Dalam dua kisah sirah yang saya tonjolkan melalui tajuk "Teladan Ukhuwah" sebelum ini, kita telah menyaksikan keteguhan ikatan persaudaraan dan kesatuan antara orang-orang mukmin. Walaupun diri mereka sendiri dalam kesukaran, namun mereka tetap mengutamakan kepentingan dan kemudahan saudara-saudara mereka, hinggakan sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri, lantaran terlalu mendalam rasa kasih dan cinta sesama mereka yang pastinya berpaksikan keimanan kepada Allah. Inilah sebenarnya yang dikatakan sebagai ithar, tingkatan tertinggi dalam ukhuwah Islamiyah.
Apakah "Ithar"? Ithar bermaksud mengutamakan orang lain sewaktu diri sendiri menghajatkan sesuatu keperluan. Ithar adalah suatu sifat yang mulia, juga sifat yang telah disebutkan dalam sebuah hadis sahih, daripada Anas bin Malik r.a., yang mana Rasullullah s.a.w. bersabda:
"Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri."(Riwayat Bukhari)
Dalam hadis tersebut Rasulullah s.a.w. telah menegaskan bahawa iman seseorang Muslim itu akan sempurna apabila ia mendahulukan keperluan orang Islam yang lain lebih daripada untuk dirinya sendiri. Jika sifat ini benar-benar wujud dalam masyarakat Muslim, dengan izin Allah akan berbuahlah gaya hidup masyarakat yang saling menolong, menghormati, berbakti, bersimpati, berkasih sayang, bertimbang rasa dan pemurah kepada golongan yang memerlukan bantuan dan berada dalam kesempitan.
Sifat ithar ini telah terzahir melalui kisah pada zaman Rasulullah s.a.w. ketika kaum Muhajirin dari Makkah berhijrah ke Madinah. Kaum Muhajirin meninggalkan kampung halaman mereka di Mekah, semata-mata kerana Allah s.w.t. Mereka tidak membawa bersama mereka kecuali sedikit sahaja harta dan bekalan. Namun, sesampai sahaja di Madinah, mereka disambut dengan baik oleh kaum Ansar. Bukan itu sahaja, malah kaum Ansar melebihkan keperluan kaum Muhajirin daripada keperluan diri mereka sendiri.
Sifat ithar kaum Ansar ini sebenarnya telah dipuji oleh Allah dalam surah al-Hasyr, ayat 9:
"Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya."
Malah dalam kisah permulaan Hijrah Rasulullah s.a.w. juga kita dapat melihat peristiwa ithar, iaitu ketika Saidina Ali sanggup mengambil tempat Rasulullah s.a.w. untk tidur di katil baginda pada malam Rasulullah s.a.w. dan temannya Abu Bakar r.a. akan bertolak ke Madinah. Padahal, Saidina Ali tahu rancangan kaum Musyrikin hendak membunuh Rasulullah s.a.w. pada malam itu. Silap-silap haribulan, nyawanya pula yang akan melayang. Namun itulah pengorbanan dan sifat ithar Ali yang tiada tolok bandingan.
Dalam hal ini Dr Mustafa as-Siba'i pernah berkata dalam salah satu artikelnya, "Sedangkan mendahulukan kepentingan orang lain di atas kepentingan diri anda yang lebih dari itu, inilah yang dipuji oleh syariah dan oleh prinsip-prinsip akhlak. Ia adalah sikap mendahulukan kepentingan orang lain yang berdasarkan kesedaran peribadi, bukan karena paksaan undang-undang. Dan tidak didorong oleh kepentingan duniawi atau kenikmatan yang sementara.
"Malah dalam tindakannya itu ia memilih untuk tidak mendapatkan daripada mendapatkan kesenangan peribadi, memilih susah daripada senang, memilih lapar daripada kenyang, dan memilih mati daripada hidup. Keindahan pengorbanannya itu tidak dirosakkan oleh keinginan untuk mendapatkan pahala atau pujian, kerana pahala dan pujian itu adalah suatu perkara maknawi yang diharapkan dari alam ghaib. Siapa yang memberikan sesuatu manfaat material kepada manusia dengan harapan mendapatkan balasan maknawi, maka ia bererti telah memberikan suatu bukti bagi jiwa yang lebih banyak memberi dibandingkan mengambil. Sungguh, hal ini adalah kemuliaan dan ketinggian yang paling utama dan petunjuk kebaikan dan keutamaan yang paling kuat."
Lawan kepada sifat ithar ialah sifat "ananiyyah", iaitu pentingkan diri sendiri. Sifat ini membawa maksud menyayangi diri sendiri sehinggakan mendahulukan kepentingan diri sendiri semata-mata tanpa menghiraukan keperluan orang lain.
Mereka yang bersifat ananiyyah adalah orang-orang yang selalu mementingkan dirinya tidak akan memikirkan kepentingan orang lain, sebaliknya akan sanggup berbuat apa sahaja asalkan hajatnya tercapai. Mereka ini bukan sahaja tidak akan mendapat keampunan pada hari akhirat kelak, malah akan mendapat azab seksa yang pedih.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tiga macam orang bukan sahaja tidak akan mendapat layanan dan ampunan pada hari kiamat kelak, bahkan akan mendapat seksa yang pedih, iaitu seorang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, sedangkan ia tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan, seorang yang menjajakan barang dagangannya sesudah lewat waktu Asar sambil bersumpah dusta bahawa pokoknya sekian-sekian dan dipercayai oleh si pembeli dan seorang lagi yang membai’at (sumpah setia) pemimpin hanya untuk maksud manfaat keduniaan; apabila kelak maksudnya tercapai, ia patuh dan jika tidak, ia mungkir (berpaling tadah).” (Riwayat Muslim)
Malah dalam al-Quran Allah turut menempelak orang-orang kafir yang mempunyai sifat pentingkan diri sendiri ini:
“Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu-padu, kecuali dalam kampung-kampung yang berbenteng atau di balik tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah-belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ialah kaum yang tidak mengerti.” (al-Hasyr : 14)
No comments:
Post a Comment