dengan meninjau pandangan Islam tentang zina. Ulama-ulama silam pernah memberikan beberapa definisi mengenai zina. Antara yang telah saya temui ialah pandangan daripada al-Qarafi, al-Kasani dan al-Shirazi, melalui pembacaan saya dalam buku "Jinayah Dalam Islam - Satu Kajian Ilmiah Mengenai Hukum-hukum Hudud" hasil karya Dr. Mahfodz Mohamad.

Bagi al-Qarafi dalam kitabnya "al-Dakhira", zina ialah pencabulan kemaluan perempuan yang diharamkan melalui wati (memasukkan hasyafah* dan menenggelamkannya ke dalam faraj) yang haram pada bukan milik dan bukan milik yang kesamaran. Kata al-Kasani dalam bukunya "Badai' al-Sanai'" pula, beliau mendefinisikan zina sebagai nama bagi wati yang diharamkan ke dalam kemaluan perempuan yang masih hidup, dengan kerelaannya, dilakukan dalam dar al-'adil yang iltizam dengan hukum-hukum Islam dan yang sunyi daripada milik dan milik yang samar-samar dan daripada hak milik serta daripada nikah yang sebenarnya dan nikah yang samar-samar.

Al-Syirazi pula menukilkan dalam bukunya "al-Muhazhzhab", zina ialah seorang lelaki daripada penduduk negara Islam yang melakukan wati ke atas perempuan yang diharamkan ke atasnya dengan tidak melalui akad atau akad yang kesamaran dan tidak milik atau milik yang kesamaran dan lelaki itu berakal lagi baligh dan tidak dipaksa serta mengetahui hukum zina.

Daripada definisi-definisi tersebut, Dr. Mahfodz Mohamad dalam buku beliau tersebut telah menyimpulkan bahawa bolehlah dikatakan, zina ialah:

1. Perbuatan wati yang diharamkan;
2. Dilakukan dengan sengaja; dan
3. Dilakukan oleh orang yang cukup syarat sebagai mukallaf.

Maka, ketiga-tiga perkara di atas ini telah dipersetujui oleh kebanyakan ulama sebagai rukun-rukun bagi kesalahan zina. Oh, zina pun ada rukun-rukunnya juga. Ini ilmu baru buat saya, dan mungkin juga anda. Selama ini pun yang kita tahu hanya rukun iman, rukun Islam, rukun solat, rukun puasa dan rukun haji sahaja.

Apa pula kata al-Quran tentang zina? Ada beberapa ayat Allah yang relevan dengan hal zina ini. Antaranya ialah firman Allah:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji (fahisyah) dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (al-Israk : 32)

Di sini Allah menjelaskan tentang kejinya zina, yang mana perkataan “fahisyah” maknanya adalah perbuatan keji atau kotor yang sudah mencapai tingkat yang tinggi dan diakui kekejiannya oleh setiap orang yang berakal, bahkan oleh sebahagian banyak binatang. Dalam hal ini, Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya, daripada Amru bin Maimun al-Audi, beliau berkata, “Aku pernah melihat – pada masa jahiliah – seekor kera jantan yang berzina dengan seekor kera betina, lalu datanglah kawanan kera mengerumuni mereka berdua dan melempari keduanya sampai mati.” Dalam ayat tersebut juga Allah mengisytiharkan bahwa zina adalah seburuk-buruk jalan, ia adalah jalan kebinasaan, kehancuran dan kehinaan di dunia serta menempa seksaan dan azab di akhirat.

Zina adalah perbuatan terkutuk dan tergolong dalam dosa-dosa besar. Di samping itu, perbuatan zina ini boleh menyebabkan perbuatan dosa besar lain oleh si pelakunya, misalnya pembunuhan. Hal ini berlaku apabila wanita yang mengandungkan anak hasil perbuatan zina berusaha menggugurkan anak dalam kandungan. Jika gagal berbuat demikian, bayi yang dilahirkan akan dibuang di merata-rata tempat seperti tempat pembuangan sampah, dalam tandas awam, tepi longkang dan ada kalanya ditinggalkan di kawasan masjid, yang mana tindakan sedemikian boleh menjadi penyebab kepada kematian bayi tersebut.

