Thursday, April 14, 2011

Kemelut Cinta - Siri 2

Oleh Atriza Umar

Aku rebahkan tubuh di atas tilam yang bercadarkan warna biru laut dan terdapat gambar daun menghiasi. Aku merasa amat penat sekali setelah seharian dengan aktiviti. Peluang yang ada ini, aku bawakan diri rehat agar lupakan segala yang telah dilalui. Lena.

“Irah, bangun nak.” Saran umi saat aku masih amai-amai lagi.

“Ya umi. Masuklah.” Ujarku perlahan tetapi boleh didengari.

Umi membuka tombol pintu dan terus masuk mendapatkan aku. Senyumannya membuatkan hatiku senang sekali. Dialah umi yang kusayang yang banyak menjadi teman setiap kala aku bersendirian mahu pun tidak. Inspirasiku.

“Mari makan Irah.” Pelawa umi padaku.

“Irah belum laparlah lagi umi.”

“Janganlah begitu Irah. Nanti sakit siapa yang susah. Umiii juga kan...” Rajuk umi menyentakkan aku. Bingkas aku bangun dari memeluk bantal gebuku itu.

“Alaa... umi, Irah tak lapar lagilah.”

“Apapun, Irah mesti makan. Umi dah buatkan makanan kegemaran Irah.” Seakan ayat perintah disuarakan umi. Tegas. Namun masih lembut ucapannya.

“Baiklah umi. Irah makan lepas ni. Irah nak mandi dulu ya.” Balasku manja dan senyuman kuhadiahkan buat umi yang banyak jasanya padaku.

“Errmmm... Irah, kenapa tak pakai kereta yang abi hadiahkan tu? Kan lagi senang Irah gunakan kereta tu, dan boleh cepat sahaja bergerak ke sini sana. Ini tidak naik bas juga. Kan sampai rumah dah dekat senja jadinya. Penatkan.” Ceramah umi berjela.

“Tak naklah umi. Nantilah umi, bila Irah dah punya zaujun baru Irah akan bawa kenderaan sendiri. Hehee..” Balasku menggoda. Lembut juga manja.

“Ha.. itulah yang umi tunggu-tunggu. Bila Irah nak bernikah? Atau nak umi carikan?” Balas umi seperti nada mengharap serta bergurau. ‘Alamak.. aku dah terlepas cakap dan terperangkap dengan kata-kataku sendiri. Alahai...’ getus hati.

“Oh umi. Belum lagilah. Insya`Allah nantilah. Irah ada sesuatu yang nak diselesaikan dulu. Bersabarlah umi.” Balasku ringkas sambil mencapai tuala untuk ke kamar mandi. Umi terdiam tanpa bicara. Sesungguhnya itulah yang aku harapkan.

“Umi, Irah mandi dulu ya.” Terus aku berlalu meninggalkan umi sendirian di kamar itu.

***

Tubuhku kembali segar setelah disirami air juga bersama sapuan wangian mandian. Aromanya semerbak walaupun telah usai mandi. Baju t-shirt lengan panjang berwarna hitam kupakai ke badan. Beserta kain batik halus buatan Seberang kusarungkan.

Siap mengemas diri juga solat Maghrib. Aku turun mendapatkan umi yang telah menanti di ruang makan. Umi menghadiahkan senyuman buat anaknya yang seorang ini. Tudung saji yang menutupi lauk-lauk, kucapai dan kubuka. Umi hanya memerhati. Aku pula sepi. Meneladani yang di hadapanku ini. Memukau seleraku. Terus aku makan dengan seleranya sambil ingatan tiba-tiba mengingati mereka yang tidak dapat makan nasi juga apa yang ada di hadapanku ini. Serta merta terbantut seleraku. Namun untuk tidak mengecewakan umi yang di hadapanku ini, aku berlagak selamba walau fikiran sudah jauh dari alam yang dinikmati.

