Monday, March 21, 2011

Kemelut Cinta - Siri 1

Oleh Atriza Umar

Panas terik mentari memancarkan habanya. Terlihat bayang-bayang fatamorgana di atas tar yang kenderaan aku naiki, lalui. Cermin kenderaan itu terbuka luas. Angin yang masuk, menyapa pipiku. Aku suka memerhati pemandangan sekitar di luar. Kereta sewa yang aku tumpangi bergerak dengan sederhana laju. Pendingin hawa teksi mungkin rosak. Makanya tidak berfungsi. Tubuhku yang dibaluti dengan sweater juga kepalaku dilitupi jilbab labuh dan kepanasan pun amat dirasa. Mungkin telah lama kenderaan kereta sewa ini. Maka pendingin hawanya bermasalah. Sesekali pakcik pemandu teksi itu melirikkan matanya di cermin pandang belakang. Segala itu membuatkan aku tidak selesa. Apa pun aku berlagak seakan tidak ada apa-apa. Dan pakcik itu menegurku.

“Kamu dari mana? Tahan kamu ye bertudung labuh dengan bersweater lagi tu.” Di akhirnya orang yang sekitar akhir 30-an itu ketawa kecil. Ayat terakhirnya itu membuatkan aku rimas. Namun sedayanya aku menghadiahkan senyuman tanpa membalas pertanyaannya. Maka sepilah dia tanpa soalan lagi.

Cuaca panas inilah menjadi ujian penguat keimananku. Walau cuaca amat panas, aku sesekali tidak akan melanggar aturan-aturan yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Walaupun ramai wanita memiliki pelbagai alasan untuk tidak melaksanakan perkara yang satu ini, namun biarlah aku tetap istikamah meneruskan yang diperintahkan Rabbul `Izzati.

Sungguh ironis dalam mengakui beragama Islam, masih ramai wanita tidak menutup aurat sebagaimana yang disyariatkan. Lagi menyakitkan, alasan mereka tidak menutup aurat dengan bertudung kerana cuaca panas dan bersifat tropis. Padahal di Negara Padang Pasir, Arab, juga negara yang berhampirannya lebih tinggi suhu kepanasannya. Akan tetapi mereka masih boleh bertahan mengekalkan perintah Allah subhanhu wata`ala juga meneruskan tradisi.

Bahang dirasakan tubuh. Dan bau keringat pun menular. Keringat siapa aku malas nak ambil aksi. Yang penting aku tidak merasakan itu bau tubuhku. Aku tidak mahu tubuhku berbau yang tidak enak. Namun aku tidak juga mahu tubuhku berbau harum di tempat yang tidak sepatutnya. Semua itu kerana aku tidak mahu dianggap wanita yang tidak menjaga maruah juga agamaku.

Teksi semakin laju meneruskan perjalanannya ke destinasi yang inginku tuju. Memang berat untuk aku hadir hari ini. Tetapi kali ini aku harus datang setelah beberapa kali menolak kerana bertembung dengan program lain. Maka hari ini aku mengambil keputusan untuk hadirkan diri bersama Biro Dakwah dan Pembangunan Insan. Hembusan angin menyapa ligat pipi juga tubuhku. Serasa nyamannya.

“Alhamdulillah, sampai juga akhirnya,” detik hatiku.

Aku turun dari teksi setelah menghulurkan wang sebanyak RM8.00 kepada pakcik yang menghantarku. Teksi itu berhenti betul-betul di muka gerbang kampus. Dan aku terpaksa menapak untuk menuju ke Masjid Al-Amin, Kampus.

“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,” ucapku setelah tiba di muka pejabat musyawwarah BDDPI yang dikhususkan itu.

“Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,” balas Ukht Nuris dengan senyuman terukir di bibir manisnya.

“Alhamdulillah, anti hadir juga hari ini. Apa khabar adikku? Lama tak bersuakan...” tambahnya lagi. Nada terakhirnya seakan sayu. Di dalam hati aku hanya membenarkan katanya. Tidak mahu bersama turut emosi sepertinya. Aku menganggukkan kepala dengan senyuman kuhadiahkan kepadanya.

“Alhamdulillah, sihat. Moga ukht begitu juga. Ukht, dah mulakah?”

“Ya, baru sahaja mulanya. Mari masuklah ke sana,” pelawanya sambil mempersilakan aku juga dia beriringan bersama sekali. Masing-masing melayari fikiran sendiri.

