Tuesday, January 4, 2011

"Ori"kan Ibadah Kita

Oleh Wan Am

Saya hentikan sejenak penulisan saya mengenai pemuda dan hal-hal kepemudaan. Untuk kali ini, izinkan saya halakan perbincangan kepada suatu topik yang mungkin agak berat bagi sesetengah orang, iaitu mengenai “ibadah”. Pun begitu saya akan berusaha untuk mencoretnya secara ringan, kerana penulisan ini sememangnya saya tujukan khas buat teman-teman segenerasi yang saya faham benar fiilnya.

Ibadah. Satu patah perkataan yang semestinya sudah tidak asing lagi bagi ramai orang, terutamanya orang Islam. Jika ditanya “Apa itu ibadah?” kepada kanak-kanak berumur sepuluh tahun yang sudah mendapat asuhan cara Islam, pasti mereka boleh menjawabnya, bersesuaian dengan tahap pemikiran dan pendidikan mereka. Tapi awas, jika ditanya kepada mereka yang umurnya dalam lingkungan dasawarsa ketiga, keempat atau kelima, mungkin ramai daripada mereka yang akan memberikan jawapan yang tidak jauh berbeda daripada jawapan kanak-kanak tadi.

Kerana apa saya katakan begitu? Kerana realitinya, masih ramai dalam masyarakat kita, termasuk dalam kalangan generasi muda yang keliru, malah tidak memahami pengertian dan hakikat ibadah yang sebenarnya. Mereka beranggapan, ibadah adalah bagi Allah. Juga ada yang berfikiran, ibadah itu hanyalah solat, zakat, puasa dan haji. Lebih teruk lagi, ibadah itu tiada kaitan langsung dengan kehidupan manusia seharian, terutamanya dalam bidang politik dan pemerintahan. Jangan pula anda berasa aneh jika ada orang Islam yang berkefahaman begitu.

Berhubung hal ini, saya tertarik dengan penjelasan Dato’ Dr. Haron Din dalam buku beliau “Islam - Ibadah Pembina Tamadun Manusia”. Beliau mengatakan bahawa ibadah sebenarnya adalah untuk manusia yang beribadah itu sendiri. Allah tidak memerlukan ibadah kita tetapi kita beribadah demi kepentingan dan kebahagiaan diri kita di dunia dan akhirat. Ibadah yang kita lakukan tidak pernah menambah ataupun mengurangkan kehebatan Allah. Ia sepenuhnya untuk diri kita sendiri.

Mengenai ruang lingkup ibadah pula, beliau seterusnya menambah, oleh kerana manusia dicipta untuk beribadah kepada Allah, maka sudah tentu dalam Islam, seluruh kegiatan manusia adalah ibadah kepada Allah. Asalkan ia diniatkan untuk Allah, maka segala-galanya menjadi ibadah.

Nah, kita ada tugas besar dalam menjernihkan cara fikir masyarakat supaya benar-benar memahami dan mengerti konsep ibadah yang sebenarnya. Juga, menjelaskan kepada mereka bahawa Islam telah meletakkan ibadah di tempat yang paling istimewa, yang mana dalam al-Quran disebutkan bahawa seluruh jin dan manusia dijadikan hanyalah semata-mata untuk tujuan beribadah kepada Allah:

“…dan tidaklah aku menjadikan jin dan manusia kecuali supaya mereka memperhambakan diri kepada-Ku.” (al-Dzariyat : 56)

Bagi kaum lelaki, inilah ayat yang lazim kedengaran dalam khutbah yang disampaikan saban Jumaat. Dan alangkah baiknya jika setiap kali khatib membacakan ayat tersebut kita dapat menghayatinya, lantas bermuhasabah diri sejenak dan menginsafi diri kita.

Oleh hal yang demikian, ayuhlah kita semua orang-orang muda untuk berusaha dalam memastikan ibadah yang kita lakukan benar-benar "original". Hal ini dapat kita jayakan, dengan memetik panduan yang pernah diabadikan oleh Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya “Apa Ertinya Saya Menganut Islam”, iaitu dengan melaksanakan perkara-perkara berikut:

1. Menjadikan seluruh ibadah kita hidup dan berhubung terus dengan Allah sebagai tempat kita mengabdikan diri (bertepatan dengan konsep “ihsan”).

2. Memastikan ibadah kita adalah ibadah yang khusyuk.

3. Menghadirkan diri dan hati (di hadapan Allah) dan membebaskan diri daripada urusan dan kepentingan dunia sewaktu beribadah.

4. Berasa tamak yang tidak berkecukupan dan rakus yang tidak merasa kenyang dalam melakukan ibadah.

5. Mengambil berat dalam melakukan qiammullail dan mengasuh diri melakukan qiammullail sehingga ibadah ini menjadi kebiasaan.

