Oleh Wan Am
Sebagai seorang hamba Allah, kita hendaklah memiliki rasa takut kepada-Nya. Rasa takut yang dimaksudkan ialah takut akan kemurkaan, seksaan dan azab Allah.
Apabila manusia memahami dan menghayati kehebatan, kekuasaan, keperkasaan dan keadilan Allah, maka dia akan turut mempunyai rasa takut kepada Allah. Begitu juga, jika dia senantiasa merasa diawasi Allah dalam setiap keadaan dan ketika, maka dia tidak akan berani untuk melanggar hukum-hukum Allah dan peraturan manusia yang tidak bertentangan dengan syariat-Nya. Dia juga tidak akan sanggup berbuat mungkar dan maksiat, baik yang lahir mahupun batin, kerana dia tahu Allah yang Maha Adil akan membalas setiap perbuatan salah yang dilakukan.
Dalam hal ini Ibnu Taimiah pernah mengungkapkan, “Definisi takut adalah segala hal yang dapat mencegahmu daripada perbuatan maksiat. Sedang apa yang melebihi batasan itu tidaklah diperlukan.” Sebahagian ulama juga ada mengatakan, “Makna takut kepada Allah iaitu apabila kamu duduk sendirian, kamu menyedari seolah-olah Allah memerhati semua makhluk-Nya dari atas singgahsana-Nya.” Manakala salah seorang salafussoleh telah berkata, “Takut adalah beranggapan bahawa kamu akan dilahap api neraka Jahannam, atau seolah-olah kamu tiada berdaya, bahkan tidak mampu mengucapkan kalimah La Ilaha Illallah.”
Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menyebutkan tentang rasa takut kepada Allah dan seruan kepada manusia untuk memiliki sifat tersebut. Kata "khauf" yang bermakna takut telah dinyatakan dalam al-Quran sebanyak 134 kali, manakala kata “Khasy-syah” yang juga bererti takut terdapat sebanyak 84 kali. Antaranya firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 39:
"Nabi-nabi yang telah lalu itu ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintah-Nya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapapun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi penghitung segala yang dilakukan oleh makhluk-makhluk-Nya untuk membalas mereka."
Dalam surah an-Nazi'at ayat 37 hingga 41 pula Allah telah berkata:
"Maka barangsiapa yang derhaka. Dan mengutamakan hidup di dunia. Maka sesungguhnya nerakalah tempat diamnya. Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan dirinya daripada hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempat diamnya."
Berkenaan ayat-ayat dalam surah an-Nazi'at ini, dalam kitab "Tafsir al-Wadhih" penulisnya Muhammad Mahmud al-Hijazi telah menyatakan, "Apabila berlaku kiamat, Tuhan kamu akan mengasingkan antara sesama makhluk. Ada yang celaka dan ada pula yang berbahagia. Si celaka yang melampaui batas dan mementingkan kehidupan dunia, nerakalah menjadi tempat tinggalnya. Itulah kesudahan yang amat buruk. Sementara yang berbahagia pula ialah mereka yang takutkan kebesaran Allah dan takutkan keadaannya ketika berdiri di hadapan Allah Taala Yang Maha Mulia dan Maha Perkasa pada hari kiamat. Mereka juga menahan diri daripada menuntun hawa nafsu. Mereka tetap beriltizam dengan kalimah takwa. Mereka layak mendiami syurga dan ia merupakan tempat tinggal yang terbaik."
