Monday, January 31, 2011

Malu Sebagai Perisai

Oleh Wan Am

Dalam artikel yang lalu, saya telah menyatakan bahawa salah satu faktor yang boleh membawa manusia kepada zina ialah pergaulan bebas antara lelaki dan wanita. Pergaulan bebas berlaku apabila umat yang dahulunya begitu memelihara sempadan pergaulan silang jantina, kini telah semakin lalai dan longgar pegangan agamanya termasuk dalam hal menjaga adab pergaulan sesama mereka.

Bagi mereka, ketawa berdekah-dekah, bercubit tampar serta bergurau-senda yang penuh mesra dan kadangkala sumbang antara lelaki dan wanita sudah tidak dianggap janggal dalam kehidupan seharian. Wahana komunikasi terkini pula telah menggalakkan para pelanggannya untuk tidak lagi berahsia dalam hal-hal peribadi; rupa paras, bentuk badan, perasaan, sikap dan tabiat, semuanya boleh ditatap oleh sesiapa sahaja, baik kawan mahupun lawan.

Selanjutnya, berlangsunglah drama-drama romantis mereka yang mula berpacaran, yang mana membibitkan pula gerak laku prazina; berpegangan tangan, berdua-duaan dan berpelukan, yang mana akhirnya menghumbankan mereka ke kancah perzinaan, yang tidak semestinya tidak berlaku pula jenayah-jenayah lain selepasnya. Semuanya seolah-olah sudah menjadi lumrah kehidupan, terutamanya dalam kalangan generasi muda kini.

Jika pergaulan bebas menjadi antara faktor utama kepada jenayah zina, maka antara sebab penting berlakunya pula pergaulan bebas ialah kerana manusia sudah hilang perasaan "malu" dalam diri mereka. Bila sifat malu sudah tiada, maka hawa nafsulah yang menjadi pemandu utama bagi setiap tindakannya. Andai masih ada pun sifat malu, ia hanyalah malu dalam konteks yang sempit; malu kerana tiada jenama pada pakaiannya, malu kerana wajah tidak secantik rakan-rakan yang rupawan, malu kerana tiada teman istimewa seperti pasangan lain dan malu kerana bapa hanya berkerjaya pesawah dan ibu seorang penoreh getah!

Islam sangat memberikan penekanan kepada sifat malu ini. Ini kerana malu merupakan asas yang kuat untuk membentuk iman yang utuh dan menjadi pembenteng diri daripada gejala-gejala yang merugikan. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w. meletakkan perasaan malu sebagai sebahagian daripada iman, sebagaimana hadis baginda berikut yang terdapat dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim daripada Ibnu Umar r.a.:

Nabi Muhammad s.a.w. melintasi seorang lelaki yang sedang menegur saudaranya kerana malu, katanya: "Ia memudaratkan kamu." Lalu Rasulullah s.a.w. menegurnya: "Biarkan dia. Sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman."

Istilah al-hayaa’u (malu) berasal dari perkataan al-hayaatu (hidup). Hujan disebut kehidupan kerana dengan adanya hujan bumi dan tumbuh-tumbuhan dapat hidup. Begitu juga dengan malu, iaitu disebut sebagai kehidupan dunia dan akhirat. Mereka yang mempunyai sifat malu dianggap hidup di dunia dan akan berbahagia di akhirat.

Dalam kitab "Syarah 50 Hadis" karangan Ibnu Rajab al-Hanbali, disebutkan bahawa terdapat dua kategori malu:

Pertama: Ia merupakan sifat semulajadi dan tidak perlu diusahakan untuk memilikinya. Ini merupakan semulia-mulia akhlak yang dianugerahkan oleh Allah kepada seseorang hamba-Nya dan semulia-mulia sifat semulajadi yang diberikan Allah kepadanya. Contoh malu yang bersifat fitrah ini ialah malu untuk bertelanjang. Sepertimana Nabi Adam dan Siti Hawa yang berasa malu untuk mendedahkan aurat masing-masing, lantas apabila terdedah mereka cepat-cepat menutup anggota badan tertentu mereka.

Kedua: Sifat malu yang diperoleh menerusi usaha yang dilakukan. Iaitu dengan makrifah kepada Allah, mengetahui keagungan-Nya, dan betapa dekatnya Dia kepada hamba-Nya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

"Merasa malu kepada Allah ialah kamu memelihara kepalamu dan apa yang difikirkan. Engkau memelihara perut dan segala isi kandungannya (makan minum) dan kamu selalu mengingati mati yang mereputkan tulang-belulang. Sesiapa yang mahukan akhirat, hendaklah dia meninggalkan perhiasan dunia. Sesiapa yang melakukannya, dia telah malu kepada Allah." (Hadis riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

Maka, bagaimana untuk melahirkan sifat malu? Cubalah bermujahadah untuk mengamalkan tips-tips di bawah ini:

1. Menahan diri daripada melakukan perkara yang memudarkan perasaan malu dalam diri dari segi perbuatan mahupun pertuturan (percakapan dan perbuatan yang tidak senonoh serta ditegah agama).

2. Istikamah dalam mempelajari keutamaan malu, serta menyematkannya dalam hati dan tanamkan keinginan untuk memelihara sifat tersebut.

3. Meningkatkan iman dan akidah dalam hati. Ini kerana malu adalah buah kepada iman.

4. Beribadah dengan merenungi asmaul husna yang berkaitan dengan sifat Allah yang mengawasi gerak-geri hati dan perbuatan manusia.

5. Mengerjakan ibadah-ibadah wajib dan sunat seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain yang Allah firmankan dalam al-Quran.

6. Bersikap jujur dan menjauhkan dusta, ini kerana sikap jujur membimbing kita ke arah kebajikan (malu sebahagian daripada kebajikan).

7. Membiasakan diri bersikap malu setahap demi setahap, sampai jiwa dan hati telah menyatu dengan sifat tersebut dan malu menjadi tabiat dan perilaku jiwa.

8. Bergaul dengan orang-orang salih. Mencontohi tingkah-laku mereka, mendengarkan perbicaraan mereka serta mempelajari rasa malu mereka.

9. Menjadikan sifat malu Rasulullah sebagai contoh teladan yang baik untuk manusia, dan mentelaah sejarahnya yang mengharumkan. Rasa malu yang ada pada sahabat r.a juga harus diteladani.

10. Memisahkan diri dari lingkungan yang rosak yang mencegah akhlak yang terpuji terutama kerosakan yang timbul daripada pengaruh media massa dan elektronik.

Pernah dengar lagu terkini yang dinyanyikan oleh Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan dan Altimet bertajuk "Kalau Berpacaran"? Lagu ini sedang ligat dimainkan oleh juruhebah-juruhebah radio arus perdana tempatan. Jika anda ada mendengar, cuba hayati sebahagian lirik lagu tersebut:

"Boleh pandang-pandang
Jangan pegang-pegang
Duduk renggang-renggang
Bertambah sayang
Biar malu-malu
Biar segan-segan
Kerana malu itu perisai orang beriman."

Jadi, renung-renungkan, dan selamat beramal!

Saturday, January 29, 2011

Ambil Pusing Tentang Ikhtilat

Oleh Wan Am

Zaman yang kita hidup sekarang adalah zaman yang memperlihatkan begitu galaknya percampuran di antara lelaki dan wanita. Di sekolah, di universiti dan di tempat kerja, percampuran sedemikian sudah menjadi kelaziman. Bila sudah bercampur, perhubungan dan pergaulan di antara mereka sudah pasti tidak dapat dielakkan. Tambah lagi dengan kecanggihan teknologi komunikasi dan media sosial masa kini seperti Yahoo Messenger, SMS, e-mail dan facebook, menyebabkan yang jauh semakin dekat, dan yang dekat semakin mesra. Kita sendiri pun tidak tertinggal untuk memiliki sarana-sarana media kontemporari yang saya sebutkan tadi.

Antara isu hangat yang sedang dibincangkan kini, samada melalui platform ilmiah mahupun sembang warung kopi ialah isu pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita, terutamanya dalam kalangan remaja. Rumusan daripada perbincangan sedemikian pula cukup mudah, yang mana tiada apa-apa yang bermanfaat daripada pergaulan bebas ini melainkan yang buruk-buruk belaka. Lebih parah, pergaulan bebas menjadi antara penaja terbesar yang membawa manusia ke lembah perzinaan, yang akhirnya membawa pula kepada maksiat dan jenayah yang lain seperti pembuangan bayi, penderaan dan sebagainya.

Saya hendak kaitkan sedikit dengan isu semasa. Baru-baru ini RapidKL melancarkan bas khas untuk wanita, menuruti derap langkah Keretapi Tanah Melayu yang sebelum itu telah juga mewujudkan coach khas untuk wanita. Dengan kelahiran perkhidmatan sebegini, yang mana tiadanya percampuran antara lelaki dan wanita, ada pihak yang berharap isu gangguan seksual yang dihadapi oleh penumpang wanita akan dapat diatasi. Namun ada juga yang beranggapan, langkah mengasingkan golongan wanita dan lelaki hanyalah penyelesaian bersifat sementara dan tidak semestinya dapat membendung masalah gangguan seksual. Hal ini kerana tindakan tersebut langsung tidak dapat mendidik masyarakat menghargai serta menghormati kaum wanita.

Maka, apakah solusi terbaik untuk menangani isu percampuran antara lelaki dan wanita, lebih-lebih lagi pergaulan bebas ini?

Islam ada mendiskusikan hal-hal mengenai ikhtilat. Tahu tak apa itu ikhtilat? Secara umumnya, ikhtilat ialah suatu bentuk pergaulan secara bebas yang melibatkan lelaki dan perempuan yang ajnabi (boleh dikahwini). Pergaulan sebegini sememangnya ditegah oleh Islam dan merupakan suatu ciri pergaulan masyarakat jahiliah dan juga berasaskan kepada nilai dan sistem hidup jahiliah.

Seperti yang saya katakan pada awal artikel ini, muamalah di antara lelaki dan wanita memang tidak dapat dihindarkan pada zaman ini. Keadaan tersebut sebenarnya adalah sesuatu yang fitrah dan berlaku sejak dahulu lagi, malah al-Quran telah turut memberikan penegasan dalam hal perhubungan antara lelaki dan wanita, iaitu hubungan hanyalah dalam konteks dakwah dan beribadah kepada Allah. Dalam al-Quran Allah berfirman:

"Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (at-Taubah : 71)

Namun setiap sesuatu perbuatan ada batasnya. Begitu jugalah dalam hal pergaulan antara lelaki dan wanita. Islam yang merupakan rahmat buat sekalian alam, telah menetapkan garis panduan terhadap umatnya dalam hal perhubungan silang jantina ini. Jika seseorang Muslim menepati garis panduan ini, ia akan memastikan segala muamalahnya dengan yang bukan mahramnya tidak terkeluar dari landasan syarak.

Nabi Muhammad s.a.w. sendiri amat mengambil berat mengenai persoalan pergaulan di antara lelaki dan wanita pada zaman baginda. Hal ini boleh kita rujuk dalam hadis daripada Abi Usaid al-Ansori daripada ayahnya: Bahawa dia (iaitu ayah Abi Usaid al-Ansori) telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, di mana ketika itu Rasulullah s.a.w. berada di luar masjid, dan berlaku ikhtilat dalam kalangan lelaki dan perempuan (di mana Rasulullah s.a.w. melihat ikhtilat tersebut): "Kebelakanglah kamu,sesungguhnya kamu tidak boleh berada di tengah jalan, kamu mestilah berjalan di tepi jalan." (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)

Apakah garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam berhubung hal pergaulan antara lelaki dan wanita ini? Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya "Al-Fatawa Al-Mu’asoroh" telah menjelaskan dhowabit atau garis panduan dalam pergaulan di antara lelaki dan wanita. Antaranya:

1. Kedua-dua belah pihak hendaklah sentiasa menundukkan pandangan, tidak memandang aurat dan dengan perasaan syahwat. Firman Allah:

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka." (an-Nur : 30-31)

2. Perempuan muslimah mestilah sentiasa memakai pakaian yang telah ditetapkan oleh syarak yang menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Juga tidak terlalu nipis dan tidak mengikut bentuk badan. Dalam hal ini Allah menegaskan:

"Dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya." (an-Nur : 31)

3. Sentiasa menjaga adab muslimah, terutama ketika berinteraksi dengan lelaki dari segi percakapan, cara berjalan dan pergerakan. Antara dalil-dalilnya:

"Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti perempuan yang lain kalau kamu bertakwa. Maka janganlah kamu berbicara dengan lembut manja kerana boleh menimbulkan keinginan orang yang di dalam hatinya ada penyakit; dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik, sesuai dan sopan." (al-Ahzab : 32)

"Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka." (an-Nur : 31)

"Dua golongan yang termasuk dari kalangan ahli neraka.. perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang-lengguk dan sanggul rambutnya (ataupun sebarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini." (Hadis riwayat Muslim)

4. Hendaklah menjauhi perkara-perkara yang boleh merangsangkan syahwat seperti bau-bauan, minyak wangi, warna-warna yang menarik yang sepatutnya hanya dipakai di rumah, bukan di jalanan untuk bertemu dengan lelaki.

5. Sentiasa berwaspada, agar lelaki dan wanita tidak berdua-duaan tanpa mahram.

"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka jangan sekali-kali dia bersendirian dengan seorang perempuan yang tidak bersama mahramnya, kerana yang ketiganya ialah syaitan." (Hadis riwayat Ahmad)

6. Pertemuan itu mestilah berdasarkan keperluan atas urusan kerja tanpa melampaui sehingga menyebabkan wanita itu lalai dalam menguruskan rumahtangga dan mendidik generasi.