“Ha Irah, macam mana? Sedap tak? Makan sampai tak ingat dunia. Mentang-mentanglah makanan kesukaan Irah.” Seloroh umi antara dengar dan tidak saja bagiku. Namun aku menggahkan juga senyum dan mengangguk. Walau hakikatnya hatiku amat sayu sekali.

“Sedap umi. Biasalah umi yang buat. Memanglah sedap. Lain kali umi buatlah lagi ya.” Aku meneruskan mengunyah nasi yang berlaukkan ikan masak asam kegemaranku bersama sayur bayam dan kentang masak sambal.

“Eh, kenapa tak tambah nasi tu? Mungkin umi masak tak sedap kali ni ya...” Rajuk umi membuah kembali. Aku wajar menyatakan apa yang kurasakan pada umi.

“Umi... bukan begitu. Masakan umi memang the best bagi Irah. Namun, Irah merasakan tidak mampu untuk makan banyak dan sedap selalu. Irah teringatkan mereka yang kekurangan. Mereka tak dapat merasakan semua ini. Makanya Irah tidak keterlaluan untuk terus menyudahkan di sini. Kan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengajarkan makan setelah lapar, berhenti sebelum kenyang.” Balasku dengan harapan agar umi mengerti dan menyelami perasaanku tadi. Moga rajuknya hilang melayang.

Umi tersenyum penuh erti. Tandanya memahami. Gembira sekali riak wajahnya.

“Irah sudah menjadi wanita muslimah yang dewasa. Penyenang hati umi dan keluarga. Umi senang sekali mendengan kata Irah tadi. Tak menyangka sama sekali.” Aku hanya senyum dan beberapa ketika aku membalas. Aku mencapai gelas berisi air suam, air kesukaanku. ‘Ahhh.. nikmatnya terasa tika air membasahi kerongkongku dan menolak makanan yang kumakan ke tempatnya. Ahh.. nikmatnya. Nikmat manakah yang harus aku dustai?’ Ingatanku pada maksud Surah Ar-Rahman ayat Al-Quran yang banyak ulangnya ini.

“Irah masih budak kecil lagi lah umi. Lihatlah ke mana pergi tak pernah orang mengatakan yang Irah dah habis sekolah. Hehee...” Umi tersenyum dengan jawapanku. Tangannya mengusap jemariku yang baru selesai dilap. Terasa sangat senang sekali aku diperlakukan sedemikian oleh umi. Tangannya yang kanan mengusap lembut rambut panjangku yang sengaja malam ini aku tidak menutupnya. Ingin menyenangkan hati umi. Asyik sekali rasanya dibelai umi yang menyayangi lagi memahami.

Setelah lama berbual bicara bersama umi. Tidak ketinggalan tentang abi. Sedikit sebanyak, perasaan rinduku pada abi terasa. Umi pastilah lebih-lebih lagi. Aku mengemaskan meja makan dan umi telah masuk ke kamarnya. Usai mengemas, aku terus ke tingkat atas ke kamarku. Sudah menjadi kebiasaan sebelum tidur, berwuduk, solat sunat dan melantunkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Setelah itu aku menelaah terjemahan ayatnya. Dan kesempatan malam yang sunyi itu, aku sering menghabiskan masa dengan beruzlah bersama Pencipta. Bermuhasabah sentiasa kulakukan. Selain itu tak kulupakan membaca beberapa buku juga kitab sebagai makanan rohani. Dan masa untukku berkarya juga ada. Hingga terkadang lenaku hanya seketika sahaja. Namun aku tidak lupa akan ayat Allah yang satu ini, ‘Dan malam dijadikan untuk hambanya beristirehat.’ Begitulah yang termaktub dalam Al-Quran. Maka tidak aku persiakan anugerahNya.

Aku memasang cita-cita khatam Quran sebanyak 10 kali dalam setahun. Maka akan aku laksanakan sebagaimana tahun yang sebelumnya. Dan impianku memahami semua isi Al-Quran suatu ketika nanti. Dan akulah sedang mengejar semua itu. ‘Bi iznillah’ balas diriku sendiri.

