Wednesday, May 4, 2016

Bersediakah Kita Untuk Sampaikan Islam?

Oleh Wan Am

Tugas menyampaikan Islam kepada masyarakat yang masih belum kembali kepada Islam adalah menjadi tanggungjawab kepada semua Muslim. Ia bukanlah terbeban kepada golongan “ustaz” dan “ustazah” sahaja. Dalam al-Quran, begitu banyak ayat yang menuntut kita sebagai umat Islam untuk menyampaikan mesej Islam kepada mereka yang masih belum bersama Islam.

Antara ayat yang amat memotivasikan saya untuk berdakwah, yakni menyampaikan Islam kepada non-Muslim adalah seperti berikut (yang bermaksud):

“Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat keras?’ Mereka menjawab, ‘Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu dan agar mereka bertakwa.” (al-A’raf 7 : 164)

Ya, tugas kita menyampaikan Islam kepada non-Muslim bukanlah untuk memastikan mereka memeluk Islam. Hidayah itu milik Allah. Tugas kita hanyalah menceritakan keindahan Islam kepada mereka, juga membetulkan salah tanggapan mereka tentang Islam. Di akhirat nanti yang akan ditanya oleh Allah ialah adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab menyampaikan mesej Islam, bukan berapa ramai non-Muslim yang telah kita Islamkan.

Justeru, selain kesedaran berdakwah, persediaan untuk menyampaikan Islam kepada non-Muslim juga adalah suatu perkara yang perlu kita titik-beratkan. Kita perlu bersedia pada bila-bila masa untuk menyampaikan mesej Islam kerana di sekeliling kita sebenarnya ada ramai non-Muslim yang sedang menunggu-nunggu penjelasan mengenai Islam daripada kita. Lebih penting lagi ialah bagaimana untuk kita sampaikan Islam secara mudah kepada mereka yang mungkin pada waktu itu tidak mempunyai masa yang lama untuk mendengar tentang Islam daripada kita.

Bayangkan jika tidak semena-mena ada seorang non-Muslim datang kepada anda dan bertanyakan, “Boleh anda jelaskan mengenai Islam secara ringkas kepada saya?” Agaknya apa reaksi anda pada waktu itu? Terkejut? Terdiam sebentar? Tergaru-garu kepala yang tidak gatal?

Malah lebih mustahak lagi, apakah jawapan bernas yang anda akan kongsikan dengan beliau mengenai Islam?

Ada satu pengalaman menarik yang berlaku sewaktu saya mengendalikan aktiviti ziarah rumah ibadat agama-agama lain pada bulan Ogos 2015 bersama lebih kurang 25 orang pelatih kursus dakwah anjuran Hidayah Centre Foundation. Kebiasaannya dalam program sebegini, apabila kita pergi ke mana-mana rumah ibadat seperti gereja, kuil Hindu, kuil Buddha dan gurdwara, pihak mereka akan berkongsikan kepada kita mengenai agama dan kepercayaan mereka serta secara ringkas latar belakang rumah ibadat berkenaan.

Namun ketika kami mengunjungi sebuah kuil Hindu di pinggir bandaraya Kuala Lumpur pada bulan Ogos 2015 tersebut, kata-kata pertama yang keluar dari mulut Pengurus kuil Hindu tersebut kepada kami ialah “Bolehkah kamu terangkan kepada saya tentang Islam?” Suasana menjadi hening sebentar, agaknya kami semua tersentak dengan soalan itu yang tidak disangka-sangka terpacul dari mulut beliau. Walaupun begitu, beberapa detik kemudian seorang demi seorang peserta program memberikan penjelasan mengenai Islam kepada pengurus kuil Hindu tersebut dengan begitu meyakinkan. Pastilah ia adalah hasil latihan teori dakwah yang mereka ikuti selama lima hari sebelum mereka menyertai aktiviti ziarah rumah ibadat ini.

Melalui pengalaman ini, jelaslah kepada saya (dan mungkin juga kepada anda) bahawa kita perlu bersedia pada bila-bila masa untuk berkongsi mesej Islam kepada non-Muslim di sekeliling kita.

Selain itu, aktiviti Street Dakwah yang kerap kami di Hidayah Centre laksanakan saban bulan di tempat-tempat awam juga memerlukan setiap daripada kami untuk bersedia memberikan penerangan mengenai Islam kepada non-Muslim. Dalam aktiviti Street Dakwah, kita bukan sahaja mendapatkan pandangan non-Muslim mengenai Islam berdasarkan tema yang ditetapkan (contoh tema Street Dakwah ialah ketuhanan, kerasulan Nabi Muhammad, Al-Quran, ketuhanan Jesus dan sebagainya), malah kadangkala kita dihujani soalan-soalan daripada non-Muslim yang jelas menampakkan mereka begitu keliru dengan Islam. Lebih menarik, tidak kurang juga dalam kalangan mereka yang berminat dan bersedia untuk mendengar lebih lanjut tentang Islam. Hinggakan pernah berlaku pengislaman dalam aktiviti Street Dakwah yang diadakan hasil penjelasan yang baik yang diberikan mengenai Islam!