Justeru, ambil pusinglah kita mengenai hal-hal ikhtilat ini. Sudah nyata pergaulan dan percampuran yang tidak dibatasi syariat boleh menyebabkan manusia yang serba lemah melakukan dosa yang lebih besar. Jangan lupa pula kepada syaitan yang takkan henti-henti mencari ruang untuk memancarkan laser-laser tipu dayanya, agar kelak kita tergolong bersama-samanya dalam api neraka.

Friday, January 28, 2011

Menangkis Laser Syaitan

Oleh Wan Am

Kisah yang telah saya ketengahkan dalam artikel yang lalu, mudah-mudahan telah mencelikkan mata hati kita betapa hebatnya peranan syaitan dalam menggoda anak-anak Adam ke arah kesesatan. Bukan sekadar orang biasa, malah orang yang kuat beribadah juga, jika tidak teguh imannya, bila-bila masa sahaja boleh terjebak menjadi pengikut syaitan laknatullah. Begitulah manusia, apabila benteng pertahanannya roboh, maka syaitanlah teman akrabnya, bersesuaian dengan firman Allah:

"Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingati Allah." (al-Mujaadilah : 19)

Rosaknya generasi muda kita pada hari ini menggambarkan kejayaan syaitan dalam melaksanakan misinya untuk menghalang manusia daripada mengikut jalan yang lurus. Itulah janji syaitan sewaktu diusir oleh Allah dari syurga, iaitu untuk menyesatkan umat manusia dan memastikan mereka dihumbankan ke dalam neraka lantaran amal kejahatan dan maksiat yang dilakukan di dunia.

Berhubung hal ini, Allah telah mengulangi peringatan-Nya mengenai kisah Iblis yang mengingkari arahan untuk sujud kepada Nabi Adam pada beberapa tempat dalam al-Quran. Antaranya ialah dialog di antara Allah dan Iblis yang dirakamkan dalam surah Sad ayat 71 hingga 85:

"(71) (Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah". (72) Maka apabila telah Aku sempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan kepadanya roh (ciptaan)-Ku; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya". (73) Lalu seluruh malaikat itu bersujud semuanya. (74) Kecuali Iblis; dia menyombongkan diri dan adalah dia termasuk orang-orang yang kafir. (75) Allah berfirman: "Hai iblis, apakah yang menghalangi kamu sujud kepada yang telah Ku-ciptakan dengan kedua tangan-Ku. Apakah kamu menyombongkan diri ataukah kamu (merasa) termasuk orang-orang yang (lebih) tinggi?". (76) Iblis berkata: "Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah". (77) Allah berfirman: "Maka keluarlah kamu dari syurga; sesungguhnya kamu adalah orang yang terkutuk, (78) sesungguhnya kutukan-Ku tetap atasmu sampai hari pembalasan". (79) Iblis berkata: "Ya Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan". (80) Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh, (81) sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (hari Kiamat)". (82) Iblis menjawab: "Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, (83) kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis di antara mereka". (84) Allah berfirman: "Maka yang benar (adalah sumpah-Ku) dan hanya kebenaran itulah yang Ku-katakan". (85) Sesunggguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka Jahannam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya."

Lihatlah, sungguh-sungguh Iblis telah berjanji untuk komited menyesatkan Nabi Adam dan umat manusia. Kisah ini harus kita ambil iktibarnya, dan seterusnya beristikamah untuk benar-benar menjadi hamba Allah yang beriman dan bertakwa. Itulah saja jalan untuk mengelakkan diri kita daripada terjerumus ke dalam perangkap Iblis dan kelicikan bala tenteranya.

Untuk meraih kecemerlangan dan kebahagiaan yang hakiki dalam kehidupan, taktik-taktik yang dipergunakan syaitan harus kita ketahui supaya syaitan tidak akan berpeluang untuk melancarkan laser-lasernya bagi merosakkan hati manusia. Berhubung hal ini, pedoman oleh seorang salihin boleh digunakan untuk menangkis laser syaitan tersebut, yang mana beliau pernah berkata, "Kurenung dan kufikir, dari pintu manakah syaitan itu memasuki hati manusia, tiba-tiba kudapati syaitan memasukinya dari sepuluh pintu:

1. Tamak dan jahat sangka, lantas aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan yang ada setelah berusaha dan berikhtiar.

2. Cintakan hidup dan panjang angan-angan, lantas aku menghadapinya dengan rasa takut terhadap kedatangan maut dengan tiba-tiba.

3. Cintakan kerehatan dan nikmat, lantas aku menghadapinya dengan meyakini bahawa nikmat itu akan hilang dan meyakini balasan buruk.

4. Kagum pada diri sendiri (ujub), lantas aku menghadapinya dengan mensyukuri nikmat-nikmat pemberian Allah dan takutkan balasan seksaan.

5. Pandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lantas aku menghadapinya dengan cara mengetahui hak-hak dan kehormatan mereka.

6. Hasad, lantas aku menghadapinya dengan sifat qanaah (berpuas hati dengan apa yang ada setelah berusaha dan berikhtiar) dan reda terhadap pemberian Allah kepada makhluknya.

7. Riak dan sukakan pujian manusia, lantas aku menghadapinya dengan sifat ikhlas.

8. Bakhil, lantas aku menghadapinya dengan meyakini bahawa apa yang ada di tangan makhluk itu akan binasa sedang apa yang ada di sisi Allah itu akan kekal.

9. Takabbur, lantas aku menghadapinya dengan sifat tawadduk.

10. Tamak, lantas aku menghadapinya dengan yakin terhadap balasan Allah dan tidak mengharapkan sesuatu yang ada pada manusia.

Islam sendiri telah menyediakan beberapa tips untuk manusia mengelakkan diri daripada tipu daya syaitan. Antaranya ialah dengan mengingati Allah sewaktu mahu memulakan sesuatu kerja. Mengenai perkara ini, Abu Hurairah pernah meriwayatkan bahawa telah bertemu syaitan orang-orang mukmin dengan syaitan orang-orang kafir. Didapati syaitan orang kafir itu sangatlah gemuk, manakala syaitan orang mukmin kurus kering dan dalam keadaan dukacita. Lalu syaitan orang kafir bertanya kepada syaitan orang mukmin, "Kenapa kamu kurus kering dan berasa dukacita?" Syaitan orang mukmin menjawab, "Aku mendampingi seorang lelaki untuk menggodanya. Apabila lelaki itu hendak makan dia menyebut nama Allah, lalu aku terus lapar. Apabila minum dia menyebut nama Allah, lalu aku terus kehausan. Apabila dia memakai pakaian dia menyebut nama Allah, dengan itu aku terus bertelanjang. Apabila dia memakai minyak rambut dia menyebut nama Allah, dengan itu rambutku terus kering dan kusut." Syaitan orang kafir itu pun menjawab, "Tetapi aku mendampingi seorang lelaki yang tidak melakukan sedikit pun daripada apa yang engkau sebutkan itu. Oleh itu aku berkongsi dengannya pada makanannya, minumannya dan pakaiannya."

Dalam bukunya "Apa Ertinya Saya Menganut Islam", Ustaz Fathi Yakan telah menyatakan bahawa termasuk juga dalam perkara yang dapat dijadikan sebagai perisai daripada laser syaitan ialah menjauhkan makan terlalu banyak, bermewah-mewah sekalipun halal dan bersih, bertepatan dengan firman Allah:

"Makan dan minumlah tetapi jangan berlebihan." (al-A'raaf : 31)

Dalam hal yang sama Nabi Muhammad s.a.w. juga ada berkata:

"Sesungguhnya syaitan itu berlari dalam diri anak Adam seperti mengalirnya darah, oleh itu sempitkanlah laluan syaitan dengan berlapar." (Hadis riwayat Ahmad dan Bukhari)

Selain itu, membaca al-Quran, berzikir dan beristighfar juga boleh menjadi benteng diri daripada godaan syaitan, di samping menjauhi sifat tergesa-gesa dan sentiasa berhati-hati dalam semua perkara.

Takutlah!

Oleh Atriza Umar

Martabat manusia ditentukan oleh akhlaknya. Kematangan sikap peribadi bermula dari rumah tangga. Menanamkan tingkah yang jujur, membentuk perilaku umat harus dimulai dengan menanam sahsiah pada keluarga. Pembinaan rohani keluarga bermula dengan penerapan beragama. Ia dimulakan dengan menanamkan rasa ”Khauf”.

“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan penuh rasa takut (khauf) dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (As-Sajadah : 16)

Kata khauf yang bermakna takut, telah dinyatakan dalam al-Quran sebanyak 134 kali, dan sinonimnya iaitu kata “Khasy-syah”, yang juga bererti takut terdapat sebanyak 84 kali.

Allah Subhanahu wa Ta`ala menjadikan kehidupan di dunia ini ibarat situasi ujian, yang harus ditempuh sekalian manusia.

Firman Allah jelas tentang perkara tersebut (maksudnya):

“Dialah Allah yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk : 2)

Rasa takut (Khauf) merupakan sifat kejiwaan dan kecenderungan semulajadi yang bermukim di hati manusia dan memiliki peranan penting dalam kehidupan kejiwaan manusia.

Ali bin Abi Talib radhiallahu’anha berkata:

“MAN KHAAFA AAMANA!”

(Barangsiapa yang takut, aman!)

Kalau kita tidak takut akan hujan, tentu kita tidak akan menyediakan payung agar tidak basah, apabila kita tidak takut sakit, pastinya kita tidak menjaga kesihatan diri, apabila kita tidak takut negara diancam atau dijajah, maka sesiapa pun boleh menjadi pemimpin walaupun ia daripada kalangan yang sangat buruk dan telah dikenalpasti pengancam dan penindas. Dengan itu tidak perlulah memilih pemimpin yang baik.

Islam tidak melihat rasa takut yang ada dalam diri manusia sebagai aib yang harus dihilangkan.

Tetapi, rasa takut akan menjadi sesuatu yang buruk apabila seseorang tidak mampu meletakkan dan menggunakan rasa takut itu, apalagi ketika rasa takut itu jadi penghalang kemajuan, penyekat kebebasan mengamalkan sunah, maka terbiarlah maruah dirinya rosak.

Ali bin Abi Talib menasihatkan kita:

“Kalau anda bertekad melakukan sesuatu, maka harungilah. Maka bayangan bencana teampak lebih besar daripada yang sebenarnya.

“Sesungguhnya menunggu datangnya sesuatu tanpa bersiap dan melakukan sesuatu, hakikatnya lebih buruk daripada sesuatu yang ditunggu itu sendiri.”

Kerana itu lebih baik melakukan persiapan dan menyusun strategi serta kekuatan zahir dan batin menghadapi sesuatu yang akan bertandang.

Al-Quran telah menggambarkan rasa takut yang hadir pada jiwa para rasul dan juga pada diri hamba- hamba Allah yang soleh, meskipun mereka adalah manusia pilihan yang terkenal suci dan bersih. Allah Subhanahu wa Ta`ala berfirman dalam al-Quran, menceritakan peristiwa keluarga Musa alaihissalam ketika menghadapi kekejaman Firaun, yang membunuhi setiap anak-anak lelaki yang lahir kerana takut generasi yang lahir itu akan mengubah kekuasaan yang dipegangnya turun-temurun.

Maka ketika Musa lahir, Allah telah mempersiapkan untuk menggantikan kekuasaan Firaun kepada ibu Musa yang diilhamkan oleh Allah sebagai berikut (maksud firman-Nya):

“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia, dan apabila kamu takut (khuatir) maka hanyutkanlah dia ke dalam sungai (Nil). Dan janganlah kamu takut dan (jangan pula) bersedih hati kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) daripada para rasul.” (Al-Qashash : 7)

Takut (al-khauf) adalah masalah yang berkaitan dengan kejadian yang akan datang. Seseorang hanya akan berasa takut jika yang dibenci bertamu dan yang dicinta sirna.

Khauf merupakan salah satu syarat iman dan kerelaan melaksanakan hukum-hukum-Nya.

Takut kepada Allah adalah rasa takut yang semestinya dimiliki setiap hamba, kerana rasa takut itu mendorong untuk meningkatkan amal kebaikan dan bersegera dalam meninggalkan semua yang dilarang-Nya.

Rasa takut kepada yang Maha Kuasa adalah salah satu bukti keimanan kepada-Nya. Dengan adanya rasa takut, timbul rasa harap (rajaa’) akan maghfirah (ampunan), lahirlah harapan tentang ‘inayah (pertolongan), serta rahmat Allah dan redha-Nya.

Sehingga hakikat “iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’iin” benar-benar meresap dalam qalbu seorang hamba.

Pada saat manusia merasakan getaran rasa takutnya kepada Allah, maka saat itu bererti mereka memiliki rasa takut akan ancaman azab yang Allah sediakan bagi orang-orang yang derhaka kepada-Nya.

Ma’rifah (pengetahuan) akan sifat Allah akan menghantar ke dalam pengetahuan tentang azab-Nya.

Seorang hamba yang soleh, ber-ma’rifatullah dan merealisasikan hakikat kehambaannya dengan senantiasa mengamalkan perintah-Nya, dan mengamalkan pula semua ajaran rasul-Nya, tentu akan memilki rasa takut yang mendalam terhadap azab yang mengancamnya.

Sikap ini akan menjadikan seseorang itu selalu waspada, sehingga tidak ada amal atau perbuatannya yang mengarah kepada hal-hal yang menjadikan Allah murka dan menjadikan dirinya derhaka kepada Allah.