Bersama kami menyemak warkah ilmiah yang diberikan oleh Akh Iskandar selaku ra’is biro kami ini. Aku memerhatikan segala isi kandungannya. Akhir-akhir ini, aku agak kurang aktif dalam persatuan yang satu ini. Kerana banyak amanah lain yang lebih aulaa`. Di samping itu, tidak sesekali aku meminggirkan diri dalam mengikuti perkembangan yang dilalui persatuan ini. Namun, salah satu sebab aku menyendiri bukan atas permintaanku tetapi atas apa yang menimpaku dan tidak aku ingini sama sekali sedemikian.

Hijab yang membatasi saat syura. Tidak mengurangkan sedikitpun kualiti bermusyawwarah ikhwan dan akhowat dalam mengemukakan komentarnya untuk dakwah. Malahan dengan sebegini akan bertambah semangat mengemukakan sesuatu tanpa rasa malu bagi kaum muslimah seperti aku.

“Setiap daripada kita haruslah memberikan contoh yang terbaik kepada mahasiswa-mahasiswa yang lain, agar biro dakwah kita ini dipandang melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Pendek katanya amal ma`ruf nahi mungkar. Kita hendaklah senantiasa dekat dengan mahasiswa juga gabungan persatuan lain, agar pergerakan kita tidak hanya tertumpu dalam lingkungan kita sahaja. Dengan mengadakan hubungan dengan persatuan yang lain, kita sama-sama dapat menangani permasalahan yang terjadi. Jangan sampai perjalanan dakwah kita terhambat kerana kelalaian dan kealpaan kita sendiri. Setiap ahli BDDPI perlulah bersosialisasi dengan mahasiswa mahupun kakitangan kampus. Selain mempromosikan segala aktiviti kita, kita juga dapat menarik mereka mendekati juga mengikuti perjalanan program dakwah kita. InsyaAllah semampunya kita bersama sentiasa dalam jamaah,” ucap Iskandar dengan nada tegas dan berjela.

“OK sahabat sekalian, ada apa-apa yang nak ditanyakan atau diusulkan?” tambahnya lagi dengan caranya yang tersendiri dan membayangkan riak senyum.

“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, sidang ikhwan dan akhowat sekalian. Ana ada cadangan yang ingin diusulkan buat kemantapan program yang kita ingin jalankan. Sebagaimana yang Akh Is ketengahkan tadi, kita mampu mengorak langkah dengan lebih jauh lagi selain memberi tarbiah kepada sekalian mahasiswa. Di samping itu, kita dapat memantapkan biro kita ini dengan mewujudkan buletin semasa buat tatapan mahasiswa kampus. Segala agenda mahupun perjalanan program kita akan dihebahkan melalui buletin. Maka segalanya akan tersebar luas dan tidak tertumpu kepada fakulti sahaja. Dengan itu kita tidaklah susah-susah nak hebahkan dari mulut ke mulut berkenaan segala aktiviti kita,” ujar Firdaus dengan caranya tersendiri yang senyum sentiasa tersemat di bibir.

“Ya, ada benarnya cadangan anta tu. InsyaAllah kita boleh usahakan bersama. Ada cadangan atau usulan lain. Daripada akhowat pula bagaimana?”

“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Kalau menurut ana, lebih baik memberikan pendekatan kepada mereka. Dengan cara mengadakan hubungan dengan persatuan lain, seperti yang dicadangkan ra’is tadi, maka dari situ akan memudahkan kita menghebahkan program. Kenapa mahasiswa agak jauh dengan persatuan kita? Pada dasarnya mereka agak berfikiran ke belakang. Kerana beranggapan kita tidak layak bersama dan didampingi mereka. Tentu antum sedia maklum, sebagaimana ana melaksanakan amal ma`ruf nahi mungkar, sebaliknya ana pula yang dijatuhkan hukuman yang tidak selayaknya oleh Hal Ehwal Mahasiswa. Justeru, ana rasa selayaknya persatuan ini akan terus berani mempertahankan yang hak. Siapa dia? Siapa mereka? Kalau salah tetap salah. Jangan sesekali kita berpihak kepada mereka. Ana bukan nak meluahkan apa yang ana hadapi, namun ana ingin ketengahkan hakikat yang pasti kita tangani. Selain itu, kita tidak bolehlah hanya dalam lingkungan kelompok kita sahaja. Kita perlu mendampingi sekaliannya. Maka dari situ, kita akan dipandang tidak terpinggir lagi.” Salamku dijawab oleh sekaliannya. Aku menarik nafas setelah lama berbicara.

