Thursday, March 24, 2011

Jangan Kita Lupakan Palestin!

Banyak peristiwa penting yang berlaku dalam kehidupan kita seharian. Sama ada isu lokal mahupun global, kita sebagai Muslim amat digalakkan untuk mengikuti segala perkembangan yang berlaku di sekeliling kita, lebih-lebih lagi jika peristiwa itu melibatkan kepentingan Islam dan umatnya. Pada era digital ini, dengan adanya internet dan teknologi satelit, mudah sahaja untuk kita mengetahui berita-berita yang telah dan sedang berlaku, dalam dan luar negara.

Dalam beberapa bulan yang terakhir ini kita dikejutkan dengan kebangkitan rakyat di dunia Arab. Bermula di Tunisia, revolusi perubahan ini terus merebak ke negara-negara Timur Tengah yang lain. Zein el-Abidin Ben Ali dan Hosni Mubarak telah meninggalkan kerusi empuk masing-masing. Muammar Gadafi masih berdegil mempertahankan harta dan takhtanya sehingga mengundang serangan "polis dunia". Yaman dan Bahrain turut menerima tempiasnya.

Dalam kita menyikapi isu yang sedang berlaku di negara-negara tersebut, jangan sesekali kita alpa dengan nasib umat di sebuah lagi negara di rantau yang sama. Negara mereka telah lama dijarah, iaitu sejak tahun 1948 lagi, yang bermakna pada tahun ini sudah masuk tahun ke-63! Ya, itulah negara Palestin, yang kini sedang berada dalam cengkaman Zionis Israel laknatullah.

Hakikatnya selama tempoh itu jugalah umat Islam Palestin telah hidup dalam gelanggang peperangan, berhadapan dengan kezaliman dan kerakusan penjajah Zionis Israel. Sejak tahun 1948 juga lebih lima juta rakyat Palestin telah dihalau keluar dari tempat asal mereka dan terpaksa memenuhi khemah-khemah pelarian sama ada di negara Palestin sendiri mahu pun negara-negara sekitar Palestin seperti Syria, Jordan dan Lubnan. Selain tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada saudara-saudara mereka dari negara umat Islam yang lain, kesengsaraan mereka bertambah memeritkan apabila sejak 2008 dengan sokongan "polis dunia" juga Israel telah menutup sempadan Gaza dan menghalang bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan api, bekalan air bersih dan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Kita harus sedar bahawa isu Palestin bukanlah isu orang Palestin atau orang Arab sahaja. Bahkan isu ini adalah isu umat Islam sedunia. Manakan tidak, Palestin adalah tanah para anbia, tempat berlakunya peristiwa israk dan mikraj Rasulullah s.a.w. dan bumi yang diberkati kerana terdapatnya Masjid al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam. Palestin juga merupakan tanah milik umat Islam sejak zaman Nabi Sulaiman a.s. lagi, sebelum ia silih berganti dijajah oleh bangsa Yahudi, Rom dan Parsi. Pada zaman Khalifah Umar bin al-Khatab, Palestin kembali ke tangan umat Islam, sebelum ditawan pula oleh tentera Salib pada kurun ke-12 Masihi. Namun tidak lama kemudian dimerdekakan semula oleh umat Islam melalui kepimpinan Salahuddin al-Ayyubi. Bumi Palestin ini kekal menjadi milik umat Islam sehinggalah pada tahun 1948 tanah ini dan Masjid al-Aqsa jatuh ke tangan rejim Zionis Yahudi yang beridentitikan Israel.

Isu Palestin juga sebenarnya selain isu umat Islam, ia juga merupakan isu kemanusiaan. Dalam hal ini Ustaz Maszlee Malik dalam bukunya "20 Persoalan Asas Palestin" telah mengatakan, isu Palestin ini menggambarkan laungan mereka yang dianiaya di hadapan pendukung hak-hak kemanusiaa, bahkan mendedahkan sikap kontradik dan keburukan Order Baru Dunia. Isu Palestin turut mendedahkan sikap munafik tamadun Barat yang sentiasa bermegah dengan kemajuan mereka dalam bidang sains dan teknologi serta selalu berjuang membela hak-hak binatang, tetapi sanggup membiarkan enam juta pelarian Palestin terlantar di padang pasir dan membiarkan pendatang Yahudi memasuki Palestin dengan dakwaan lapuk, iaitu mendakwa bahawa bumi ini adalah milik mereka sejak 4500 tahun yang lalu.

