Oleh Wan Am
Sebelum ini kita telah pun berbicara mengenai keruntuhan akhlak anggota masyarakat, khususnya generasi muda hari ini yang wajar dicari jalan solusinya. Faktor-faktor yang mendorong kepada kemelut ini juga telah kita kongsi bersama. Selain faktor dalaman manusia itu sendiri, faktor-faktor luaran juga dikenal pasti menjadi barah penyakit sosial yang harus dihapuskan segera. Antara faktor luaran tersebut ialah peranan media massa, yang mana menjadi topik utama dalam artikel saya kali ini.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa sejak beberapa abad lampau hinggalah pada zaman millenium ini teknologi media telah diterima dan diperkasa oleh manusia sebagai suatu "kuasa baru" dalam kehidupan mereka seharian. Bermula dengan perkembangan mendadak media cetak pada sekitar abad ke-16, dituruti media elektronik pada abad ke-19 dan kini ledakan media internet, media massa terus mengukuhkan posisinya sebagai sarana penting manusia untuk pelbagai perkara, seiring dengan peredaran zaman dan kemajuan peradaban dunia.
Kehadiran media-media jaringan sosial pada alaf ini seperti Facebook, Twitter, MySpace, Friendster dan Blog pula sememangnya telah memeriahkan lagi kehidupan manusia untuk berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain, hinggakan kebanyakan daripada kita kini sudah tidak dapat lari daripada memanfaatkannya untuk pelbagai aktiviti yang dilakukan. Kajian terkini juga telah menunjukkan aktiviti melalui media-media jaringan sosial tersebut telah menjadikan generasi muda sebagai para pengguna dan pengunjung utamanya. Bukan itu sahaja, malah para pengkaji peranan media dalam dan luar negara juga telah bersetuju bahawa media sosial telah menjadi salah satu faktor utama kemenangan Barack Obama dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2008, selain turut menyumbang dalam tsunami politik yang melanda Malaysia berikutan kejayaan parti-parti komponen Pakatan Rakyat menawan beberapa negeri dan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen dalam pilihan raya umum pada tahun yang sama.
Kepentingan media massa, samada dalam bentuk bercetak, elektronik mahupun berinternet pada zaman pasca-moden ini diakui bukan sahaja mampu bertindak sebagai penyebar maklumat, berita dan sebagainya, malah turut berupaya mencetus minda rakyat, hatta menjadi penentu agenda sesuatu negara dan masyarakat. Hal ini terzahir melalui kenyataan Cohen, seorang tokoh komunikasi terkemuka yang pernah menyatakan, "Dalam banyak keadaan, media tidak berupaya mempengaruhi orang ramai menentukan bagaimana untuk berfikir tetapi yang mengajaibkan ialah media berjaya mempengaruhi pembacanya untuk menentukan apa yang perlu difikirkan".
Menurut Ahmad Jamali Sepihie dalam artikelnya "Memasyhurkan Dakwah Berjenama JIM Melalui Sebaran Media", kecanggihan peralatan media; televisyen, radio, satelit, telefon, telefon bimbit, internet dan sebagainya dan keupayaan orang awam (massa) memilikinya telah membolehkan penyaluran maklumat multimedia disalurkan kepada orang awam dalam sekelip mata. Peristiwa yang baru dan sedang berlaku di sesuatu tempat, kini dengan pantas boleh disalurkan kepada penduduk dunia yang memiliki peralatan elektronik untuk mencapainya. Justeru, tanggapan umum (public opinion) boleh dipengaruhi dengan pantas samada ke arah yang menguntungkan atau merugikan sesuatu pihak.
Malah, media massa yang pelbagai bentuk ini sebenarnya boleh dimanfaatkan dalam usaha dakwah. Bagi para pendakwah, media massa telah menyediakan ruang dan peluang yang seluas-luasnya untuk mereka menyebarkan Islam, menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Melalui teknologi media baru yang serba canggih, usaha dakwah kini dapat diperkayakan dengan pendekatan yang lebih kreatif menerusi gabungan multimedia, bunyi, video, foto, grafik dan capaian internet, yang mana sudah tentulah kerahmatan Islam dan syariah dapat diserlahkan dengan lebih menarik kepada pelbagai bangsa dan kelompok manusia di atas muka bumi ini.
Namun, pada setiap manfaat ada saja mudarat yang menjadi temannya. Dalam hal ini, melalui beberapa kajian yang dijalankan, media massa turut telah dibuktikan menjadi penyumbang utama kepada keruntuhan moral dalam kalangan generasi muda.
Program-program televisyen contohnya, lebih mengutamakan unsur hiburan daripada ilmu dan maklumat. Filem-filem Barat dan Hindustan yang dihidangkan kepada masyarakat khalayak bukan saja telah menghakis nilai ketimuran, malah terselit secara nyata atau tersirat adegan-adegan lucah, yang mana sudah tentu akhirnya menjadi ikutan mereka yang menontonnya. Kebanjiran video lucah yang mudah didapati di pasaran gelap, kandungan majalah hiburan yang memaparkan foto-foto figura yang mendedahkan aurat yang keterlaluan serta menjolok mata serta penganjuran konsert-konsert penyanyi dari negara Barat pula menambah lagi krisis nilai yang telah sedia ada. Natijahnya bukanlah sukar untuk kita jangkakan. Gejala zina dan budaya hedonisme adalah antara outputnya.
Justeru, selain kekuatan dalaman individu itu sendiri dalam mendepani cabaran media massa, ibu bapa juga perlu proaktif mengawal dan memberikan perhatian yang serius kepada jenis rancangan yang ditonton di televisyen atau laman-laman yang dilayari di internet oleh anak-anak mereka di rumah supaya mereka tidak terdedah dengan anasir-anasir yang boleh meruntuhkan pertahanan rohani mereka. Sedarlah kita, anak-anak ini lazimnya bersifat kurang matang bila berhadapan dengan sesuatu cabaran. Mereka amat mudah terpedaya dengan apa juga cabaran yang ada di sekeliling mereka. Oleh hal yang demikian, kita selaku ibu bapalah yang bertanggungjawab memastikan anak-anak kita sentiasa dibimbing agar berjaya mengelak daripada terpedaya dengan sebarang bentuk anasir buruk yang datang dari persekitaran yang akan merosakkan masa depan mereka.
Selain itu, pihak-pihak berwajib seperti Kementerian Penerangan dan juga Lembaga Penapisan Filem (LPF) juga boleh memainkan peranan yang lebih efektif untuk membendung penularan filem dan drama yang kurang sihat ke dalam negara kita. Bagi para penggiat media pula, mereka haruslah memanfaatkan kuasa media yang ada pada mereka agar lebih memberikan penekanan, garis panduan serta dorongan untuk generasi muda menjadi individu yang bertanggungjawab, matang dan progresif dalam masyarakat, di samping menentukan siapakah individu dan kelompok yang harus dijadikan idola dan sanjungan. Kita sememangnya berkeyakinan, pihak-pihak berkenaan yang berpegang teguh kepada sifat tanggungjawab, keprihatinan moral yang tinggi serta budaya profesionalisme yang berwibawa tidak akan mengabaikan tanggungjawab sosial ke arah pembangunan negara yang sejahtera, selaras dengan Wawasan 2020 yang dicita-citakan.
No comments:
Post a Comment