Tuesday, December 12, 2017

Perth: Harmoninya Hubungan Antara Agama

Oleh Wan Am

Pada 8 hingga 11 Disember 2017, saya meneruskan misi kembara rentas sempadan, kali ini ke Perth, Australia. Alhamdulillah, saya kembali ke bumi ‘Down Under’ setelah kali pertama dan terakhir menjejakkan kaki di negara ini kira-kira 25 tahun dahulu. Masih segar dalam ingatan saat-saat percutian bersama ayah, kakak dan adik lelaki saya selama tujuh hari di Brisbane pada tahun 1993.

Perjalanan kali ini ke Perth tambah bermakna kerana saya turut ditemani oleh isteri tercinta. Sudah pasti kesempatan ini saya manfaatkan sebaiknya untuk meneguhkan ikatan perhubungan kami sebagai pasangan yang mempunyai tanggungjawab besar dalam melayarkan bahtera rumahtangga kami ke fasa-fasa kehidupan seterusnya. Selain itu, kembara ini juga adalah satu cara untuk kami menyahut seruan Tuhan yang menggalakkan kita sebagai hamba-Nya untuk berjalan di serata ceruk dunia dan mengambil pengajaran daripadanya. Firman Allah di dalam Al-Quran (yang bermaksud):

“Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nya kamu (kembali setelah) dibangkitkan.” (Al-Mulk 67 : 15)

Sebelum ke Perth, saya membuat segala persediaan yang diperlukan. Antaranya, saya mendapatkan maklumat asas mengenai suasana di sana seperti cuaca, waktu solat, demografi, restoran halal dan destinasi menarik yang bersesuaian dengan objektif kembara. Maklumat-maklumat sebegini amat penting bagi melancarkan lagi perjalanan kami dari awal hingga akhir. Malah sebelum ke sana, saya menghubungi sahabat-sahabat rakyat Malaysia yang bermastautin di Perth, memaklumkan kedatangan kami. 

Gambar 1: Petang Jumaat, 8 Disember 2017, bermula misi kembara di Perth 

Gambar 2: The Alderney on Hay, tempat penginapan kami di Hay Street di bahagian timur Perth

Perth merupakan ‘jantung’ kepada Australia Barat, negeri terbesar di Australia. Dengan kepadatan penduduk berjumlah kira-kira dua juta orang, Perth adalah sebuah bandar yang permai yang semakin mendapat tempat di hati para pelancong dari dalam dan luar negara tersebut. Bagi mereka yang gemarkan suasana “kampung” dan terhindar daripada hiruk-pikuk kesibukan kota, Perth adalah destinasi yang sesuai untuk dikunjungi. 

Salah satu visata tumpuan pelancong di Perth ialah Kings Park. Ia mula dibangunkan pada tahun 1872 dan merupakan taman dalam bandar terluas di Australia Barat. Di taman ini terdapat pelbagai spesis flora yang unik dan menyegarkan minda, di samping monumen-monumen bersejarah. Dari atas bukit di Kings Park inilah kami dapat menikmati keindahan pemandangan bandar Perth. Dari jauh kelihatan bangunan-bangunan pencakar langit, berhampiran dengannya mengalir Sungai Swan yang memisahkan bahagian utara dan selatan Perth. Sungai Swan merupakan punca utama bekalan air kepada penduduk di Perth. 

Di Caversham Wildlife Park pula, kami menyaksikan kehebatan ciptaan Tuhan berupa haiwan-haiwan asli Australia. Di sini kami berinteraksi dengan haiwan seperti kanggaru, beruang koala dan wombat, di samping mengenali haiwan-haiwan unik yang lain, antaranya wallaby, possum, quoll dan bettong. Kami juga dihidangkan dengan aktiviti demonstrasi yang begitu menghiburkan seperti “Sheep Shearing”, “Whip cracking”, “Billy Tea” dan “Dog Mustering” melalui pertunjukan “Farm Show”. Pada saat-saat begini terkenang pula anak-anak yang ditinggalkan jauh di Malaysia. Pastinya mereka akan berasa seronok jika dapat menyertai kami di Caversham Wildlife Park ini. 

Manakala di Mandurah yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dengan kenderaan dari bandar Perth, kami menaiki bot pelayaran untuk meninjau persekitaran yang indah di pesisiran pantai. Semasa pelayaran kami memerhatikan rumah-rumah besar dan mewah yang masing-masing mempunyai jeti sendiri. Sudah pasti amat tinggi nilai hartanah di kawasan ini. Nasib kami juga begitu baik kerana dapat melihat ikan lumba-lumba berenang berhampiran bot pelayaran kami. 