Umat Islam kini yang sedang diserang oleh virus asabiah (ideologi kebangsaan yang sempit), harus disedarkan kembali agar turut sama berempati, lantas menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara seagama mereka di Palestin yang kini sedang dan terus-menerus diserang, dizalimi dan ditindas oleh musuh-musuh mereka. Inilah manifestasi ukhuwah, kerana ukhuwah dalam Islam tidak dibatasi oleh sempadan negara, warna kulit mahupun keturunan. Selama mana seseorang itu mengucap kalimah syahadah, maka dia adalah saudara kita yang wajib kita bela dan pertahankan. Berpadananlah dengan sabda Rasulullah s.a.w. berikut:

“Bandingan orang mukmin dalam berkasih sayang, bekerjasama seperti satu jasad. Apabila ada anggota yang sakit, seluruh jasadnya berasa sakit, panas dan berjaga malam.” (Riwayat Bukhari)

Dalam satu lagi hadis Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang tidak peduli terhadap nasib kaum Muslimin, dia bukanlah daripada kalangan mereka." (Riwayat al-Baihaqi)

Justeru, usah berlengah lagi, ayuh kita zahirkan kepedulian dan solidariti kita yang mendalam terhadap kekejaman yang dihadapi oleh saudara-saudara seakidah kita di Palestin, dengan melaksanakan beberapa langkah yang praktikal dan dalam kemampuan kita. Seperti yang dicadangkan oleh Dr. Hafidzi Mohd Noor dalam buku "Air Mata Gaza", antara langkah-langkah yang boleh dilakukan ialah:

Pertama: Bermunajat kepada Allah dengan bersungguh-sungguh agar Allah mengeluarkan kita daripada keadaan yang lemah ini dan mengampuni kealpaan kita selama ini. Seterusnya kita memohon kepada Allah agar memberikan kekuatan kepada seluruh umat Islam supaya bangkit daripada kelemahan ini untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Seterusnya secara khusus kita memohon kepada Allah agar diberikan kemenangan kepada umat Islam di Palestin ke atas musuh-musuh Zionis.

Kedua: Setiap kariah dan kawasan mengadakan solat hajat perdana, memohon kepada Allah agar saudara-saudara kita di Palestin diselamatkan daripada kejahatan musuh-musuh Zionis dan memenangkan mereka dengan "karamah" daripada Allah.

Ketiga: Setiap umat Islam tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada saudara-saudaranya di Palestin. Ini bersesuaian dengan anjuran Allah agar umat Islam berjihad dengan harta dan jiwa raga mereka.

"Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya." (as-Shaff : 10-11)

Tidak ketinggalan, ayuh kita teruskan komitmen untuk seboleh mungkin memboikot produk-produk keluaran Israel dan negara-negara sekutunya seperti Amerika Syarikat dan Britain. Dr. Yusuf al-Qaradawi sendiri telah mengeluarkan fatwa pada tahun 2002 yang mengatakan bahawa setiap riyal wang yang dibelanjakan untuk membeli produk-produk Israel dan Amerika Syarikat seolah-olah membeli sebutir peluru yang akan menusuk tubuh umat Islam di Palestin. Namun, dengan keadaan umat Islam yang masih lemah, buat masa ini pemboikotan kita haruslah terpilih terutamanya produk yang bersifat memusnahkan akal dan kesihatan serta bukan tergolong sebagai keperluan asas. Anda boleh lawati laman web http://www.inminds.co.uk/boycott-israel.html untuk mendapatkan senarai lengkap syarikat yang telah dikenal pasti menyalurkan sebahagian wang keuntungan kepada Israel.

No comments:

Post a Comment