Allah Subhanahu wa Ta`ala berfirman (maksudnya):

“Katakanlah: “Sesungguhnya aku takut akan seksaan hari yang besar jika aku derhaka kepada Tuhanku.” (Az Zumar : 13)

Sesungguhnya rasa takut kepada Allah itu merupakan salah satu sifat yang diciptakan dalam diri manusia untuk memotivasi mereka dalam menyebarluaskan dan menjaga nilai-nilai Illahi. Orang yang benar dalam mempergunakan rasa takutnya akan merasakan rahmat Allah, baik dalam kehidupan duniawi mahupun ukhrawi.

Thursday, January 27, 2011

Kisah Klasik Untuk Masa Depan

Oleh Wan Am

Tajuk artikel kali ini sememangnya mirip dengan tajuk lagu sebuah kumpulan alternatif dari seberang yang cukup popular lebih kurang sedekad yang lalu. Hm.. waktu itu muzik alternatif memang mendapat tempat di hati muda-mudi. Saya pun pernah terdedah kepada muzik tersebut (namun tidaklah sampai menjadi pengikutnya) lantaran dua tiga orang teman sebilik di bangku universiti dahulu meminati genre muzik sedemikian dan sering mengumandangkan lagu-lagu kumpulan tersebut di radio kongsi kami.

Apa pun, dengar khabar baru-baru ini salah seorang gitaris kumpulan tersebut telah pun berubah menjadi insan yang lebih akrab dengan amalan Islam, malah turut sama mengajak orang lain kepada perkara kebaikan. Alhamdulillah.

Baiklah, pada kesempatan ini saya ingin melayarkan sebuah kisah, yang sebenarnya ada kaitannya dengan artikel saya yang lalu mengenai zina. Kisah ini saya petik dari kitab 'Tanbihul Ghafilin'. Namun sebelum mempersembahkannya saya cenderung untuk berkongsikan firman Allah berikut:

"(Bujukan orang-orang munafik itu adalah) seperti (bujukan) syaitan ketika dia berkata kepada manusia: "Kafirlah kamu", maka tatkala manusia itu telah kafir ia berkata: "Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan semesta alam". Maka adalah kesudahan keduanya, bahawa sesungguhnya keduanya (masuk) ke dalam neraka, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan orang-orang yang zalim." (al-Hasyr : 16-17)

Maka tersebutlah kisah...

Diceritakan dalam salah satu riwayat bahawa pada zaman Bani Israil, hidup seorang ahli ibadah bernama Birshish. Beliau sangat tekun beribadah, sering berada di tempat ibadahnya, dan doanya mustajab. Sehingga ramai orang yang datang kepada beliau agar dapat mendoakan penyakit mereka supaya sembuh.

Melihatkan keadaan ini, Iblis lantas memanggil syaitan-syaitan dan berkata, "Siapakah di antara kamu yang mampu menggoda orang ini?" Salah satu syaitan yang bernama Ifrit berkata, "Aku yang akan menggodanya, bila aku tidak berjaya menggodanya maka janganlah kamu menghormati aku juga." Iblis lalu berkata, "Pergilah sekarang juga."

Maka syaitan itu pun pergi ke rumah salah seorang raja Bani Israil yang memiliki puteri yang sangat cantik. Pada suatu ketika, iaitu ketika puteri raja tersebut sedang duduk bersama ibu, ayah dan saudara-saudaranya, tiba-tiba dia berubah menjadi seperti orang gila. Beberapa hari pun berlalu, namun puteri raja itu tidak juga sembuh. Lalu syaitan tersebut yang menyamar sebagai manusia pun mendatangi rumah raja tersebut lalu berkata, "Jika kamu mahu menyembuhkan anakmu yang sedang sakit hilang ingatan itu, maka kamu hantarlah dia kepada pendita Birshish supaya dia dapat mendoakan kesembuhan anak gadismu itu."

Kemudian raja itu pun menghantar puterinya kepada Birshish, dan setelah didoakan oleh beliau, maka puteri tersebut pun sembuh seperti sedia kala. Namun sebaik sahaja pulang ke istana, penyakit itu pun menyerang lagi. Lalu syaitan datang kembali kepada raja tersebut dan berkata, "Jika kamu hendakkan anak kamu benar-benar sembuh, maka biarkanlah dia menginap di rumah pendita Birshish untuk beberapa hari." Kemudian raja pun menghantar anaknya kepada Birshish, namun permintaannya ditolak oleh Birshish. Namun, akibat paksaan raja tersebut, Birshish terpaksa menerimanya. Maka bermulalah pula misi syaitan untuk menggoda Birshish dengan puteri raja tersebut.

Pada suatu hari, ketika Birshish sedang duduk untuk makan, syaitan pun membuka aurat puteri raja, dan terpandanglah Birshish akan keadaan tersebut, lantas terpegun dengan kecantikan puteri raja itu. Hari-hari yang berikutnya Birshish teringat-ingat akan kecantikan puteri raja tersebut sehinggalah beliau tergerak hati untuk berbuat maksiat dengannya. Akhirnya Birshish jatuh ke dalam perangkap syaitan lantas berzina sehingga puteri raja itu hamil.

Kemudian syaitan pun berbisik ke hati Birshish, "Kamu sudah menyebabkan gadis ini hamil. Kamu pasti tidak akan terlepas daripada hukuman raja, melainkan kamu membunuh gadis ini dan menguburkannya di bawah tempat ibadahmu. Jika keluarga raja itu bertanyakanmu tentang gadis ini, kamu katakanlah bahawa gadis itu telah mati. Tentu mereka percaya." Lalu Birshish pun membunuh puteri raja itu dan melakukan seperti yang dinasihatkan oleh syaitan tadi. Kemudian keluarga raja pun menanyakan keadaan puteri raja tersebut kepada Birshish, dan beliau menjawab bahawa puteri raja itu sudah mati. Keluarga raja mempercayai kata-kata Birshish (Dalam riwayat yang lain disebutkan bahawa Birshish memberitahu kepada mereka bahawa puteri raja itu telah sembuh dan pulang sendiri ke istana. Namun apabila keluarga raja pulang, mereka dapati puteri raja tiada di sana lantas mencarinya di merata tempat).

Kemudian syaitan pun memberitahu kepada mereka bahawa puteri raja itu telah diperkosa oleh Birshish lalu hamil, dan kerana takut dihukum oleh raja, Birshish telah membunuh puteri raja tersebut dan menguburkannya di tempat ibadah beliau. Maka sang raja pun mengerahkan orang-orangnya ke rumah Birshish dan menggali tempat yang dimaksudkan, dan ditemui mayat puteri tersebut yang telah dibunuh oleh Birshish. Birshish terus ditangkap dan digantung oleh orang-orang raja tersebut.

Pada saat itu syaitan pun datang kepada Birshish dan berkata kepadanya, "Akulah yang menjadi dalang kepada semua ini, dan aku masih boleh menyelamatkan kamu, iaitu dengan memberitahu kepada mereka dan mereka pasti percaya kepadaku. Namun ada satu syarat yang harus kamu penuhi, iaitu kamu sujud kepadaku sekali sahaja." Birshish lantas bertanya, "Bagaimana aku boleh sujud kepada engkau dalam keadaan begini?" Syaitan pun menjawab, "Cukuplah hanya dengan mengganggukkan kepala kamu." Birshish pun mengganggukkan kepalanya tanda sujud kepada syaitan. Maka berjayalah misi syaitan untuk menyesatkan Birshish, dan Birshish mati dalam kehinaan.

Berfikir dan berzikirlah. Semoga kisah klasik ini ada pengiktibarannya buat generasi kini dan masa depan.

Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya

Oleh Wan Am

Dalam salah satu artikel saya yang terdahulu, saya pernah ketengahkan fakta berikut:

- Terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga bulan Julai 2008.
- Secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari.

(Sumber: Statistik Jabatan Pendaftaran Negara, Disember 2009)

Fakta lain yang telah turut saya kongsikan:

- Kelahiran anak luar nikah dalam tempoh empat tahun (1999 hingga 2003) ialah 70,430 orang.
- 30,978 orang atau 44 peratus daripada jumlah tersebut adalah anak orang Islam.

(Sumber: Statistik Pendaftaran Kelahiran Negara)

Fakta-fakta ini jelas menggambarkan awan mendung yang sedang masyarakat kita hadapi hari ini. Gejala zina di Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda amat menakutkan. Para pelaku zina ini pula bukannya tidak tahu risiko atau bahaya berzina, namun mereka tetap melakukannya kerana dorongan hawa nafsu yang sudah tidak mampu untuk dikekang lagi.

Saya ada terbaca satu kajian yang dilakukan beberapa tahun lalu oleh seorang ahli akademik, yang mana beliau telah mendapati bahawa semua 887 pelajar perempuan yang menuntut di sekolah-sekolah menengah di sebuah negeri dikategorikan sebagai ‘berisiko tinggi’ kecuali seorang, mengaku pernah mengadakan hubungan seks. Satu lagi kajian yang dibuat oleh seorang pakar psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah mendapati ada tujuh daripada 31 responden mengaku melakukan seks sebelum usia mencecah 15 tahun!

Astaqhfirullah... inilah petanda kemerosotan mendadak nilai moral remaja di negara ini yang kita tidak boleh bersikap enteng dan bena tak bena dalam mendepaninya. Fenomena ini memang wajar ditangani segera dan menjadi agenda mustahak negara, jika tidak mahu lebih ramai lagi bayi yang dilahirkan tanpa dicatat nama bapa dalam sijil kelahiran mereka. Malah, gejala zina ini sudah boleh dianggap suatu bencana besar yang berupaya mengaibkan maruah negara Malaysia di mata dunia.

Apakah faktor-faktor yang menyebabkan gejala zina begitu berleluasa kala ini? Dalam buku "Menjadi Belia Cemerlang", penulisnya iaitu Mohd. Ismail Mustari telah mendatangkan sepuluh faktor yang menjadi penyumbang kepada keruntuhan akhlak generasi muda masa kini:

1. Pegangan akidah yang tidak kukuh;
2. Kurang menghayati agama;
3. Propaganda negatif yang berkembang, berpunca daripada dua faktor dominan; faktor keluarga dan faktor media cetak dan elektronik;
4. Sanggup melakukan apa sahaja atas dasar glamour, canggih, cemerlang dan anggun;
5. Peranan institusi masjid yang longgar;
6. Pembangunan ekonomi tidak seimbang dengan proses pembangunan sahsiah;
7. Sistem pendidikan dan iklim sekolah yang kurang mendorong kepada suasana belajar;
8. Sikap belia sendiri dan pengaruh rakan sebaya;
9. Pengaruh keadaan sekitar; pusat pelancongan ala-Barat dan pusat hiburan yang berkembang, konsert yang menggalakkan pergaulan bebas dan kemudahan untuk membeli arak dan ubat pencegah kehamilan; dan
10. Kepekaan masyarakat yang bermusim dan tidak konsisten apabila menangani masalah.

Daripada senarai di atas, faktor-faktor yang membawa kepada gejala sosial, termasuk zina ini boleh kita bahagikan kepada dua bahagian; faktor dalaman dan faktor luaran.

Ramai pihak berpendapat, faktor dalamanlah yang menjadi punca terbesar kepada permasalahan zina ini. Kita harus akui bahawa ikatan akidah islamiah dalam kalangan umat kini sudah begitu longgar. Bagi mereka yang tidak memahami hakikat beriman kepada Tuhan, tidak hairanlah jika mereka tidak mempunyai kesedaran akan tuntutan akidah. Manakala mereka yang memahaminya, keimanan mereka pula yang tidak cukup utuh untuk menggerakkan mereka melakukan amal kebaikan dan meninggalkan perkara yang bercanggah dengan Islam.

Terdapat satu kajian yang menarik perhatian saya dalam hal ini, iaitu kajian yang pernah dijalankan oleh Jas Laile Suzana Jaafar bertajuk "Takat Keagamaan dan Motivasi Sosial Seks Sebelum Nikah di Kalangan Remaja Melayu dalam Malaysia: Isu-isu Sosial Semasa" terbitan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun 2005. Melalui kajian beliau tersebut terhadap 115 remaja Melayu yang berumur antara 13 hingga 20 tahun yang pernah bersekedudukan luar nikah, didapati 83 peratus daripada mereka mempersepsikan diri mereka sebagai tidak kuat agama. Beliau turut menyimpulkan, barangkali, oleh sebab takat religiositi yang rendah, mereka tidak menyesal dengan tingkah laku mereka.

Maka, ternyatalah bahawa penglibatan remaja dengan gejala zina berhubung rapat dengan masalah kelemahan akidah. Dan sudah pasti solusi terbaik kepada masalah ini ialah memastikan umat kembali berpegang teguh kepada ikatan akidah dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Keimanan harus ditanam dalam jiwa mereka sehinggalah keimanan itu akan membuahkan tindakan iaitu beramal dengan ajaran Islam, bersesuaian dengan hakikat iman itu sendiri; tasdik (membenarkan) dalam hati dan membuktikannya melalui amalan oleh anggota tubuh badan.

Justeru, di samping berusaha mengislah diri, ayuh kita terus berkomitmen untuk membawa perubahan kepada generasi muda kita dengan usaha-usaha:

1. Mendidik mereka agar memperhambakan diri hanya kepada Allah dan mentaati-Nya semata-mata.
2. Mewujudkan peribadi remaja salih yang hanya beriman kepad Allah, memiliki ilmu yang bermanfaat, beramal dengannya dan menyeru manusia kepada ajaran Islam.
3. Memelihara seluruh anggota badan daripada kemurkaan Allah.
4. Membentuk rasa ikhlas yang menjadikan iman dan keyakinan akan ganjaran Allah sebagai pendorong amal dan rasa takut kepada kemurkaan Allah sebagai benteng kemaksiatan.
5. Membina sifat sanggup bersusah-payah, mampu menempuh rintangan dan bersabar serta tetap pendirian dalam menghadapi cabaran, semata-mata kerana mengharapkan syurga Allah.

