Oleh Wan Am
Kisah Rasulullah s.a.w. mempersaudarakan sahabat-sahabatnya orang-orang Muhajirin dengan golongan Ansar yang menjadi asas kepada pembentukan negara Islam Madinah memberikan pengiktibaran kepada kita bahawa mana-mana negara tidak akan dapat berdiri dengan teguh tanpa persefahaman dan perpaduan di antara anggota rakyatnya. Mengenai persefahaman dan perpaduan tersebut, Ustaz Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti dalam bukunya “Fiqh al-Sirah” telah berkata, “Persefahaman dan perpaduan tidak dapat terlaksana tanpa ikatan persaudaraan dan rasa saling cinta-mencintai antara satu sama lain. Mana-mana masyarakat tidak akan terjalin ikatan persaudaraan dan kasih sayang yang hakiki dan tidak akan bersatu kerana sesuatu prinsip seandainya tidak wujud ikatan persaudaraan dan persefahaman yang sebenar di dalam sesuatu umat dan perkumpulan, dan seterusnya tidak dapat mendirikan sebuah negara. Dalam erti kata lain, tiap ikatan persaudaraan harus terdapat dahulu suatu pegangan atau akidah (ideologi) yang mencantumkan kesemuanya.” Justeru, Islam amat menekankan persaudaraan dalam Islam dan iman atau ukhuwah Islamiah sebagai asas perjuangan dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi.
Perkataan “ukhuwah” berasal daripada kata akar “akha” yang bermaksud saudara. Menurut Imam Hasan al-Banna, ukhuwah Islamiah adalah keterikatan hati dan jiwa sesama manusia dengan ikatan akidah. Akidah adalah semulia-mulia ikatan. Ukhuwah adalah saudara keimanan, sedang perpecahan adalah saudara kembar kekufuran. Kekuatan yang pertama adalah kekuatan kesatuan; tidak ada kesatuan tanpa rasa cinta dan kasih. Paling minimum rasa cinta adalah berlapang dada, manakala paling maksimum adalah itsar (mementingkan saudaranya lebih daripada dirinya sendiri).
Ukhuwah Islamiah menerbitkan banyak keutamaan dan pahala serta mampu memberikan pengaruh yang positif kepada sesuatu masyarakat yang mendambakan kesatuan hati, kata-kata dan barisan dalam kalangan anggotanya. Bersumberkan hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w., orang-orang yang terikat dengan ukhuwah Islamiah akan memperoleh banyak keutamaan, antaranya:
1. Mereka merasa kemanisan iman. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
“Ada tiga golongan yang dapat merasakan manisnya iman: orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada mencintai dirinya sendiri, mencintai seseorang kerana Allah, dan ia benci kembali kepada kekafiran sebagaimana ia benci jika ia dicampakkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Bukhari)
2. Mereka berada di bawah naungan cinta Allah dan dilindungi Arasy-Nya. Di akhirat kelak Allah berfirman, “Di mana orang-orang yang saling mencintai kerana-Ku, maka hari ini Aku akan menaungi mereka dengan naungan yang tidak ada naungan kecuali naungan-Ku.” (Riwayat Muslim)
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Ada seseorang yang mengunjungi saudaranya di sebuah desa. Di tengah perjalanan, Allah mengutus malaikat-Nya. Ketika berjumpa, malaikat bertanya, “Hendak ke mana?” Orang tersebut menjawab, “Saya hendak mengunjungi saudara di desa ini.” Malaikat bertanya, “Apakah kau ingin mendapatkan sesuatu keuntungan daripadanya?” Ia menjawab, “Tidak. Aku mengunjunginya hanya kerana aku mencintainya kerana Allah.” Malaikat pun berkata, “Sungguh utusan Allah yang diutus kepadamu memberi khabar untukmu, bahawa Allah telah mencintaimu, sebagaimana kau mencintai saudaramu kerana-Nya.” (Riwayat Muslim)
3. Mereka adalah ahli syurga di akhirat kelak. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barangsiapa yang mengunjungi orang sakit atau mengunjungi saudaranya kerana Allah, maka malaikat berseru, ‘Berbahagialah kamu, berbahagialah dengan perjalananmu, dan kamu telah mendapatkan salah satu tempat di syurga.’” (Riwayat al-Tirmizi)
4. Bersaudara kerana Allah adalah amal mulia dan mendekatkan hamba dengan Allah. Sabda Rasulullah s.a.w.:
Rasul pernah ditanya tentang darjat iman yang paling tinggi, baginda bersabda, “…Hendaklah kamu mencintai dan membenci kerana Allah…” Kemudian Rasul ditanya lagi, “Selain itu apa wahai Rasulullah?” Rasul menjawab, “Hendaklah kamu mencintai orang lain sebagaimana kamu mencintai dirimu sendiri, dan hendaklah kamu membenci bagi orang lain sebagaimana kamu membenci bagi dirimu sendiri.” (Riwayat al-Munziri)
5. Diampunkan Dosa. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tidak ada dua orang mukmin yang berjumpa lalu berjabat tangan melainkan keduanya diampuni dosanya sebelum berpisah.” (Riwayat Abu Daud)
Dalam berukhuwah terdapat syarat yang perlu ditunaikan oleh para mukmin. Antaranya ialah mereka harus menjalin hubungan persaudaraan semata-mata untuk mencari keredaan Allah, bukan untuk kepentingan peribadi atau pelbagai tujuan duniawi. Mereka juga hendaklah saling tolong-menolong samada dalam keadaan suka atau duka, senang atau susah. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w.bersabda:
“Muslim adalah saudara Muslim, ia tidak menzaliminya dan tidak menghinanya... tidak boleh seorang Muslim bermusuhan dengan saudaranya lebih dari tiga hari, di mana yang satu berpaling dari yang lain, dan yang lain juga berpaling darinya. Maka yang terbaik dari mereka adalah yang memulakan mengucapkan salam.” (Riwayat Muslim).
Selain itu, ukhuwah Islamiah juga mengandungi hak-hak umum seorang Muslim ke atas Muslim yang lainnya. Dengan melaksanakan hak-hak tersebut, hubungan ukhuwah Islamiah sesama Muslim akan dapat dikukuhkan. Hak-hak umum dalam berukhuwah ini terkandung dalam hadis Rasulullah s.a.w. berikut:
“Hak seorang Muslim atas muslim ada enam, iaitu jika bertemu maka ucapkanlah salam kepadanya, jika diundang maka penuhilah undangannya, jika dinasihati maka nasihatilah dia pula, jika dia bersin maka doakanlah, jika dia sakit maka kunjungilah dia, dan jika dia meninggal dunia maka iringilah jenazahnya ke kubur. (Riwayat Muslim)
Ingatlah, serigala hanya akan menerkam kambing yang terlepas daripada kumpulannya. Seorang mukmin dengan mukmin yang lain pula umpama batu-bata yang membentuk bangunan, yang satu saling mengukuhkan yang lain.
No comments:
Post a Comment