Sunday, September 11, 2011

Berwaspada Dengan Dosa

Oleh Wan Am


Manusia yang hidup di atas muka bumi ini sebenarnya tidak diciptakan dengan sia-sia. Kedatangan mereka ke dunia menggalas dua misi hakiki; pertama, sebagai hamba (‘abd) kepada Tuhan, dan kedua, menjadi khalifah-Nya.

Di samping itu Tuhan telah menetapkan syariat (peraturan) yang sesuai dengan fitrah manusia sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah bagi memastikan mereka berjaya mendepani gendala kehidupan. Bagi mereka yang teguh menuruti perintah Tuhan, maka dia akan memperoleh ganjaran pahala. Manakala bagi mereka yang melanggar larangan-Nya, balasan dosa pula yang menanti mereka.

“Dan apa yang diberikan rasul kepadamu maka terimalah dia, dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah.” (al-Hasyr : 7)

Namun, hakikatnya lebih ramai manusia yang memilih untuk meredah jalan sempit berhias dosa berbanding jalan luas dipenuhi pahala. Buktinya, perhatikan sahajalah fenomena kejahatan yang melata di sekeliling kita; rasuah, zina, riba, rogol, bunuh, buang anak, gengsterisme, minum arak, merempit, ragut, dadah, penderaan, fitnah, judi dan lain-lain lagi. Lebih menghibakan, di negara kita ini orang Islamlah yang menjadi “juara”nya. Nampak sangat syaitan telah begitu bergaya dalam agendanya untuk menyesatkan umat manusia menuju jurang neraka.

Sebenarnya telah begitu banyak penjelasan dan peringatan mengenai dosa dalam kitab-Nya yang mulia. Perkataan “dosa” dari segi bahasa bermakna akibat atau balasan. Dalam al-Quran, terdapat 17 perkataan dalam bahasa Arab yang boleh dimaksudkan dengan dosa, antaranya ialah “dzanb” (disebut 35 kali) bererti akibat kesalahan kita, “ithm” (disebut 48 kali) bermakna kealpaan atau tidak mendapat pahala, “sayyi’ah” (disebut 165 kali) ertinya perbuatan buruk yang menyebabkan kesedihan, dan “rijs” (disebut 10 kali) bererti kotor, baik jasmani mahupun rohani.

Mengapa manusia begitu mudah terjebak dengan dosa? Tidak lain dan tidak bukan, kerana kejahilan manusia itu sendiri mengenai balasan dosa. Lantas kejahilan tersebut jugalah yang membuatkan mereka terus-terusan merasa lazat mengerjakan maksiat.

Justeru, dalam al-Quran, Allah telah membuat penegasan mengenai balasan bagi orang yang berbuat dosa. Antaranya, golongan ini akan memperoleh balasan yang pedih pada hari akhirat kelak, sebagaimana firman-Nya berikut yang bermaksud:

“Dan tinggalkanlah dosa yang nampak dan yang tersembunyi. Sesungguhnya orang-orang yang mengerjakan dosa, kelak akan diberikan pembalasan (pada hari kiamat), disebabkan apa yang telah mereka kerjakan.” (al-An’am : 120)

Bukan sahaja di akhirat, malah di dunia lagi Allah akan menimpakan seksaan yang keras kepada mereka yang suka melakukan kejahatan dan kezaliman.

“Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang sebelum kamu, ketika mereka berbuat kezaliman, padahal rasul-rasul mereka telah datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata, tetapi mereka sekali-kali tidak beriman. Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat dosa.” (Yunus : 13)

Malah, bencana yang melanda umat manusia juga sebenarnya berpunca daripada kejahatan dan dosa manusia itu sendiri.

“Maka jika mereka berpaling (dari hukum yang diturunkan Allah) ketahuilah bahawasanya Allah menghendaki akan menimpakan bencana kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia adalah orang-orang yang fasiq.” (al-Maidah : 49)

Dalam hadis, dengan jelas juga Nabi Muhammad s.a.w. telah mengingatkan bahawa bagi orang yang berbuat dosa, hatinya akan sentiasa dirundung rasa resah dan gelisah, malah boleh menyebabkannya terhalang daripada mengecapi rezeki Allah.

“Dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan jiwa kamu, dan kamu tidak senang jika sesuatu itu nampak oleh orang lain.” (Riwayat Ahmad)

“Tidak akan bertambah suatu umur kecuali dengan berbuat kebaikan, dan tidak akan ada yang dapat menolak takdir kecuali dengan berdoa, serta sesungguhnya seorang lelaki terhalang rezekinya disebabkan mengerjakan perbuatan dosa.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Berdasarkan nas-nas syarak, kebanyakan ulama telah sepakat bahawa dosa terbahagi kepada dua, iaitu dosa besar dan dosa kecil. Dalam hal ini Allah telah berfirman yang bermaksud:

“Iaitu orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil, Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas ampunan-Nya.” (an-Najm : 32)

“Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang kamu dilarang mengerjakannya, nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).” (an-Nisa : 31)

Setiap Muslim haruslah berwaspada dengan segala gerak laku yang boleh menyebabkan dirinya terjebak dengan dosa, terutamanya dosa-dosa besar. Dosa besar, menurut pendapat banyak ulama adalah segala perbuatan yang pelakunya diancam dengan api neraka, mendapat murka Allah di akhirat serta dikenakan hukuman had di dunia. Antara dosa-dosa besar adalah seperti yang terdapat dalam hadis daripada Bakrah bin Nufai’ bin al-Harith r.a. yang berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Mahukah kamu aku khabarkan tentang sebesar-besar dosa yang tiga?” Kami menjawab, “Baiklah, ya Rasulullah.” Baginda bersabda, “Iaitu syirik kepada Allah, derhaka kepada dua orang tua.” Ketika itu baginda bersandar kemudian duduk dan bersabda lagi, “Ingatlah ucapan dusta dan saksi palsu.” Baginda mengulang-ulanginya sehingga kami berkata, “Semoga baginda diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam satu lagi hadis, Rasulullah s.a.w. turut memerintahkan kita untuk menjauhi tujuh jenis dosa besar. Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Hindarilah tujuh perkara yang membinasakan.” Lalu Rasulullah ditanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu?” Baginda menjawab, “menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan riba, melarikan diri pada saat peperangan, dan menuduh wanita yang terpelihara kehormatannya (tidak melakukan maksiat) dan beriman.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Para ulama berbeza pendapat tentang jumlah dosa besar. Abdullah bin Mas’ud berkata, “Ada empat”, Abdullah bin Umar mengatakan, “Ada tujuh”, Abdullah bin ‘Amru bin ‘Ash mengatakan, “Ada sembilan”, dan yang lainnya mengatakan, “Ada sepuluh”. Ada juga yang mengatakan, “Ada tujuh puluh”. Malah menurut Ibnu Qayyim, para ulama yang tidak membatasi dosa-dosa besar dengan jumlah bilangan, di antara mereka ada yang berkata, “Semua perkara yang dilarang oleh Allah dalam al-Quran adalah dosa besar, dan apa yang dilarang oleh Rasulullah adalah dosa kecil.” Manakala sekelompok ulama lain berkata, “Segala larangan yang diringi oleh ancaman laknat, murka dan hukuman adalah dosa besar, dan sebaliknya larangan yang tidak diiringi dengan ancaman adalah dosa kecil.”

Namun jangan sekali-kali kita memandang enteng dengan dosa-dosa kecil yang kita lakukan. Hal ini memandangkan dosa kecil boleh menjadi berganda, malah bertukar pula menjadi dosa besar apabila:

1. Melakukan sesuatu dosa secara berulang-ulang walaupun ia dosa kecil.
2. Sesuatu dosa itu dianggap sebagai perkara remeh.
3. Timbul rasa bangga kerana dapat melakukan dosa tersebut.
4. Tertipu dengan nikmat yang Allah kurniakan (istidraj).
5. Tidak segan-silu memberitahu orang lain akan dosa yang dilakukan.
6. Dosa yang dilakukan oleh seorang ulama atau tokoh dan menyebabkan ramai pengikut turut melakukannya.

Pepatah pujangga ada mengatakan, “Bumi mana yang tidak pernah ditimpa hujan”. Begitu jualah kita sebagai seorang manusia, pastinya kita tidak bolos daripada melakukan kesalahan dan dosa dalam hidup ini. Kita bukanlah nabi yang merupakan insan yang maksum (terpelihara daripada dosa), sebaliknya hanyalah seorang Muslim yang imannya sentiasa naik dan turun (yazid wa yanquz), malah pasti melakukan dosa seperti yang telah ditakdirkan Ilahi, sebagaimana Nabi s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah (maksudnya):

“Setiap anak Adam ada habuannya daripada dosa zina yang pasti berlaku dan tidak boleh dielakkan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, Allah telah memberi jalan keluar kepada hamba-Nya daripada terus bergelumang dengan perbuatan dosa, iaitu dengan cara bertaubat dan memohon keampunan daripada-Nya. Dengan cara demikianlah dia akan dapat membersihkan dirinya daripada dosa. Tetapi jika dia memilih untuk terus berada dalam kemaksiatan, maka nantikanlah balasan yang setimpal seperti yang Dia telah janjikan.

No comments:

Post a Comment