Oleh Wan Am
Kisah yang telah saya ketengahkan dalam artikel yang lalu, mudah-mudahan telah mencelikkan mata hati kita betapa hebatnya peranan syaitan dalam menggoda anak-anak Adam ke arah kesesatan. Bukan sekadar orang biasa, malah orang yang kuat beribadah juga, jika tidak teguh imannya, bila-bila masa sahaja boleh terjebak menjadi pengikut syaitan laknatullah. Begitulah manusia, apabila benteng pertahanannya roboh, maka syaitanlah teman akrabnya, bersesuaian dengan firman Allah:
"Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingati Allah." (al-Mujaadilah : 19)
Rosaknya generasi muda kita pada hari ini menggambarkan kejayaan syaitan dalam melaksanakan misinya untuk menghalang manusia daripada mengikut jalan yang lurus. Itulah janji syaitan sewaktu diusir oleh Allah dari syurga, iaitu untuk menyesatkan umat manusia dan memastikan mereka dihumbankan ke dalam neraka lantaran amal kejahatan dan maksiat yang dilakukan di dunia.
Berhubung hal ini, Allah telah mengulangi peringatan-Nya mengenai kisah Iblis yang mengingkari arahan untuk sujud kepada Nabi Adam pada beberapa tempat dalam al-Quran. Antaranya ialah dialog di antara Allah dan Iblis yang dirakamkan dalam surah Sad ayat 71 hingga 85:
"(71) (Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah". (72) Maka apabila telah Aku sempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan kepadanya roh (ciptaan)-Ku; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya". (73) Lalu seluruh malaikat itu bersujud semuanya. (74) Kecuali Iblis; dia menyombongkan diri dan adalah dia termasuk orang-orang yang kafir. (75) Allah berfirman: "Hai iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Ku-ciptakan dengan kedua tangan-Ku. Apakah kamu menyombongkan diri ataukah kamu (merasa) termasuk orang-orang yang (lebih) tinggi?". (76) Iblis berkata: "Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah". (77) Allah berfirman: "Maka keluarlah kamu dari syurga; sesungguhnya kamu adalah orang yang terkutuk, (78) sesungguhnya kutukan-Ku tetap atasmu sampai hari pembalasan". (79) Iblis berkata: "Ya Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan". (80) Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh, (81) sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (hari Kiamat)". (82) Iblis menjawab: "Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, (83) kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis di antara mereka". (84) Allah berfirman: "Maka yang benar (adalah sumpah-Ku) dan hanya kebenaran itulah yang Ku-katakan". (85) Sesunggguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka Jahannam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya."
Lihatlah, sungguh-sungguh Iblis telah berjanji untuk komited menyesatkan Nabi Adam dan umat manusia. Kisah ini harus kita ambil iktibarnya, dan seterusnya beristikamah untuk benar-benar menjadi hamba Allah yang beriman dan bertakwa. Itulah saja jalan untuk mengelakkan diri kita daripada terjerumus ke dalam perangkap Iblis dan kelicikan bala tenteranya.
Untuk meraih kecemerlangan dan kebahagiaan yang hakiki dalam kehidupan, taktik-taktik yang dipergunakan syaitan harus kita ketahui supaya syaitan tidak akan berpeluang untuk melancarkan laser-lasernya bagi merosakkan hati manusia. Berhubung hal ini, pedoman oleh seorang salihin boleh digunakan untuk menangkis laser syaitan tersebut, yang mana beliau pernah berkata, "Kurenung dan kufikir, dari pintu manakah syaitan itu memasuki hati manusia, tiba-tiba kudapati syaitan memasukinya dari sepuluh pintu:
1. Tamak dan jahat sangka, lantas aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan yang ada setelah berusaha dan berikhtiar.
2. Cintakan hidup dan panjang angan-angan, lantas aku menghadapinya dengan rasa takut terhadap kedatangan maut dengan tiba-tiba.
3. Cintakan kerehatan dan nikmat, lantas aku menghadapinya dengan meyakini bahawa nikmat itu akan hilang dan meyakini balasan buruk.
4. Kagum pada diri sendiri (ujub), lantas aku menghadapinya dengan mensyukuri nikmat-nikmat pemberian Allah dan takutkan balasan seksaan.
5. Pandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lantas aku menghadapinya dengan cara mengetahui hak-hak dan kehormatan mereka.
6. Hasad, lantas aku menghadapinya dengan sifat qanaah (berpuas hati dengan apa yang ada setelah berusaha dan berikhtiar) dan reda terhadap pemberian Allah kepada makhluknya.
7. Riak dan sukakan pujian manusia, lantas aku menghadapinya dengan sifat ikhlas.
8. Bakhil, lantas aku menghadapinya dengan meyakini bahawa apa yang ada di tangan makhluk itu akan binasa sedang apa yang ada di sisi Allah itu akan kekal.
9. Takabbur, lantas aku menghadapinya dengan sifat tawadduk.
10. Tamak, lantas aku menghadapinya dengan yakin terhadap balasan Allah dan tidak mengharapkan sesuatu yang ada pada manusia.
Islam sendiri telah menyediakan beberapa tips untuk manusia mengelakkan diri daripada tipu daya syaitan. Antaranya ialah dengan mengingati Allah sewaktu mahu memulakan sesuatu kerja. Mengenai perkara ini, Abu Hurairah pernah meriwayatkan bahawa telah bertemu syaitan orang-orang mukmin dengan syaitan orang-orang kafir. Didapati syaitan orang kafir itu sangatlah gemuk, manakala syaitan orang mukmin kurus kering dan dalam keadaan dukacita. Lalu syaitan orang kafir bertanya kepada syaitan orang mukmin, "Kenapa kamu kurus kering dan berasa dukacita?" Syaitan orang mukmin menjawab, "Aku mendampingi seorang lelaki untuk menggodanya. Apabila lelaki itu hendak makan dia menyebut nama Allah, lalu aku terus lapar. Apabila minum dia menyebut nama Allah, lalu aku terus kehausan. Apabila dia memakai pakaian dia menyebut nama Allah, dengan itu aku terus bertelanjang. Apabila dia memakai minyak rambut dia menyebut nama Allah, dengan itu rambutku terus kering dan kusut." Syaitan orang kafir itu pun menjawab, "Tetapi aku mendampingi seorang lelaki yang tidak melakukan sedikit pun daripada apa yang engkau sebutkan itu. Oleh itu aku berkongsi dengannya pada makanannya, minumannya dan pakaiannya."
Dalam bukunya "Apa Ertinya Saya Menganut Islam", Ustaz Fathi Yakan telah menyatakan bahawa termasuk juga dalam perkara yang dapat dijadikan sebagai perisai daripada laser syaitan ialah menjauhkan makan terlalu banyak, bermewah-mewah sekalipun halal dan bersih, bertepatan dengan firman Allah:
"Makan dan minumlah tetapi jangan berlebihan." (al-A'raaf : 31)
Dalam hal yang sama Nabi Muhammad s.a.w. juga ada berkata:
"Sesungguhnya syaitan itu berlari dalam diri anak Adam seperti mengalirnya darah, oleh itu sempitkanlah laluan syaitan dengan berlapar." (Hadis riwayat Ahmad dan Bukhari)
Selain itu, membaca al-Quran, berzikir dan beristighfar juga boleh menjadi benteng diri daripada godaan syaitan, di samping menjauhi sifat tergesa-gesa dan sentiasa berhati-hati dalam semua perkara.
No comments:
Post a Comment