Terdapat beberapa lagi lokasi tumpuan pelancong yang lain yang menjadi tempat persinggahan kami sepanjang di Perth, antaranya ialah Whiteman Park, Swan Valley, Fremantle Fishing Boat Harbour, E-Shed Markets, Fremantle Markets, Watertown dan Elizabeth Quay. Saya tidak berhasrat untuk menceritakan secara terperinci mengenai tempat-tempat tersebut. Cukuplah untuk saya katakan bahawa di mana pun saya berpijak di bumi Perth ini, ada sesuatu yang saya pelajari untuk manfaat diri saya, dalam misi mendekatkan lagi diri ini kepada Tuhan yang Maha Pencipta. 

Gambar 3: Meninjau bandar Perth dari atas bukit di Kings Park 

Gambar 4: Bunga Lavendar berkembang mekar di Kings Park 

Gambar 5: Pemandangan indah dari atas bot pelayaran di Mandurah, bandar kedua terbesar selepas Perth di Australia Barat

Gambar 6: Rumah-rumah mewah di tepian pantai Mandurah

Gambar 7: “Bermesra” dengan kanggaru di Caversham Wildlife Park

Gambar 8: Wombat, haiwan Asli Australia yang menarik tumpuan pelancong di Caversham Wildlife Park

Gambar 9: E-Shed Markets di Fremantle, tempat pelancong membeli cenderamata dengan harga yang berpatutan

Gambar 10: Ronda-ronda di Watertown, sebuah bazar barangan berjenama di bandar Perth

Gambar 11: Bersama Saudara Meor (kiri) dan Saudara Nuaym (tengah) menikmati pemandangan waktu malam di Elizabeth Quay

Suatu hal yang masih tidak saya lupakan mengenai Perth ialah keadaan musim panas di sana. Kebiasaannya Perth mengalami musim panas pada bulan Disember hingga Februari setiap tahun. Dengan suhu sekitar 35 darjah celcius pada waktu siang, kami bersiar-siar di Perth dalam cuaca yang cukup panas dan kering. Ketika di Mandurah, hampir tiada awan yang menutupi langit biru. Ada juga rakyat Malaysia yang bersama kami mengatakan bahawa mereka seolah-olah berada di Mekah. Suhu pada waktu malam pula turun dengan agak mendadak, antara 15 hingga 20 darjah celcius. Ketika musim panas juga terutamanya pada Disember, matahari terbit seawal jam 5.00 pagi. Justeru ketika di Perth, pada jam 3.30 pagi kami telah bangkit daripada tidur untuk menunaikan solat Subuh.

Perkara lain yang turut menarik perhatian saya ialah mengenai perkhidmatan bas awam di Perth. Tidak sukar untuk kita bergerak di dalam bandar Perth kerana terdapatnya sistem perkhidmatan bas awam yang begitu efisyen dan selesa. Begitu banyak perhentian bas yang disediakan bagi setiap empat laluan di bandar Perth yang ditandakan dengan warna biru, merah, kuning dan hijau dan saling berhubung antara satu sama lain. Lebih menarik, perkhidmatan bas awam di bandar Perth ini tidak mengenakan apa-apa bayaran kepada para penumpangnya, dalam erti kata yang lain, percuma!

Selain itu, saya dapati ramai golongan warga emas di Perth masih kuat bekerja. Pemandu bas persiaran yang kami naiki sepanjang di Perth misalnya telah berusia 60 tahun dan memandu bas hampir setiap hari. Pada suatu pagi di bandar Perth juga saya melihat sebuah lori sampah yang dipandu oleh seorang pekerja yang agak berusia dan beliau jugalah yang memasukkan sampah daripada tong-tong sampah di tepi jalan ke dalam lori sampah tersebut seorang diri. Ada yang memberitahu saya, Perth adalah “bandar orang tua” kerana ramai orang muda telah berhijrah ke bandar-bandar besar yang lain di Australia. Sebab itu banyak sektor pekerjaan di Perth turut diisi oleh warga tua. Mungkin juga mereka masih bekerja kerana mengambil berat akan aspek kesihatan.