Lenaku disaluti bacaan istighfar, tiga Qul juga doa-doa pendek sebagai bekalan.

***

Pagi begitu cerah. Pepohon daunnya dibasahi embun. Dengan kicauan burung yang mengalun. Menjadikan pagi itu begitu sempurna. Saling ada kaitannya. Membugarkan hatiku juga diri merasakan nyaman sekali. Tak ketinggalan Kopi Radix peneman minum pagiku semanjak kuketahui produk ini produk Islami berserta bahan-bahan alami dari tumbuhan dan hasil bumi seperti akar kayu. Dan seringlah aku menyarankan produk Islam ini pada sahabat-sahabat.

Seharusnya kerja-kerja yang harus diselesaikan telah aku sempurnakan. Dimulai dengan mandi sebelum Subuh, solat sunat, solat Subuh juga yang pasti tak pernah aku tinggalkan sejak di bangku sekolah menengah lagi, bacaan Ma`tsurat, bacaan ayat Quran, bersenam ringkas di kamar dan yang terakhir menikmati pagi hari bersama segelas Kopi Radix dan sedikit kuih muih bersama umi. Dan setelah usai yang itu, kadang-kadang aku mengemaskan rumah juga sekitarnya membantu Makcik Qamariah. Itulah rutinku tika di rumah.

“Athirah tak pergi mana-mana ke hari ini?” soal umi pada pagi itu, saat aku mentelaah di sofa lembut warna hijau kesukaan abi. Aku segera menoleh. Menutup kitab yang di tangan iaitu Petunjuk Berdakwah Dengan Berkesan, karangan Dr `Aidh Abdullah Al-Qarni.

“Insya`Allah tak ke mana-mana umi. Kenapa mi?”

“Oh ye ke? Umi nak ajak pergi jalan-jalan. Haa.. umi nak cari tudung di Butik Muslimat tu. Apa Irah nak juga? Marilah ikut temankan umi. Tentu Irah rambang mata nanti. Hehee..” Kata umi sakan, sempat mempromosi dan memancing anaknya.

“Ermmm.. Umi, Irah teringin nak hidup zuhud. Tidak bermegah-megahan. Lagipun kan umi, tudung Irah masih boleh dipakai lagi. Buat apa banyak-banyak kat almari. Tapi pakainya tetap satu saja kan.” Balasku perlahan dan mengharapkan pengertian umi.

Umi tersenyum. Seperti senyumannya malam tadi. Aku amat senang sekali menyaksikan senyuman itu.

“Alhamdulillahi rabbil `alamiin. Anakku benar-benar telah dewasa. Sayang, bukan beerti zuhud itu mengetepikan keindahan. Bukankah Allah lebih suka pada keindahan. Dan umi membeli itu bukan semata-mata keinginan. Tetapi lebih berdasarkan keperluan umi sayang. Dan telah banyak tudung yang umi agihkan kepada sahabat juga yang memerlukan wahai anakku.”

“Okey umi, Irah ikut umi.” Balasku tegas dan ceria. Kerana aku tidak mengetahui akan sebenar hakikat tujuan umi tadi.

“Okey. Terima kasih Athirah. Insya`Allah jam sebelas kita pergi ya.” Senyumannya terukir sentiasa. Umi terus berlalu ke dapur untuk membantu Makcik Qamariah, pembantu di rumahku. Namun dia sudah sebahagian keluargaku.

Aku menuju ke mini library di tingkat atas. Mengambil konsentrasi yang aman dan selesa membaca buku. Buku tadi yang masih di tangan kubawa bersama. Ingin terus aku menghabiskan bacaan ini. Khusyuk sekali aku alami di sini. Jam di atas meja belajar di kamar buku itu menunjukkan jam 1035 minit pagi. Tersentak diri jadinya. Sudah lama aku mentelaah. Teringat ajakan umi yang ingin ke Butik Muslimah, bingkas kubangun dan terus beredar dari perpustakaan kecil itu.

Bersiap untuk menemani umi. Dan beberapa ketika kedengaran suara umi.

“Irah, dah siap belum?” Teriak umi di luar pintu kamarku.

“Baiklah umi. Sekejap sahaja lagi. Ni nak membetulkan tudung.” Sahutku

“Okeylah, umi tunggu di bawah ya.”

“Ya umi.” Ringkas juga balasku.

Beberapa minit kemudian, aku keluar dari kamar dan terus menuruni anak-anak tangga menuju ke bawah. Bersama tudung labuh serta sepasang baju kurung berwarna biru menghiasi diri. Seperti kebiasaanku yang senantiasa menutup aurat ke mana pergi. Segalanya itu adalah pelindung dari mata-mata jahil yang melihatku. ‘Na`uudzubillahi mindzalik’ detak hatiku.

“Okey umi. Dah siap dah.” Aku menyapa umi yang sedang membaca akhbar pilihan ramai Halaqah yang di halaman rumah berhadapan dengan tempat letak kereta.

Kami menaiki kereta Honda Civic metalic milik abi. Pemandu sudah sedia di dalam perut kereta. Umi agak kurang mahir memandu kerana abi sering melarang umi memandu. Melainkan benar-benar ada keperluan tertentu. Kalau tidak kami menggunakan pemandu yang telah sedia ada. Arahan abi tidak sama sekali dingkari walaupun abi selalu tiada berikutan urusan kerjanya juga jamaah yang diikutinya.

Abi adalah seorang lelaki yag aku kagumi. Jihad fi sabilillah tujuan hidupnya. Istiqamah pegangannya. Qana`ah sifatnya. Itulah dia abiku. Rindu pada abi semakin membuak pula rasanya.

Aku suka memandang gelagat manusia yang terdapat di sekitar jalan yang dilalui. Tak kira menaiki apa, aku memang suka memandang pemandangan. Di jalan yang dilewati pada siang itu agak lengang. Banyak juga orang yang berjalan kaki. Maklum sahajalah dengan keadaan harga minyak juga petrol yang naiknya amat mendadak sekali. Maka dikesempatan itu mereka berjalan kaki di sekitar tempat yang dekat. Mungkin. ‘Di setiap kesulitan pasti ada kesenangan. Dan di setiap kesulitan pasti ada kesenangan’ begitulah janji Allah subhanahu wata`ala dalam Al-Quran, Surah Insyirah. Itulah peganganku. Hati kecilku terus berbicara.

Pemandu abiku ini agak berusia orangnya. Peramah diajak bicara. Juga santun lagaknya. Pakcik Zainal, sering bercerita kisah Nabi padaku, saat kecil. Banyak ilmu agamanya. Rajin juga membaca. Keluarganya juga amat rapat dengan keluargaku. Antara kami dengannya atau dengan sesiapa pun tiada penghalang untuk bersilaturrahim walaupun dia adalah pekerja. Begitulah yang telah abi juga umiku ajarkan padaku dan anak-anaknya yang lain. Pemanduannya agak sederhana laju. Keadaan juga tidak banyak kelihatan.

Aku terkesima seketika dari bicara sendiri oleh hati ini kerana terlihat susuk tubuh yang kukenal berjalan kaki. Dan pasti dia tidak mengetahui yang aku memandangnya. Cermin kereta abiku ini agak gelap. Dari dalam dapat melihat yang di luar. Tetapi tidak sebaliknya.

‘Ah.. betul ke tu dia?’ soalku sendiri. Aku jadi kaget. Bingung juga. ‘Oh betullah dia! Ya tak salah lagi, dialah Akh Ridzuan!’