6. Menentukan masa-masa tertentu untuk membaca dan mengamati al-Quran, terutamanya pada waktu fajar.

7. Menjadikan doa sebagai mikraj kepada Allah dalam semua urusan.

Monday, January 3, 2011

Pemuda Dalam Denai Sejarah

Oleh Wan Am

Seperti yang saya nukilkan dalam artikel sebelum ini, generasi muda adalah suatu golongan yang mempunyai kekuatan yang pelbagai, semangatnya sentiasa membara, dan idealismenya sarat dengan cita-cita. Justeru, mereka harus menyedari bahawa pada tahap usia yang sedang dialami, ia adalah detik terbaik untuk mereka menyediakan diri lantas mendekatkan diri kepada Allah dengan beribadah kepada-Nya.

Oleh sebab itulah mana-mana masyarakat pun, hatta seseorang pemimpin yang berpengaruh turut memandang tinggi serta bergantung harapan yang menggunung terhadap generasi muda. Saya kira dalam kalangan anda pasti ada yang pernah mendengar ungkapan keramat berikut oleh Presiden pertama Indonesia, Sukarno, "Berikanku sepuluh orang pemuda, maka akanku goncang dunia..."

Persoalannya, wujudkah sepuluh orang pemuda seperti yang diidamkan oleh Sukarno pada era ini? Bagaimana pula ciri-ciri pemuda yang dikehendaki oleh Sukarno tersebut? Saya kira pastinya tidak cukup dengan kriteria umum pemuda yang saya sebutkan sebelum ini, kerana ia berkait dengan keinginan untuk menggoncang dunia. Di sana pasti ada nilai-nilai tambah yang diperlukan.

Namun, kita percaya pemuda-pemuda sedemikian pernah wujud. Dalam hal ini saya cenderung untuk menyingkap di sebalik tabir sirah, yang mana dengan bersumberkan al-Quran, kita dapati bahawa pendukung, pemikul dan pelopor risalah Ilahi adalah terdiri daripada golongan pemuda.

Berhubung hal ini, saya ingin memetik beberapa ayat al-Quran yang bersangkutan, yang saya mulakan dengan kisah pemuda Ashabul Kahfi (penghuni gua):

"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan buat mereka dengan hidayah petunjuk." (Al-Kahfi : 13)

Al-Kitab turut menceritakan tentang kisah seorang pemuda bernama Ibrahim:

"(Setengah dari) mereka berkata: Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya." (Al-Anbiya’ : 60)

Dalam ayat yang lain, kisah seorang pemuda bernama Ismail yang sanggup berkorban turut dirakamkan Allah dalam kitab yang mulia:

"Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayahku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, dengan izin Allah, ayah akan mendapati aku daripada orang-orang yang sabar." (Al-Saaffaat : 102)

Satu lagi kisah yang turut menarik perhatian adalah keteguhan iman seorang pemuda bernama Yusuf dalam menongkah godaan yang menduga:

"...wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya..." (Yusuf : 33)

Saya berharap anda semua dapat mencari rujukan tambahan yang bersesuaian mengenai ayat-ayat yang telah saya kongsikan tadi. Saya akui saya bukanlah orang yang terbaik untuk menghuraikannya dengan panjang lebar.

Namun, saya kira anda pasti bersetuju bahawa daripada perkongsian ayat-ayat tersebutlah kita telah memperoleh contoh para pemuda hebat yang pernah lahir dalam sejarah manusia. Pemuda yang tidak henti-henti bermujahadah dan bermuraqabah terhadap Tuhannya. Dan mereka jualah yang akhirnya membawa perubahan kepada kaum mereka. Maka, tidak hairanlah mereka adalah golongan yang mendapat bantuan Allah, lantaran kegigihan dan keikhlasan mereka untuk membuahkan syiar-Nya dalam kehidupan.

Itu belum saya kisahkan lagi mengenai generasi zaman Nabi Muhammad sallahu alaihi wasallam, yang mana kita dapati bahawa semua orang mukmin pada awal Islam adalah pemuda. Rasulullah sendiri berusia 40 tahun ketika diutus menjadi utusan-Nya. Abu Bakar pula tiga tahun lebih muda daripada baginda. Sementara Umar lebih muda daripada mereka berdua. Begitu juga Usman, serta Ali yang masih dalam usia kanak-kanak sewaktu melafazkan syahadah. Demikian juga Abdullah bin Mas'ud, Abdul Rahman bin Auf, al-Arqam bin Abi Arqam, Said bin Zaid, Bilal bin Rabah, Ammar bin Yasir dan lain-lain. Mereka semua adalah dalam kategori pemuda.

Justeru, optimiskah anda, bahawa pemuda sedemikian akan lahir lagi dalam kalangan generasi muda hari ini? Mungkin telah ada, dan sedang digilap kemilaunya.

