Oleh Wan Am
Dalam al-Quran Allah telah berfirman:
"Wahai mereka yang beriman bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai..." (Ali Imran : 102-103)
Di samping ajakan ke arah kesatuan dan perpaduan, dengan jelas Allah turut menyeru umat manusia, khususnya mereka yang beriman kepada-Nya agar tidak berpecah-belah sesama mereka. Sebagaimana besarnya kesan bagi umat yang bersatu-padu yang mana akan beroleh kemenangan dalam setiap tindakan mereka, begitu jugalah kesan bagi umat yang berpecah-belah, mereka tidak akan mencapai kejayaan dan akan menghadapi situasi yang lebih sukar dalam sesuatu pekerjaan. Bukan itu sahaja, malah suatu kumpulan yang tidak bersatu akan lebih mudah untuk ditumpaskan oleh pihak musuh.
Analoginya cukup mudah, anda ambil sebatang lidi dan cuba patahkan ia. Saya kira dengan mudah saja anda mampu melaksanakannya. Namun cuba pula anda mendapatkan 100 batang lidi yang diikat bersama dan patahkanlah ia sekali gus. Telahan saya, sampai Subuh hari esok pun anda akan gagal melakukannya!
Berhubung ayat-ayat daripada surah Ali Imran yang saya kongsikan pada awal artikel ini, Dr Danial Zainal Abidin dalam bukunya "7 Formula Individu Cemerlang" ada menyebut, "Ayat ini menunjukkan, pecah-belah mempunyai sebab musababnya. Sebab utama adalah meninggalkan kebenaran serta tali Allah. Sebagai contoh, apabila golongan Quraisy menolak dan menentang kebenaran yang dibawa Nabi, berlaku persengketaan dan peperangan. Begitu juga yang berlaku ke atas umat sebelum ini. Justeru, umat Islam wajib berpegang teguh dengan tali Allah di mana sahaja mereka berada supaya dengannya perpaduan terpelihara."
Allah juga ada berfirman dalam beberapa ayat yang lain:
"Sesungguhnya orang yang memecah-belahkan agama-Nya dan mereka menjadi berpuak-puak, tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu kepada mereka." (al-An'am : 159)
"Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah-belah tentangnya." (al-Syura : 13)
Walaupun jelas perpecahan dilarang oleh Islam dan dicela dalam syariah, namun umat masih tidak mampu untuk menghindarinya. Sejarah perpecahan umat Islam bermula sejak awal lagi, iaitu pada tahun 37 Hijrah dalam Perang Siffin (perang saudara yang pertama dalam sejarah umat Islam) antara kumpulan Ali bin Abu Talib dengan kumpulan Mu'awiyah bin Abu Sufyan. Peperangan Siffin tercetus apabila Mu'awiyah, Gabenor Syam telah menentang pelantikan Ali sebagai khalifah Islam yang sah dan sebaliknya telah mengisytiharkan dirinya sendiri sebagai khalifah. Dalam peperangan tersebut, tentera Ali yang tewas adalah sebanyak 35,000 orang manakala tentera Mu’awiyah yang tewas berjumlah 45,000 orang. Dengan jumlah kematian umat Islam yang seramai itu, tidakkah kita rasakan perpecahan itu suatu yang pahit bak hempedu?
Memang benarlah seperti yang dinukilkan oleh Dr Danial dalam buku beliau yang sama, "Pada hari ini, perpecahan berlaku dalam kalangaan umat Islam dengan dahsyatnya walaupun mereka datang daripada rumpun agama yang sama. Ia berpunca daripada perbezaan pendapat yang berlaku hampir dalam setiap perkara samada yang berkaitan dengan politik, sosial, ekonomi ataupun agama. Umat Islam secara umumnya tidak lagi menjadikan tali Allah sebagai panduan. Mereka lebih suka bergayut pada tali-tali yang lain daripada tali Allah dengan harapan ia dapat menyelamatkan mereka. Akhirnya, mereka terpelanting ke dalam lembah kehinaan kerana mereka mereka sebenarnya sedang bergayut pada tali-tali yang reput."
Walau bagaimanapun, dalam hal ikhtilaf (perbezaan pendapat) sesama umat Islam, dalam sesetengah keadaan (misalnya dalam aspek hukum fikah) ikhtilaf adalah dibenarkan dan tidak dianggap sebagai perpecahan. Ada kalanya pula ia dianggap satu rahmat, sebagaimana yang diperkatakan dalam "Majmu' Fatawa", "Perbezaan pendapat dalam hukum-hakam adalah satu rahmat selagi tidak membawa kepada keburukan yang lebih besar iaitu hilang hukum asalnya. Hal ini kerana haak atau kebenaran itu satu. Mungkin sebahagian daripada rahmat Allah atas sebahagian hamba-Nya adalah dengan tersembunyi hukum itu, kerana kalau nyata ia akan menjadi suatu keberatan atas mereka."
Begitu juga Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam buku "Al-Ijtihad fi as-Syariat al-Islamiyah" telah menjelaskan, "Perbezaan pendapat dalam bidang fikah bukanlah suatu yang keji. Sebenarnya, perbezaan pendapat ini melambangkan fleksibiliti syariat, kesuburan sumber hukum Islam, kekayaan khazanah fikah Islam serta menunjukkan betapa tingginya sikap toleransi dalam kalangan ulama Islam."
Khilaf sememangnya telah berlaku sejak lama dahulu, bermula dari zaman sahabat hinggalah zaman para tabiin. Namun, ikhtilaf yang berlaku tidaklah sampai membawa kepada perpecahan dan saling memburukkan antara satu sama lain. Bahkan mereka adalah suatu golongan yang saling berkasih sayang dan saling nasihat-menasihati dengan penuh ukhuwah Islamiah sesama mereka.
Justeru memang tepat sekali apabila Ibnu al-Qayyim mengungkapkan, "Berlakunya ikhtilaf dalam kalangan manusia adalah sesuatu yang pasti. Hal ini terjadi kerana berbezanya kekuatan ilmu dan kefahaman mereka. Tetapi yang dicela adalah apabila satu golongan mencela dan memusuhi golongan lain yang berkhilaf dengannya. Sebaliknya jika khilaf yang tidak membawa kepada perpecahan dan permusuhan, bahkan bertujuan mencari ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya, khilaf tersebut tidak membawa mudarat kerana ia adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan."
No comments:
Post a Comment