Oleh Wan Am
Saya hentikan sejenak penulisan saya mengenai pemuda dan hal-hal kepemudaan. Untuk kali ini, izinkan saya halakan perbincangan kepada suatu topik yang mungkin agak berat bagi sesetengah orang, iaitu mengenai “ibadah”. Pun begitu saya akan berusaha untuk mencoretnya secara ringan, kerana penulisan ini sememangnya saya tujukan khas buat teman-teman segenerasi yang saya faham benar fiilnya.
Ibadah. Satu patah perkataan yang semestinya sudah tidak asing lagi bagi ramai orang, terutamanya orang Islam. Jika ditanya “Apa itu ibadah?” kepada kanak-kanak berumur sepuluh tahun yang sudah mendapat asuhan cara Islam, pasti mereka boleh menjawabnya, bersesuaian dengan tahap pemikiran dan pendidikan mereka. Tapi awas, jika ditanya kepada mereka yang umurnya dalam lingkungan dasawarsa ketiga, keempat atau kelima, mungkin ramai daripada mereka yang akan memberikan jawapan yang tidak jauh berbeda daripada jawapan kanak-kanak tadi.
Kerana apa saya katakan begitu? Kerana realitinya, masih ramai dalam masyarakat kita, termasuk dalam kalangan generasi muda yang keliru, malah tidak memahami pengertian dan hakikat ibadah yang sebenarnya. Mereka beranggapan, ibadah adalah bagi Allah. Juga ada yang berfikiran, ibadah itu hanyalah solat, zakat, puasa dan haji. Lebih teruk lagi, ibadah itu tiada kaitan langsung dengan kehidupan manusia seharian, terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan. Jangan pula anda berasa aneh jika ada orang Islam yang berkefahaman begitu.
Berhubung hal ini, saya tertarik dengan penjelasan Dato’ Dr. Haron Din dalam buku beliau “Islam - Ibadah Pembina Tamadun Manusia”. Beliau mengatakan bahawa ibadah sebenarnya adalah untuk manusia yang beribadah itu sendiri. Allah tidak memerlukan ibadah kita tetapi kita beribadah demi kepentingan dan kebahagiaan diri kita di dunia dan akhirat. Ibadah yang kita lakukan tidak pernah menambah ataupun mengurangkan kehebatan Allah. Ia sepenuhnya untuk diri kita sendiri.
Mengenai ruang lingkup ibadah pula, beliau seterusnya menambah, oleh kerana manusia dicipta untuk beribadah kepada Allah, maka sudah tentu dalam Islam, seluruh kegiatan manusia adalah ibadah kepada Allah. Asalkan ia diniatkan untuk Allah, maka segala-galanya menjadi ibadah.
Nah, kita ada tugas besar dalam menjernihkan cara fikir masyarakat supaya benar-benar memahami dan mengerti konsep ibadah yang sebenarnya. Juga, menjelaskan kepada mereka bahawa Islam telah meletakkan ibadah di tempat yang paling istimewa, yang mana dalam al-Quran disebutkan bahawa seluruh jin dan manusia dijadikan hanyalah semata-mata untuk tujuan beribadah kepada Allah:
“…dan tidaklah aku menjadikan jin dan manusia kecuali supaya mereka memperhambakan diri kepada-Ku.” (al-Dzariyat : 56)
Bagi kaum lelaki, inilah ayat yang lazim kedengaran dalam khutbah yang disampaikan saban Jumaat. Dan alangkah baiknya jika setiap kali khatib membacakan ayat tersebut kita dapat menghayatinya, lantas bermuhasabah diri sejenak dan menginsafi diri kita.
Oleh hal yang demikian, ayuhlah kita semua orang-orang muda untuk berusaha dalam memastikan ibadah yang kita lakukan benar-benar "original". Hal ini dapat kita jayakan, dengan memetik panduan yang pernah diabadikan oleh Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya “Apa Ertinya Saya Menganut Islam”, iaitu dengan melaksanakan perkara-perkara berikut:
1. Menjadikan seluruh ibadah kita hidup dan berhubung terus dengan Allah sebagai tempat kita mengabdikan diri (bertepatan dengan konsep “ihsan”).
2. Memastikan ibadah kita adalah ibadah yang khusyuk.
3. Menghadirkan diri dan hati (di hadapan Allah) dan membebaskan diri daripada urusan dan kepentingan dunia sewaktu beribadah.
4. Berasa tamak yang tidak berkecukupan dan rakus yang tidak merasa kenyang dalam melakukan ibadah.
5. Mengambil berat dalam melakukan qiammullail dan mengasuh diri melakukan qiammullail sehingga ibadah ini menjadi kebiasaan.
6. Menentukan masa-masa tertentu untuk membaca dan mengamati al-Quran, terutamanya pada waktu fajar.
7. Menjadikan doa sebagai mikraj kepada Allah dalam semua urusan.
No comments:
Post a Comment