Oleh Wan Am
Pada suatu petang, sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja, saya mendapat panggilan telefon daripada isteri yang berpesan supaya membelikan makanan malam untuk kami sekeluarga. Hari itu hari Rabu. Maka dengan pantas saya membuat keputusan untuk mencari juadah di pasar malam yang dibuka tidak jauh dari rumah kami.
Sesampai sahaja di pasar malam, saya terus bergegas mencari gerai tempat biasa saya membeli makanan. Selepas berjalan beberapa langkah, tiba-tiba pandangan saya tertumpu ke arah satu susuk tubuh manusia yang sedang bersusah-payah mengesot ke sana sini dengan menggunakan tangannya (lantaran kedua-dua belah kakinya kudung), sambil menghulurkan satu bekas kecil kepada orang ramai yang lalu-lalang.
"Kasihan..." getus hati kecil saya. Beberapa detik kemudian kelihatan pula seorang lelaki pertengahan umur memasukkan sesuatu ke dalam bekas insan malang tersebut yang saya percaya terisi duit-duit syiling yang jumlahnya tidaklah sampai mencecah Ringgit Malaysia Satu.
"Mulianya tangan yang memberi..." Nurani saya berbisik lagi. Hm.. tidak kisahlah, walau dermanya itu bernilai hanya beberapa sen sahaja. Kerana saya tahu bukan mudah untuk kita memberikan sesuatu yang kita punyai kepada orang lain. Mungkin pada waktu itu insan yang memberi tersebut hanya mempunyai wang sebanyak itu sahaja, lalu disedekahkan kesemua yang masih tinggal. Jika begitulah keadaannya, lebih tinggilah martabatnya di sisi Tuhan.
Sememangnya Allah telah menyediakan pelbagai cara untuk manusia meraih pahala buat bekalan di akhirat kelak. Malah, Allah yang Maha Pemurah juga sentiasa memberikan ganjaran pahala yang berganda-ganda kepada hamba-Nya yang mengerjakan amal kebajikan. Justeru, antara amal salih yang boleh menggandakan pahala kita serta menghapuskan dosa-dosa kecil yang pernah kita lakukan ialah amalan bersedekah.
Bersedekah adalah satu sifat terpuji di sisi Allah. Amalan bersedekah ini mempunyai kelebihan dan fadhilatnya yang tersendiri, antaranya ialah dapat menyucikan hati seseorang insan. Amalan bersedekah juga dipercayai mampu menjadi terapi untuk menyembuhkan sesuatu penyakit, menambahkan rezeki, bahkan mempunyai rahsia untuk menolak bencana dan memanjangkan umur.
Islam amat menitik-beratkan umatnya agar melatih diri untuk bersedekah, biarpun nilai sedekah yang diberikan tidaklah sebesar mana. Seperti kata pengkarya kitab "Tanbihul Ghafilin", Imam Samarqandy, "Biasakan diri anda untuk terus bersedekah, baik dalam jumlah kecil mahupun besar. Kerana dalam sedekah itu ada sepuluh manfaat; lima akan diberikan di dunia, dan lima lagi akan diberikan di akhirat kelak."
Bukan susah bagi kita mencari peluang untuk bersedekah. Di sekeliling kita ada sahaja insan-insan yang amat memerlukan. Malah, mereka itu mungkin sahaja sahabat-handai kita, atau jiran tetangga kita. Lebih afdal lagi jika mereka yang perlu dibantu itu adalah saudara sedarah daging kita.
Dalam konteks ini, seperti yang dijelaskan oleh Imam as-Sayuthi, pemberian yang diberikan kepada orang yang sihat tubuh badannya serta tidak berhajat kepada sedekah akan diberikan balasan sepuluh kali ganda. Tambah Imam as-Sayuthi lagi, sedekah yang diberikan balasan 90 kali ganda pula akan dianugerahkan kepada pemberian yang diberikan kepada orang buta dan orang yang terkena musibah (iaitu yang memerlukan bantuan), manakala pemberian yang diberikan kepada kaum kerabat kita yang berhajat akan diganjarkan balasan 900 kali ganda. Lebih hebat lagi ialah balasan 100,000 kali ganda akan diganjarkan melalui pemberian yang diberikan kepada ibu bapa, selain balasan 900,000 kali ganda kepada pemberian yang diberikan kepada orang alim atau faqih. SubhanaLlah!
Ingatlah kita bahawa sedekah seseorang yang ikhlas kerana Allah akan menjadi amalan yang berkekalan walaupun dia sudah meninggal dunia dan akan terus mengalir manfaatnya. Sedekah juga merupakan perniagaan yang tidak akan merugikan si pelakunya, malah akan mendatangkan keuntungan yang berterusan dan membawa keberkatan selama hidupnya di dunia. Mereka yang gemar bersedekah akan memperoleh kebahagiaan dan akan sentiasa dekat dengan rahmat Allah lantaran kedermawanannya dalam memberikan apa saja yang Allah kurniakan kepadanya.
Keberuntungan ini bertambah lagi apabila Nabi Muhammad s.a.w. berpesan bahawa seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya adalah termasuk dalam tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah).
No comments:
Post a Comment