Oleh Wan Am
Kesyumulan dan kesempurnaan Islam terserlah melalui syariahnya yang mudah, praktikal dan sesuai dengan fitrah manusia. Islam mengatur kehidupan manusia daripada sekecil-kecil aspek, misalnya cara makan, adab tidur dan doa ketika menyikat rambut, hinggalah kepada perkara yang besar-besar seperti politik, pemerintahan sesebuah negara dan hubungan antarabangsa. Ajaran Islam turut merangkumi urusan manusia sama ada yang bersifat individual mahupun sosial.
Saya ingin terus berbicara mengenai hal-hal ukhuwah dengan menjuruskan perbincangan kita kepada satu amalan dalam Islam yang mudah untuk dilaksanakan, namun sudah semakin terpinggir dalam budaya umat Islam kini. Amalan ini, jika dapat disegarkan kembali dalam kalangan umat akan mampu melahirkan masyarakat Islam yang saling cinta-mencintai kerana-Nya. Ya, itulah amalan mengucap dan menyebarkan salam sesama Muslim.
Menyebarkan salam adalah suatu amalan yang amat dituntut dalam Islam. Ia juga adalah sunnah Rasulullah s.a.w. yang utama. Malah, as-Salam (Maha Sejahtera) adalah salah satu daripada nama-nama Agung Allah.
"Dialah Allah, Yang tiada Tuhan melainkan Dia; Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan keamanan; Yang Maha Memelihara; Yang Maha Perkasa; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Memiliki segala keagungan; Yang Maha Suci Allah daripada segala yang mereka sekutukan dengan-Nya." (al-Hasyr : 23)
Memberi dan menjawab salam sebenarnya adalah satu amalan yang saling mendoakan antara seorang Muslim kepada Muslim yang lain. Sebelum kedatangan Islam lagi, orang-orang Arab telah menggunakan ungkapan-ungkapan yang lain sebagai maksud memberi salam ini, seperti "Hayakallah" yang bererti “Semoga Allah menjagamu tetap hidup”. Kemudiannya setelah kedatangan Islam, ungkapan “Assalamualaikum” telah diperkenalkan, yang sebenarnya membawa maksud “Semoga kamu terselamat daripada segala kesulitan dan duka nestapa.”
Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan penyebaran pengucapan salam sesama Muslim ini. Hal ini boleh kita dapati melalui hadis-hadis baginda yang bukan sahaja menjelaskan keutamaan amalan mengucapkan salam ini, malah turut menyebutnya sebagai suatu amalan mulia yang paling utama di antara perbuatan-perbuatan baik yang kita kerjakan. Hadis-hadis tersebut adalah seperti berikut:
1. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kamu tidak akan masuk syurga hingga kamu beriman, kamu tidak akan beriman secara sempurna hingga kamu saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kepadamu, apabila kamu lakukan, kamu akan saling mencintai? Biasakanlah mengucapkan salam di antara kamu”. (Riwayat Muslim)
2. Abdullah bin Umar r.a. berkata: "Sesungguhnya seorang laki-laki bertanya kepada Nabi s.a.w., manakah ajaran Islam yang lebih baik?" Rasulullah s.a.w. bersabda: "Hendaklah engkau memberi makanan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kenal.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
3. Abu Umammah r.a. meriwayatkan bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang lebih dekat kepada Allah s.w.t. adalah yang lebih dahulu memberi salam.” (Musnad Ahmad, Abu Dawud dan at-Tirmidzi)
4. Abdullah bin Mas’ud r.a. meriwayatkan bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Salam adalah salah satu Asma Allah s.w.t. yang telah Allah s.w.t. turunkan ke bumi, maka sebarkanlah salam. Ketika seseorang memberi salam kepada yang lain, darjatnya ditinggikan di hadapan Allah s.w.t. Jika jemaah suatu majlis tidak menjawab ucapan salamnya maka makhluk yang lebih baik dari merekalah (para malaikat) yang menjawab ucapan salam.” (Musnad al-Bazar, al-Mu’jam al-Kabir oleh at-Tabrani)
