Oleh Wan Am
Pada suatu malam, sebelum saya menghadiri suatu perjumpaan di rumah seorang rakan, saya telah berkesempatan mengikuti majlis ilmu yang diadakan selepas solat Maghrib di sebuah surau di Seksyen 7, Shah Alam. Penceramah telah mengupas tajuk mengenai beberapa keadaan manusia ketika dibangkitkan pada hari kiamat. Secara jujurnya topik ini bukanlah suatu ilmu yang baru bagi saya. Namun, apabila mendengarkan penyampaian beliau tersebut, saya terasa tertarik untuk mendengarnya sehingga akhir lantaran pembawaannya yang turut mengaitkannya dengan isu-isu semasa. Keadaan iman yang sedikit “lemah” pada waktu itu turut memotivasikan saya untuk mengikuti majlis ilmu tersebut dengan penuh minat.
Bagi saya, majlis ilmu sebegini sememangnya mempunyai kepentingannya yang tersendiri terhadap pembangunan masyarakat, khususnya umat Islam. Lebih-lebih lagi jika diadakan di masjid, iaitu institusi paling mulia dalam agama kita. Inilah antara sunnah peninggalan Nabi Muhammad s.a.w., memandangkan pengajaran dan pembelajaran ilmu-ilmu Islam melalui institusi masjid sebenarnya telah bermula sejak zaman baginda s.a.w. dan para sahabat lagi.
Masjid an-Nabawi di Madinah merupakan masjid yang pertama yang menjadi institusi pengajaran dan pembelajaran ilmu-ilmu Islam. Di masjid ini baginda Rasulullah s.a.w. mendidik dan mentarbiah para sahabat setiap hari mengenai ilmu-ilmu Islam, termasuk persoalan mengenai akidah, akhlak, hukum-hakam dan sebagainya.
Malah, pada era kegemilangan Islam, tamadun Islam telah berkembang luas daripada Semenanjung Tanah Arab seperti Syam dan Baghdad hingga ke Afrika Utara dan juga Andalus di Sepanyol. Masjid-masjid yang dibina di negeri-negeri ini bukan sekadar menjadi tempat beribadat, namun berperanan juga sebagai tempat mengajar ilmu-ilmu Islam. Antara masjid yang terkenal ialah Jami’ al-Umawi di Damshik, Jami’ al-Mansor di Baghdad, Masjid Basrah, Masjid Kufah dan Masjid al-Azhar yang dibina pada tahun 970 Masihi di Kaherah yang akhirnya menjadi Universiti Islam Antarabangsa al-Azhar pada tahun 1961. Selain itu terdapat pula beberapa buah masjid di Andalus seperti Masjid al-Qurtubah (758M) yang akhirnya menjadi Universiti Islam Antarabangsa Cordova. Pada tahun 912 Masihi, Masjid Gharnatah di Granada ditubuhkan yang akhirnya menjadi Universiti Islam Granada. Selain itu terdapat beberapa buah lagi masjid seperti masjid di Ishbiliyah, Malaga, Palencia dan Almera. Semua masjid ini menjadi pusat pendidikan Islam pada zaman kegemilangan Islam.
Kita tidak menafikan bahawa perkembangan sains dan teknologi pada abad-abad kebelakangan ini telah turut mengangkat martabat ilmu dalam kehidupan manusia, yang mana dengan kepesatan industri media cetak dan elektronik telah membolehkan manusia memperoleh ilmu dan maklumat yang diperlukan. Manusia zaman ini sudah boleh menimba ilmu melalui buku dan majalah berunsurkan ilmiah yang diterbitkan, selain rancangan-rancangan agama yang disiarkan melalui radio dan televisyen serta penerbitan kaset, CD dan VCD yang berkaitan. Ledakan teknologi internet pada alaf baru ini pula sudah semestinya menaik taraf lagi status penyebaran ilmu, yang mana kini melalui media baru seperti Facebook, blog, email dan youtube, sesuatu ilmu dan maklumat sudah berada di hujung jari.
Namun, keadaan ini masih tidak mampu menidakkan kerelevanan majlis ilmu dalam kehidupan bermasyarakat. Hal ini memandangkan dalam konteks pencarian ilmu, sesuatu ilmu itu sebaik-baiknya dituntut melalui pengajaran secara langsung dan berdepan dengan alim ulama. Benar, melalui sarana-sarana media yang saya sebutkan tadi kita boleh mendapatkan ilmu yang kita kehendaki. Akan tetapi, melalui cara tersebut kita mungkin akan terdedah dengan kesilapan dan kelemahan dalam memahami ilmu yang kita baca atau dengar itu disebabkan oleh keterbatasan ilmu atau tahap pemahaman yang kurang berkesan. Dengan menuntut ilmu secara langsung daripada mereka yang berilmu (antaranya melalui majlis-majlis ilmu yang diadakan), kita akan lebih berpeluang untuk bertanya secara terus jika ada sesuatu perkara yang tidak kita fahami atau memerlukan penjelasan yang lebih mendalam. Malah, melalui cara ini juga kita berpeluang untuk mengetengahkan pandangan dan ide kita, di samping membantah mana-mana perkara yang tidak kita persetujui.
