Saturday, August 27, 2011

Impak Maksiat yang Maksima

Oleh Wan Am


“Dia baru balik dari kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PKLN), kami dah lama tak jumpa, mungkin kami berpeluk sebab rindu, ustaz..”

Demikianlah pengakuan dua orang remaja yang dicekup Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), seperti yang dipaparkan dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini. Mereka ditahan pada jam 3.20 pagi, di tepi pantai yang agak gelap dan jauh daripada pandangan orang awam. Lagi pula ketika itu umat Islam sedang menuju penghujung bulan Ramadan.

“Kamu berkawan dengan dia terlalu lama sampai tujuh tahun, kenapa kamu tidak berkahwin dengan dia sahaja kalau kamu beri dia pegang badan kamu?” tanya seorang penguatkuasa.

“Saya tidak bagi dia pegang semua,” jawab si remaja perempuan.

Astaghfirullah.. Jahilnya remaja kita ini. Apa lagi yang nak diperkatakan? Sampai bila kita harus dicemeti dengan berita sebegini di dada-dada akhbar? Persoalan yang lebih pokok lagi, apalah nak jadi dengan generasi muda kita sekarang?

Cukup-cukuplah dengan statistik kelahiran anak luar nikah dan pembuangan bayi yang pernah saya ketengahkan dahulu. Penyelesaian kepada kemelut ini pun pernah kita syorkan. Namun, perbuatan mungkar dan maksiat masih terus-menerus berleluasa. Jika beginilah keadaannya, bagaimanakah Malaysia ingin mencapai Wawasan 2020 sedangkan salah satu pasak pentingnya iaitu pembangunan insan seolah-olah dipandang sebelah mata dan tidak menunjukkan sebarang kemajuan?

Kita yang hidup di atas muka bumi Tuhan ini sebenarnya mempunyai dua pilihan; taat atau maksiat. Orang yang taat adalah orang yang benar-benar memanfaatkan kesihatan dan masa lapangnya dengan beribadah kepada Tuhannya dan meninggalkan semua larangan-Nya. Beruntunglah mereka kerana kelak mereka akan dikurniakan nikmat syurga yang belum pernah terlihat oleh mata, terdengar oleh telinga atau terlintas dalam hati manusia lantaran ketaatan mereka dalam berbuat baik kepada Allah.

Manakala ahli maksiat adalah orang yang tidak mahu tunduk kepada perintah dan larangan Allah, berbuat perkara mungkar dan maksiat sesuka hatinya sehingga terlupa betapa kecil dirinya untuk berbuat derhaka terhadap Allah yang Maha Besar. Dialah juga orang yang menjadi sandera syaitan di dunia ini yang kita ketahui modus operandinya untuk menyesatkan manusia adalah antaranya melalui maksiat seperti arak, judi, hiburan dan seks.

Firman Allah:

“Hai orang-orang beriman sesungguhnya khamar, berjudi, berhala, menguji nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu moga kamu mendapat keuntungan.” (al-Maidah : 90)

Sepertimana yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 yang bersidang pada 21 Sep 1995, maksiat dari segi bahasa bermakna derhaka. Manakala dari segi istilah, maksiat ialah perbuatan yang membawa dosa iaitu yang bertentangan dengan akidah, syariat dan ajaran Islam sama ada dengan melakukan larangan Allah dan Rasul atau meninggalkan suruhan Allah dan Rasul-Nya, dengan kata lain melakukan yang haram dan meninggalkan yang wajib. Perbuatan tersebut memberi kesan kepada kehidupan seseorang dalam akidah, syariat ataupun akhlak.

Muzakarah tersebut juga telah memutuskan bahawa jenis-jenis maksiat terbahagi kepada dua; pertama, maksiat kepada Allah dan Rasul iaitu meninggalkan perintah-Nya dan melakukan larangan-Nya. Dan kedua, maksiat terhadap makhluk iaitu maksiat terhadap manusia, maksiat terhadap haiwan dan alam sekitar, maksiat terhadap harta awam. Sesungguhnya maksiat dalam apa jua bentuk sama ada kepada Allah dan Rasul, kepada manusia dan makhluk boleh merosakkan agama, iman, akhlak, kemuliaan diri dan kesejahteraan induvidu, keluarga, masyarakat, negara dan umat.

Bahagiakah orang yang berbuat maksiat? Semaksima manakah pula impak yang bakal diterima oleh mereka yang menjadi "penderhaka" ini?

Menurut Ibnu Qayyim, orang-orang yang bergelumang dengan maksiat akan ditimpa pelbagai kesusahan. Antara lain dia akan terhalang daripada ilmu dan rezeki, merasa kesepian, kesulitan dan kegelapan, lemah hati dan badan, terhalang daripada ketaatan, terhapusnya keberkatan, hina di mata Allah, rosak akalnya, lemah tekadnya, terkunci hatinya, padamnya cahaya cemburu, hilangnya rasa malu, lenyapnya nikmat, datangnya petaka, rasa takut, gentar, gelisah dan buta hati serta datangnya pelbagai azab, bencana dan hidup di dunia, di dalam kubur dan di hari kiamat.

