Sunday, January 9, 2011

Serlahkan Potensi Akal

Oleh Wan Am

Setelah berbicara tentang nafsu, kali ini saya ingin menyentuh pula tentang akal. Ini kerana sebagaimana nafsu, akal juga ada kaitannya dengan ibadah. Tambahan lagi, akal adalah suatu kejadian yang sangat berharga buat manusia, serta menjadi alat untuk manusia menjalankan tugas mencari dan menguasai ilmu.

Islam menggalakkan umatnya untuk menceburi segala bidang ilmu pengetahuan dalam kehidupan. Malah, manusia zaman ini amat memerlukan ilmu-ilmu tersebut lantaran berada dalam suasana berlumba-lumba menghasilkan pelbagai ciptaan dan penemuan baru. Semuanya pula adalah untuk manfaat manusia itu sendiri.

Malangnya, umat Islam juga yang tertinggal dalam perlumbaan tersebut. Setelah berlalu zaman keemasan Islam yang di dalamnya lahir tokoh ilmuan Islam seperti Ibnu Sina, al-Khawarizmi, Jabir bin Hayyan, al-Zahrawi dan lain-lain, umat Islam tiba-tiba dilanda musim tengkujuh yang berpanjangan. Suatu zaman di mana mereka tidak lagi berminat mengkaji alam, bahkan mengabaikan bidang kajian dan tafakur berkaitan sains dan teknologi, sedangkan di Barat bidang ilmu tersebut berkembang dengan pesat bak cendawan selepas hujan.

Natijahnya, umat Islam menjadi “pak turut” dan “pak angguk” dunia Barat, juga dunia Timur. Umat Islam bergantung sepenuhnya kepada mereka, dan pada masa yang sama sibuk berdebat dan berfalsafah dalam perkara ranting yang tidak berfaedah.Tepatlah seperti apa yang pernah dinukilkan oleh Syeikh Hasan an-Nadwi dalam bukunya “Kerugian Dunia Kerana Kemunduran umat Islam”, yang mana beliau mengatakan selama berabad-abad lamanya umat Islam membuang waktu dan tenaga untuk berfikir dan berfalsafah berhubung dengan perkara yang tidak bermanfaat. Jika umat Islam menfokuskan kepada ilmu yang menguntungkan Islam, kedudukan mereka tidak akan menjadi separah itu. Umat Islam bukan sahaja asyik membahaskan sifat-sifat Allah, malah mereka juga berbicara tentang roh, falsafah wihdatul wujud dan sebagainya. Semua ini memakan masa dan tenaga yang bukan sedikit. Hasil penemuan (sains) kaum Muslimin samada di sudut kuantiti ataupun kualitinya, tidak mendatangkan apa-apa makna jika dibandingkan dengan penemuan Barat.

Maka, umat Islam perlu kembali mengasah dan menyerlahkan potensi akal mereka agar kembali menjadi umat yang gemilang, seterusnya menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula tamadun Islam. Allah amat memandang mulia kepada orang yang memanfaatkan akalnya, malah, menggelar mereka sebagai “ulul albab”, sebagaimana yang difirmankan-Nya dalam surah Ali Imran ayat 190 dan 191:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab (iaitu golongan yang berakal). (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, ‘Wahai Tuhan kami Kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka’.”

Membaca dan merenung ayat-ayat Allah adalah salah satu cara untuk kita mengenal dan mendekatkan diri kepada Allah. Dengan niat dan cara yang betul, ia boleh dikira sebagai suatu ibadah. Dalam ayat di atas, Allah menyuruh manusia untuk merenung alam, langit dan bumi. Juga memerhatikan proses pergantian siang dan malam. Semuanya itu penuh dengan bukti-bukti kebesaran-Nya.

Bukan itu sahaja, malah Islam turut mengajar kita agar tidak membezakan di antara ilmu agama dengan ilmu dunia. sebagaimana Islam mahu dalam kalangan umatnya menjadi ahli dalam hukum Islam, Islam juga mahukan umatnya yang berkeahlian dalam bidang perubatan, kejuruteraan, perakaunan, teknologi maklumat dan ilmu-ilmu kontemporari yang lain. Menceburkan diri dalam bidang-bidang ilmu tersebut pula merupakan kewajipan bagi segelintir orang Islam, malah hendaklah bersungguh-sungguh menjadi orang yang mahir dan pakar agar kelak kemahiran dan kepakaran mereka dalam bidang-bidang tersebut akan memberikan faedah kepada Islam dan umatnya. Paling utama, ilmu tersebut dapat membawanya untuk mengetahui jalan-jalan mengenali Allah.

Bercakap mengenai perkara ini, teringat saya kepada satu perbincangan kumpulan kecil yang saya sertai beberapa minggu lepas, yang mana kami telah dikongsikan dengan satu kisah benar, berlaku lebih kurang pada tiga dekad yang lampau, yang melibatkan seorang professor yang cukup arif mengenai bidang anatomi (struktur tubuh manusia) di Thailand bernama Profesor Tagatat Tejasen. Dipendekkan cerita, setelah Profesor Tagatat berdialog dengan beberapa orang ilmuwan Islam mengenai anatomi kulit manusia dan meneliti hasil pengkajian Profesor Keith Moore dari Kanada (seorang yang amat dikagumi oleh beliau) mengenai persamaan ilmu embriologi moden dan anatomi dengan ayat yang telah disebut dalam al-Quran, beliau akhirnya telah melafazkan syahadah. Ayat tersebut ialah:

“Sesungguhnya orang yang kufur terhadap ayat Kami, kelak Kami akan masukkan mereka ke neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, kami gantikan kulit mereka dengan kulit lain supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (al-Nisa’ : 56)

Ayat ini dan ayat-ayat lain yang seumpamanya harus memberikan inspirasi kepada umat Islam untuk lebih menguasai ilmu, termasuk ilmu berkaitan sains dan teknologi, sesuailah dengan zaman ini. Dalam al-Quran sendiri perkataan “ilmu” disebut lebih 700 kali. Otak pula yang merupakan organ istimewa yang dikurniakan Allah kepada manusia dan tempat untuk akal menjalankan tugasnya haruslah digunakan sebaiknya. Janganlah kita sia-siakan potensi otak yang sebenarnya kita masih belum benar-benar menerokainya.

Kata-kata berikut daripada seorang tokoh akademik dari Rusia bernama Dr. Ivan Yefremov mungkin boleh merangsang kita, “Dengan kemampuan otak kita mampu mempelajari 40 bahasa, mampu menghafaz satu set ensiklopedia daripada A hingga Z dan mampu mengikuti dan menamatkan kursus-kurus yang dianjurkan oleh puluhan kolej.” Malah, pernah diberitakan, suatu hari seseorang mencela Ibnu Sina kerana tidak menghafal al-Quran kecuali surah al-Fatihah, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas sahaja. Mendengar celaan itu, Ibnu Sina menjadi sangat malu dan marah, lantas terdorong untuk menghafal seluruh al-Quran, dan beliau berjaya melakukannya hanya dalam satu malam!

Ditegaskan juga di sini bahawa golongan yang tidak berusaha mencari dan menambah ilmu adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi. Lebih buruk lagi, tergolong dalam kumpulan yang sama ialah orang-orang yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmu yang dimiliki!

No comments:

Post a Comment