Oleh Wan Am
Akhir-akhir ini, sewaktu dalam pemanduan pergi dan pulang dari tempat kerja, saya kerap terimbau kisah-kisah lama. Lazimnya dalam tempoh masa perjalanan selama lebih kurang 45 minit itu, minda saya akan berputar ligat memikirkan sekitar dua perkara; urusan kerja atau hal-hal rumahtangga.
Namun, mungkin disebabkan tugasan kerjaya yang terpikul kini sedikit menyesakkan, ditambah amanah sebagai ketua keluarga yang kian mencabar, diri ini dengan sendirinya tercari-cari jalan untuk melepaskan sementara sebarang tekanan yang sedang bersarang lebat di kepala. Lantas dengan cara mengingati sedikit kenangan masa lampau yang masih terpahat dalam memori mungkin sedikit sebanyak mampu mengendurkan tekanan-tekanan kehidupan yang sedang dialami daripada terus merajai fikiran.
Dalam imbauan-imbauan tersebut, saya seringkali gagal untuk mengelak daripada mengimbau kenangan bersama teman-teman sepersekolahan. Walaupun alam sekolah telah kami tinggalkan hampir 15 tahun yang lalu, namun kenangan pahit manis yang pernah kami redahi bersama masih lagi segar dalam ingatan. Nostalgia belajar mengenal Islam dan menimba ilmu bersama, makan dalam talam bersama, bermain bolasepak bersama, bernasyid bersama, berkhemah bersama, hatta dihukum bersama oleh guru kerana melakukan kesalahan juga sedikit sebanyak menjadi penguat kepada jalinan persaudaraan sesama kami sehingga ke hari ini. Kerap kali jualah hal-hal tersebut menjadi bahan cerita dan modal jenaka kami setiap kali bersua.
Alhamdulillah, berkat terjalinnya ikatan ukhuwah yang murni ini, saya dan teman-teman satu generasi persekolahan kini berkesempatan bertemu sekali setiap minggu dalam aktiviti futsal yang kami atur bukan sekadar untuk mengisi keperluan jasmani, malah lebih mustahak lagi meneguhkan talian persahabatan antara kami.
Dalam menelusuri memori silam, teman-teman sepengajian di universiti juga silih berganti berlari-lari di benak fikiran. Teman sekuliah, teman seasrama, teman sepersatuan; pelbagai kisah suka duka kehidupan di kampus telah saya harungi bersama mereka sepanjang tempoh hampir lima tahun, yang mana sedikit sebanyak turut membenihkan tautan silaturahim sesama kami.
Walaupun kini agak lama juga kami sudah tidak bertemu secara formal, namun dengan kecanggihan teknologi media sosial terkini seperti facebook, kami masih lagi dapat berhubung rapat. Malah, dengan medium facebook jugalah saya dapat menjejak kembali beberapa teman sepengajian yang sebelum ini sudah agak lama terputus hubungan. Alhamdulillah, berbunga hati ini bila mendengarkan masing-masing kini sedang menuju ke mercu kegemilangan dalam bidang kerjaya yang diceburi, juga sedang membina kebahagiaan hidup bersama keluarga tercinta.
Hm.. Masih ada satu lagi kelompok manusia yang sentiasa segar dalam ingatan. Mereka ialah insan-insan yang pernah bersama saya dalam mengenal erti dakwah dan bertarbiah. Pengalaman berusrah, berkatibah, berdaurah, bermukhayam, berjaulah dan bermuktamar bersama teman-teman sefikrah dari serata tanah air, selain menjadi landasan untuk kami lebih mendekatkan diri kepada Allah Rabbul Jalil, juga menjadi medan untuk kami lebih bertaaruf, bertafahum dan bertakaful sesama kami. Malah, saya cukup bersyukur kerana perjodohan saya juga ditentukan melalui jalan ini!
“Di bumi ini kita ditemukan
Satu arah satu perjuangan
Satu akidah satu pegangan
Asasnya terjalin ikatan
Ukhuwah fillah tidakkan musnah
Walaupun ombak walau badai mendesah
Tautan erat tak mungkin patah
Dengan ismuLlah kita berbai’ah
Bertemu berpisah
Hanya kerana-Nya semata
Redha Allah kita cari
Moga-moga kitakan dirahmati
Dengan niat yang suci
Bertemu kembali di negeri abadi…”
Anda pernah mendengar lagu ini? Saya kira mereka dalam kalangan generasi muda yang lahir pada dekad 1990-an mungkin tidak pernah mendengar lagu ini. Lagu ini adalah sebuah lagu nasyid yang bolehlah dikategorikan sebagai nasyid “retro”, terkandung dalam album “Generasiku” yang terbit pada awal 1990-an. “Ukhuwah Fillah” tajuk lagu ini jika saya tidak silap. Juga, inilah antara lagu yang sering meniti di bibir saya tika usia baru menjangkau awal belasan tahun.
Namun, niat saya mengetengahkan lagu ini adalah kerana liriknya yang sedikit puitis namun mudah difahami itu sangat menggambarkan perasaan dan pengharapan saya dalam menjalin hubungan persahabatan bersama teman-teman yang pernah saya kenali selama ini. Sering saya menitipkan doa, moga-moga ukhuwah yang sudah sedia terbina ini akan terus mekar sepanjang hayat ini, dan mudah-mudahan berkekalan hingga ke negeri abadi.
Kepada teman-teman sekalian, ayuh kita menyahut pesanan Nabi Muhammad s.a.w. yang mana baginda telah mengatakan, antara tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri ialah dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah).
No comments:
Post a Comment