Oleh Wan Am
Ramadan tiba lagi. Setiap orang Islam yang beriman pasti beriltizam untuk memastikan Ramadan kali ini adalah Ramadan yang terbaik dalam kehidupan mereka, kerana manalah tahu tidak berpeluang lagi untuk bertemu dengan bulan penuh keberkatan ini pada tahun mendatang. Siapa tidak mahu untuk bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah fardu dan menggiatkan amalan sunat pada bulan yang dijanjikan pahala yang berganda-ganda ini?
Saya masih ingat sewaktu zaman remaja dahulu, pihak sekolah telah melatih dan mentarbiah kami untuk benar-benar menghidupkan Ramadan dengan ibadah dan amal kebajikan. Saya dan rakan-rakan berlumba-lumba untuk sebanyak mungkin khatam membaca al-Quran. Begitu juga menunaikan solat sunat Duha pada waktu rehat, dan menggandakan hafalan surah-surah lazim. Kemeriahan berbuka puasa dan solat tarawih bersama dalam majlis khas yang dianjurkan juga masih jelas terasa. Oh ya, ada satu lagi jenis ibadah yang kami tidak pernah “miss” setiap kali berada dalam bulan Ramadan, malah itulah antara agenda yang amat kami nanti-nantikan, iaitu beriktikaf di masjid.
Melalui program yang disusun oleh pihak sekolah, saya dan rakan-rakan telah berpeluang untuk beriktikaf pada malam-malam akhir Ramadan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Alhamdulillah, selama lima tahun di alam sekolah menengah, setiap kali bulan Ramadan kami dapat melaksanakan amalan iktikaf di masjid tersebut. Begitu terasa kelainannya setiap kali amal ibadah ketika beriktikaf dilaksanakan. Malah, beberapa kali juga kami dapat melihat fenomena pagi yang “mendamaikan”, yang menerbitkan tanda tanya kepada kami, “Adakah malam tadi Lailatul Qadar?” Namun tidak kurang juga peristiwa-peristiwa “nakal” yang melibatkan kami sepanjang beriktikaf. Maklumlah, zaman remaja! Namun tidaklah sampai melampaui batasan syarak.
Beriktikaf di masjid sememangnya merupakan antara ibadah sunat yang digalakkan untuk kita umat Islam laksanakan Ketika bulan Ramadan. Iktikaf dalam perkataan lain ialah duduk (berhenti) di dalam masjid dengan niat bermunajat kepada Allah, juga bertujuan untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada-Nya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 125 yang bermaksud:
“Dan Kami telah perintahkan kepada Ibrahim dan ismail: ‘Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang yang tawaf, yang iktikaf, yang rukuk dan yang sujud.’”
Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat sendiri menunaikan ibadah iktikaf ini sebagai memanifestasikan keimanan mereka dalam mengejar ganjaran Ramadan, khususnya pada 10 malam yang terakhir untuk meraih Lailatulqadar. Malah, ibadah iktikaf di masjid ini boleh dianggap sebagai syiar Ramadan yang utama bagi Rasulullah s.a.w. lantaran komitmen baginda yang sepenuh masa beriktikaf sepanjang bulan mulia tersebut. Rasulullah s.a.w. dikatakan pernah beriktikaf sebulan penuh dalam bulan Ramadan, dan ada kalanya baginda beriktikaf selama 20 hari. Sehinggakan Rasulullah s.a.w. pernah mendirikan khemah dalam Masjid Nabawi semata-mata untuk menunaikan ibadah iktikaf.
Dari segi hukum, oleh kerana Rasulullah s.a.w. tidak pernah meninggalkan amalan beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan, maka ulama merumuskan bahawa ibadah iktikaf ini adalah sunat muakkad. Ulama juga bersepakat bahawa tempat yang paling elok beriktikaf adalah di tiga buah masjid utama Islam iaitu Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masjid al-Aqsa. Seterusnya dari sudut keutamaan ialah iktikaf boleh ditunaikan di mana-mana masjid yang mengadakan solat fardu Jumaat (menurut Imam Ibnu Qudamah dan Imam al-Syafi’i). Keutamaan berikutnya ialah boleh beriktikaf di semua masjid walaupun di situ tidak diadakan solat Jumaat.