Gambar 12: Bas awam di bandar Perth yang boleh dinaiki secara percuma

Gambar 13: Suasana di dalam bas awam di bandar Perth

Gambar 14: Saudara Eddie, 60 tahun yang merupakan pemandu bas persiaran yang kami naiki

Islam adalah agama kedua terbesar di dunia (selepas Kristian). Namun Islam adalah agama yang paling pantas berkembang pada masa kini berbanding agama-agama lain. Ia adalah fakta yang tidak dipertikaikan, malah hal ini boleh diperhatikan bukan sahaja di negara-negara majoriti Muslim tetapi juga di negara di mana umat Islam adalah minoriti.

Pertumbuhan bilangan umat Islam berlaku dengan pesat di Australia. Menurut laporan International Centre for Muslim and non-Muslim Understanding (MnM) oleh Universiy of South Australia pada 2011, terdapat kira-kira 500,000 orang Islam di negara tersebut, yang mana peningkatan sebanyak 39.9 peratus penduduk Muslim dalam jangka masa lima tahun, iaitu dari 2006 hingga 2011. Walau bagaimanapun jumlah ini masih kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan populasi di Australia, iaitu sekitar 2.2 peratus.

Bumi Perth tidak terkecuali daripada terkena tempias ini. Banyaknya bilangan masjid dan restoran halal di Perth kini secara tidak langsung menggambarkan perkembangan Islam di sana. Mungkin hal ini juga menjadi faktor utama begitu ramai pelancong Muslim berkunjung ke Perth, selain pertambahan bilangan Muslim yang bermastautin di sana dari tahun ke tahun.

Setiap kali kembara yang saya lalui, saya pasti tidak melepaskan peluang untuk menziarahi mana-mana masjid yang berada di tempat tersebut. Dengan bantuan rakan-rakan rakyat Malaysia yang tinggal di Perth, saya dapat melawat beberapa masjid seperti Perth Mosque, Al-Majid Mosque dan Masjid Al-Taqwa (Mirrabooka). Catatan sejarah menunjukkan Perth Mosque yang terletak di William Street di Nortbridge adalah masjid tertua di Perth, mula didirikan pada tahun 1905. Manakala Al-Majid Mosque di Hepburn Ave dibina hasil usaha rakyat Malaysia. Ada lagi beberapa masjid di Perth yang tidak sempat saya kunjungi, antaranya Queens Park Mosque, Rivervale Mosque dan Masjid Ibrahim.

Namun masih banyak kawasan di Perth yang tidak mempunyai masjid. Di apartmen kami di Hay Street sendiri tiada masjid yang berhampiran. Musolla yang terletak di Murray Street (kira-kira tiga kilometer dari tempat penginapan kami) pula hanya dibuka pada waktu Zohor dan Asar. Justeru disebabkan ketiadaan masjid, banyak solat saya terutamanya pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak hanya dapat dilaksanakan di apartmen penginapan saya sahaja.

Disebabkan tidak banyak masjid di Perth jugalah terdapat gereja Kristian yang membuka tempat mereka untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat. Pengalaman ini dikongsi sendiri oleh kenalan saya, Saudara Wan Imran (Setiausaha Persatuan Anak Melayu Australia Barat – MAWA) yang bermastautin di sana. Beliau sering menunaikan solat Jumaat di Uniting Church in the City di William Street yang terletak berdekatan dengan pejabat beliau. Sebuah lagi gereja yang menjadi tempat umat Islam menunaikan solat Jumaat ialah Gereja Anglikan St Paul di Beaconsfield. Inilah gambaran keharmonian hubungan antara agama di Perth.

Jika dibandingkan dengan masjid-masjid utama di Malaysia, saiz masjid di Perth tidaklah besar. Sehinggakan terdapat solat Jumaat di beberapa masjid yang terpaksa dilakukan sebanyak dua sesi kerana tidak dapat menampung ahli jemaah yang ramai. Namun, masjid-masjid di sini tidak kurang aktif dengan pelbagai program bersama masyarakat. Perth Mosque sendiri telah menganjurkan “Mosque Open Day” pada 28 Oktober 2017 yang dibuka penyertaannya kepada orang ramai, termasuk masyarakat bukan beragama Islam. Ia adalah suatu usaha yang baik kerana program-program sebegini terbukti mampu menjernihkan salah tanggapan masyarakat bukan Islam tentang Islam, di samping peluang terbaik untuk menjelaskan asas-asas Islam kepada mereka.