Aku amat dekat dengannya. Saat dia ingin menyeberang jalan, aku hanya memerhati bersama perasaan yang mengalir sendiri. Tersenyum. Berbunganya hati tiada taranya. Ikhwan itu yang membuatkan aku menjadi muslimah yang disegani. Ikhwan itu yang kerap menghentam saat kealpaanku. Dan ikhwan itu jugalah yang membuatkan aku tidak keruan. Sebagaimana hadir fitrah yang amat dinikmati seluruh makhlukNya. Sebenarnya, aku tidak berani untuk menatap matanya, apalagi memandang tubuhnya. Dan sekarang jantungku berdengup kencang kerana hadir suatu perasaan aneh. ‘Entah kenapalah...’ luahku setiap kali bertemu mahupun berhadapan dengannya. Sudah lama aku tidak bersua dengannya. Kerana masing-masing amat sibuk dengan tugas.

Entah kenapa aku sangat gembira bertemunya walau hanya aku yang merasa. Aku teringat saat pergi berdakwah di perkampungan orang asli di sebuah Negeri Pantai Barat. Dia amat serasi dengan kehidupan kampung. Walau agak kumuh dan kurang menyenangkan. Aku melihatnya seperti seorang mujahid yang melangkah tegas bersama tentera Allah. Seorang pejuang yang amat mendambakan syurga balasan. Seorang yang tiada hentinya berdakwah dalam arus yang tidak kira apa pun. Seorang lelaki yang tidak merasakan kekurangan dalam segala hal selain pahala. ‘Ya Allah, teguhkan dan tetapkanlah hatinya di jalanMu. Ya Allah, aku mengkagumi dirinya. Dan pastinya aku tidak layak mendampinginya. Sungguh dia seorang mujahid yang tegar dalam perjuangan agamaMu ya Allah.’ Luah hati. Dia amat tegas dalam soal agama. Walau banyak yang amat membantah akan caranya. Namun dia tidak gentar. ‘Subhanallah wal hamdulillah wala Ilaha Illallah wallahu akhbar.’ Ucapku lirih dalam hati.

“Irah, kenapa ni? Dari tadi senyum-senyum sendiri umi tengok.” Umi menyentakkan lamunanku.

“Tak ada apa-apa umi. Teringat dengan situasi sekarang ni. Dah ramai yang jalan kaki dari guna kenderaan. Maklumlah minyak harganya dah melambung naik.” Jawabku dengan selamba dan sama sekali ingin membuat perhatian umi berdalih.

“Ah.. takkan tak ada apa-apa? Pasti ada sesuatu yang mnggembirakan hati Irah kan? Kalau tak takkan sampai tersenyum sendirian.” Selidik umi tidak dapat kulawan lagi.

“Tak ada apa-apa umi.” Balasku ringkas bertujuan umi tak menyoalkan lagi.

“Ermmm... ye ke? Umi tak merasakan begitu. Tentu ada ikhwan yang sudah bertandang di hati Irah ya.” Tebak umi kelihatan pasti. ‘Aduhhh.. nak putar bicara apa lagi dengan umi ni. Menyelami betul hatiku ini’ getusku lagi.

“Mana ada umi.” Jawabku tegas dan agak malu sedikit.

“Hehe… jangan malu sayang. Kalau sudah berkenan, khabarkan pada umi. Biar kita mulakan sebagaimana Khadijah memulakan melamar Nabi melalui perantaraan. Kalau memang sudah ingin bernikah, katakan saja pada umi juga abi. Insya`Allah tidak akan ada ikhwan yang akan menolak dinikahkan dengan anak kesayang umi yang seorang ini. Yang cantik dan berpengetahuan!” Umi kelihatan serius. Aku tidak tahu apa yang dirasa diri.

“Mana ada yang akan menolak dinikahi seorang akhowat yang cantik begini, aktif berorganisasi, apalagi hobinya tilawah, berkarya juga membaca tafsir!” Tambah umi lagi.

“Umiii niii...” Jawabku dengan manja. Ummi hanya tersenyum, sambil memeluk kepala juga mengusap mesra jemari kananku.

‘Aku tidak sepadan sekali dengan ikhwan yang aku impikan itu. Hanya untuk melihat
pun aku tidak sanggup. Apalagi memilikinya. Sungguh sangat mustahil!’ Gumamku dalam hati.


Bersambung...

No comments:

Post a Comment