Bagaimana pula untuk kita mengetahui kewujudan rasa takut ini dalam diri seseorang? Menurut Dr ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni, terdapat empat tanda yang boleh mencerminkan rasa takut yang sebenarnya seseorang individu kepada Allah:
Pertama: Keadaannya yang nampak dan yang tersembunyi adalah sama. Sehingga yang nampak, tidak kelihatan lebih baik dari yang tersembunyi. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Allah Subhanahu Wa Taala berfirman (dalam hadis Qudsi): “Akan wujud beberapa kaum yang berpura-pura dalam khusyu', mereka memakai kulit-kulit domba halus di hadapan manusia (berpura-pura), lidah-lidah mereka lebih manis daripada madu, hati-hati mereka lebih pahit daripada tanaman sejenis jadam (rasanya sangat pahit), maka atas nama-Ku, Aku bersumpah untuk menurunkan fitnah dan cubaan yang menjadikan orang yang lembut menjadi gundah. Apakah mereka hendak menipu-Ku ataukah mereka berani kepada-Ku?” (Riwayat at-Tirmidzi)
Kedua: Seseorang itu jujur dengan Allah, sama ada dalam pembicaraan, tindakan mahupun perbuatannya. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Syafi al-Ashbuhi r.a., dia berkata, “Saya mendatangi Abu Hurairah r.a. ketika dia berada di dalam masjid Rasulullah s.a.w. di Madinah. Saya berkata: “Wahai Abu Hurairah, demi Allah, saya memohon kepada tuan untuk menceritakan sebuah hadis yang tuan dengar daripada Rasulullah s.a.w. kepadaku.” Abu Hurairah r.a. mengatakan: “Demi Allah, saya akan menceritakan sebuah hadis yang saya dengar daripada Rasulullah s.a.w.,” tiba-tiba dia menangis dengan tersedu-sedu, sehingga dia tidak sedarkan diri. Selepas dia sedar kembali, dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya golongan yang pertama sekali dibakar dengan api neraka pada hari kiamat nanti ada tiga orang.” Rasulullah s.a.w. menyebutkan tiga golongan manusia ini, iaitu; seorang alim atau yang membaca al-Quran, seorang pedagang dan seorang mujahid. Mereka semua melakukan pekerjaan dengan riak dan sum’ah, tidak ikhlas kerana Allah. Allah akan memasukkan mereka terlebih dahulu ke dalam api neraka sebelum yang lainnya.”
Ketiga: Dia menyesali perbuatan-perbuatan yang buruk dan bergembira terhadap perbuatan-perbuatan yang baik. Dalam hal ini Allah telah berfirman:
“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji (dosa besar yang mudaratnya menimpa orang lain juga, seperti zina dan riba) atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan daripada Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.” (Ali Imran : 135-136)
Keempat: Kehidupannya hari ini lebih baik daripada hari semalam. Dan hari esoknya lebih baik daripada hari ini.
Tidak cukup sekadar itu, Imam al-Ghazali dalam kitab tersohornya “Mukasyafah Al-Qulub” telah menukilkan dalam sala satu bab, yang mana Abu al-laits telah memberikan pedoman kepada kita untuk melakukan tujuh perkara agar selalu mempunyai rasa takut kepada Allah:
1. Pada lisan - Mencegah lidahnya daripada perkataan dusta, menfitnah, menipu dan perkataan yang tidak berguna. Sebaliknya ia menggunakan pada jalan berzikir kepada Allah, membaca al-Quran dan menghafal ilmu.
2. Pada hati - Mengeluarkan dari dalam hatinya rasa permusuhan, kebodohan dan
hasad dengki. Perasaan hasad dengki dapat menghapuskan amal kebajikan, sebagaimana hadith jujungan mulia, “Hasd dengki memakan kebaikan seperti api membakar daun kering.”
3. Pada pandangan - Tidak memandang sebagaimana perkara-perkara yang diharamkan
Allah. Sebaliknya ia mengarahkan pandangannya kepada sesuatu seraya mengambil pelajaran hidup (`ibrah) sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w, “Barangsiapa yang memenuhi kedua matanya dengan pandangan haram, nescaya pada hari kiamat Allah akan memenuhi kedua matanya dengan api neraka.”
4. Pada perut - Tidak memasukkan ke dalam perutnya segala makanan dan minuman
yang haram, sebagaimana hadis yang bermaksud: “Apabila satu suap makanan yang haram jatuh ke dalam perut anak Adam, setiap malaikat di bumi dan langit melaknatnya selama suapan berada di dalam perutnya. Jika ia mati dalam keadaan itu, tempat kembalinya adalah neraka Jahannam.”
