Oleh Azraai Ahmad
Di negara kita, pangkat Tun merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada rakyat yang banyak menyumbangkan tenaga, usaha, ideal dan kerja ke arah membangunkan negara. Dengan pangkat ini, penerimanya akan mendapat layanan yang sangat istimewa dan sentiasa menjadi VIP dalam setiap majlis atau keraian.
Tindak tanduk mereka diperhatikan dan dicontohi, ibu bapa sering menjadikan mereka sebagai calon yang mesti dicontohi anak-anak. Pemimpin pula sentiasa menyebut-nyebut jasa dan sumbangan para Tun kepada rakayat jelata agar dapat diteladani semua. Merekalah idola setiap masyarakat.
Bagaimana pula dengan anak-anak muda kita? Siapa pula idola dan ikutan mereka? Semestinya para artis dan penyanyi yang mendapat anugerah-anugerah tertinggi dalam industri hiburan. Anugerah Bintang Paling Popular mungkin di antara anugerah yang menjadi penerimanya dikagumi dan digilai oleh remaja-remaja kita. Kehidupannya dibiografikan, cara pakaiannya dijadikan fesyen ikutan, cara cakap dan perilakunya pun turut ditiru.
Adakah Islam telah ketandusan orang-orang yang LAYAK dicontohi dan dikagumi? Siapakah sebenarnya orang-orang yang dijadikan contoh teladan di waktu zaman kegemilangan Islam dahulu? Di zaman Rasulullah dan para sahabat?
10 Sahabat yang dijamin Syurga;
Pangkat tertinggi yang pernah diberikan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya adalah Jaminan Masuk Syurga. Suatu pangkat yang tidak dapat diragui lagi merupakan anugerah tertinggi yang pernah diberi kepada manusia biasa selain para rasul dan nabi.
Kita boleh membayangkan bagaimana jika kita hidup di kala itu, dan berpeluang berjumpa dengan ahli-ahli syurga yang masih hidup. Kita dapat berjalan-jalan di pasar dan melihat bagaimana mereka berjual beli, kita dapat melihat bagaimana bakal ahli syurga bermuamalah, beribadah, berkata-kata, makan, minum, berjihad dan kehidupan mereka keseluruhannya. Subhanallah, selain daripada Rasulullah SAW, adakah kita akan mengambil idola yang lain selain mereka ini? Tentu sekali tidak...
Siapakah mereka?
Daripada Abu Dzar RA, bahawa Rasulullah SAW masuk ke rumah Aisyah RA dan bersabda;
“Wahai Aisyah, inginkah engkau mendengar khabar gembira?”
Aisyah menjawab : “Tentu, ya Rasulullah.”
Lalu Nabi SAW bersabda, ”Ada sepuluh orang yang mendapat khabar gembira masuk syurga, iaitu : Ayahmu (Abu Bakar) masuk syurga dan kawannya adalah Ibrahim; Umar masuk syurga dan kawannya Nuh; Uthman masuk syurga dan kawannya adalah aku; Ali masuk syurga dan kawannya adalah Yahya bin Zakariya; Thalhah masuk surga dan kawannya adalah Daud; Az Zubair masuk syurga dan kawannya adalah Ismail; Sa’ad masuk syurga dan kawannya adalah Sulaiman; Said bin Zaid masuk syurga dan kawannya adalah Musa bin Imran; Abdul Rahman bin Auf masuk syurga dan kawannya adalah Isa bin Maryam; Abu Ubaidah bin Jarrah masuk syurga dan kawannya adalah Idris Alaihissalam.”
Ini merupakan kisah hidup ringkas kesepuluh manusia terhebat itu:-
1. Abu Bakar bin Abi Quhafah (As Siddiq), adalah seorang Quraisy dari kabilah yang sama dengan Rasulullah, hanya berbeza keluarga. Abu Bakar berasal dari keluarga Tamimi, manakala Rasulullah berasal dari keluarga Hasyimi.
Abu Bakar adalah seorang pedagang yang selalu menjaga kehormatan diri. Beliau seorang yang kaya, pengaruhnya besar serta memiliki akhlak yang mulia. Sebelum datangnya Islam, beliau adalah sahabat Rasulullah yang memiliki ciri-ciri yang mirip dengan Rasulullah.
Belum pernah ada orang yang menyaksikan Abu Bakar minum arak ataupun menyembah berhala. Dia tidak pernah berdusta. Begitu banyak kemiripan antara beliau dengan Rasulullah sehingga tidak hairan kemudian beliau menjadi khalifah pertama setelah Rasulullah wafat. Rasulullah selalu mengutamakan Abu Bakar berbanding para sahabatnya yang lain sehingga nampak menonjol di tengah tengah orang lain. Sabda baginda;
“Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan seluruh umat nescaya akan lebih berat keimanan Abu Bakar. ” (HR. Al Baihaqi)
Al Quran juga banyak mengisyaratkan sikap dan tindakannya seperti dalam firman Allah pada surah Al -Lail ayat 5-7 dan 17-21, Fussilat ayat 30 serta At Taubah ayat 40.
Dalam masa yang singkat sebagai Khalifah, Abu Bakar telah banyak memperbarui kehidupan kaum muslimin, memerangi nabi palsu, dan kaum muslimin yang tidak mahu membayar zakat. Pada masa pemerintahannya juga penulisan Al Quran dalam lembaran-lembaran dimulai.
2. Umar Ibnul Khattab, berasal dari kabilah yang sama dengan Rasulullah SAW dan malah berkongsi moyang yang sama iaitu Ka’ab bin Luai. Umar masuk Islam setelah bertemu dengan adiknya Fatimah dan suami adiknya Said bin Zaid pada tahun ke-6 kenabian. Sebelum Umar, telah ada 39 orang lelaki dan 26 wanita yang memeluk Islam. Pada kaumnya, Umar dikenal sebagai seorang yang pandai berdiskusi, berdialog, memecahkan permasalahan serta berpenampilan kasar.
Setelah Umar masuk Islam, dakwah kemudiannya dilakukan secara terang-terangan, begitupun di saat hijrah, Umar merupakan di antara segelintir sahabat yang berhijrah secara terang-terangan. Beliau sengaja berangkat pada siang hari dan melewati gerombolan Quraisy. Ketika melewati mereka, Umar berkata;
"Aku akan meninggalkan Mekah dan menuju Madinah. Siapa yang ingin menjadikan ibunya kehilangan puteranya atau ingin anaknya menjadi yatim, silakan menghadang aku di belakang lembah ini!”
Mendengar perkataan Umar tidak seorangpun yang berani mengekori apalagi menghalangnya.
Banyak pendapat Umar yang dibenarkan oleh Allah dengan menurunkan firman-Nya seperti saat peristiwa kematian Abdullah bin Ubay (At Taubah 9:84), ataupun saat penentuan perlakuan terhadap tawanan saat perang Badar, pendapat Umar dibenarkan Allah dengan turunnya ayat 67 surat Al Anfal.
Sebagai khalifah, Umar adalah seorang yang sangat memperhatikan kesejahteraan umatnya, hinggakan setiap malam ia berkeliling rumah rakyatnya khuatir jika masih ada yang belum terpenuhi keperluan mereka. Kekuasaan Islam pun semakin meluas keluar jazirah Arab di masa kekhalifahan beliau.
3. Uthman bin Affan. Sebuah Hadith yang menggambarkan peribadi Uthman, di mana Rasulullah SAW bersabda;
“Orang yang paling kasih sayang di antara umatku adalah Abu Bakar, dan paling teguh dalam menjaga ajaran Allah adalah Umar, dan yang paling bersifat pemalu adalah Uthman.” (HR Ahmad, Ibnu Majah, Al Hakim, At Tirmidzi)
Uthman adalah seorang yang sangat dermawan, dalam persiapan pasukan Muslimin pada perang Tabuk, Uthman yang menginfaqkan ratusan ekor unta. Setelah kaum muslimin hijrah, saat kesulitan air, Uthmanlah yang membeli perigi daripada seorang Yahudi untuk kepentingan kaum muslimin. Serta banyak lagi kemurahan dan kedermawan beliau yang tidak sempat dimasukkan dalam artikel ini.
Pada masa kepemimpinannya Uthman merintis penulisan Al Quran dalam bentuk mushaf, daripada lembaran-lembaran yang mulai ditulis pada masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar
4. Ali bin Abi Thalib, sepupu Rasulullah SAW yang juga merupakan pemuda pertama memeluk Islam. Beliau tinggal bersama-sama baginda dan menerima asuhan oleh manusia yang paling agung ini sejak kecil lagi.
Berkeperibadian mulia dan memiliki kecerdasan dan keilmuan yang tinggi. Di samping bersikap berani seperti yang ditunjukkannya ketika menggantikan tempat tidur Rasulullah ketika baginda berhijrah bersama Abu Bakar. Ali juga yang dinikahkan oleh Rasulullah dengan puteri kesayangannya Fatimah. Kedua-dua suami isteri ini hidup dengan begitu sederhana dan tidak mempergunakan jawatan Rasulullah sebagai ketua negara Madinah untuk hidup mewah.
Beliau dilantik menjadi Khalifah Islam ke-4 setelah kematian Uthman bin Affan.
Bagaimana kisah hidup manusia-manusia terhebat yang lainnya? Ikuti bahagian kedua di entri seterusnya...
No comments:
Post a Comment