Bahkan lebih penting dari itu, majlis ilmu itu sendiri turut termasuk dalam kategori majlis zikir yang amat dimuliakan oleh Allah, sepertimana yang diberitahu oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. kepada kita dalam sabdanya:
“Tidaklah sekelompok orang duduk berzikir kepada Allah Subhanahu wa Taala kecuali para malaikat mengelilingi mereka, rahmat (Allah) meliputi mereka, ketenteraman turun kepada mereka, dan Allah menyebut-menyebut mereka di hadapan (para malaikat) yang ada di sisi-Nya.” (Riwayat Muslim)
Berzikir turut mencakupi proses mencari dan menuntut ilmu. Syeikh Abdur Razaq bin Abdul Muhshin al-Badr, salah seorang tenaga pengajar di Universiti Islam di kota Madinah telah mengatakan dalam bukunya ‘Fiqhul Ad’iyah wal Adzkar’, “Tidak diragukan lagi bahawa menyibukkan diri dengan menuntut dan mencari ilmu, mengetahui halal dan haram, mempelajari al-Quran dan merenungkannya, mengetahui Sunnah Rasulullah s.a.w. dan sirah (riwayat hidup) baginda serta berita-berita baginda adalah zikir terbaik dan paling utama. Majlis-majlisnya adalah majlis-majlis yang paling baik, lebih baik daripada majlis-majlis zikrullah yang berisi tasbih, tahmid dan takbir. Kerana pembicaraan dalam majlis-majlis ilmu berkisar antara yang fardhu ain atau fardhu kifayah, sedangkan zikir semata-mata (hukumnya) adalah tathawwu’ murni (disukai; sunnah; tidak wajib).”
Dalam suatu hadis yang lain, Mu’awiyah r.a. menceritakan, pada suatu hari Rasulullah s.a.w. pergi ke satu halakah (majlis) para sahabat (di dalam masjid), lalu baginda bertanya: “Apakah yang menyebabkan kalian duduk di sini?” Sahut mereka: “kami duduk berzikir kepada Allah dan memuji-Nya kerana telah memberi petunjuk Islam kepada kami.” Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: “Demi Allah, adakah hanya kerana ini kamu duduk di sini?” Mereka menjawab: “Demi Allah, hanya kerana inilah kami duduk di sini.” Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: “Aku meminta kamu bersumpah bukan kerana mentohmah kamu, tetapi Jibril telah datang kepadaku dan memberitahuku bahawa Allah sesungguhnya berbangga dengan kamu di hadapan para malaikat-Nya.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah, Ahmad, Muslim, Tirmizi dan al-Nasa’i)
Dengan menghadiri majlis ilmu di masjid, seseorang itu juga dijanjikan cahaya yang gemilang daripada Allah. Hal ini berdasarkan firman Allah:
“(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyata terutama sekali) di rumah-rumah ibadat (yakni masjid-masjid) yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingati nama Allah padanya. Di situ juga dikerjakan ibadat memuji Allah pada waktu pagi dan petang.” (an-nur : 36)
Ayat ini memberikan petunjuk kepada kita bahawa cahaya hidayah itu dengan mudah dapat diperoleh melalui zikir mengingati Allah di masjid. Antara caranya adalah dengan mengikuti majlis ilmu yang diadakan di masjid-masjid. Siapa yang tidak mahukan cahaya hidayah, yang mana dengannya mata hati akan dapat melihat dan membezakan perkara yang membawa kepada kemuliaan seseorang di sisi Allah atau menjerumuskannya kepada kemurkaan-Nya.
Oleh itu, sesibuk mana pun kita dengan urusan dunia, cubalah cari kesempatan untuk menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid. Keutamaan-keutamaan yang disebutkan sebentar tadi sewajarnya sudah cukup mendorong kita untuk sama-sama mengimarahkan majlis ilmu yang diadakan di masjid-masjid kita. Mudah-mudahan komitmen kita dalam perkara ini akan melayakkan kita untuk menjadi seperti para sahabat ar-Rasul s.a.w. yang mendapat pujian langsung daripada Allah di hadapan makhluk-Nya yang mulia.
No comments:
Post a Comment