Inilah tugas besar kita, terutamanya terhadap golongan awal remaja. Bak kata orang-orang tua, "Melentur buluh biarlah dari rebungnya."

Monday, January 24, 2011

'Sedikit demi sedikit lama-lama habis'

Kelihatan sangat kontradiktif dengan salah satu pepatah yang berbunyi, "Sedikit demi sedikit lama-lama jadi bukit". Betul ke? Tapi tidak perlu ditanyakan lagi kerana memang topik tersebut kontradiktif sekali dengan pepatah tersebut.

Walaupun demikian penulis tidak bermaksud untuk menidakkan pepatah tersebut, apalagi menjadikannya sebagai bahan candaan; cuma ingin mengajak kita sekaliannya berfikir.

Pepatah yang penulis ketengahkan ini sering dimaknakan sebagai sebuah cerminan bagaimana pentingnya menabung 'for our better life in the future'. Tetapi sesungguhnya pepatah itu tidak sekadar berbicara tentang hidup berhemat atau ketekunan menabung.

Pepatah tersebut boleh mencerminkan tentang sesuatu yang lebih berharga daripada sekadar sekantung kepingan RM, iaitu amal kebaikan. Apabila kita mampu mengumpulkan kebaikan-kebaikan daripada tindakan-tindakan kecil kita, maka kita akan merasakan kebesaran dalam jiwa kita.

Ucapan terima kasih dan hadiah secangkir senyum, sapaan ramah, atau pelukan bersahabat adalah tindakan yang mungkin biasa sahaja. Namun apabila dilakukan dengan penuh kasih sayang kerana Allah, ia akan jauh lebih berharga daripada apa pun.

Firman Allah s.w.t. dalam ayat ke-7 surat Az-Zalzalah (maksudnya):

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.”

Jadi hanya amal sahajalah yang membuat kasih sayang-Nya diberikan kepada kita, sehingga Allah pun meredhakan syurga-Nya untuk kita tempati.

Ini berlaku dengan perbuatan-perbuatan yang akan membuat kita terpuruk, seperti melekehkan permasalahan akidah, ibadah, muamalah, politik, akhlak, dan lain-lainnya. Sebagai contoh, dalam hal akidah, kebanyakan daripada kita terlalu memandang bahawa belajar tentang akidah itu cukup dengan menghafaz rukun iman saja, sehingga malas untuk mempelajari dengan lebih mendalam lagi.

Dan ketika ada golongan yang menyimpang daripada syariat Islam, orang yang tidak tahu di mana letak kesesatannya kerana tidak ingin mempelajarinya akan hairan dengan kelompok-kelompok yang menentang golongan tersebut.

Jangan kita menjadi pelik kalau ada sebahagian daripada mereka mengatakan, "Kenapa mereka ditentang dan dimusuhi. Kan mereka orang Islam juga?", bahkan ada yang akan membela dan melindunginya.

Hal tersebut sangat berbahaya dan membahayakan akidah umat Islam. Bagaimana tidak, golongan yang sesat dan apabila kita membenarkannya, maka kita akan termasuk ke dalam kelompok mereka juga. Ini terjadi terhadap sebahagian besar masyarakat kita kerana terlalu 'memalaskan diri' dalam mempelajari akidah Islam.

Dalam masalah poliltik, kita sudah tahu bahawa sistem yang digunakan oleh kita saat ini adalah sistem buatan manusia yang tidak terlepas daripada sifat relatif dan oportunis yang membuatnya, tetapi masih tetap saja digunakan oleh penguasa kita, dengan alasan bahawa semua itu tidak ada pertentangannya dengan hukum Islam. Dan banyak sekali ulama yang mengatakan demikian (mudah-mudahan mereka dalam keadaan lupa), padahal akibat daripada penerapan sistem taghut ini sudah ditampakan dengan jelas oleh Allah. Tapi dasar manusia lalai dan alpa.

Pada awalnya kita menganggap sistem buatan manusia itu tidak ada pertentangannya dengan syariat Islam, kemudian dicuba, kemudian digunakan, dipelajari dan disebarkan, setelah itu menganggap bahawa sistem itu dianggap harga mati bagi bangsa ini dengan mengetepikan sistem Tuhan yang seharusnya lebih wajar di gunakan oleh manusia.

Bahkan tidak sedikit para intelektual yang mengaku Islam menganggap bahawa sistem Islam sudah tidak layak lagi digunakan dan sangat mengancam kedaulatan negara. Tidak sombongkah jika manusia menganggap sistem buatan Maha Pencipta dianggap tidak layak untuk digunapakai? Na’uzubillah.

Dalam masalah muamalah, kerana negara ini pada awal didasari oleh sistem Islam yang valid, sistem yang adil yang dibuat Allah s.w.t. yang Maha Adil. Yang haram dianggap halal bukan menjadi soal lagi, yang syubhah jadi biasa bukan masalah lagi, asalkan tidak bertentngan dengan undang-undang dan mendapat izin daripada kerajaan, hal tersebut tidak menjadi persoalan lagi. Apakah ini masalah kecil?

Dalam akhlak atau perilaku umat manusia, perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan agama dianggap menjadi budaya, pergaulan bebas, cara berpakaian asalkan tidak mengganggu kepentingan umum dan atas dasar suka sama suka itu diperbolehkan, bahkan dalam hal pelacuran, asalkan dilokalalisasi oleh pemerintah hal tersebut menjadi perbuatan legal (diiklankan lagi, misalnya dengan ditayangkannya iklan kondom dan disarankan agar orang yang melakukan perbuatan zina memakainya agar tidak terjadi kehamilan dan tertular penyakit kelamin). Apakah ini masalah kecil?

Ya... begitulah. Sedikit demi sedikit lama habis. Apabila kita terlalu menganggap ringan masalah akidah dan perbutan maksiat. Lama-kelamaan diri kita akan menjadi biasa, setelah biasa kita akan lupa bahawa perbuatan tersebut adalah perbuatan yang sangat dibenci oleh yang menciptakan kita.

Dan kita tidak sedar kalau keimanan kita pun habis terhakis olehnya. Ditambah lagi dengan ketidakpedulian terhadap masalah agama. Maka kecelakaanlah yang akan menimpa kita, penyesalan yang tidak berpenghujung akan dialami pada kemudian hari, di hadapan Maha Pencipta.

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula." (Az-Zalzalah 99: 8)

Untuk itu kita jangan terlalu memperlekeh perbuatan kecil di mata kita, kerana siapa tahu dihadapan- Nya itu akan menghindar kita daripada murka-Nya. Dan jangan sesekali menganggap mudah hal kemaksiatan dan kemungkaran kerana nanti hal tersebut boleh menjerumuskan kita ke dalam jurang kenistaan.

Apabila orang bijak mampu mengatakan 'sedikit demi sedikit lama-lama jadi bukit', orang tak bijak pun boleh mengatakan 'sedikit demi sedikit lama-lama habis'.

“...Maka tidakkah kamu berfikir?” (Al-Baqarah 2: 44)

Friday, January 21, 2011

Apa Kata Agama Tentang Zina?

Oleh Wan Am

Dalam artikel kali ini, saya ingin ketengahkan hal-hal berkaitan zina dari perspektif yang sedikit ilmiah, yang mana saya cenderung untuk berkongsi pandangan beberapa agama mengenai zina. Terlebih dahulu, pohon maaf saya pinta andai perkongsian saya ini akan menimbulkan sedikit rasa sensitif bagi sesetengah pihak. Namun, saya harap kita dapat bersikap positif dalam hal ini. Dengan komitmen kita untuk memastikan gejala zina ini benar-benar dapat dibanteras seluruhnya, sedikit ilmu mengenainya elok juga menjadi bekalan kita.

Saya mulakan perbincangan ini dengan meninjau pandangan Islam tentang zina. Ulama-ulama silam pernah memberikan beberapa definisi mengenai zina. Antara yang telah saya temui ialah pandangan daripada al-Qarafi, al-Kasani dan al-Shirazi, melalui pembacaan saya dalam buku "Jinayah Dalam Islam - Satu Kajian Ilmiah Mengenai Hukum-hukum Hudud" hasil karya Dr. Mahfodz Mohamad.

Bagi al-Qarafi dalam kitabnya "al-Dakhira", zina ialah pencabulan kemaluan perempuan yang diharamkan melalui wati (memasukkan hasyafah* dan menenggelamkannya ke dalam faraj) yang haram pada bukan milik dan bukan milik yang kesamaran. Kata al-Kasani dalam bukunya "Badai' al-Sanai'" pula, beliau mendefinisikan zina sebagai nama bagi wati yang diharamkan ke dalam kemaluan perempuan yang masih hidup, dengan kerelaannya, dilakukan dalam dar al-'adil yang iltizam dengan hukum-hukum Islam dan yang sunyi daripada milik dan milik yang samar-samar dan daripada hak milik serta daripada nikah yang sebenarnya dan nikah yang samar-samar.

Al-Syirazi pula menukilkan dalam bukunya "al-Muhazhzhab", zina ialah seorang lelaki daripada penduduk negara Islam yang melakukan wati ke atas perempuan yang diharamkan ke atasnya dengan tidak melalui akad atau akad yang kesamaran dan tidak milik atau milik yang kesamaran dan lelaki itu berakal lagi baligh dan tidak dipaksa serta mengetahui hukum zina.

Daripada definisi-definisi tersebut, Dr. Mahfodz Mohamad dalam buku beliau tersebut telah menyimpulkan bahawa bolehlah dikatakan, zina ialah:

1. Perbuatan wati yang diharamkan;
2. Dilakukan dengan sengaja; dan
3. Dilakukan oleh orang yang cukup syarat sebagai mukallaf.

Maka, ketiga-tiga perkara di atas ini telah dipersetujui oleh kebanyakan ulama sebagai rukun-rukun bagi kesalahan zina. Oh, zina pun ada rukun-rukunnya juga. Ini ilmu baru buat saya, dan mungkin juga anda. Selama ini pun yang kita tahu hanya rukun iman, rukun Islam, rukun solat, rukun puasa dan rukun haji sahaja.

Apa pula kata al-Quran tentang zina? Ada beberapa ayat Allah yang relevan dengan hal zina ini. Antaranya ialah firman Allah:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji (fahisyah) dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (al-Israk : 32)

Di sini Allah menjelaskan tentang kejinya zina, yang mana perkataan “fahisyah” maknanya adalah perbuatan keji atau kotor yang sudah mencapai tingkat yang tinggi dan diakui kekejiannya oleh setiap orang yang berakal, bahkan oleh sebahagian banyak binatang. Dalam hal ini, Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya, daripada Amru bin Maimun al-Audi, beliau berkata, “Aku pernah melihat – pada masa jahiliah – seekor kera jantan yang berzina dengan seekor kera betina, lalu datanglah kawanan kera mengerumuni mereka berdua dan melempari keduanya sampai mati.” Dalam ayat tersebut juga Allah mengisytiharkan bahwa zina adalah seburuk-buruk jalan, ia adalah jalan kebinasaan, kehancuran dan kehinaan di dunia serta menempa seksaan dan azab di akhirat.

Zina adalah perbuatan terkutuk dan tergolong dalam dosa-dosa besar. Di samping itu, perbuatan zina ini boleh menyebabkan perbuatan dosa besar lain oleh si pelakunya, misalnya pembunuhan. Hal ini berlaku apabila wanita yang mengandungkan anak hasil perbuatan zina berusaha menggugurkan anak dalam kandungan. Jika gagal berbuat demikian, bayi yang dilahirkan akan dibuang di merata-rata tempat seperti tempat pembuangan sampah, dalam tandas awam, tepi longkang dan ada kalanya ditinggalkan di kawasan masjid, yang mana tindakan sedemikian boleh menjadi penyebab kepada kematian bayi tersebut.

Mengenai hal ini, perhatikan firman Allah berikut yang merupakan ayat selepas ayat mengenai zina tadi:

"Dan janganlah kamu membunuh diri seorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau-lampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan." (al-Israk : 33)

Daripada kedua-dua ayat yang berturutan ini, jelaslah akan kaitannya antara jenayah zina dan pembunuhan. Bagai isi dan kuku.

Mari kita perhatikan pula firman Allah berikut:

"katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman: hendaklah mereka menahan (sebahagian) daripada pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." (an-Nuur : 30)

Ayat ini menegaskan bahawa orang-orang lelaki yang beriman wajib menahan pandangan mata mereka daripada memandang kepada wanita yang bukan mahram. Zina mata membawa kepada zina hati, yang mana membawa pula kepada zina anggota dan ini akan menyebabkan kemurkaan dan laknat Allah. Walaubagaimanapun, pandangan yang tidak disengajakan adalah dimaafkan tetapi tidak boleh diulangi. Manakala pandangan kerana suatu hajat atau darurat dari segi syariat adalah diharuskan, seperti untuk meminang atau mengubati.

Manakala untuk kaum wanita, renungilah firman Allah ini:

"Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada perempuan-perempuan yang beriman: hendaklah mereka menahan (sebahagian) daripada pandangan mereka (daripada memandang lelaki yang ajnabi) dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung (khumur) ke dada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba abdi yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan) atau anak-anak yang belum mengerti aurat perempuan. Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu mencapai falah, yakni mendapat keuntungan, kemenangan atau kebahgiaan yang hakiki." (an-Nuur : 31)

Sememangnya Islam amat menitikberatkan kesejahteraan hidup manusia dengan ikatan pernikahan yang sah. Perbuatan zina amat dilarang keras oleh Islam kerana perbuatan ini adalah jenayah yang banyak menimbulkan masalah kepada masyarakat dan negara. Berleluasanya zina akan menyebabkan masyarakatnya menjadi porak-peranda dan berpeca-belah, merosakkan keturunan, membawa bermacam penyakit, merosakkan kesihatan rohani dan jasmani, menghilangkan ketenangan dan mencemarkan kesucian Islam, bahkan boleh menjadi penyebab kepada turunnya bala daripada Allah.