“Ana rasa sekiranya kita ingin dilihat aktif, seharusnya kita punya objek dakwah. Sebagaimana kita yang berada di lingkungan kampus, maka objek utama ialah mahasiswa-mahasiwa yang belum disentuh dengan dakwah. Ini merupakan tentangan besar atau risiko terhadap kita. Jadi di sini kita dapat menjalankan amanah yang dipikul bukan hanya pada mereka yang dah mengetahui. Sebagaimana yang antum lihat situasi di kampus kita ini yang akidah mahupun akhlak mahasiswanya berada pada tahap yang membimbangkan. Dan dari situlah bermulanya peranan dakwah dan menjadi ladang bagi kita untuk turun tangan membajaknya dengan makanan rohani berlandaskan yang dituntuti, insyaAllah.”

Sekalian yang hadir mesyuarat pada petang itu, diam. Membisu. Seakan memikirkan apa yang aku ketengahkan. Di dalam hati rontaku puas. Aku ingin mereka berani dalam perjuangan. Bukan hanya berani saat berkata-kata sahaja.

“Wah Ukht Athirah. Walau jarang ikut syura tapi selalu keluarkan buah fikiran yang bernas. MasyaAllah,” usik Hasniza perlahan dan bersahaja sambil mencuitku yang duduk bersebelahan dengannya. Aku tersenyum dan hampir mengaduh. Dari cuitannya menjadi cubitan yang terasa sedikit sakit di lutut kananku.

“Ini pujian atau sindiran? Kalau pujian, akan ana lakukan seperti Saidina Ali Karramallahu Wajha yang melemparkan sandalnya kepada si yang memuji. Bersediakah ukht? Namun kalau ia sindiran, ya cukuplah. Sedangkan ana datang hari ini juga sudah rasa cukup disindir sekalian yang lain. Apa taknya, asyik memandang ana saja.”

“Hehee...” Hasniza ketawa perlahan sambil dua tangannya memegang kepala. Takut dilempar dengan sandal. Keadaan mereka diperhatikan akhowat yang lain. Mereka buat tak tahu sahaja.

“Ya, bagus juga saranan yang Ukht Athirah berikan kali ini. Ana rasakan apa yang Ukht Athirah katakan boleh kita laksanakan segera. Berlainan dengan cadangan anta tadi Firdaus. Boleh digunakan. Namun ia mengambil masa. Kerana segala itu memerlukan modal juga tenaga yang sistematik. Apa pun kita dahulukan mana yang mudah dan senang kita laksanakan. InsyaAllah.” Begitulah balas Ra`is Biro Dakwah Dan Pembangunan Insan, Akh Syed Iskandar Syah bin Syed Izzuddin Syah.

Orangnya agak tegas. Dan hujahnya sering digeruni lawan. Dialah yang banyak membela diriku saat aku terperangkap dengan fitnah beberapa minggu lalu. Berkaitan kes seorang anak orang kenamaan yang melakukan maksiat. Namun tuduhan itu dilemparkan kepadaku pula. Itulah ujian besar padaku tika ingin menjalankan amal ma`ruf nahi mungkar. Aku bersyukur, masih ada pembela. Walau aku tidak mengharapkannya. Namun apakan daya. Notis agar aku tidak aktif dengan pertubuhan dakwah diberikan amat keras. Walau nama saja sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam, namun di sebaliknya masih ada dalang yang menutup dan membela kemungkaran.

“Ahhh.. pertanggungjawabkanlah kalian kelak di hadapan Yang Maha Adil lagi Arif,” ketar hatiku geram.

Mesyuarat pada petang itu diakhiri dengan beberapa persoalan juga pelbagai cadangan bernas untuk dilaksanakan. Selain itu, setiap apa yang dilaksana mahupun yang dirancangkan tidak boleh lari dari landasan syariat yang dituntut dalam Islam. Justeru, setiap kita berperanan berdakwah dengan bersama turun ke lapangan warga kampus. Tanpa mewujudkan jurang. Dan dari situ semuanya mesti dimulakan dengan nawaitu yang ikhlas hanya kerana Allah.


Bersambung...

No comments:

Post a Comment