Mengenai hal ini, perhatikan firman Allah berikut yang merupakan ayat selepas ayat mengenai zina tadi:

"Dan janganlah kamu membunuh diri seorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau-lampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan." (al-Israk : 33)

Daripada kedua-dua ayat yang berturutan ini, jelaslah akan kaitannya antara jenayah zina dan pembunuhan. Bagai isi dan kuku.

Mari kita perhatikan pula firman Allah berikut:

"katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman: hendaklah mereka menahan (sebahagian) daripada pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." (an-Nuur : 30)

Ayat ini menegaskan bahawa orang-orang lelaki yang beriman wajib menahan pandangan mata mereka daripada memandang kepada wanita yang bukan mahram. Zina mata membawa kepada zina hati, yang mana membawa pula kepada zina anggota dan ini akan menyebabkan kemurkaan dan laknat Allah. Walaubagaimanapun, pandangan yang tidak disengajakan adalah dimaafkan tetapi tidak boleh diulangi. Manakala pandangan kerana suatu hajat atau darurat dari segi syariat adalah diharuskan, seperti untuk meminang atau mengubati.

Manakala untuk kaum wanita, renungilah firman Allah ini:

"Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada perempuan-perempuan yang beriman: hendaklah mereka menahan (sebahagian) daripada pandangan mereka (daripada memandang lelaki yang ajnabi) dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung (khumur) ke dada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba abdi yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan) atau anak-anak yang belum mengerti aurat perempuan. Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu mencapai falah, yakni mendapat keuntungan, kemenangan atau kebahgiaan yang hakiki." (an-Nuur : 31)

Sememangnya Islam amat menitikberatkan kesejahteraan hidup manusia dengan ikatan pernikahan yang sah. Perbuatan zina amat dilarang keras oleh Islam kerana perbuatan ini adalah jenayah yang banyak menimbulkan masalah kepada masyarakat dan negara. Berleluasanya zina akan menyebabkan masyarakatnya menjadi porak-peranda dan berpeca-belah, merosakkan keturunan, membawa bermacam penyakit, merosakkan kesihatan rohani dan jasmani, menghilangkan ketenangan dan mencemarkan kesucian Islam, bahkan boleh menjadi penyebab kepada turunnya bala daripada Allah.

Kita tinjau pula secara ringkas apa kata agama lain tentang zina. Bagi agama Buddha, zina jelas menjadi suatu amalan yang dilarang untuk dilakukan oleh penganutnya. Hal ini terkandung dalam lima larangan dalam agama Buddha iaitu jangan membunuh, jangan berzina, jangan berbohong, jangan mencuri dan jangan minum arak. Perkara-perkara ini ada disebut dalam Sutta Nipata 815, Dhammapada 309-10 dan Sutta Nipata 123. Jika dilihat pula pada adat tradisi masyarakat Cina zaman dahulu, hukuman ke atas mereka yang berzina ini amat berat. Penzina-penzina ini akan dimasukkan ke dalam bekas atau raga babi dan dicampakkan ke dalam sungai.

Begitu juga larangan dalam agama Kristian. Agama tersebut mengharamkan zina kepada penganutnya, sepertimana yang disebut dalam Bible, 1 Corinthians 6:18-20 dan 1 Corinthians 7:1-2. Jika dibaca kitab Hindu, Bhagavad Gita1.40-42, zina juga diharamkan dalam agama Hindu. Perlakuan berzina dianggap sebagai penghinaan kepada undang-undang agama Hindu (Laws of Manu, 9.95, 101). Dalam ajaran Sikh, salah satu daripada lima dosa besar adalah berzina.

Dalam beberapa ajaran lain seperti Konfucianisme, Taoisme, Jainisme, Zoroastrianisme, Shintoisme, Judaisme dan Bahai juga jelas terdapat larangan zina ini (rujuk artikel bertajuk 'A Comparison of Morality from the religions from Around the World', http://usminc.org/other.html).

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa tidak ada satu pun agama atau ajaran di dunia yang menghalalkan perlakuan tidak bermoral seperti berzina atau hubungan seks luar perkahwinan ini. Sememangnya semua agama mahu memastikan penganutnya menjadi manusia yang mempunyai moral yang tinggi, bermaruah dan sebagainya.


*Hasyafah - bahagian kepada zakar

No comments:

Post a Comment