Kita tinjau pula secara ringkas apa kata agama lain tentang zina. Bagi agama Buddha, zina jelas menjadi suatu amalan yang dilarang untuk dilakukan oleh penganutnya. Hal ini terkandung dalam lima larangan dalam agama Buddha iaitu jangan membunuh, jangan berzina, jangan berbohong, jangan mencuri dan jangan minum arak. Perkara-perkara ini ada disebut dalam Sutta Nipata 815, Dhammapada 309-10 dan Sutta Nipata 123. Jika dilihat pula pada adat tradisi masyarakat Cina zaman dahulu, hukuman ke atas mereka yang berzina ini amat berat. Penzina-penzina ini akan dimasukkan ke dalam bekas atau raga babi dan dicampakkan ke dalam sungai.

Begitu juga larangan dalam agama Kristian. Agama tersebut mengharamkan zina kepada penganutnya, sepertimana yang disebut dalam Bible, 1 Corinthians 6:18-20 dan 1 Corinthians 7:1-2. Jika dibaca kitab Hindu, Bhagavad Gita1.40-42, zina juga diharamkan dalam agama Hindu. Perlakuan berzina dianggap sebagai penghinaan kepada undang-undang agama Hindu (Laws of Manu, 9.95, 101). Dalam ajaran Sikh, salah satu daripada lima dosa besar adalah berzina.

Dalam beberapa ajaran lain seperti Konfucianisme, Taoisme, Jainisme, Zoroastrianisme, Shintoisme, Judaisme dan Bahai juga jelas terdapat larangan zina ini (rujuk artikel bertajuk 'A Comparison of Morality from the religions from Around the World', http://usminc.org/other.html).

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa tidak ada satu pun agama atau ajaran di dunia yang menghalalkan perlakuan tidak bermoral seperti berzina atau hubungan seks luar perkahwinan ini. Sememangnya semua agama mahu memastikan penganutnya menjadi manusia yang mempunyai moral yang tinggi, bermaruah dan sebagainya.


*Hasyafah - bahagian kepada zakar

Mulianya Pemaaf

Oleh Atriza Umar

“Wahai ‘Uqbah, mahukah engkau aku beritahu akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling mulia? Iaitu, menyambung silaturahim dengan orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang tidak mahu dan tidak pernah memberimu, memaafkan orang yang pernah menzalimi dan menganiayamu.” (Hadis Riwayat Hakim)

Pemaaf adalah sikap suka memberi maaf terhadap kesalahan orang lain tanpa ada sedikit pun rasa benci dan dendam di hati. Sifat pemaaf adalah salah satu manifestasi daripada ketakwaan kepada Allah.

Sebagaimana firman-Nya,

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya) baik pada waktu lapang mahupun pada waktu sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Ali Imran 3:133-134)

Islam mengajar umatnya untuk bersikap pemaaf dan suka memaafkan kesalahan orang lain tanpa menunggu permohonan maaf daripada orang yang berbuat salah kepadanya. Tidak ditemui satu ayat yang menganjurkan untuk meminta maaf, tetapi yang ada ialah perintah untuk memberi maaf.

Ada kalanya seseorang berbuat salah dan menyedari kesalahannya serta berniat untuk meminta maaf, namun ia terhalang oleh hambatan psikologi untuk menyampaikan permintaan maaf. Apatah lagi jika orang itu merasa status sosialnya lebih tinggi daripada orang yang akan diminta maafnya. Contohnya seorang pemimpin kepada orang yang dia pimpin, orang tua kepada anaknya, atau yang lebih tua kepada yang lebih muda. Barangkali, itulah salah satu hikmah kenapa Allah memerintahkan kita untuk memberi maaf sebelum diminta maaf itu.

Memberi maaf haruslah disertai dengan ketulusan hati dan berlapang dada, sehingga tidak tersisa rasa dendam atau keinginan untuk membalasnya. Allah berfirman dalam surah an-Nur ayat 22:

“Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Berlapang dada dalam bahasa Arab disebut as-safhu yang secara etimologinya bererti lapang. Halaman pada buku dinamai safhah kerana kelapangan dan keluasannya. Dari sini as-safhu dapat diertikan sebagai kelapangan dada. Berjabat tangan dinamai musafahah, kerana melakukannya bererti berkelapangan dada.

Diibaratkan kita tersalah sewaktu menulis di sebuah lembaran kertas, kesalahan itu kita padam dengan alat pemadam. Dengan apapun kita menghapusnya, tentu akan meninggalkan kesan, bahkan barangkali kertas tersebut menjadi robek.

Justeru, supaya lebih bersih dan rapi, kertas yang terdapat kesalahan tulisan padanya itu diganti saja dengan lembaran yang baru. Memaafi diibaratkan menghapus kesalahan pada kertas, sedangkan berlapang dada diibaratkan mengganti lembaran kertas yang salah dengan lembaran yang baru.

Rasulullah s.a.w., pemilik akhlak yang paling mulia, dengan keagungan akhlaknya telah memberikan suri teladan kepada umatnya. Antaranya ialah sikap pemaaf. Salah satu sikap pemaaf baginda dapat kita semak dalam kisah ini:

Dalam peperangan Khaibar, Zainab binti al-Haris, iaitu isteri Salam bin Miskan, salah seorang pemuka Yahudi, memberikan hadiah kambing bakar yang telah matang kepada Rasulullah s.a.w. Zainab bertanya kepada Rasulullah tentang anggota badan kambing yang disukai baginda, lalu ada yang menjelaskan kepadanya bahawa yang disenangi Rasulullah adalah paha kambing.

Zainab pun membubuh racun sebanyak-banyaknya pada paha kambing dan menghidangkannya kepada Rasulullah. Rasulullah s.a.w. mengambil sedikit daging paha kambing tersebut dan mengunyahnya, tetapi tidak menyukai rasanya.

Bisyar al-Barra’ bin Ma’ruf yang saat itu bersama Rasulullah s.a.w. ikut menyantap daging paha kambing tersebut. Rasulullah memuntahkan kembali daging kambing yang beliau kunyah, kemudian berkata: “Sesungguhnya tulang ini memberi tahu kepadaku bahawa dia diberi racun.”

Zainab dipanggil dan ditanya tentang hal tersebut, dan dia pun mengakui perbuatannya. Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Zainab tentang perbuatannya itu. Zainab menjawab, “Engkau tahu bagaimana engkau telah menakluki kaumku, lalu terlintas di hatiku untuk mengujimu dengan racun itu. Jikalau Muhammad seorang raja, maka aku akan aman daripada tindakannya (mati lantaran memakan daging paha kambing yang telah diberi racun), dan jikalau dia memang seorang nabi, tentu dia akan diberitahu (tentang daging yang beracun itu). ” Lalu Zainab dimaafkan oleh Rasulullah s.a.w., sedangkan Bisyar al-Barra’ yang telah memakannya, meninggal dunia.

Sebenarnya pengakuan Zainab hanya dusta belaka. Dia benar-benar berniat untuk berbuat jahat terhadap Rasulullahs.a.w. Walaupun demikian, niat jahatnya itu telah diampuni oleh Rasulullah berkat sifat pemaafnya dan kelapangan dadanya.

Kisah di atas adalah satu daripada sekian banyak kisah tentang keluhuran budi pekerti dan akhlakul karimah yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. Betapapun besarnya kezaliman yang dilakukan ke atas diri baginda, tidak sedikit pun baginda menaruh benci, apatah lagi dendam untuk membalasnya. Bahkan pintu kemaafan selalu baginda buka dengan lebar bagi siapa saja yang bermaksud untuk berlaku jahat dan menganiaya baginda.

Perlu disedari, bahawa di dunia ini tidak ada seorang pun yang tidak pernah berbuat kesalahan. Maka hal yang terbaik bagi setiap diri adalah menyedari akan kesalahan yang pernah dilakukannya, kemudian bersegera untuk memohon maaf atas kesalahannya itu.

Jika kesalahan itu terhadap Allah s.w.t., maka bersegeralah memohon keampunan-Nya. Dan jika kesalahan itu terhadap sesama manusia, maka bersegeralah meminta maaf daripadanya.

Paling utama adalah jika ada yang pernah berbuat kesalahan terhadap kita, maka maafkanlah kesalahannya, sekalipun orang yang berbuat kesalahan itu tidak pernah memohon maaf daripada kita. Kerana ketahuilah, bahawa dengan begitu rahmat Allah akan senantiasa meliputi kita.

Thursday, January 20, 2011

Anda Bijak Jauhi Zina

Oleh Wan Am

Baru-baru ini saya telah diundang untuk menghadiri suatu program konvensyen yang menghimpunkan ratusan anak muda dari seluruh tanah air di sebuah istitusi pengajian tinggi di Kajang. Alhamdulillah, berpeluang juga untuk bersua kembali dengan teman-teman yang sudah agak lama tidak ketemu; mereka yang pernah bersama dalam satu kafilah pada zaman muda-muda dahulu. Rata-rata semuanya masih aktif dan terus istikamah dalam dunia dakwah. Pada masa yang sama, berkesempatan pula beramah mesra dengan kenalan-kenalan baru; generasi penyambung rantai perjuangan yang pernah kami nikmati.

Hal yang ingin saya kongsikan dalam artikel ini adalah mengenai ZINA. Saya ingin membangkitkan perkara ini kerana semasa berlangsungnya program yang saya sebutkan tadi, terdapat satu slot yang amat menggamit perhatian saya. Slot yang berkisar tentang usaha sebuah badan bernama Raudhatus Sakinah dalam menangani isu zina yang kini kian melarat dalam kalangan muda-mudi di negara Malaysia yang tercinta ini. Walaupun hanya sekadar slot selingan, namun relevan sekali ditalakan kepada orang-orang muda dalam program tersebut. Tidak kisahlah, mereka yang hadir mungkin orang baik-baik belaka. Namun, mesej sedemikian memang wajar disampaikan tidak kira kepada sesiapa pun. Salih hari ini, bukan jaminan salih pada esok hari.

Komitmen Raudhatus Sakinah untuk membendung gejala zina dalam kalangan generasi muda memang wajar dipuji. Melalui kempen "Anda Bijak Jauhi Zina" yang mereka lancarkan sejak tahun 2007, mereka terus-menerus berusaha memberikan kesedaran, khususnya kepada pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta warga belia akan keburukan jenayah zina ini agar tidak membarah dengan lebih dahsyat lagi dalam masyarakat. Dalam menyampaikan mesej murni tersebut, banyak "lubuk" orang muda telah mereka jejaki, manakala puluhan ribu remaja telah dapat mereka santuni bagi menyampaikan mesej ini.

Malah, pada tahun 2010, selain kempen Anda Bijak Jauhi Zina yang terus giat dilaksanakan, komitmen ini terus mereka pertingkatkan dengan penganjuran beberapa program berimpak tinggi (high impact) bagi memastikan mesej ini lebih meluas dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat. Strategi mereka dengan mengundang penyanyi antarabangsa yang cukup popular dewasa ini iaitu Maher Zain untuk mengadakan persembahan khas di Malaysia sambil mempromosikan kesedaran mengenai isu gejala sosial kepada rakyat di negara ini sedikit sebanyak telah mencelikkan mata dan hati banyak pihak mengenai isu zina ini. Selain itu, "Himpunan 1000 Jiwa 1 Hati" juga telah diadakan pada 31 Disember 2010 yang lalu, yang mana seribu orang anak muda, termasuk mereka yang pernah bersama dalam program Anda Bijak Jauhi Zina telah dihimpunkan kembali untuk bersatu lantas memperbaharui azam bagi menjauhi perbuatan zina yang merosakkan.

Di samping usaha kesedaran dan pencegahan, Raudhatus Sakinah sebenarnya telah lama terlibat dalam memberikan perlindungan kepada remaja yang terjebak dalam kemelut zina ini. Sejak 1998, Raudhatus Sakinah telah menabur bakti melindungi dan memberikan bimbingan kepada ratusan, jika tidak ribuan anak-anak muda yang telah tersasar. Tempoh setahun remaja-remaja ini di Raudhatus Sakinah menjadi detik terbaik bagi mereka untuk menginsafi keterlanjuran yang telah dilakukan, lantas memperbaiki diri menjadi insan yang lebih dekat dengan Tuhan.

Bak kata Ummi Roses, iaitu pengasas Raudhatus Sakinah dalam bukunya "Ku Temui Jalan Pulang", kehidupan remaja masa kini berhadapan dengan pelbagai persoalan, pergelutan dan cabaran dalam mencari identiti diri. Bagi mereka yang menerima bimbingan yang sempurna serta bertemu dengan rakan yang baik, jalan kehidupan mereka akan terarah dan terselamat daripada godaan pancaroba alam remaja. Namun, bagi mereka yang tersasar dan tergelincir dalam kemelut kehidupan dunia remaja yang penuh warna-warni ini, mereka menjadi mangsa kepada kealpaan mereka. Akhirnya ada dalam kalangan mereka yang terjebak ke kancah masalah sosial seperti pil khayal, dadah dan pergaulan bebas, malah lebih parah lagi terjebak dalam zina dan pembuangan anak hasil zina tersebut!

