Oleh Wan Am
Saya mempunyai beberapa orang rakan yang pernah berkunjung ke Singapura bagi meninjau perjalanan institusi masjid di sana. Menurut mereka, masjid di sana benar-benar dimakmurkan dengan pelbagai fungsi dan kegunaan. Malah, melalui pendekatan ‘mesra keluarga, komuniti dan belia’, masjid di Singapura kini bukan sahaja memainkan peranan yang lebih besar dalam kehidupan masyarakat Islam, bahkan telah berjaya mencatat pelbagai kemajuan dari sudut agama dan pembangunan sosial. Dengan jumlah tidak lebih daripada setengah juta penduduk Muslim di Singapura, kini sudah terdapat sebanyak 69 buah masjid di sana. Serentak dengan perkembangan tersebut, ditambah kemajuan masyarakat yang pesat berubah, masjid-masjid di Singapura terus proaktif mengatur strategi agar ikatan antara masjid dan ahli masyarakat yang beragama Islam (juga bukan Islam) akan terus kukuh.
Bagaimana pula dengan institusi masjid di Malaysia? Kita sebenarnya harus juga berbangga kerana lewat dewasa ini semangat umat Islam di negara ini untuk membangun dan memperkasa institusi masjid sudah semakin terserlah. Dengan pertambahan bilangan masjid-masjid baru, serta bersemaraknya aktiviti-aktiviti yang berpusat di masjid sudah boleh menggambarkan kesungguhan mereka untuk memartabatkan Islam, sesuai dengan statusnya sebagai agama rasmi negara ini.
Namun, harus juga kita akui bahawa fungsi dan peranan institusi masjid di negara kita secara umumnya masih boleh dioptimumkan lagi. Hal ini memandangkan masih banyak masjid yang memberikan fokus hanya kepada aktiviti-aktiviti yang bersifat rutin seperti solat berjemaah, kuliah fardu ain, ceramah sempena hari kebesaran Islam, tadarus al-Quran dan sebagainya. Keadaan ini mungkin disebabkan tahap kefahaman kebanyakan umat Islam yang masih dibelenggu pemikiran lama bahawa untuk mengimarahkan masjid, cukuplah dengan melaksanakan solat berjemaah dan ibadah sunat tertentu.
Inilah antara cabaran yang sedang menanti para pendakwah. Sudah tiba masanya untuk kita memberikan kefahaman yang tepat terhadap umat Islam, khususnya para penggerak institusi masjid akan fungsi sebenar masjid terhadap individu dan masyarakat. Kefahaman yang harus ditanam kepada mereka iaitu fungsi masjid bukan sahaja terjurus kepada aspek ibadah semata-mata, tetapi juga turut merangkumi aspek-aspek kehidupan yang lain seperti kegiatan sosial dan ekonomi, bahkan bidang-bidang lain yang seiring dengan tuntutan dan perkembangan zaman. Pendek kata, institusi masjid harus menjadi “pusat sehenti” umat Islam dalam segenap aspek kehidupan.
Dr. Mustafa as-Syibaie dalam buku “Sirah Nabi Muhammad s.a.w. – Pengajaran & Pedoman” telah berkongsikan pandangannya berkenaan fungsi masjid, “Sejarah masjid dalam Islam membuktikan ketumbukan-ketumbukan tentera Islam dilancarkan dari masjid untuk meliputi muka bumi dengan hidayah Allah. Dari masjid juga terpancar sinaran cahaya kebenaran dan hidayah kepada orang Islam dan orang bukan Islam. Di dalamnya juga benih-benih tamadun Islam tumbuh subur dan berkembang. Bukankah Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Khalid, Saad, Abu Ubaidah dan tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam yang lain merupakan anak-anak murid sekolah Muhammad yang berpusat di Masjid an-Nabawi?”
Melalui sirah, kita dapat melihat bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bukan sahaja menjadikan Masjid an-Nabawi sebagai pusat ibadah, malah juga sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran negara Islam Madinah. Masjid an-Nabawi menjadi nadi gerakan Islam, penggerak aktiviti masyarakat, malah tempat umat menuntut hak dan keadilan. Masjid an-Nabawi juga turut berperanan sebagai pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia. Dengan fungsi-fungsi tersebut, terbukti Rasulullah s.a.w. telah berjaya menggambarkan kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai ad-Deen (cara hidup) melalui fungsi-fungsi komprehensif yang dimainkan oleh institusi masjid.
Dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Peranan dan Kedudukan Institusi Masjid Dalam Islam”, Ismail Roziz yang merupakan Setiausaha Agung Jamiyah Singapura telah menyenaraikan peranan yang harus dilakukan oleh institusi masjid pada hari ini. Peranan-peranan tersebut adalah seperti berikut:
i. Menyusun struktur kerja masjid
Salah satu ciri kejayaan sesebuah masjid untuk menjadi pusat pentadbiran dan perkembangan masyarakat Islam adalah terletak pada struktur kerja masjid itu sendiri. Jawatankuasa kerja yang dinamik dan berkaliber akan dapat merancang dan mentadbir masjid dengan baik.
ii. Imam yang ideal
Imam masjid mempunyai kedudukan, peranan dan fungsi yang sangat penting, bukan sahaja dalam upaya memakmurkan masjid, tetapi juga dalam membina, mengembang dan memajukan masyarakat Islam yang merupakan jemaah masjid. Oleh itu imam masjid perlulah mempunyai pengetahuan dan wawasan yang luas serta mampu menyelesaikan masalah kemasyarakatan dengan sebaik mungkin.
iii. Menyatukan umat Islam
Rasulullah s.a.w. amat mementingkan semangat bersatu-padu dalam kalangan para sahabatnya. Apabila terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan mereka, Rasulullah s.a.w. menanganinya secara kolektif dan telus. Dan sekiranya para sahabat mempunyai ide dan pendapat baru yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam, maka Rasulullah s.a.w. amat mengalu-alukannya. Tujuan tindakan seperti ini adalah untuk mewujudkan kesatuan dalam kalangan para sahabat dan pengikut mereka.
iv. Menghidupkan semangat mesyuarat
Masjid adalah tempat untuk bermesyuarat, bukan sahaja di antara para pentadbir dengan jawatankuasa dan para pentadbir dengan jemaah, namun juga di antara sesama jemaah. Imam masjid dan pentadbir hendaklah bermesyuarat untuk mendapatkan penyelesaian dalam menghadapi sesuatu masalah atau pertikaian yang timbul. Apa jua perancangan atau projek baru yang bertujuan untuk meninggikan syiar Islam dan menghidupkan semangat keislaman perlulah dibincangkan bersama.
v. Memperkukuh akidah umat
Dalam kehidupan masa kini yang penuh dengan cabaran dan tentangan, umat Islam amat perlu memperkuat akidah supaya tidak mudah terpengaruh dan terjerumus ke dalam unsur-unsur negatif. Benteng akidah ini menjadi lebih penting lagi kerana dewasa ini tersebar ajaran-ajaran serta pemahaman akidah yang menyesatkan. Dalam hal ini, masjid memainkan peranan yang penting dalam menguatkan akidah jemaahnya.
vi. Institusi keislaman, pelajaran, kemasyarakatan dan kebajikan
Masjid hendaklah menjadi pusat rujukan dalam masalah-masalah kehidupan masyarakat Islam sehingga mampu menyediakan jawapan yang munasabah dan Islamik bagi setiap pertanyaan, juga menjadi pusat kaunseling bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam pada hari ini.
Masjid juga adalah institusi ilmu untuk kecemerlangan masyarakat Islam. Budaya ilmu ini perlu diluaskan dengan mengadakan kelas-kelas keagamaan dan juga kelas-kelas ilmiah yang lain seperti pelajaran komputer, sains, matematik dan lain-lain pelajaran dari peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat dewasa. Selain itu usaha seperti ceramah, forum dan dialog umum merupakan antara alternatif yang akan mengharmoni dan menyatupadukan masyarakat Islam.
Di samping itu masjid juga hendaklah menjadi pusat bantuan kepada mereka yang memerlukan sokongan moral dan material bagi meringankan beban kewangan atau masalah gejala sosial yang dihadapi oleh masyarakat Islam pada masa kini.
vii. Mempererat kerjasama antara umat
Masjid sebagai tempat ibadat melahirkan gambaran perdamaian dan keagungan Islam sebagai agama yang toleran terhadap sesama penganut agama. Adalah baik jika masjid dapat membuka pintu kepada mereka yang bukan Islam untuk melawat ke rumah Allah ini agar mereka dapat belajar dan mengetahui bagaimana umat Islam melakukan sembahyang dan erti seruan azan yang dilaungkan sebelum sembahyang serta kegiatan keagamaan atau aspek yang lain di dalam masjid.
Maka dengan premis tersebut, ayuh kita membangun dan menyemarakkan semula fungsi masjid di negara kita agar cita-cita kita untuk melahirkan masyarakat yang cemerlang dan tamadun Islam yang gemilang akan dapat dicapai. Selain itu kita jadikan usaha ini sebagai salah satu cara kita untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah dan meraih manfaatnya di akhirat kelak, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
“Barangsiapa membangun untuk Allah sebuah masjid meskipun hanya sebesar sarang burung, maka Allah akan membangunkan untuknya rumah di syurga.” (Riwayat Bukhari)
No comments:
Post a Comment