5. Pada kedua tangan - Tidak menggunakan kepada jalan kemungkaran. Sebaliknya pada jalan yang diredai Allah. Hayatilah sabda Rasulullah s.a.w, “Allah membangunkan sebuah rumah itu 70 ribu buah rumah yang masin-masing memiliki 70 ribu kamar. Tidak ada orang yang dapat memasukinya kecuali orang yang meninggalkan setiap yang haram kerana Allah.”
6. Pada kedua kaki - Tidak berjalan untuk melakukan kemaksiatan kepada Allah. Sebaliknya ia bejalan pada ketaatan dan keredaan Allah serta dalam bergaul dengan para ulama.
7. Pada ketaatan - Menjadikan ketaatannya semata-mata untuk mencari keredaan Allah serta takut akan riak dan kemunafikan. Apabila melakukan hal tersebut, termasuklah ia dalam orang-orang yang disebut oleh Allah dalam firman-Nya dalam surah at-Thur ayat 17 dan surah Az-Zukhruf ayat 35.
Ada satu hikayat dalam kitab "Majma'ul Lathaif", yang mana di dalam golongan Bani israil, ada seorang lelaki abid yang menanggung keluarganya yang ramai. Dia ditimpa kecelakaan yang menyulitkan dia mencari pendapatannya sehingga dia tidak mampu memberikan apa-apa kepada keluarganya. Lalu dia memerintahkan isterinya agar mencari sesuatu untuk menanggung keluarganya.
Kemudian perempuan itu pergi ke sebuah rumah kepunyaan seorang yang kaya dan meminta sedikit makanan untuk keluarganya. Orang kaya itu berkata, "Baiklah, tapi serahkanlah dirimu kepada diriku barang sebentar." Perempuan itu terdiam dan segera pulang ke rumahnya.
Apabila sampai saja perempuan itu ke rumahnya tanpa membawa apa-apa, merengek-rengeklah anak-anaknya kerana kelaparan. Melihatkan keadaan itu, hati tidak tertahan lagi lalu dia kembali ke rumah orang kaya tersebut. Orang kaya itu bertanya, "Apakah engkau bersetuju dengan permintaanku?" Perempuan itu mengganguk.
Namun, ketika berada dalam bilik yang sunyi itu, tubuh perempuan tersebut menggeletar seolah-olah seluruh anggota tubuhnya hendak terlepas. Maka orang kaya pun bertanya, "Mengapakah engkau melakukan demikian?" Perempuan itu menjawab, "Sesungguhnya aku takut kepada Allah." Kemudian orang kaya itu berkata, "Engkau lebih takut kepada Allah daripada kefakiranmu. Maka semestinya aku lebih takut daripada engkau."
Segera dia menghentikan keinginannya terhadap perempuan itu. Diberikannya apa saja yang diminta dan perempuan itu pun pulang ke rumahnya dengan membawa nikmat yang melimpah sehingga keluarganya menjadi senang. Kemudian Allah memberi wahyu kepada Nabi Musa a.s., "Katakanlah kepada Fulan Bin Fulan. Aku telah mengampuni dosanya."
Lalu Nabi Musa a.s. datang kepada orang kaya itu seraya berkata, "Barangkali engkau telah berbuat suatu kebaikan antara engkau dan Allah." Lalu orang kaya itu menceritakan apa yang telah berlaku dan Nabi Musa a.s. berkata, "Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mengampuni segala dosa-dosamu."
Nah, Ketahuilah bahawa sifat takut kepada Allah mesti ada pada seseorang hamba kerana ia amat penting dalam kehidupan kita di dunia ini. Bahkan sifat takut inilah yang akan menjadi benteng atau penghalang kita daripada mengerjakan perbuatan maksiat dan kemungkaran. Semoga dengan demikian Allah akan kasih dan melindungi kita dari azab seksa-Nya.
"Sesungguhnya orang-orang yang takut melanggar hukum Tuhan-Nya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar." (al-Mulk : 12)
No comments:
Post a Comment