Gambar 15: Bilik solat yang disediakan di lapangan terbang Perth untuk kemudahan pelancong Muslim

Gambar 16: Di dalam dewan solat Al-Majid Mosque

Gambar 17: Gereja Uniting Church in the City yang terletak di deretan kedai di William Street

Di Perth, tidak sukar untuk kami mencari makanan halal. Sepanjang kembara di sana, saya dapati ada sahaja restoran halal yang dibuka di kawasan-kawasan utama, termasuk di pusat-pusat membeli-belah yang menjadi tumpuan pelancong. Antara restoran halal yang menjadi medan santapan kami ialah Charcoal Chicken di Dianella, Cicerello’s Fish ‘N’ Chips di Fremantle dan Ispa Kebabs di Watertown. Sebenarnya masih banyak lagi restoran halal lain dengan pelbagai jenis hidangan di Perth. Bilangan restoran halal ini pula sentiasa bertambah dari semasa ke semasa, berkadaran dengan pertambahan bilangan umat Islam sama ada dalam kalangan pelancong mahupun mereka yang bermastautin di sana.

Namun pada waktu malam di Perth, kami menyediakan sendiri hidangan malam. Penyediaan hidangan menjadi lebih mudah kerana bilik apartmen kami dilengkapi dengan dapur dan peralatan memasak. Bekalan bahan mentah termasuk daging ayam halal juga mudah didapati kerana terdapat pasaraya yang berhampiran dengan apartmen kami yang turut menjual daging ayam halal tersebut.

Aspek pendidikan Islam turut diberikan perhatian di Perth. Tertubuhnya beberapa institusi pendidikan Islam swasta bertitik-tolak daripada kesedaran dalam kalangan Muslim di sana akan peri pentingnya generasi anak-anak Muslim di Perth dibekalkan dengan ilmu-ilmu agama bagi mendepani realiti dan cabaran kehidupan dalam masyarakat majmuk. Buat masa ini terdapat dua buah sekolah Islam swasta di Perth iaitu Al-Hidayah Islamic School dan Langford Islamic College. Tidak sedikit cabaran yang dihadapi oleh para penggerak di sekolah-sekolah tersebut dalam memastikan kelangsungan sistem pendidikan Islam yang telah mereka usahakan.

Alhamdulillah, sewaktu di Perth juga saya telah diberikan peluang untuk berkongsi pengalaman dakwah melalui slot di Radio Melayu Perth. Slot radio yang ke udara di frekuensi 95.3 pada setiap Sabtu jam 9.00 malam hingga 10.30 malam ini bukan sahaja didengari oleh orang Melayu warganegara Malaysia, Singapura dan Indonesia yang bermastautin di Australia Barat, malah diikuti juga oleh warga Melayu di Pulau Krismas dan Pulau Cocos. Radio Melayu Perth ini telah beroperasi sejak tahun 1990 dan kini dikendalikan oleh tiga orang penyampai radio sambilan yang bertugas secara bergilir-gilir. Dikhabarkan kini terdapat kira-kira 6,000 orang Melayu yang mendiami keseluruhan Perth.

Gambar 18: ‘Charcoal Chicken’, restoran halal di Dianella

Gambar 19: Makan tengahari di Cicerello’s Fish N Chips sewaktu bersiar-siar di Fremantle 

Gambar 20: Ispa Kebabs, antara restoran halal di pusat membeli-belah Watertown

Gambar 21: Di pasaraya ini kami membeli barangan mentah termasuk daging ayam halal

Gambar 22: Isteri penulis di hadapan bangunan Al-Hidayah Islamic School

Gambar 23: Bangunan “Malaysia Hall” yang terletak di bandar Perth


Gambar 24: Di dalam konti Radio Melayu Perth bersama DJ Wan Imran

Demikian perkongsian ringkas mengenai kembara kami di Perth. Segala pengalaman tersebut mudah-mudahan menjadikan kami sebagai insan yang sentiasa bersyukur kepada Tuhan. Kembara singkat di bandar “mesra pelancong Muslim” ini juga bukan semata-mata untuk berbulan madu, tetapi juga memberi dan menerima sesuatu sebagai sekelumit usaha dakwah kepada masyarakat seantero dunia. Sesungguhnya Islam adalah agama untuk semua manusia. Menjadi kewajipan kepada kita sebagai Muslim untuk menyebarkan risalah Islam dengan segala kemampuan kita, bila-bila masa dan walau di mana sahaja kita berada.

“Dan tidak kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam.” (Al-Anbiya’ 21 : 107)