Pilihan kitalah yang menentukan...

Rebut Lima Sebelum Lima

Oleh Wan Am

Lanjutan daripada artikel yang lalu, saya ingin berbicara serba ringkas tentang perkara-perkara mengenai "kepemudaan". Kerana apa? Kerana saya masih muda? Hm.. Tahun 2011 ini saya akan melangkah ke alam 30-an. Muda lagikah?

Antara takrifan "belia" bagi negara Malaysia ialah berumur antara 18 hingga 40 tahun. Jika diambil dari sudut itu, masih dalam kategori orang mudalah nampaknya diri ini.

Atau, mungkin kerana jiwa saya sudah begitu dekat dengan orang-orang muda. Maklumlah, sebahagian usia awal dewasa saya nafkahkan untuk beraktivisme bersama teman-teman segenerasi. Bermula di alam kampus, hinggalah selama lima tahun bersama medan remaja, mahasiswa dan belia tika bertugas sepenuh masa dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Atau, mungkin juga kerana dunia kerjaya saya kini yang sudah tidak lagi secara langsung bersama kumpulan anak-anak muda, yang bisa membuatkan hati ini begitu kepingin untuk mendetak papan kekunci, lantas menukilkan sesuatu yang nilainya tidaklah setara permata, khusus buat generasi yang saya kasihi ini.

Baiklah, sebagai permulaan, saya ingin berkongsi sedikit penulisan oleh Dr. Majdi al-Hilali dalam bukunya "Tugas dan Tanggungjawab Pemuda Islam" mengenai ciri-ciri seorang pemuda. Menurut beliau, antara ciri-ciri yang dimiliki oleh pemuda ialah:

1. dikelilingi pelbagai masalah, perasaan dan rasa bimbang;
2. dipenuhi cita-cita tinggi dan harapan menggunung;
3. memiliki semangat membara untuk melakukan sesuatu;
4. mampu bekerja dengan gigih dan sanggup berkorban; dan
5. mudah menerima, mengikut, terpengaruh, meniru dan bertindak balas.

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya "Kewajipan Pemuda Islam Hari Ini" pula menjelaskan antara ciri pemuda ialah:

1. hidupnya sentiasa segar;
2. jiwa dan fikirannya sentiasa membara;
3. penuh dengan idealisme;
4. sarat dengan cita-cita; dan
5. memiliki kekuatan yang tinggi untuk memikul apa sahaja tanggungjawab.

Daripada pandangan kedua-dua tokoh tersebut kita telah mengetahui segala ciri pemuda dari setiap segi; spiritualnya, fizikalnya, emosinya dan intelektualnya. Dan ciri-ciri inilah juga yang sedikit sebanyak membezakan antara orang muda dengan orang tua. Maka, orang muda yang tiada cita-cita, kurang beridealisme, tiada jiwa dan perasaan yang membara dan tiada kekuatan yang tinggi untuk menggalas tanggungjawab dan melakukan pengorbanan, saya kira tidaklah layak mereka ini berada dalam barisan orang muda.

Namun, hal yang ingin saya tekankan dalam bab ini ialah dengan ciri-ciri yang ada pada pemuda tersebut, sewajarnya ia memudahkan kita untuk melaksanakan misi hidup kita, yakni beribadah kepada Allah. Dengan kekuatan jasmani dan rohani sedemikian, tanggungjawab kita untuk mendekatkan diri kepada-Nya sememangnya mampu untuk kita tunaikan. Paling tidak, kita dituntut untuk melaksanakan perkara yang fardu dan menjauhi perkara yang dilarang.

Ya, pernyataan berikut biasa kita dengar, "Alah, aku muda lagi. Dah tua esok aku beribadatlah!" Jawapannya, biasa juga pada pendengaran kita, "Itu kalau engkau dapat hidup sampai usia tua. Kalau mati muda, bagaimana?"

Mengenai hal ini, teringat pula saya kepada suatu hadis daripada Ibnu 'Abbas, Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam telah berkata, "Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara; mudamu sebelum tuamu, sihatmu sebelum sakitmu, kayamu sebelum kamu papa, hidupmu sebelum matimu, masa lapangmu sebelum kamu sibuk." (Hadis riwayat al-Hakim)

Sememangnya hadis ini sangat relevan untuk orang muda jadikan renungan. Juga sebagai suatu yang memotivasikan.

