Oleh Wan Am
Saya percaya hari ulang tahun kelahiran bagi kebanyakan daripada kita dalam beberapa tahun kebelakangan ini mungkin sedikit “istimewa”. Mengapa saya kata demikian? Kerana dalam tempoh masa itu kita mungkin menerima begitu banyak kata ucapan pada setiap kali hari penting kita itu tiba.
Kalau lima atau sepuluh tahun dahulu, selain ahli keluarga, mereka yang mengucapkan “Selamat hari lahir!” kepada kita mungkin boleh dibilang dengan jari. Namun kini, dengan kecanggihan teknologi media sosial seperti Facebook, saya pasti kita yang menggunakannya pastinya menerima simbahan ucapan, doa dan apresiasi daripada handai-taulan yang memenuhi bahagian “Wall” akaun Facebook kita, sehinggakan ada kalanya tidak sempat pula untuk kita membalas setiap ucapan yang diterima (bercakap melalui pengalaman sendiri).
Dalam artikel ini saya bukan ingin bercerita mengenai penangan dan kecanggihan Facebook. Bukan juga mengenai ramai atau sedikitnya orang yang merakamkan ingatannya pada hari ulang tahun kelahiran kita. Perkara yang ingin saya bawa sebenarnya ialah mengenai ungkapan “Selamat hari lahir!”, yang kita terima saban tahun, tidak kiralah melalui apa-apa wahana atau bentuk sekalipun.
Apakah perasaan anda apabila menerima ucapan “Selamat hari lahir!” setiap kali tiba hari ulang tahun kelahiran anda? Gembirakah? Terharukah? Terkesima sebentarkah? Atau tiada perasaan langsung? Mengapa pula anda berperasaan sedemikian?
Saya percaya ramai yang menerima ungkapan itu pada hari ulang tahun kelahiran mereka, menyambutnya dengan hati yang berbunga. Ya lah, siapa pula yang tidak berasa diri begitu dihargai apabila ada insan yang sudi mengingati hari yang begitu penting bagi dirinya. Mungkin tidak kurang juga yang buat tak tahu saja dengan ucapan-ucapan sedemikian, lantaran terlalu sibuk berkubang dengan urusan-urusan seharian.
Ironinya, berapa ramai pula yang apabila diucapkan kepadanya “Selamat hari lahir!”, mereka lebih condong untuk bermuhasabah sejenak, lantas menginsafi diri lantaran masih dipanjangkan umur oleh Tuhan untuk terus hidup di atas muka bumi ini dan menjalankan misi hidupnya sebagai hamba dan khalifah. Sedarkah kita bahawa bila tiba sahaja hari ulang tahun kelahiran, bermakna sudah bertambah setahun lagi usia kita.
Pernah saya mendengar seseorang mengucapkan “Selamat pendek umur!” pada hari lahir rakannya. Mungkin bunyinya seperti dia ingin berjenaka. Namun ketahuilah, pertambahan umur kita juga sebenarnya turut menandakan bahawa sudah semakin pendek tempoh masa untuk kita berlangbuana di alam dunia ini, juga sudah semakin dekat untuk kita melangkah ke alam abadi.
Justeru, alangkah baiknya jika setiap kali disapa ucapan “Selamat hari lahir!”, kita mengambil kesempatan itu untuk mengimbas kembali warna-warni hidup selepas berlalu 365 hari lagi dari hidup kita. Lebih-lebih lagi bagi kita yang memasuki gerbang umur pada dekad yang baru, renung-renungkanlah berapa banyak amal yang telah dikerjakan buat bekalan pada hari kemudian. Ambillah kesempatan ini juga untuk kita menginsafi segala maksiat dan dosa yang menggiring diri, lantas bersimpuh memohon keampunan daripada Tuhan.
Memang tidak mudah meniti di jalan yang lurus. Pasti ada sahaja aral yang melintang. Hakikatnya itulah ujian yang dijanjikan oleh Tuhan kepada mereka yang benar-benar beriman. Musibah yang menimpa diri pula, pasti ada hikmah di sebaliknya. Itulah jua tanda kasih Yang Maha Pengasih kepada hamba-Nya.
Justeru, iringilah jua ungkapan “Selamat hari lahir!” yang kita terima dengan tangisan. Tidak salah untuk kita bergembira, namun menangis adalah lebih utama, kerana kita sebenarnya semakin mendekati detik kematian. Menangislah, kerana sesungguhnya Tuhan sangat mencintai titisan air mata yang berguguran kerana takutkan-Nya. Menangislah, kerana sesungguhnya tangisan orang yang berdosa lebih disukai Allah daripada tasbih para wali. Menangislah, kerana sesungguhnya mata kita yang sentiasa berkaca di dunia ini boleh membuatkan kita bergembira pada hari akhirat nanti.
Dan teruslah menangis, kerana sesungguhnya seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya termasuk dalam tujuh golongan manusia yang akan diberikan perlindungan oleh Allah dalam naungannya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri (Intisari hadis riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah).
No comments:
Post a Comment