Selain Raudhatus Sakinah, akhir-akhir ini beberapa pihak lain yang berautoriti juga telah turut menyahut tanggungjawab untuk membanteras gejala zina dan jenayah pembuangan bayi. Antaranya ialah Kerajaan Negeri Selangor yang telah melancarkan Kempen Anti Zina pada malam 31 Ogos 2010, dengan hasrat untuk membendung isu zina daripada peringkat akar umbi lagi, selain menangani masalah pembuangan bayi yang semakin berleluasa. Kerajaan Negeri Melaka juga, walaupun sedikit kontroversi telah menubuhkan Sekolah Harapan pada beberapa bulan yang lepas, bertujuan memastikan remaja-remaja wanita yang telah hamil samada secara sah atau luar nikah membina kehidupan dan membesarkan bayi sambil meneruskan pelajaran di sekolah itu tanpa gangguan masyarakat. Sementara di Perak pula pada penghujung Disember 2010 telah diwujudkan pusat perlindungan bayi (baby hatch) dengan kerjasama KPJ Ipoh Specialist Hospital bagi mengurangkan gejala pembuangan bayi, sekali gus mengurangkan risiko kematian dalam kalangan bayi yang baru lahir.

Kita percaya masih banyak pihak yang turut serta dalam usaha menangani gejala zina ini. Kita juga percaya gejala zina yang menjadi punca pembuangan bayi dalam masyarakat hari ini boleh dicegah sekiranya penyelesaian yang lebih holistik dilakukan. Ada pihak yang telah menyarankan supaya pihak kerajaan merangka satu pelan tindakan bersepadu yang melibatkan setiap anggota masyarakat bagi membendung pergaulan bebas dan gejala zina di negara ini. Dalam hal ini, antara perkara yang boleh dilaksanakan ialah menutup ruang yang menggalakkan zina seperti penerbitan dan pengedaran bahan media berbentuk lucah, mengawal aktiviti yang menggalakkan pergaulan bebas dan maksiat, memperkasa kedudukan wanita supaya mereka lebih sedar untuk menjaga kehormatan dan harga diri, mengadakan kempen besar-besaran supaya masyarakat memandang jijik perlakuan zina serta memperkukuh institusi keluarga.

Walau apa pun, ubat paling mujarab bagi mengatasi masalah ini ialah masyarakat perlu kembali mengamalkan cara hidup berpandukan ajaran agama masing-masing. Bagi umat Islam, tiada pilihan lain kecuali kembali sepenuhnya kepada ajaran Islam berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Remaja Muslim hari ini juga harus membataskan pergaulannya sebagaimana yang dikehendaki oleh agama, agar terselamat daripada bencana dan dosa yang besar yang mungkin boleh memusnahkan kehidupan.

Dan jangan kita lupa bahawa antara tujuh golongan manusia yang akan diberikan perlindungan oleh Allah dalam naungannya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri ialah seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, “Aku takut kepada Allah” (Hadis Rasulullah riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Tuesday, January 11, 2011

Jom Berdakwah!

Oleh Wan Am

Ingat lagikah anda kepada penulisan saya mengenai masa? Dalam surah al-Asr, Allah ada menyebut bahawa manusia itu berada dalam kerugian, kecuali bagi mereka yang mempunyai empat sifat; beriman, beramal salih, berpesan-pesan pada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran. Dalam istilah lain, sifat ketiga dan keempat itu bolehlah dikatakan juga sebagai melaksanakan dakwah.

Hari ini melalui pelbagai wahana kita menyaksikan ramai anak muda segenerasi kita hanyut dalam kebejatan gejala sosial dan keruntuhan akhlak dan moral. Gaya hidup hedonisme yang merupakan salah satu pakej utama kepercayaan materialisme, dirangkul erat oleh anak-anak muda kini. Dengan lemahnya iman dan tidak berputiknya nilai-nilai Islam dalam diri membuatkan mereka lebih berminat untuk mengamalkan gaya hidup orang-orang Barat dalam kehidupan seharian mereka.

Baru semalam (11 Januari 2011) saya terlihat dalam sebuah akhbar tabloid arus perdana, yang mana terpampang gambar seorang aktres popular beragama Islam di muka hadapan akhbar tersebut, memakai bikini di pantai di sebuah negara jiran. Na'uzzubillah. Gambar tersebut yang dimuat naik dari sebuah laman facebook, sememangnya bukan super impose. Dia sendiri mengaku perempuan dalam gambar itu adalah dirinya. Lantas memohon maaf dan menyesal atas kesalahannya itu. Kita hendak maafkankah? Hm.. Teringat pula kepada lirik sebuah lagu dalam filem Pendekar Bujang Lapok, "Wahai cik adik jangan marah sangat, sedangkan nabi ampunkan umat..."

Bukan itu sahaja, akhbar tersebut juga turut mengimbas kembali peristiwa-peristiwa kontroversi sebegini yang melibatkan artis-artis dalam industri hiburan di tanah air kita dalam sepuluh tahun kebelakangan ini. Ramai pula dalam kalangan mereka itu menjadi idola anak-anak muda.

Dengan realiti sedemikian rupa, memang wajarlah umat Islam, termasuk generasi muda kembali melaksanakan tugas asasi untuk membaiki masyarakat dan teman-teman segenerasi agar kembali kepada cara hidup Islam. Dalam erti kata lain, berdakwah. Dakwah dari segi bahasa membawa maksud menyeru atau memanggil, samada kepada yang hak atau batil. Dari segi syarak pula maknanya lebih khusus, iaitu seruan atau panggilan ke jalan Allah. Dalam hal ini Ibnu Taimiyyah pernah menyatakan, "Dakwah ialah satu usaha seruan ke arah beriman kepada Allah dan apa yang disampaikan oleh rasul-rasul-Nya, iaitu dengan membenarkan segala perkara yang disampaikan oleh rasul-rasul dan mentaati perintah mereka."

Firman Allah:

"Hai Nabi, kami mengutuskan engkau sebagai saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan, dan untuk menjadi penyeru (da'i) kepada (ad-Deen) Allah dengan seizin-Nya dan untuk menjadi cahaya yang menerangi." (Al-Ahzab : 45-46)

Dakwah adalah suatu kewajipan, bukan pilihan. Hal ini adalah berasaskan kefahaman bahawa tugas menggerakkan dakwah adalah menjadi kewajipan bagi setiap individu yang bergelar Muslim dan mengucapkan kalimah 'La Ilaha IllaLlah Muhammadur Rasulullah'. Malah, ia merupakan sunnah terbesar Nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam, serta para rasul dan nabi sebelumnya, yang mana tujuan diutuskan mereka kepada setiap umat manusia adalah tidak lain dan tidak bukan, untuk membawa dan mengembangkan risalah Islam ini.

Terdapat banyak dalil yang terkandung dalam al-Quran, yang jelas menunjukkan bahawa melaksanakan usaha dakwah, iaitu melakukan amar makruf dan nahi mungkar adalah suatu tuntutan keimanan yang tidak boleh diabaikan. Salah satu dalil tuntutan dakwah adalah sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah dalam al-Quran:

“Dan ingatlah ketika suatu umat di antara mereka berkata: ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?’ Mereka menjawab: ‘Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa.’” (Al-A’raf : 164)

Ayat ini menjelaskan, menjalankan usaha dakwah walaupun dalam keadaan umat telah bergelumang dengan kemungkaran maksiat tetap menjadi tanggungjawab seorang Muslim. Kerana tindakan sedemikianlah yang akan menjadi alasan dan perlepasan kepada kita sewaktu ditanya oleh Allah kelak, disebabkan kita telah menunaikan tugas kita untuk mencegah kemungkaran dalam masyarakat, walaupun mereka tidak mahu berubah. Secara peribadi, inilah antara ayat yang cukup memotivasikan saya untuk melaksanakan dakwah.

Berhubung persoalan dakwah, Imam Said bin Jubair pernah berkata, "Jika seseorang itu tidak mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar sehinggalah dia berada dalam keadaan sempurna, maka tidak akan ada sesiapa pun yang mengajak kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar."

Dalam hal ini, salah satu kekeliruan yang kerap didapati dalam konteks dakwah adalah seseorang individu itu perlu memastikan kesempurnaan dirinya sebelum terjun menjalankan usaha dakwah. Sekiranya mentaliti ini masih bertakung di minda kebanyakan individu Muslim, umat Islam akan terus-menerus ketandusan anasir-anasir dakwah yang mampu membawa perubahan yang diharapkan. Ini kerana tiada seorang pun yang akan mencapai tahap kesempurnaan, samada dalam aspek keperibadiannya mahupun tahap keilmuannya.

Rasulullah sallahu alaihi wasallam telah bersabda:

"Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dicegah dengan tangannya, jika tidak mampu, cegahlah dengan kata-katanya, jika tidak mampu juga, cegahlah dengan hatinya, dan itu adalah tanda selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)

Islam mengakui tahap keupayaan setiap individu. Ini didasarkan sabda Nabi di atas, setiap muslim dituntut berdakwah berteraskan kemampuannya. Dalam konteks mencegah kemungkaran, usaha paling minimum yang boleh dilakukan adalah membenci sesuatu kemungkaran itu dengan hati. Ini kerana mengingkari kemungkaran dengan hati adalah wajib hukumnya ke atas setiap Muslim. Ini juga menunjukkan tanda-tanda keimanan seseorang, yang mana salah satu neraca pertimbangannya adalah membenci maksiat.

Seseorang pendakwah juga perlu mempersiapkan dirinya dalam tiga perkara; ilmu, warak dan akhlak. Dalam hal ini, Imam al-Ghazali pernah menjelaskan, "Berkaitan dengan ilmu, seseorang pendakwah perlu mengetahui suasana dakwahnya, batas-batasnya, tempat berlakunya kemungkaran, serta penghalang-penghalangnya, supaya dakwahnya berjalan di atas landasan agama. Warak bermakna seseorang pendakwah menjauhi perbuatan-perbuatan salah yang diketahuinya. Berhubung dengan akhlak yang baik, seseorang pendakwah hendaklah berdakwah dengan lemah-lembut dan kasih sayang... Dengan tiga sifat ini, dakwah menjadi amalan yang mendekatkan seseorang kepada Allah. Tanpa ketiga-tiganya, kemungkaran tidak akan tertolak, malah kadangkala dakwah bertukar menjadi kemungkaran, kerana melampaui batas-batas agama."

Ingatlah kita bahawa golongan pemuda adalah satu kelompok individu yang sangat besar sumbangan dan peranannya terhadap masyarakat. Seandainya golongan pemuda berjaya menjalankan tugas dakwah ini dengan baik, maka masyarakat tersebut akan mencapai kemajuan bukan sahaja dalam aspek pembangunan insan, malah dalam pembangunan material juga. Sebaliknya, masyarakat akan menjadi lesu dan kurang bermaya jika generasi mudanya melalaikan kewajipan dan tanggungjawabnya membina masyarakat.

Generasi muda hari ini adalah harapan umat. Sedarlah, tanggungjawab membangunkan umat dan memperjuangkan risalah-Nya adalah tergalas di bahu kita. Sememangnya tugas ini amat berat, dan pastinya menagih pengorbanan yang bukan sedikit. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi tribulasi yang cukup hebat dan menyesakkan pada alaf ini.

Apa lagi teman-teman sekalian? Jom berdakwah!

Monday, January 10, 2011

Peduli Ibadah Sunat

Oleh Wan Am

Selain ibadah wajib seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, zakat dan haji bagi yang mampu, Islam juga sangat menggalakkan umatnya untuk meningkatkan amal ibadah-ibadah sunat. Jika ibadah wajib adalah tiang seri agama, maka ibadah sunat pula adalah penyokong dan pengukuhnya. Ibadah-ibadah sunat ini disyariatkan oleh Allah adalah untuk menampal, menampung dan menyempurnakan kelemahan dan kekurangan yang wujud dalam pelaksanaan ibadah-ibadah wajib yang kita lakukan.

Dalam satu hadis mengenai kelebihan solat sunat, Abu Hurairah radhiyallahu anhu meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya amalan manusia yang mula-mula dihisab pada hari kiamat adalah solat mereka. Tuhan kita berfirman kepada Malaikat-Nya padahal Ia lebih mengetahui: Periksalah solat hamba-Ku! Sempurnakah atau kurang? Jika solatnya sempurna dicatatlah sempurna, dan jika terdapat kekurangan Tuhan berfirman pula: Periksalah, apakah hamba-Ku mempunyai amalan solat sunat? Jika ia mempunyai amalan solat sunat lalu Tuhan berfirman: Sempurnakan solat fardu hamba-Ku dengan solat sunatnya. Kemudian diperhitungkan amalan-amalan itu dengan cara demikian.” (Hadis riwayat Abu Daud, an-Nasai dan at-Tirmizi)

Pada usia muda ini, rebutlah peluang untuk kita membiasakan diri dengan ibadah-ibadah sunat berikut:

1. Mengerjakan solat sunat rawatib setiap hari. Diriwayatkan dari Ummul Mukminin Habibah, beliau mendengar Rasulullah sallahu alaihi wasallam bersabda, “Jika hamba yang Muslim solat sebanyak dua belas rakaat kerana Allah pada setiap hari, secara sunnah bukan wajib, maka Allah membangun rumah untuknya di syurga.” (Hadis riwayat Muslim)

2. Rajin mengerjakan solat sunat witir walaupun satu rakaat. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiyallahu anhu yang berkata, “Aku diberi wasiat tiga hal oleh kekasihku Rasullah sallahu alaihi wasallam, iaitu puasa tiga hari pada setiap bulan, (mengerjakan) dua rakaat solat Dhuha, dan mengerjakan solat Witir sebelum tidur.” (Muttafaq Alaih)

3. Duduk setelah solat Subuh di masjid untuk berzikir, membaca al-Quran hingga matahari terbit dan solat dua rakaat. Diriwayatkan daripada Anas radhiyallahu anhu yang berkata, Rasullah sallahu alaihi wasallam bersabda, “Barangsiapa solat Subuh dengan berjemaah, lalu duduk berzikir kepada Allah Taala hingga matahari terbit, lalu solat dua rakaat, maka itu seperti pahala penuh haji dan umrah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi, tergolong dalam hadis hasan)

4. Rajin solat Dhuha.

5. Mengerjakan qiammullail walaupun sebentar.

6. Berpuasa pada hari-hari mulia, antaranya enam hari di bulan Syawal, hari Arafah, hari Asyura dan hari Isnin atau Khamis.

7. Menyumbang dana untuk projek dan aktiviti Islam walaupun sedikit.

Salah satu ibadah sunat yang disukai Allah dan menduduki tempat yang tinggi dalam usaha kita untuk muraqabah (meyakini dengan sepenuh hati Allah melihat dan mengawasi gerak-gerak kita) dan mendekatkan diri kepada Allah ialah ibadah zikir. Ia merupakan amalan hamba yang sentiasa sedar akan tuntutan kewajipan mengingati dan mensyukuri Penciptanya. Dengan berzikir, Allah akan memberikannya keampunan dan pahala yang besar. Firman Allah:

“Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (al-Ahzab : 35)

Ibnu Abbas radhiyallahu anhu pernah menegaskan kepentingan zikir ini dengan katanya, “Sesungguhnya setiap kewajipan yang diperintahkan Allah terhadap hamba-hamba-Nya ada batasannya. Bagi yang uzur, dimaafkan oleh-Nya. Namun tidak bagi zikrullah. Tidak ada batas dan uzur yang dapat diterima untuk keringanan daripada berzikir kecuali apabila akal seseorang itu telah berubah menjadi gila.”

Zikir itu mempunyai tingkatannya. Paling tinggi ialah zikir dengan kedua-dua hati dan lidah, disusuli zikir dengan hati. Zikir dengan lidah adalah tingkatan yang paling rendah.

Zikir juga dapat dilakukan dalam banyak keadaan. Dalam kita al-Azkar, Imam Nawawi berkata, “Telah ijmak ulama berkenaan dengan keharusan berzikir dengaan hati dan lidah bagi semua orang termasuk mereka yang berhadas, yang berjunub, yang haid dan yang mengalami nifas, tidak kira samada zikirnya berbentuk tahlil, tahmid, takbir, selawat, doa dan yang seumpamanya kecuali membaca al-Quran…” Malah, solat lima waktu juga mengandungi pelbagai jenis zikir yang memberikan peluang kepada setiap Muslim untuk untuk membersihkan diri dan rohaninya serta menumpukan ingatannya kepada Allah.

Begitu juga zikir mempunyai kaitannya dengan ilmu. Dalam kitab yang sama Imam Nawawi menyatakan, “Sebenarnya zikir tidak hanya dikaitkan dengan majlis tahlil, tasbih, tahmid, takbir dan yang seumpamanya sahaja. Bahkan setiap mereka yang melaksanakan amalan taat kepada Allah dianggap sebagai golongan yang berzikir. Pendapat ini diutarakan oleh Imam Said bin Jubair serta ramai ulama lain. Imam Atha berpendapat majlis zikir adalah majlis yang berbicara tentang halal dan haram, hukum hakam jual beli, solat, puasa, nikah, talak, haji dan seumpamanya.”

Justeru, sentiasalah kita berzikir kepada Allah yang telah menganugerahkan pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya kepada kita. Dengan zikrullah, insya-Allah hati kita akan sentiasa dilimpahi ketenangan dan terdidik di bawah pengawasan Allah serta menjadi perisai daripada maksiat dan dosa.

Sunday, January 9, 2011

Serlahkan Potensi Akal

Oleh Wan Am

Setelah berbicara tentang nafsu, kali ini saya ingin menyentuh pula tentang akal. Ini kerana sebagaimana nafsu, akal juga ada kaitannya dengan ibadah. Tambahan lagi, akal adalah suatu kejadian yang sangat berharga buat manusia, serta menjadi alat untuk manusia menjalankan tugas mencari dan menguasai ilmu.

Islam menggalakkan umatnya untuk menceburi segala bidang ilmu pengetahuan dalam kehidupan. Malah, manusia zaman ini amat memerlukan ilmu-ilmu tersebut lantaran berada dalam suasana berlumba-lumba menghasilkan pelbagai ciptaan dan penemuan baru. Semuanya pula adalah untuk manfaat manusia itu sendiri.

Malangnya, umat Islam juga yang tertinggal dalam perlumbaan tersebut. Setelah berlalu zaman keemasan Islam yang di dalamnya lahir tokoh ilmuan Islam seperti Ibnu Sina, al-Khawarizmi, Jabir bin Hayyan, al-Zahrawi dan lain-lain, umat Islam tiba-tiba dilanda musim tengkujuh yang berpanjangan. Suatu zaman di mana mereka tidak lagi berminat mengkaji alam, bahkan mengabaikan bidang kajian dan tafakur berkaitan sains dan teknologi, sedangkan di Barat bidang ilmu tersebut berkembang dengan pesat bak cendawan selepas hujan.

Natijahnya, umat Islam menjadi “pak turut” dan “pak angguk” dunia Barat, juga dunia Timur. Umat Islam bergantung sepenuhnya kepada mereka, dan pada masa yang sama sibuk berdebat dan berfalsafah dalam perkara ranting yang tidak berfaedah.Tepatlah seperti apa yang pernah dinukilkan oleh Syeikh Hasan an-Nadwi dalam bukunya “Kerugian Dunia Kerana Kemunduran umat Islam”, yang mana beliau mengatakan selama berabad-abad lamanya umat Islam membuang waktu dan tenaga untuk berfikir dan berfalsafah berhubung dengan perkara yang tidak bermanfaat. Jika umat Islam menfokuskan kepada ilmu yang menguntungkan Islam, kedudukan mereka tidak akan menjadi separah itu. Umat Islam bukan sahaja asyik membahaskan sifat-sifat Allah, malah mereka juga berbicara tentang roh, falsafah wihdatul wujud dan sebagainya. Semua ini memakan masa dan tenaga yang bukan sedikit. Hasil penemuan (sains) kaum Muslimin samada di sudut kuantiti ataupun kualitinya, tidak mendatangkan apa-apa makna jika dibandingkan dengan penemuan Barat.

Maka, umat Islam perlu kembali mengasah dan menyerlahkan potensi akal mereka agar kembali menjadi umat yang gemilang, seterusnya menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula tamadun Islam. Allah amat memandang mulia kepada orang yang memanfaatkan akalnya, malah, menggelar mereka sebagai “ulul albab”, sebagaimana yang difirmankan-Nya dalam surah Ali Imran ayat 190 dan 191:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab (iaitu golongan yang berakal). (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, ‘Wahai Tuhan kami Kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka’.”

Membaca dan merenung ayat-ayat Allah adalah salah satu cara untuk kita mengenal dan mendekatkan diri kepada Allah. Dengan niat dan cara yang betul, ia boleh dikira sebagai suatu ibadah. Dalam ayat di atas, Allah menyuruh manusia untuk merenung alam, langit dan bumi. Juga memerhatikan proses pergantian siang dan malam. Semuanya itu penuh dengan bukti-bukti kebesaran-Nya.

Bukan itu sahaja, malah Islam turut mengajar kita agar tidak membezakan di antara ilmu agama dengan ilmu dunia. sebagaimana Islam mahu dalam kalangan umatnya menjadi ahli dalam hukum Islam, Islam juga mahukan umatnya yang berkeahlian dalam bidang perubatan, kejuruteraan, perakaunan, teknologi maklumat dan ilmu-ilmu kontemporari yang lain. Menceburkan diri dalam bidang-bidang ilmu tersebut pula merupakan kewajipan bagi segelintir orang Islam, malah hendaklah bersungguh-sungguh menjadi orang yang mahir dan pakar agar kelak kemahiran dan kepakaran mereka dalam bidang-bidang tersebut akan memberikan faedah kepada Islam dan umatnya. Paling utama, ilmu tersebut dapat membawanya untuk mengetahui jalan-jalan mengenali Allah.

Bercakap mengenai perkara ini, teringat saya kepada satu perbincangan kumpulan kecil yang saya sertai beberapa minggu lepas, yang mana kami telah dikongsikan dengan satu kisah benar, berlaku lebih kurang pada tiga dekad yang lampau, yang melibatkan seorang professor yang cukup arif mengenai bidang anatomi (struktur tubuh manusia) di Thailand bernama Profesor Tagatat Tejasen. Dipendekkan cerita, setelah Profesor Tagatat berdialog dengan beberapa orang ilmuwan Islam mengenai anatomi kulit manusia dan meneliti hasil pengkajian Profesor Keith Moore dari Kanada (seorang yang amat dikagumi oleh beliau) mengenai persamaan ilmu embriologi moden dan anatomi dengan ayat yang telah disebut dalam al-Quran, beliau akhirnya telah melafazkan syahadah. Ayat tersebut ialah:

“Sesungguhnya orang yang kufur terhadap ayat Kami, kelak Kami akan masukkan mereka ke neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, kami gantikan kulit mereka dengan kulit lain supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (al-Nisa’ : 56)

Ayat ini dan ayat-ayat lain yang seumpamanya harus memberikan inspirasi kepada umat Islam untuk lebih menguasai ilmu, termasuk ilmu berkaitan sains dan teknologi, sesuailah dengan zaman ini. Dalam al-Quran sendiri perkataan “ilmu” disebut lebih 700 kali. Otak pula yang merupakan organ istimewa yang dikurniakan Allah kepada manusia dan tempat untuk akal menjalankan tugasnya haruslah digunakan sebaiknya. Janganlah kita sia-siakan potensi otak yang sebenarnya kita masih belum benar-benar menerokainya.

Kata-kata berikut daripada seorang tokoh akademik dari Rusia bernama Dr. Ivan Yefremov mungkin boleh merangsang kita, “Dengan kemampuan otak kita mampu mempelajari 40 bahasa, mampu menghafaz satu set ensiklopedia daripada A hingga Z dan mampu mengikuti dan menamatkan kursus-kurus yang dianjurkan oleh puluhan kolej.” Malah, pernah diberitakan, suatu hari seseorang mencela Ibnu Sina kerana tidak menghafal al-Quran kecuali surah al-Fatihah, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas sahaja. Mendengar celaan itu, Ibnu Sina menjadi sangat malu dan marah, lantas terdorong untuk menghafal seluruh al-Quran, dan beliau berjaya melakukannya hanya dalam satu malam!

Ditegaskan juga di sini bahawa golongan yang tidak berusaha mencari dan menambah ilmu adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi. Lebih buruk lagi, tergolong dalam kumpulan yang sama ialah orang-orang yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmu yang dimiliki!

Friday, January 7, 2011

Katakan "Ya!" Pada Mujahadah

Oleh Wan Am

Saya masih ingat pada akhir tahun 2009, negara kita dikejutkan dengan satu statistik yang cukup menggerunkan. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada waktu itu telah melaporkan, terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga bulan Julai 2008.

Hal ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Lebih mengharukan lagi, menurut statistik pendaftaran kelahiran, kelahiran anak luar nikah dalam tempoh empat tahun sahaja (1999 hingga 2003) iaitu 30,978 daripada 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang Islam! Manakala Malaysiakini.com pada tahun lalu pernah melaporkan, mengikut statistik terbaru penghidap HIV/AIDS di Malaysia, seramai 72 peratus adalah dalam kalangan melayu Islam.

Saya rasa cukuplah sekadar itu saya kongsikan statistik-statistik yang sedemikian. Bukan itu hidangan utama saya dalam artikel kali ini. Saya kira dengan melayari internet, anda boleh sahaja mendapatkan maklumat-maklumat lain berkaitan gejala sosial dalam kalangan generasi muda hari ini jika anda berminat untuk lebih mendalaminya.

Hal yang lebih utama yang ingin saya bicarakan ialah mengenai "mujahadah". Apa itu mujahadah? Apa pula kaitannya dengan perkara yang saya lontarkan pada awal penulisan tadi? Hubungannya dengan ibadah pula bagaimana? Bagai aur dan tebingkah?

Mujahadah bererti berusaha bersungguh-sungguh melawan kehendak hawa nafsu. Istilah "mujahadah" berasal dari kata "al-jihad", iaitu berusaha dengan sepenuh kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar. Begitu juga di dalam kitab "Al-Asas fit Tafsir", Said Hawa pernah berkata, "Secara dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan hawa nafsu supaya ia mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara."

Manakala nafsu itu pula ialah tempat berkumpulnya kekuatan amarah dan syahwat (keinginan) dalam diri manusia. Di sinilah terkumpulnya sifat-sifat tercela dan sentiasa mendorong manusia untuk melakukan amal kejahatan. Dan daripada nafsu jugalah munculnya sifat-sifat mazmumah seperti takbur, dengki, marah, cintakan dunia, berbohong dan sebagainya. Hinggakan Imam al-Ghazali pernah mengatakan, nafsu ibarat kuda liar, yang mana jika tidak dididik maka kuda itu akan menjatuhkan orang yang menunggangnya. Sebaliknya jika kuda ini berjaya dijinakkan, dengan mudah ia dapat ditunggang dan akan mengikut sahaja ke mana arah tujuan. Pendek kata, nafsu adalah generator kejahatan dalam tubuh badan manusia.

