Oleh Wan Am
Di kala saya menaip artikel ini, diri saya masih belum benar-benar sembuh daripada demam yang melanda sejak dua hari lalu. Bila ditimpa kesakitan sebegini, barulah terasa begitu bernilainya masa sihat yang jarang sekali disyukuri. Berbekalkan sedikit ubat serta sokongan sistem imun yang telah tersedia dalam tubuh badan, moga-moga Allah yang Maha Penyayang akan mengembalikan nikmat kesihatan untuk saya meneruskan kehidupan seharian dengan lebih bermakna. Moga-moga kesakitan yang dihadapi ini juga menjadi kafarah kepada dosa-dosa kecil yang pernah saya lakukan sebelum ini.
Bercakap tentang sistem imun, baru-baru ini saya ada membaca satu artikel mengenai sistem ini yang diciptakan Allah dalam tubuh badan manusia. Dr Farhan Hadi Mohd Taib dalam artikelnya bertajuk "Ibarat Sepasukan Tentera" yang diterbitkan dalam majalah Solusi isu nombor 22 telah menulis, “Sistem imun merupakan antara sistem yang paling penting beroperasi di dalam badan kita. Ia boleh dikatakan sebagai satu sistem yang paling kompleks, paling berdisplin dan boleh diumpamakan sebagai tentera yang paling berjaya di dunia…” Hm.. saya cadangkan anda supaya mencari majalah tersebut atau bahan-bahan rujukan yang berkaitan jika anda ingin mengetahui bagaimana sistem imun ini beroperasi dalam tubuh badan manusia.
Namun, antara poin menarik daripada Dr Farhan Hadi dalam artikel tersebut yang menarik perhatian saya ialah sel-sel dalam sistem imun ini dan organ-organ lain dalam tubuh badan manusia yang terlibat boleh berkomunikasi antara satu sama lain dalam menghadapi serangan musuh yang terdiri daripada bakteria, virus, parasit dan kuman. Bukan itu sahaja, malah ia juga bekerja dengan penuh kesatuan dan persefahaman, merancang serta melaksanakan kerja-kerja mereka dengan cekap dalam menghadapi ancaman musuh-musuh tersebut!
Begitulah kiasannya dalam kehidupan kita sebagai manusia. Elemen seperti kesatuan, persefahaman dan perpaduan sangat ditegaskan dalam Islam untuk dipraktikkan oleh umatnya. Ini kerana dengan terlaksananya elemen-elemen tersebut, umat akan memperoleh banyak manfaat dan pengaruh yang positif dalam kehidupan mereka.
Firman Allah:
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama- Nya dalam barisan yang teratur rapi seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh." (as-Saff : 4)
Kesatuan akan memperkuat orang-orang yang lemah dan menambah kekuatan bagi orang-orang yang sudah kuat. Umpama ratusan bongkah batu-bata, sekukuh mana pun struktur bongkah-bongkah batu-bata tersebut, namun jika ia dibiarkan saja berselerakan, ia takkan mendatangkan manfaat. Hanya batu-bata yang telah diikat dan disusun rapi antara satu sama lain sahajalah yang mampu membentuk dinding, seterusnya bersambung dengan dinding yang lain pula lantas menjadi sebuah bangunan yang tersergam kukuh yang mana sudah pasti berfaedah buat manusia. Dalam hal ini Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Orang mukmin yang satu dengan orang mukmin lain seperti bangunan yang saling memperkuat." (Riwayat Muttafaq 'alaih)
Kesatuan juga boleh menjadi benteng pertahanan umat daripada ancaman musuh. Dalam kehidupan, manusia memang tidak dapat lari daripada diancam oleh syaitan, manusia dan jin. Jika seseorang memilih untuk bersendirian, maka dia akan lebih mudah untuk menuju jalan kehancuran. Namun jika dia berada dalam suatu perkumpulan atau jemaah, dia akan menempuh jalan kehidupan yang lebih selamat dan membawa kepada kebahagiaan yang hakiki.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Aku wasiatkan kepada kamu (agar mengikuti) para sahabatku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya... kamu perlu berjemaah. Waspadalah terhadap perpecahan kerana sesungguhnya syaitan bersama orang yang sendirian, dan dia (syaitan) akan lebih jauh daripada dua orang. Sesiapa yang mahukan wangian syurga, maka hendaklah iltizam dengan jemaah." (Riwayat Tirmizi)
Singkap sajalah sejarah umat yang lampau, suatu kisah di mana Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang meneruskan legasi perjuangan suci Sultan Nuruddin al-Zanki telah mencapai kejayaan yang hebat dalam perjuangan menentang tentera Salib. Sultan Salahuddin telah berjaya menyatu-padukan kaum Muslimin yang pada waktu itu sedang berpecah-belah hinggalah berjaya mengerah seluruh kekuatan umat bagi menghadapi musuh. Dengan kesatuan tersebut, akhirnya dalam peperangan Hittin pada tahun 538H, kaum Muslimin di bawah kepimpinan Sultan Salahuddin telah berjaya menewaskan tentera Salib, malah seluruh kekuatan tentera salib dapat dilumpuhkan. Pada tahun itu jugalah kota Baitul Maqdis berjaya ditawan semula daripada cengkaman tentera salib dan kemudiannya seluruh pasukan salib berjaya dihalau keluar dari kawasan Timur Tengah.
Begitulah natijahnya apabila kesatuan dapat direalisasikan dalam kehidupan umat. Sesungguhnya orang yang dapat merasai kemanisan iman ialah mereka yang dapat menjalinkan kasih sayang antara sesama manusia kerana Allah, bukan kerana harta, darjat, pangkat dan sebagainya. Hinggakan pertemuan dan perpisahan mereka juga adalah semata-mata untuk meraih keredaan Allah. Perasaan kasih sayang berlandaskan iman dan Islam selanjutnya akan dapat membina kesatuan dan perpaduan yang teguh sesama Muslim.
Maka benarlah kalam hikmah sang pujangga, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!”
No comments:
Post a Comment