Dalam hal menyebarkan salam ini, adalah lebih baik jika kita yang memulakan dahulu memberi salam kepada Muslim yang lain sebelum mereka memberi salam kepada kita. Ini kerana Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan bahawa mereka yang mula-mula memberi salam adalah lebih utama di sisi Allah berbanding orang yang menjawab salam. Baginda s.a.w. bersabda dalam hadis daripada Ibnu Umar r.a.: Apabila dua orang Muslim bertemu lantas salah seorang daripada keduanya memberi salam kepada temannya, maka salah seorang daripada keduanya (yang mendahului memberi salam) lebih dicintai oleh Allah dan wajahnya lebih berseri-seri daripada temannya. Apabila keduanya berjabat tangan, maka Allah akan menurunkan seratus rahmat kepada kedua-duanya, bagi yang memulainya mendapat sembilan puluh rahmat dan yang diajak berjabat tangan mendapat sepuluh rahmat." (Riwayat at-Tirmidzi)
Walaupun hukum memberi salam itu adalah sunat, namun menjawab salam hukumnya pula adalah wajib. Demikian juga Allah memerintahkan agar seseorang membalas ucapan salam dengan ucapan yang setara atau yang lebih baik daripadanya. Hal ini telah dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hathim: “Suatu hari ketika Rasulullah s.a.w. sedang duduk bersama para sahabatnya, seseorang datang dan mengucapkan, “Assalaamualaikum.” Maka Rasulullah s.a.w. pun membalas dengan ucapan “Waalaikum salaam wa rahmatullah.” Orang kedua datang dengan mengucapkan, “Assalaamualaikum wa rahmatullah.” Maka Rasulullah s.a.w. membalas dengan, “Waalaikum salaam wa rahmatullahi wabarakatuh.” Ketika orang ketiga datang dan mengucapkan “Assalamualaikum wa rahmatullahi wabarakatuh.” Rasulullah s.a.w. menjawab, ”Waalaika.” Orang yang ketiga pun terperanjat dan bertanya, namun tetap dengan kerendahan hatinya, “Wahai Rasulullah, ketika mereka mengucapkan salam yang ringkas kepadamu, engkau membalas dengan salam yang lebih baik kalimatnya. Sedangkan aku memberi salam yang lengkap kepadamu, aku terkejut 3ngkau membalasku dengan sangat singkat hanya dengan “waalaika.” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Engkau sama sekali tidak menyisakan ruang bagiku untuk yang lebih baik. Oleh kerana itulah aku membalasmu dengan ucapan yang sama sebagaimana yang diterangkan Allah dalam al-Quran.”
Di samping itu Islam turut menerangkan tentang adab atau tatacara dalam memberi salam. Antaranya:
- Orang yang berkenderaan harus memberi salam kepada pejalan-kaki.
- Orang yang berjalan kaki memberi salam kepada yang duduk.
- Kelompok yang lebih sedikit memberi salam kepada kelompok yang lebih banyak jumlahnya.
- Mereka yang meninggalkan tempat memberi salam kepada mereka yang tinggal.
- Orang yang pergi meninggalkan rumah atau pulang ke rumah, mestilah memberi salam walaupun tiada seorang pun berada di rumah (malaikat yang akan menjawabnya).
- Jika bertemu berulang-ulang maka ucapkanlah salam setiap kali bertemu.
Pada masa yang sama Islam turut menggariskan pengecualian kewajiban menjawab salam:
- Ketika sedang solat
- Ketika khatib sedang membaca khutbah
- Ketika sedang membaca al-Quran
- Ketika sedang mengumandangkan azan atau iqamah
- Ketika sedang mengajarkan kitab-kitab Islam
- Ketika sedang buang air atau berada di dalam bilik air
Justeru, pada kesempatan ini saya ingin menyeru diri saya sendiri dan teman-teman sekalian untuk kita terus membudayakan amalan mengucapkan salam ini dalam kehidupan seharian kita. Kita tinggalkan ungkapan-ungkapan seperti "Hai", "hello" dan seumpamanya, digantikan dengan ungkapan salam seperti yang diajar oleh Islam, malah kita berikan salam kepada sesiapa sahaja orang-orang Islam yang kita temui walaupun mereka tidak kita kenali. Insya-Allah, dengan amalan tersebut bukan sahaja kita memperoleh ganjaran pahala dari Allah, malah suasana kebahagiaan dan berkasih sayang akan mekar subur menyelubungi hidup kita.
No comments:
Post a Comment