“Dan sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat, Injil dan (al-Quran) yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka, nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas mereka (dengan menurunkan hujan) dan dari bawah kaki mereka (dengan ditumbuhkannya tanaman dan buah-buahan)...” (al-Maidah : 66)

Jika kita telusuri kalam Allah, kita akan dapati "crook" terdahulu pernah dibinasakan oleh Allah lantaran kemungkaran dan maksiat yang mereka lakukan serta pendustaan mereka terhadap segala ajaran yang pernah dibawa oleh rasul-rasul yang diutus kepada mereka. Lihatlah bagaimana kaum Nabi Nuh ditenggelamkan melalui bah besar yang menutupi puncak-puncak gunung. Lihatlah bagaimana angin taufan menghentam kaum ‘Ad (kaum Nabi Hud) dan membuat mereka mati bergelimpangan di atas tanah laksana batang-batang pohon kurma yang tumbang. Lihatlah bagaimana Allah mengirimkan teriakan keras kepada kaum Tsamud (kaum Nabi Salleh) sehingga memotong-motong jantung yang ada di dalam dada mereka dan membuat mereka mati seketika.

Lihatlah pula bagaimana kampung yang dihuni golongan homoseks (kaum Nabi Lut) diangkat ke atas lalu diterbalikkan 180 darjah dan dihunjamkan kembali ke dalam bumi, kemudian diikuti dengan hujan batu panas yang menimpa mereka. Kaum Syuaib dikirimkan awan azab yang mana setelah berada tepat di atas kepala mereka, tiba-tiba awan itu menghujani mereka dengan api yang menyala-nyala. Firaun dan kaumnya yang engkar itu pula ditenggelamkan oleh Allah di tengah-tengah Laut Merah.

“Maka masing-masing (mereka itu) Kami seksa disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil dan di antara mereka ada yang ditimpa suara keras yang menguntur, di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan; Allah sekali-kali tidak hendak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (al-Ankabut : 40)

Malah Allah telah menjanjikan Neraka Wail bagi mereka yang masih berdegil dengan berterusan terjun ke dalam jurang maksiat. Seperti mana hadis daripada Abdullah bin Amru, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Kasihanilah, nescaya kamu dikasihani. Berilah kemaafan (kepada orang lain), nescaya kamu diampunkan. Neraka Wail bagi orang yang bertelinga seperti corong air (tidak menghiraukan nasihat). Neraka Wail bagi orang yang berkekalan dalam perbuatan yang mereka lakukan sedangkan mereka mengetahui (akan dosanya).” (Riwayat Ahmad)

Justeru bertaubatlah kita daripada segala maksiat yang pernah dan sedang kita lakukan. Sesungguhnya hamba Allah yang terbaik adalah mereka yang sering memohon keampunan daripada-Nya. Malah, orang yang memohon keampunan dianggap tidak berterusan melakukan maksiat, sepertimana yang dinyatakan dalam hadis daripada Abu Bakar as-Siddiq r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Orang yang memohon keampunan tidaklah dianggap berkekalan melakukan maksiat, sekalipun dia mengulanginya (maksiat) sebanyak 70 kali dalam sehari.” (Riwayat at-Tirmizi)

Di samping itu bersungguh-sungguhlah kita untuk terus mendidik diri agar tidak terus berbuat maksiat. Perkara ini memang tidak mudah, namun itulah harga syurga Allah. Jika kita teringat juga untuk melakukan maksiat kepada Allah, ingatlah enam pesanan Ibrahim bin Adham berikut:

1. Apabila melakukan maksiat, dilarang makan rezeki yang Allah kurniakan. Sedangkan rezeki Allah melitupi langit dan bumi, layakkah kita melangggari suruhan-Nya.

2. Jangan menetap di negeri-Nya apabila teringin melakukan maksiat. Bagaimana hendak bermaksiat kepada-Nya, sedangkan langit dan bumi merupakan negeri-Nya dan di bawah kekuasaan pemerintahannya?

3. Ingatlah bahawa Allah Maha Melihat, dan Dia tidak lalai daripada memerhatikan setiap gerakan dan tindakan ciptaan-Nya, hatta yang terlintas dalam hati sekalipun.

4. Apabila Malaikat Maut datang untuk mencabut nyawa, katakan kepadanya, "Tunggu sebentar, aku akan bertaubat!"

5. Apabila Malaikat Munkar dan Nakir datang, lawanlah mereka sedaya upaya mungkin. Itupun kalau terdaya.

6. Apabila sampai ke hadrat Ilahi dan Dia berfirman: "Masuklah ke dalam neraka." Katakanlah, "Wahai Tuhanku, aku tidak bersedia masuk ke dalam neraka."

No comments:

Post a Comment