Oleh Wan Am
Tahun 2010 menyaksikan satu lagi kejayaan besar yang dikecap oleh pasukan bolasepak negara. Selepas menggondol pingat emas bolasepak Sukan SEA di Laos pada tahun 2009 selepas 20 tahun kempunan untuk meraihnya, skuad "Harimau Malaya" terus mempamerkan taringnya, apabila sekali lagi membuktikan kehebatan mereka sebagai raja Asia Tenggara dengan menjuarai kejohanan bolasepak Piala Suzuki 2010, suatu kejohanan bolasepak yang paling berprestij di rantau ini yang tidak pernah dimenangi oleh skuad negara sebelum ini. Pada perlawanan akhir, Malaysia menumbangkan negara yang lebih dianggap pilihan, iaitu Indonesia dengan agregat 4-2.
Suatu hal yang saya perhatikan bila melihatkan kejayaan pasukan bolasepak Malaysia pada kejohanan Piala Suzuki ini ialah semangat perpaduan dan kesepakatan yang dipertontonkan oleh para pemain sewaktu berada di dalam dan di luar permainan. Saya berpandangan, elemen-elemen tersebut jugalah yang membawa sinar kejayaan kepada mereka. Ini tidaklah menghairankan kerana sepengetahuan saya, majoriti pemain dalam skuad kali ini yang rata-ratanya berumur awal 20-an sebenarnya telah lama dikumpulkan bersama dalam satu pasukan, iaitu sejak mereka pada usia remaja lagi. Setelah bertahun-tahun bersama, saya kira telah wujud semangat perpaduan dan kesepakatan sesama mereka, hinggalah mereka sudah saling mengetahui dan memahami corak dan gaya permainan antara satu sama lain.
Sememangnya dalam sukan bolasepak, elemen perpaduan dan kesepakatan menjadi faktor utama kepada kejayaan sesebuah pasukan. Dalam konteks Malaysia, walaupun dalam kalangan pemain mungkin berbeza latar belakangnya dari segi agama, kaum, budaya dan kepercayaan, namun mereka harus bersatu demi mencapai kemenangan. Jika elemen perpaduan dan kesepakatan ini tidak mereka pentingkan, maka akan pincanglah pasukan dan akan sukarlah bagi mereka untuk mengecap kejayaan.
Seorang pendakwah, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri ada memberikan komentar mengenai perkara ini. Ujar beliau, perpaduan sesama pemain yang dilihat terjalin begitu baik sepanjang kejohanan Piala Suzuki yang lalu adalah disebabkan wujudnya semangat patriotik dalam diri masing-masing. Selain itu, ia juga terjadi atas faktor minat yang sama. Walapun begitu, menurut beliau, perpaduan yang terbina itu mungkin bersifat sementara waktu sahaja jika ia tidak diasaskan kepada agama dan ukhuwah yang sebenar.
Maka, bagi memastikan semangat perpaduan dan hubungan persaudaraan itu berkekalan, sewajarnyalah ia dilandaskan atas ikatan iman. Dalam Islam, hubungan sesama manusia berasaskan keimanan berada pada kedudukan yang lebih tinggi berbanding hubungan yang lain seperti kekeluargaan dan keturunan. Tidak dinafikan, kedua-dua jenis hubungan tersebut juga adalah suatu bentuk hubungan yang kukuh, namun banyak nas syarak telah membuktikan bahawa ikatan persaudaraan berlandaskan iman lebih mengatasinya.
Ukhuwah Islamiah atau persaudaraan Islam adalah suatu nikmat pemberian Allah yang dikurniakan kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas. Firman Allah:
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadikan kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (Ali Imran : 103)
Firman Allah lagi:
“…Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka…” (al-Anfaal : 63)
Allah turut menegaskan bahawa setiap orang beriman itu adalah bersaudara, dan tiada persaudaraan kecuali dengan keimanan. Firman Allah:
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara…” (al-Hujurat : 10)
Nabi Muhammad s.a.w. telah menjelaskan keadaan orang beriman dengan membuat bandingan seperti jasad yang satu. Baginda bersabda:
“Bandingan orang mukmin dalam berkasih sayang, bekerjasama seperti satu jasad. Apabila ada anggota yang sakit, seluruh jasadnyaa berasa sakit, panas dan berjaga malam.” (Riwayat Bukhari)
Jika diperhatikan daripada sirah Rasulullah s.a.w., ukhuwah Islamiah adalah salah satu daripada tiga unsur kekuatan; selain kekuatan akidah dan persenjataan, yang menjadi ciri masyarakat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w.. Malah, dalam peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dari Makkah ke Madinah, antara perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sesampainya baginda di Madinah ialah mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar.
Dalam satu kisah, Rasulullah s.a.w. telah mempersaudarakan Saad bin Rabi’ dari golongan Ansar dengan Abdurrahman bin Auf dari golongan Muhajirin. Pada saat itu, Saad terus menawarkan separuh daripada hartanya dan salah satu daripada dua buah rumahnya kepada Abdurrahman. Bukan itu sahaja, malah beliau bersedia menceraikan salah seorang isterinya supaya dapat dikahwini oleh Abdurrahman.
Mulianya keimanan dan rasa persaudaraan kaum Ansar ini diterima kaum Muhajirin dengan keimanan juga, sehingga Abdurrahman berkata, “Biarkanlah harta, rumah dan isterimu bersamamu. Tunjukkanlah aku pasar.” Maka Abdurrahman meminjam wang daripada Saad, sehingga Allah membukakan pintu-pintu rezeki baginya dan akhirnya beliau menjadi salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang terkaya di Madinah.
Allah merakamkan peristiwa bersejarah ini dalam kitab-Nya yang mulia:
“Bagi para fuqara yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurnia dari Allah dan keredhaan-(Nya) dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar. Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah pada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang-orang Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (al-Hasyr : 8-9)
Sesungguhnya ukhuwah yang berasaskan keimanan berada pada martabat tertinggi dalam Islam. Balasan bagi kasih sayang di dunia ialah kemanisan iman dalam hati yang mengatasi semua kelazatan lain. Manakala di akhirat kelak Allah akan meletakkannya di bawah bayangan Arasy.
Dalam hal ini, Anas bin Malik r.a. pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tiga perkara, jika terdapat dalam diri seseorang maka dengan itulah ia akan memperoleh kemanisan iman; seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain kedua-duanya, mencintai seseorang hanya kerana Allah dan tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya daripada kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Allah s.w.t. berfirman pada hari kiamat: ‘Di manakah golongan yang berkasih sayang kerana Aku? Hari ini Aku akan letakkan mereka di bawah bayangan, pada hari yang tiada bayangan selain teduhan ini.’” (Riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment