Oleh Wan Am
Dalam buku "Teladan Tarbiah" melalui bab "Ukhuwah", saya temui suatu kisah menarik dan sangat memberikan iktibar kepada diri saya mengenai persaudaraan. Kisahnya adalah seperti berikut:
Perang Qadisiah adalah suatu peperangan yang menyaksikan pertempuran sengit di antara kaum Muslimin dan tentera Parsi. Dalam peperangan ini, tentera Muslimin telah mencapai kemenangan ke atas tentera Parsi yang jauh lebih besar jumlahnya.
Antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan umat Islam ini adalah hasil kebijaksanaan dan keperkasaan pemimpinnya iaitu Saad bin Abi Waqas yang mempunyai gelaran ‘Singa yang menyembunyikan kukunya’. Saad adalah orang yang pertama sekali menggunakan panah dalam perang membela agama Allah. Ketepatannya dalam memanah tidak perlu dipertikaikan lagi, sehinggakan Rasulullah s.a.w. sendiri pernah berdoa untuknya, "Ya Allah, tepatkanlah bidikan panahnya dan kabulkanlah doanya." Menurut satu riwayat lagi, Saad pernah berperang hanya dengan satu anak panah, yang mana setelah dia membidik ke salah satu musuhnya, dia lantas berlari untuk mencabut anak panah tersebut, kemudian dibidiknya anak panah yang sama ke arah musuh yang lain.
Setelah tewas di Qadisiah, tentera Parsi telah melarikan diri ke Madain, suatu daerah di seberang Sungai Tigris. Dengan berbuat demikian, mereka menyangka tentera Islam tidak akan dapat menyeberang Sungai Tigris yang pada waktu itu dilanda musim hujan lebat dan arusnya yang amat deras itu mampu menghanyutkan apa sahaja yang melintasiya.
Namun, ini tidak menghalang kaum Muslimin untuk mengejar saki-baki musuh-musuh mereka yang berjaya melarikan diri. Melihatkan tindakan musuh tersebut, Saad yang gagah berani itu lantas menyeru, “Ayuh kejar musuh Allah, seberangi Sungai Tigris!” Saad turut meminta para tenteranya memperbanyakkan doa, “Hasbunallahu wa ni’mal waqil" (Cukuplah Allah bagi kami, dan Dialah sebaik-baik Pemimpin). Lantas kuda-kuda tunggangan mereka dipacu menerjuni Sungai Tigris sehingga tiada seorang pun daripada anggota pasukan tersebut yang tertinggal di belakang.
Maka, dengan pertolongan Allah, bergeraklah tentera Muslimin di atas air Sungai Tigris, seolah-olah mereka berada di atas daratan. Sungai Tigris ditutupi oleh tentera Muslimin bersama kuda-kuda mereka. Mereka bercakap-cakap antara satu sama lain sepertimana di atas daratan lantaran rasa aman yang dikurniakan Allah kepada mereka.
Kemudian, dengan sekonyong-konyong salah seorang tentera Islam berteriak, “Bekas air..! Bekas air..! Bekas airku jatuh!” Ternyata bekas minumannya jatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus. Lantas Saad memerintahkan semua ahli pasukannya mencari bekas air tersebut hingga jumpa. Menakjubkan, Semuanya patuh dengan arahan tersebut! Maka, berputar-putarlah mereka di tengah sungai sambil mencari bekas air saudara mereka yang kehilangan itu.
Rupa-rupanya, kelakuan tentera Muslimin itu diintip oleh mata-mata musuh yang diarahkan menyelidiki pergerakan tentera Muslimin. Setelah itu dilaporkan hasil intipan tersebut kepada pemimpin-pemimpin mereka. Salah seorang daripada mereka mengeluh, “Kita tidak mungkin akan mampu mengalahkan mereka! Bahkan tidak akan pernah ada yang dapat menundukkan mereka.”
“Mengapa?” yang lain saling tertanya-tanya. Jawab pemimpin tadi, “Lihatlah, baru bekas air saja yang hilang, seluruh pasukan merasa kehilangan. Bagaimana sekiranya salah seorang daripada mereka terbunuh? Mereka semua pasti tidak merelakannya. Tidak ada pasukan yang mampu mengalahkan pasukan dengan ikatan persaudaraan yang kuat sepertimana persaudaraan tentera Muslimin.”
Benar telahan mereka. Di Madain, Pasukan Parsi hanya sempat bernafas beberapa hembusan sahaja, kemudian putus oleh tebasan pedang-pedang tentera Muslimin.
Allah mengurniakan kemenangan gilang-gemilang kepada pasukan Muslimin berkat persaudaraan mereka yang mengagumkan.
No comments:
Post a Comment