Friday, September 28, 2012

Hitam Tahan Tempa, Putih Tahan Sesah

Oleh Wan Am

"Angah sudah pun jadi tunang orang," beritahu Emak kepada saya pada suatu hari di bulan Disember 2003.

"Ha? Bila pula Angah bertunang? Tak tahu pun!" Saya membalas sambil bertanya pula kepada Emak.

 "Hari tu kan Mak dan Ayah pergi ke Kedah ziarah keluarga Arsyi. Masa tu lah Ayah berbincang dengan ayah Arsyi tentang hal perkahwinan kamu berdua, termasuklah tarikh perkahwinan. Bila dah tetap tarikh, Ayah terus bawa Mak pergi beli cincin dan akhirnya kamu pun ditunangkan.." jelas Emak.

Saya terdiam sebentar. Selepas seminggu berlalu sejak peristiwa bersejarah yang Emak ceritakan itu, barulah saya tahu bahawa saya kini telah pun menjadi tunangan orang. Maka, seperti kebanyakan pasangan lain, saya dan isteri akhirnya melalui suatu tempoh "bertenang" sebelum diijabkabulkan kira-kira enam bulan kemudian.

Pertunangan adalah suatu ikatan sebelum perkahwinan di antara seorang lelaki dengan seorang wanita yang dibenarkan dalam Islam. Secara mudah pertunangan bermaksud suatu perjanjian untuk berkahwin daripada pihak lelaki terhadap seorang perempuan, dalam pengetahuan perempuan tersebut beserta walinya. Kata Dr. Wahbah Zuhaili dalam bukunya 'al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu' juga, pertunangan terjadi apabila seorang lelaki menyatakan keinginan untuk berkahwin dengan perempuan tertentu, dan perempuan itu atau walinya mengetahui akan hal pertunangan tersebut.

Sebenarnya dalam Islam tidak susah untuk seseorang wanita itu dikira sudah bertunang dengan seorang lelaki. Menurut syarak, apabila seorang lelaki menyatakan hasratnya untuk berkahwin kepada seorang wanita dan mendapat persetujuan wanita tersebut, maka wanita itu sudah dikira menjadi tunang lelaki berkenaan. Cukup sahaja dengan pertanyaan, "Bolehkah awak menjadi isteri saya?" Dan jika jawapannya "Boleh.." atau jawapan lain yang menandakan persetujuan, maka sahlah wanita itu menjadi tunangnya. Hm.. macam biasa kita dengar dialog sebegini dalam drama dan filem Melayu tempatan, kan?

Namun dalam masyarakat kita sudah menjadi adat, apabila melakukan suatu upacara pertunangan, maka akan datanglah satu rombongan pihak lelaki ke rumah pihak perempuan. Dibawa bersamanya cincin dan kadangkala barangan lain seperti sepasang kain, selendang, sepatu, manisan dan sebagainya. Lebih meriah lagi bila berlaku acara berbalas pantun antara kedua-dua belah pihak.

Adakah cara begini dibenarkan dalam Islam? Jawapannya, tiada masalah. Apa jua adat, selagi tidak melanggar batasan syarak maka ia dibolehkan. Dalam konteks ini jika tidak berlaku pembaziran, pergaulan bebas, perlanggaran waktu solat (jika dibuat misalnya pada waktu Maghrib dan mereka yang terlibat tidak menunaikan solat), aktiviti maksiat dan sebagainya yang tidak mengikut lunas agama, maka upacara tersebut boleh saja dijalankan.

Alam pertunangan merupakan suatu alam yang penuh pancaroba. Segumpal darah bernama hati pada waktu ini paling hebat diuji. Syaitan yang tidak pernah lekang dengan muslihatnya, menggunakan tempoh ini sepenuhnya untuk mendorong nafsu manusia ke arah maksiat dan kejahatan.

Akibat pujukan syaitan, ramai yang telah tertewas. Mereka ini antaranya adalah golongan yang berpendapat, "Dia ni tunang aku. Suka hati akulah hendak buat apa dengan dia!" Ada juga dalam kalangan mereka yang berkata, "Dia ni dah confirm akan jadi isteri aku. Apa salahnya aku keluar berdating dengan dia."

Namun di sana ada juga manusia yang tetap berpaut pada ajaran agamanya. Mereka ini seperti kata orang dulu-dulu, "Hitam tahan tempa, putih tahan sesah." Mereka teguh berpendirian bahawa ikatan "janji untuk berkahwin" bukan passport untuk wewenang berhubungan dengan pasangannya.

Mereka ini tahu bahawa dalam Islam, selagi mana seseorang lelaki dan perempuan yang bukan mahram itu belum berkahwin, mereka tetap bukan mahram antara satu sama lain, walau sudah diikat tali pertunangan sekali pun. Maka wajiblah mereka menjaga batas-batas pergaulan antara mereka seperti yang ditetapkan oleh syarak. Antaranya haram ada persentuhan, haram berdating tanpa mahram yang thiqah, malah haram berkomunikasi bertemankan syahwat sama ada melalui panggilan telefon, SMS, chatting, e-mail dan sebagainya.

Kepada anda yang kini masih dalam tempoh pertunangan, banyakkanlah berdoa pada waktu ini. Semoga doa kita dari lubuk hati yang dalam itu menjadi penguat kepada diri untuk terus istikamah mengerjakan amal salih dan terhindar daripada tipu daya syaitan. Jangan lupa untuk berdoa dan berharap kepada Tuhan agar kelak kita dikurniakan sebuah rumahtangga yang diselimuti sakinah, mawaddah dan rahmah.

"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."  (Al-Furqan : 74)