Oleh Wan Am
Yarmuk merupakan suatu bumi bersejarah yang telah menjadi saksi akan kekuatan dan keteguhan persaudaraan dalam kalangan mereka yang beriman. Saya kira kebanyakan daripada kita telah pun mengetahui kisah kemenangan kaum Muslimin ke atas tentera Rom dalam peperangan yang berlaku di daerah tersebut, walaupun jumlah tentera kaum Muslimin berganda-ganda lebih kecil berbanding tentera musuh. Dalam peperangan tersebut, kaum Muslimin yang hanya berjumlah empat puluh ribu orang telah berjaya melenyapkan keangkuhan tentera Rom apabila menewaskan mereka yang mempunyai bilangan seramai dua ratus empat puluh ribu orang.
Sebelum kemenangan gemilang kaum Muslimin tersebut, telah berlaku pertempuran di antara tentera Rom di bawah pimpinan panglima Bahan dengan kaum Muslimin yang diketuai oleh Khalid bin bin Said, yang mana kemenangan berpihak kepada tentera Rom. Setelah itu pasukan-pasukan kaum Muslimin dari lima tempat yang berbeza yang masing-masing diketuai oleh Abu Ubaidah, Yazid bin Muawiyah, Syurhabil, Amru bin Ash dan Khalid bin al-Walid telah datang untuk memberikan bantuan ketenteraan dalam menghadapi tentangan berikutnya daripada tentera Rom.
Melihatkan keadaan kaum Muslimin yang begitu banyak pemimpin, maka dalam satu perkumpulan yang diadakan di antara pemimpin-pemimpin kaum Muslimin tersebut, Khalid bin al-Walid telah berkata kepada mereka, “Amirul Mukminin, Abu Bakar as-Siddiq mengutus kita ke sini kerana dia tahu bahawa kita akan saling menguatkan antara satu sama lain. Sekiranya dia tahu bagaimana situasi kita sekarang, sudah pasti kita semua akan ditarik kembali daripada menyertai peperangan. Keadaan kita sekarang ini sebenarnya akan menambahkan lagi penderitaan kaum Muslimin, malah memberikan lebih banyak manfaat kepada tentera musuh.”
Sambung beliau lagi, “Aku menyedari bahawa rasa kasihkan dunia telah memecah-belahkan kita. Demi Allah, setiap Muslim yang tinggal di suatu tempat akan lemah kecuali jika dia taat kepada pimpinan atasannya. Sungguh, seseorang pemimpin tidak akan menjadi kuat melainkan dia melakukan pengorbanan kepada orang bawahannya dan menerima ketaatan pula daripada mereka. Sedarilah bahawa pangkat amir (ketua) kita, tidak akan mengurangi apa yang ada di sisi Allah atau apa yang ada di sisi khalifah Rasulullah s.a.w. Majulah! Sekarang mereka sudah bersiap sedia. Sedarilah, tiada hari lagi setelah hari ini. Marilah kita berganti-ganti menjadi pemimpin tertinggi, seorang memimpin pada hari ini, esok giliran yang lain pula. Begitulah seterusnya sehingga semua merasai tugas kepimpinan. Ada pun hari ini, biarkanlah aku yang memimpin kalian!”
Semua pemimpin tersebut akhirnya bersetuju dengan saranan Khalid bin al-Walid tersebut. Kemudian berlakulah pertempuran yang dahsyatnya di antara kaum Muslimin dengan tentera Rom di daerah Yarmuk. Khalid bin al-Walid telah menggunakan strategi dengan memecahkan pasukan kaum Muslimin menjadi beberapa batalion. Tujuannya adalah untuk membuatkan tentera Islam nampak seolah-olah mempunyai bilangan tentera yang banyak pada penglihatan tentera Rom. Ditambah dengan teriakan-teriakan yang membakar semangat daripada Abu Sufyan, tentera-tentera Islam terus maju tanpa rasa gentar menghadapi musuh-musuh Allah.
Akhirnya dengan pertolongan Allah, kaum Muslimin berjaya mencapai kemenangan. Dalam masa sehari sahaja di bawah pimpinan panglima Khalid al-Walid, ramai tentera Rom mati terbunuh, dan tidak kurang juga yang melarikan diri setelah tidak dapat lagi menahan kemaraan dan keberanian kaum Muslimin. Diberitakan jumlah tentera Rom yang terbunuh mencecah seratus dua puluh ribu orang, manakala beberapa perwira hebat mereka turut menemui ajal. Panglima Bahan sendiri telah melarikan diri meninggalkan pasukannya tika peperangan masih belum berakhir. Walaupun mencapai kemenangan, disebabkan jumlah tentera yang tidak seimbang, terdapat ramai juga tentera kaum Muslimin yang syahid dalam pertempuran tersebut, manakala beberapa orang pemimpin mereka juga turut mengalami kecederaan.
Di medan peperangan Yarmuk inilah terukir sebuah kisah persaudaraan orang-orang beriman yang cukup indah dan pasti mekar selamanya. Setelah usai pertempuran di Yarmuk tersebut, Harits bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahal dan Iyash bin Abi Rabiah telah mendapat kecederaan yang amat parah. Ketiga-tiganya dalam keadaan yang tidak bermaya. Namun pada wajah mereka tidak tergambar sedikit pun rasa kecewa di atas kecederaan berat yang dialami.
Ketika datang seorang tentera Islam membawa minuman untuk diberikan kepada mereka, Harits mengisyaratkan tangannya agar orang yang membawa minuman tersebut memberi minum kepadanya. Namun, ketika air minuman itu sudah hampir hendak diminumnya, Harits terlihat keadaan Ikrimah yang sangat tidak berdaya. Beliau lantas menutup mulutnya dan menunjuk ke arah Ikrimah, sebagai maksud agar minuman tersebut diberikan kepada Ikrimah. Lalu pembawa minuman tersebut pun bangkit dan membawa air minuman untuk diberikan kepada Ikrimah.
Kemudian, pada saat Ikrimah sudah hampir untuk meminum minuman tersebut, tiba-tiba dia terlihat pula sahabatnya Iyash yang pada pandangannya lebih memerlukan minuman tersebut. Maka dia pun membatalkan hasrat untuk meminumnya, lalu meminta pembawa minuman memberikan air minuman tersebut kepada Iyash. Maka, dengan tergesa-tergesa sang pembawa minuman membawa minuman tersebut untuk diberikan kepada Iyash yang terbaring lemah menahan kesakitan.
Namun, pada saat minuman hampir diteguk oleh Iyash, Malaikat Maut telah terlebih dahulu menjemputnya. Matilah Iyash sebagai syuhadak. Lalu pembawa minuman itu bergegas ke arah Ikrimah, dan dilihatnya Ikrimah juga telah pun syahid menemui Tuhannya. Kemudian dia menuju pula ke arah Harits, dan ternyata Harits telah turut syahid, mengikut jejak langkah sahabat-sahabatnya yang setia.
Allahu akbar! Allahu akbar! Begitu indahnya persaudaraan sesama mereka. Adakah lagi persahabatan sebegini pada kurun ini?
No comments:
Post a Comment