Dalam dekad-dekad terakhir ini boleh dikatakan masjid-masjid amat meriah dengan kehadiran orang ramai yang beriktikaf pada 10 malam akhir Ramadan. Perkembangan ini mungkin disebabkan semakin bercambahnya kesedaran umat Islam di negara ini terhadap ajaran agama mereka, termasuklah kesedaran terhadap tuntutan dan kelebihan bagi mereka yang melaksanakan amalan iktikaf ini. Kita dapat melihat sesetengah kaum bapa turut membawa anak-anak kecil mereka untuk sama-sama beriktikaf. Bagi kaum hawa pula, tidak ada masalah untuk mereka menunaikan ibadah iktikaf ini, asalkan mereka menepati syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syariat bagi wanita yang hendak berada di dalam masjid.
Dalam kita beriktikaf, berhati-hatilah kita terhadap perkara-perkara yang boleh membatalkan ibadah tersebut. Antaranya, meninggalkan masjid dengan sengaja tanpa keperluan penting walaupun sebentar. Ini kerana perbuatan tersebut telah menjejaskan salah satu rukun iktikaf iaitu berdiam di masjid. Namun, tidak terbatal amal iktikaf seseorang jika dia keluar dari tempat iktikaf kerana urusan mustahak dan memenuhi keperluan tertentu, contohnya menghantar isteri (sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap isteri baginda iaitu Safiyyah r.a. – Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Perkara lain yang boleh membatalkan ibadah iktikaf ialah murtad, hilang akal dan haid atau nifas. Begitu juga dengan berjimak (bersetubuh dengan isteri), sebagaimana firman Allah:
“Janganlah kamu mencampuri mereka (isteri kamu) itu, sedang kamu beriktikaf di dalam masjid. Itulah larangan Allah, maka jangan kamu mendekatinya.” (al-Baqarah : 187)
Sesungguhnya seseorang yang melaksanakan ibadah iktikaf akan tergolong dalam kalangan mereka yang beruntung. Mengapa? Kerana Allah sememangnya telah menjanjikan banyak keutamaan kepada mereka sentiasa berdampingan dengan masjid. Orang yang berada di masjid dengan niat dan cara yang menepati syarak, pastilah akan memperoleh kelebihan berikut:
1. Mendapat kemuliaan dari Allah
Dari Salman, dari Nabi s.a.w. bahawa baginda bersabda: “Barangsiapa berwuduk di rumahnya, lalu mendatangi masjid, bererti dia menjadi tetamu Allah, dan sudah menjadi kewajipan bagi pihak yang dikunjungi untuk memuliakan pihak yang mengunjunginya.” (Riwayat Tabarani)
2. Dosanya diampunkan
Berdasarkan hadis Abdullah bin Abbas r.a., dari Nabi s.a.w. yang menyebut bahawa Allah pernah berfirman kepada Nabi s.a.w. ketika baginda sedang tidur: “...Ya Muhammad, tahukah kamu amal yang bagaimana yang selalu dicari-cari oleh para malaikat yang paling dekat dengan Allah? Aku berkata, ‘Ya, tahu, iaitu amal-amal yang dapat menghapuskan dosa tetap tinggal di masjid setelah selesai solat berjemaah, berjalan menuju solat berjemaah dan tetap menyempurnakan wuduk ketika keadaan berat. Barangsiapa mengerjakan yang demikian, dia akan hidup dengan mendapat kebaikan, akan mati dengan mendapat kebaikan dan bebas dari dosa sebagaimana keadaannya ketika dilahirkan oleh ibunya...” (Riwayat Tirmizi)
3. Para malaikat berselawat untuknya
“Para malaikat berselawat untuk seseorang di antara kamu selama dia berada di tempat solatnya. Mereka berdoa, ‘Ya Allah, rahmatilah dia. Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, terimalah taubatnya.’ Yakni selama dia tidak melakukan perkara-perkara yang mengganggu orang lain dan belum berhadas.” (Riwayat Bukhari)
4. Mendapat rahmat, ketenangan dan dinaungi malaikat
Dari Abu Hurairah r.a. dia berkata, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “...Tidaklah suatu kaum yang berkumpul (membentuk majlis) di salah satu masjid untuk membaca dan mempelajari al-Quran, melainkan ketenangan akan turun kepada mereka, mereka diliputi rahmat dan dinaungi oleh para malaikat, dan Allah akan memuji-muji mereka di hadapan para makhluk yang ada di sisi-Nya...” (Riwayat Muslim)
Inilah ganjaran-ganjaran lumayan yang tersedia bagi mereka yang melaksanakan amalan iktikaf. Bayangkan jika ganjaran ini kita peroleh dalam bulan Ramadan, iaitu bulan yang menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda bagi satu amal kebajikan. Dan cuba bayangkan juga jika ganjaran ini kita peroleh semasa Lailatul Qadar, suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan...
No comments:
Post a Comment