Dalam al-Quran sendiri Allah telah membahagikan nafsu ini kepada tiga kategori. Pertama, nafsu mutmainnah, yakni hati yang tenang damai. Allah berfirman dalam surah al-Fajr ayat 27 hingga 30, "Wahai hati yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai. Masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku." Kedua, nafsu lawwamah, iaitu nafsu yang belum benar-benar stabil, yang mana amal kebaikan yang dilakukan belum terasa indah, namun apabila berbuat kejahatan timbul pula rasa kesal di hati. Allah menyebut tentang jenis nafsu ini dalam surah al-Qiyamah ayat 1 dan 2, "Aku bersumpah dengan hari kiamat dan aku bersumpah dengan jiwa lawwamah (yang amat menyesali dirinya sendiri)." Manakala yang ketiga, nafsu ammarah. Inilah tahap nafsu yang paling rendah martabatnya, yang mana hati dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah, dan seratus-peratus tunduk kepada kemahuan syaitan dan syahwat. Dalam hal ini Allah berkata dalam surah Yusuf ayat 55, "Dan aku tidak membebaskan diriku daripada kesalahan kerana sesungguhnya nafsu ammarah selalu menyuruh kepada kejahatan..."

Ingin ditekankan di sini juga bahawa terdapat tiga bahagian dalam penciptaan makhluk oleh Allah. Pertama, Dia menjadikan malaikat dengan hanya memiliki akal, tanpa diberikan nafsu. Kedua, Dia menjadikan haiwan yang memiliki nafsu, namun tidak dikurniakan akal. Manakala ketiga, manusia diciptakan Allah dengan dibekalkan akal dan nafsu. Bagi seorang manusia, jika akalnya dapat menundukkan nafsunya, maka dia adalah makhluk yang lebih baik dari malaikat. Namun, bagaimana pula jika akalnya ditumpaskan oleh nafsunya? Sudah tentu dia boleh diibaratkan lebih teruk daripada binatang!

Maka, bagaimana pula kaitannya antara nafsu dan ibadah? Ya, ibadah yang telah ditetapkan oleh agama sebenarnya mempunyai unsur-unsur mujahadah. Dr. Danial Zainal Abidin dalam bukunya "7 Formula Individu Cemerlang" berkata, solat yang khusyuk mampu membersihkan hati dan mencegah individu daripada perbuatan keji. Solat subuh membantu individu melawan nafsu tidur yang berlebihan. Puasa memberikan kekuatan pada individu mengawal nafsu makan, minum dan seks. Zakat pula membersihkan hati daripada penyakit tamak haloba. Manakala pencarian ilmu melemahkan nafsu yang sukakan kesenangan dan kerehatan. Maka, dengan kita bermujahadah melaksanakan ibadah-ibadah tersebut akan mendekatkan diri kita kepada takwa.

Dengan premis tersebut, saya ingin mengajak diri saya sendiri serta teman-teman segenerasi sekalian untuk kita sama-sama berusaha menjadikan program mujahadah, yakni melawan hawa nafsu ini sebagai agenda besar dalam hidup kita. Bahkan ia harus menjadi agenda utama kita dalam mengembalikan kekuatan ummah. Tamadun Islam akan gagal kita bangunkan jika nafsu ini terus bermaharajalela dalam diri umat Islam. Realiti masa kini yang saya kongsikan pada awal artikel ini, bahkan gejala negatif lain seperti rasuah, dadah, judi, gengsterisme dan lain-lain adalah natijahnya bila nafsu sudah tidak dapat dikekang lagi dalam diri umat kini.

Dan beruntunglah bagi mereka yang berusaha untuk menunaikan janji Allah berikut:

"Dan adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya." (An-Nazi'at : 40-41)

Thursday, January 6, 2011

Luruskanlah niat!

Oleh Wan Am

Ingat lagikah anda, dalam artikel terdahulu saya ada berkongsi bahawa, oleh kerana manusia dicipta untuk beribadah kepada Allah, maka sudah tentu dalam Islam, seluruh kegiatan manusia adalah ibadah kepada Allah. Asalkan ia diniatkan untuk Allah, maka segala-galanya menjadi ibadah. Berhubung perkara tersebut, suatu hal yang ingin saya ketengahkan dalam artikel kali ini adalah mengenai "niat".

Kepentingan persoalan niat ini usah kita pertikaikan. Daripada petikan ayat di atas sahaja sudah boleh menggambarkan betapa mustahaknya niat dalam kehidupan kita seharian.

Sebelum saya pergi jauh, saya berhasrat untuk mengaitkan topik ini dengan hadis masyhur daripada Umar r.a., yang mana beliau mendengar Rasulullah sallallahu alaihi wasallam berkata, "Sesungguhnya setiap amal disertai niat dan sesungguhnya bagi setiap insan apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehnya ataupun untuk seorang wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya kepada sesuatu yang dimaksudkan dalam hijrahnya itu." (Muttafaq `Alaih)

Hadis ini sebenarnya mengisahkan tentang peristiwa umat Islam yang berhijrah dari Makkah ke Madinah pada zaman Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, yang mana melibatkan salah seorang sahabat yang berhijrah semata-mata kerana keinginannya untuk mengahwini seorang wanita bernama Ummu Qais. Rasulullah lantas memberikan peringatan sebagaimana yang terkandung dalam hadis di atas setelah mengetahui maksud lelaki berkenaan.

Teguran dan peringatan ar-Rasul pada ketika itu adalah kerana pada saat-saat yang genting itu, baginda dan sahabat-sahabat yang lain menyandarkan tujuan penghijrahan mereka dari kampung halaman yang tercinta di Makkah ke Madinah itu semata-mata hanya kerana Allah. Dengan kata lain, penghijrahan bagi kepentingan, penyebaran dan kedaulatan agama Islam. Maka, oleh sebab niatnya itu, tiadalah yang diperoleh oleh lelaki berkenaan kecuali apa yang dihajatinya.

Di sinilah diperlihatkan betapa niat menjadi paksi dalam menentukan kedudukan amalan atau perbuatan seseorang. Bahkan, niat turut menjadi syarat bagi penerimaan sesuatu amalan atau ibadah yang dilaksanakan oleh seseorang hamba.

Setiap amal kebaikan sewajarnya diiringkan dengan niat yang baik. Bagi amalan yang baik, tetapi dijalankan tidak mengikut aturan syarak pula, contohnya pemerolehan sumber pendapatan atau kekayaan yang didapati melalui cara penipuan, penindasan, kezaliman dan penganiayaan terhadap orang lain, tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat, walaupun disertakan dengan niat yang baik. Begitu juga suatu amalan baik yang diniatkan kerana selain Allah, juga tidak akan memberikan faedah kepada pelakunya.

Ulama juga ada berkata, suatu amalan kecil boleh menjadi besar disebabkan niat, dan begitu juga sebaliknya, amalan yang besar boleh menjadi kecil juga kerana niat. Dan sesuatu amalan akan dibalas berpandukan niat si pembuatnya.

Oleh itu, laksanakanlah segala amal perbuatan hanya untuk mendapat keredaan Allah. Cubalah atasi segala perasaan yang boleh menjejaskan niat baik kita, contohnya hendak menjadi insan popular, ingin mendapat pengikut, ingin mengisi waktu lapang, ingin dipuji oleh orang lain, apa lagi ingin mendapat habuan dan ganjaran wang! Lekas-lekaslah beristighfar jika timbul niat sedemikian.

Namun, wujud juga persoalan, bagaimana jika masih belum wujud niat yang ikhlas sewaktu ingin menunaikan suatu amalan? Perlukah amal itu ditangguhkan? Contohnya selepas solat fardu berjemaah, kita hendak melaksanakan solat sunat rawatib. Namun timbul kebimbangan, takut-takut timbul pula perasaan riak.

Jika berkeadaan begitu, jangan pula berhenti beramal. Walaupun berasa niat belum ikhlas, teruskan sahaja beramal sambil berusaha untuk meluruskan niat. Sedarlah, itu adalah godaan syaitan. Teruskan dan teruskan, serta iringkan doa semoga Allah membantu usaha kita dalam mengikhlaskan niat dalam apa jua amalan yang kita kerjakan.

Apa yang penting? Kerjasama! Eh, bukanlah. Apa yang penting ialah amal yang baik harus bermula dengan niat baik, dilakukan pula dengan cara yang baik. Itulah yang sewajarnya.

Tuesday, January 4, 2011

Demi Masa...

Oleh Wan Am

Saya bersyukur kerana Allah masih lagi memberikan kesempatan kepada saya untuk menarikan jejari di atas papan kekunci komputer peribadi saya bagi menulis artikel ini, di celah-celah hambatan tugasan kerjaya seharian yang tidak pernah surut. Akhir-akhir ini, asal ada sahaja masa yang terluang, walau setengah jam, saya akan pastikan ilham penulisan yang terperap di dalam minda ini ditumpahkan ke ruangan yang telah tersedia. Biarpun sekelumit cuma. Buah tangan istimewa yang tidaklah seberapa buat teman-teman segenerasi.

Juga, keadaan sedemikian sebenarnya sedikit sebanyak menginsafkan saya akan peri pentingnya masa dalam kehidupan ini. "Masa itu emas". Benar, namun lebih tepat lagi, masa adalah jauh lebih berharga daripada emas. Emas, jika hilang dari tangan kita, kita boleh mendapat gantinya semula. Namun, masa yang pergi walau sedetik, pasti takkan kembali lagi. Lazim juga kita mendengar, "Masa itu ibarat pedang. Jika kamu tidak memotongnya, ia akan memotong kamu".

Malah, begitu tidak ternilainya masa ini hinggakan Allah telah bersumpah dengannya dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal salih dan mereka yang berpesan-pesan pada kebenaran dan mereka yang berpesan-pesan pada kesabaran." (al-'Asr : 1-3)

Dalam ayat-ayat tersebut sebenarnya Allah telah memandu kita untuk benar-benar memanfaatkan masa dengan sebaiknya. Jika kita tidak melaksanakan empat perkara tersebut, maka masuklah kita dalam golongan mereka yang merugi. Bukan sahaja di akhirat, malah di dunia lagi.

Mengenai nilai masa ini, salah seorang murid Imam al-Nawawi pernah menceritakan, "Guru saya pernah menyebut bahawa dia tidak pernah membuang masa, baik pada waktu siang atau malam, hatta ketika berjalan. Hal ini berlanjutan selama enam tahun. Kemudian dia mula menulis, mengajar, memberi nasihat dan menyampaikan kebenaran. Dia hanya makan dan minum sehari sekali, iaitu pada waktu sahur. Dia terus menyusun buku-buku, menulis, mengajar dan menyebarkan ilmu, beribadah, berwirid, berpuasa dan berzikir serta sabar dengan hidup yang seadanya dari segi makanan dan pakaian. Dia hanya berpada makan dan pakai dengan apa yang perlu sahaja."

Suka juga saya untuk mencedok kata-kata nasihat Imam Ibn al-Jawzi kepada anaknya, "Ketahuilah wahai anakku! Bahawa dua malaikat sentiasa datang mencatat segala perkataan dan penglihatanmu. Sesungguhnya nafas-nafas orang yang hidup ada sejak dari awal kehidupannya hingga ajalnya. Masa ia tinggal di kubur amatlah panjang, sedangkan azab dibalas mengikut apa yang dilakukan oleh hawa nafsu dan kejahatan. Sekiranya kita ditanya: "Di manakah kelazatan semalam?" Ia sebenarnya telah berlalu pergi. Apa yang tinggal hanyalah penyesalan. Ke manakah perginya hawa nafsu? Berapa banyak masa yang sudah dihabiskan sia-sia? Padahal itu semua boleh merosakkan pemikiran dan menghapuskan segala kebaikan."

Dalam artikel yang lalu, saya ada berkongsikan tentang ibadah. Ada kaitankah antara ibadah dan masa? Ya, memang ada. Kerana antara hikmah kita melaksanakan ibadah adalah ia menjadikan kita untuk lebih peka terhadap masa. Contohnya, ibadah solat fardu lima waktu yang kita kerjakan. Kita sangat digalakkan untuk menunaikannya seawal waktu yang mungkin. Keadaan ini sebenarnya mendidik kita untuk peka dengan masa sekali gus boleh menjadikan kita manusia yang bijak mengurus masa dengan sebaiknya.

Begitu juga, kita pada zaman ini tidak berpeluang untuk hidup lama seperti manusia zaman-zaman terdahulu. Nabi Nuh hidup kurang sedikit dari umur seribu tahun. Begitu juga Nabi Musa. Mungkin kita berfikir, kita telah kalah dalam bab mengejar pahala amal kebajikan, kerana lamanya tempoh masa mereka yang telah Allah berikan untuk beribadah kepada-Nya.

Namun sedarkah kita, bahawa Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang sebenarnya telah menyediakan ruang yang luas untuk kita umat Nabi Muhammad Salllahu Alaihi Wasallam menggandakan pahala amal-amal salih kita. Yang mana jika kita dapat memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaiknya dalam kehidupan kita yang singkat ini, amal-amal kita ini sebenarnya tidak kalah dengan amal-amal salih mereka yang telah dikurniakan usia panjang tadi.

Misalnya, ibadah solat fardu. Jika kita kerjakannya secara berjemaah, seolah-olah kita telah solat sebanyak 27 kali. Jika kita lakukannya sehari semalam, dengan purata setiap solat selama lima minit, maka seolah-olah kita telah melaksanakan ibadah solat ini selama 11 jam dalam sehari!

Begitu juga ibadah kita pada bulan Ramadan, yang mana ibadah sunat yang kita tunaikan akan diberikan balasan seperti pahala ibadah fardhu, manakala amal fardhu pula, diberikan balasan 70 kali ganda. Malah, jika kita beribadah pada malam Lailatul Qadar sebanyak 30 kali Ramadan, maka kita akan mendapat ganjaran ibadah selama 2490 tahun!

Dan ingatlah kita kepada firman Allah berikut:

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (al-Baqarah : 261)

Maka teman-teman sekalian, ayuh kita hargai masa. Dan tunaikan ibadah sebaiknya. Bak kata pujangga, "Bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi, dan beribadahlah seolah-olah kamu akan mati pada esok hari."