Malah, Dr. Majdi al-Hilali dalam buku yang sama telah mengatakan, "Sekiranya pemuda Islam dapat menggunakan peluang dan melaksanakan tanggungjawab bagi mengisi masa mudanya dengan mendekati Allah, menjaga hubungan dengan-Nya, berusaha mendidik diri dan memelihara hatinya, berusaha memahami ajaran Islam yang sebenar tanpa melampau atau cuai, tentulah mudah baginya untuk terus berjalan di jalan Allah. Tetapi bagi mereka yang melepaskan peluang tersebut tanpa berusaha merebut atau mengambilnya; tidak cuba melaksanakan ajaran Islam; maka tentulah sukar baginya untuk mencapai matlamat yang dicita-cita. Kerana kebanyakan pemuda masih tidak banyak tanggungjawab."

Saturday, January 1, 2011

Sinar Baru Pada Tahun Baharu?

Oleh Wan Am



Fajar tahun baharu sudah pun menyinsing. Seperti biasa kehangatan setiap kali rakyat menyambut ketibaannya memang terasa. Para pemimpin juga tidak mahu berkecuali untuk turut serta meraikannya.

Saya juga berpeluang berada di suatu lokasi yang dibanjiri puluhan ribu, jika tidak jutaan manusia yang sejak petang 31 Disember, menunggu detik jam 12.00 tengah malam. Jika tidak kerana tugasan, tidak mungkin saya hendak berada di situ.

Anak-anak muda, warga belia dan remaja adalah antara limpahan kelompok manusia yang menghadiri upacara sambutan tahun baru masihi ini. Ada yang datang bersendirian, ada yang datang berkumpulan, dan tidak ketinggalan, datang berpacaran. Pelbagai ragam, pelbagai fesyen, pelbagai identiti. Yang mengalami krisis identiti pun tidak kurang jumlahnya.

Tiba sahaja detik waktu yang dinanti, bergemalah pekikan dan sorakan yang beraneka. Semuanya ceria dengan kehadiran tahun baharu. Pancaran bunga api yang berdas-das dilepaskan mengasyikkan dan menakjubkan lautan manusia yang menyaksikannya. Tidak kurang lima minit juga ia bergemerlapan membelah ruang angkasa.

Sejenak minda ini bertanya, berapa jumlah perbelanjaan untuk pertunjukan bunga api ini? Mencecah angka Ringgit Malaysia Seratus Ribukah? Atau mungkin lebih lagi? Jika sebanyak itu, alangkah moleknya jika sejumlah wang ini disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Baru sahaja berlalu bulan Ramadan yang lepas di mana saya dapat menyaksikan segelintir rakyat di negeri ini yang berbuka puasa hanya dengan segelas air kosong sahaja.

Saya beredar dari tempat itu setelah sejam sambutan ambang tahun baru berakhir. Walaupun ramai yang telah berbondong-bondong pulang, namun ribuan manusia masih memenuhi lokasi sambutan. Entah apa agenda mereka selepas itu. Melepak-lepak sajakah, atau ada agenda lebih penting dan menarik yang mereka impikan?

Perjalanan untuk pulang ke rumah memakan masa satu jam pula. Nampaknya pukul dua lebihlah baru sampai di rumah. Tapi itu tidaklah saya kisahkan sangat. Dalam seminggu, ada lah beberapa hari saya sampai di rumah pada waktu sedemikian. Seperti kata orang tua, "Alah bisa tegal biasa". Sudah menjadi lumrah bagi kerjaya yang saya sandang kini.

Namun yang berlegar dalam kepala ini sepanjang pemanduan ialah suasana yang saya alami sebentar tadi. Lebih menginsafkan bila melihat telatah dan gelagat mereka yang segenerasi dengan saya. Tidaklah mampu untuk saya coretkan di sini satu-persatu apa yang ingin saya maksudkan. Kerana suasana sedemikian rupa bukanlah menjadi kebiasaan bagi saya. Tahun-tahun yang sudah, saya hanya mengikuti acara sambutan tahun baru di masjid KLCC bersama teman-teman.

Sempat jua minda ini terfikir, ada sinar barukah buat generasi ini dalam tahun baharu ini? Akan lebih baikkah generasi ini pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya? Atau mungkin senarionya sama sahaja?

Atau lebih malang, gejala dan fenomena yang buruk-buruk yang selama ini menghantui generasi muda negara ini akan menjadi bertambah merunsingkan? Nau'zubillah..kita mintalah keadaan tersebut dijauhkan. Sebagai insan yang mempunyai sedikit kefahaman dan keazaman untuk meninggikan kalimah-Nya, kata-kata berikut harus menjadi pedoman kita bersama, "Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam."

Sebagai hamba Allah, usahlah dilupa akan tugas hakiki kita di atas dunia ini; beribadah kepada-Nya. Tambah pula Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam telah memotivasikan kita generasi muda, yang mana antara lain baginda telah berkata bahawa pemuda yang sentiasa beribadah kepada Alah adalah antara tujuh golongan manusia yang akan diberikan perlindungan oleh Allah dalam naungannya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah).