Saturday, June 19, 2021

Islam Untuk Semua Manusia!

Oleh Wan Muhammad Wan Ibrahim


Lebih 1,400 tahun dahulu, terdapat seorang pemuda di bumi Mekah yang mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang bermain di fikirannya. Antara soalan tersebut adalah “Siapa yang mencipta manusia?” dan “Apa akan berlaku kepada manusia sesudah mati?” Selama tiga tahun pemuda ini berulang-alik dari rumahnya ke Gua Hira’, bersendirian memikirkan persoalan-persoalan tersebut.

Akhirnya terbuka pintu langit dan turunlah wahyu Tuhan yang pertama. Dengan perantaraan Malaikat Jibril, pemuda ini dalam keadaan gementar diajar untuk menyebut “Iqra’!”, lantas diperkenalkan kepada Tuhannya yang sebenar.

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq 96 : 1-5) 

Pada saat itu jugalah pemuda bernama Muhammad ini diangkat menjadi nabi dan rasul yang terakhir. Tugas utama baginda Rasulullah s.a.w. adalah sebagaimana tugas para nabi dan rasul sebelumnya, iaitu mengajak manusia kembali mengesakan Allah. Selama 23 tahun (bermula umur 40 tahun sehingga wafat pada umur 63 tahun), baginda berusaha menyampaikan ajaran Islam kepada orang di sekeliling baginda. 

Sesungguhnya Islam adalah agama yang dianuti oleh nabi dan rasul sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. Bermula dengan Nabi Adam a.s. sebagai manusia pertama yang diciptakan Tuhan dan kemudiannya dituruti oleh para nabi dan rasul yang lain yang disebutkan di dalam Al-Quran, mereka semua adalah beragama Islam. Teras ajaran Islam yang dibawa oleh mereka juga adalah sama, iaitu menyembah Allah Tuhan yang Esa dan menjauhi syirik.

Nabi Nuh a.s. adalah seorang Muslim. Firman Allah (yang bermaksud):

“Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran agama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah daripada Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan supaya menjadi daripada orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah).” (Yunus 10 : 72) 

Nabi Ibrahim a.s. juga adalah seorang Muslim. Firman Allah (yang bermaksud):

“Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang Muslim yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang musyrik.” (Ali Imran 3 : 67)

Begitu juga dengan Nabi Musa a.s. yang merupakan seorang Muslim. Firman Allah (yang bermaksud):

“Dan Musa berkata, “Wahai kaumku! Apabila kamu beriman kepada Allah, maka bertawakallah kepada-Nya, jika kamu benar-benar Muslim (berserah diri).” (Yunus 10 : 84)

Hakikatnya Nabi Isa a.s. juga adalah seorang Muslim. Firman Allah (yang bermaksud):

“Maka tatkala Isa mengetahui keingkaran mereka (Bani lsrail) berkatalah dia: ‘Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku untuk (menegakkan agama) Allah?’ Para hawariyyin (sahabat-sahabat setia) menjawab: "Kamilah penolong-penolong (agama) Allah, kami beriman kepada Allah; dan saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berserah diri (Muslim).” (Ali Imran 3 : 52)

Istimewanya syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. adalah ia ditujukan kepada semua umat manusia, sehingga hari zaman. Ia adalah syariat yang diturunkan Tuhan untuk semua etnik dan kaum yang wujud di muka bumi ini. Ia berbeza dengan syariat para nabi dan rasul sebelum baginda yang hanya sesuai untuk kaum tertentu, tempat tertentu dan tempoh masa tertentu sahaja. 

Sebab itu sepanjang hayat Rasulullah s.a.w. sebagai rasul, baginda berusaha berdakwah kepada semua manusia, tidak kira orang itu Arab atau pun bukan Arab (‘Ajam). Hasil dakwah baginda, ramai yang menjadi Muslim, termasuklah sahabat-sahabat baginda dalam kalangan bukan Arab, antara mereka yang terkenal ialah Bilal bin Rabbah (orang Afrika) dan Salman al-Farisi (orang Parsi). Baginda juga mengutuskan surat kepada raja-raja di luar Madinah seperti Rom, Parsi, Mesir, Bahrain, Syria, Jordan, Yaman dan lain-lain, mengajak mereka mentauhidkan Allah. 

Baginda Rasulullah s.a.w. benar-benar menghayati firman Allah (yang bermaksud):

“Dan tidak Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan KEPADA MANUSIA SELURUHNYA sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan...” (Saba’ 34 : 28)

“Dan tidak Kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat KEPADA SEKALIAN ALAM.” (Al-Anbiya’ 21 : 107)

Tugas dakwah Rasulullah s.a.w. ini diteruskan oleh sahabat-sahabat baginda yang setia. Misalnya Abu Bakar As-Siddiq yang merupakan sahabat karib baginda adalah lelaki dewasa pertama yang menerima seruan Rasulullah s.a.w. Walaupun baru memeluk Islam, Abu Bakar bersungguh-sungguh mengajak sahabat-sahabatnya yang lain untuk turut sama kembali kepada fitrah. Melalui sejarah, kita mengetahui daripada 10 orang sahabat Rasulullah s.a.w. yang dijamin syurga, enam orang daripada mereka bersyahadah melalui usaha dakwah Abu Bakar. Mereka ialah Uthman bin Affan, Saad bin Abi Waqqas, Talhah bin Ubaidillah, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin Awwam dan Abu Ubaidah bin Jarrah.  

Ada juga dalam kalangan para sahabat yang bersusah-payah merantau jauh dari tanah air mereka, semata-mata untuk menyebarkan agama Islam. Perlu diingat, pada zaman itu tiada kapal terbang, maka sudah pasti mereka menempuh perjalanan yang memakan masa berbulan-bulan lamanya untuk sampai ke destinasi yang dituju. Akhirnya Islam turut sampai ke negara seperti China yang beribu-ribu kilometer jauhnya dari tanah Arab. 

Di Niujie Street di Beijing, saya berpeluang menyaksikan kehidupan masyarakat minoriti Muslim warga China yang aman damai. Mereka menjadikan Masjid Niujie sebagai pangkalan aktiviti ibadah seharian dan tempat perkumpulan umat Islam. Usia Masjid Niujie yang melebihi seribu tahun turut membuktikan begitu awalnya Islam sampai ke China. Besar sungguh jasa para sahabat dan pendakwah yang telah merintis usaha penyebaran agama Islam di negara tersebut yang hingga kini mempunyai sekitar 23 juta umat Islam.

Penulis bersama Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin (dua dari kanan) dan rakan-rakan pelajar Malaysia di perkarangan Masjid Niujie di Beijing, China (Foto Jun 2016)

Dengan usaha gigih para pendakwah jugalah akhirnya Islam sampai ke tanah air kita. Tidak kisahlah dari jurus mana Islam datang sama ada dari Arab, China atau India (berdasarkan teori kedatangan Islam ke Nusantara oleh para pengkaji sejarah). Lebih penting untuk kita hayati adalah semangat dan iltizam generasi pendakwah terdahulu menyebarkan Islam kepada nenek moyang kita yang pada waktu itu masih hidup di bawah pengaruh Majapahit dan Srivijaya. Jika tidak kerana usaha pendakwah silam, hari ini kita mungkin masih beragama Hindu atau Buddha, atau kepercayaan lain yang menyekutukan Tuhan yang Maha Esa.

Apakah motivasi yang membuatkan insan seperti Syarif Ali yang sanggup datang jauh dari tanah Arab pada kurun ke-15 Masihi, hanya kerana untuk menyebarkan agama Islam kepada penduduk di negara Brunei Darussalam? Apakah pula pemangkin kepada usaha utusan-utusan khalifah Islam dengan usaha yang sama pada abad yang jauh lebih awal dari itu, memperkenalkan ajaran Islam kepada penduduk pribumi di Aceh, sehingga tertegaknya Kerajaan Perlak yang merupakan kerajaan Islam yang pertama di Nusantara? 

Titik-tolaknya sudah pasti adalah bersumberkan Al-Quran. Begitu banyak ayat Allah yang meransang umat Islam untuk berkongsikan mesej Islam kepada semua manusia, dalam erti kata yang lain berdakwah. Malah Al-Quran sendiri merupakan manual hidup yang diturunkan Allah bukan sekadar untuk menjadi pegangan orang beriman, malah merupakan petunjuk kepada seluruh manusia, termasuk mereka yang bukan Islam.

Firman Allah (yang bermaksud): 

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk BAGI SEKALIAN MANUSIA, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah...” (Al-Baqarah 2 : 185)

Maka hari ini dalam suasana masyarakat majmuk di Malaysia, Islam bukanlah agama eksklusif untuk orang Melayu sahaja. Islam juga sebenarnya adalah agama yang sesuai untuk dianuti oleh semua penduduk Malaysia, sama ada warganegara mahupun bukan warganegara. Selain orang Melayu, Islam juga adalah agama yang sesuai untuk orang Cina, orang India, orang Asli, orang Punjabi, orang Serani, orang Siam, orang Dusun, orang Rungus, orang Murut, orang Iban, orang Kedayan, orang Bidayuh, orang Penan, malah apa sahaja etnik dan suku kaum yang wujud di negara ini. 

Pendek kata, Islam untuk semua manusia!

Maka sebagai hamba Allah yang beriman dan bersyukur, janganlah kita simpan dua kalimah syahadah yang kita miliki hanya untuk diri kita sahaja. Sampaikanlah intipati dua kalimah syahadah itu kepada orang-orang di sekeliling kita, lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak pernah memahami akidah Islam. Masih ramai orang bukan Islam yang tidak tahu, malah salah faham tentang agama Islam disebabkan kita umat Islam tidak pernah berkongsikan kebenaran dan keindahan Islam ini kepada mereka. 

Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. telah lama meninggalkan kita. Maka siapa lagi pada zaman ini yang harus meneruskan tugas baginda berkongsikan mesej Islam sebagai agama untuk semua manusia, jika tidak kita sebagai umat baginda dan ingin bersama baginda di syurga. Malah Allah menjamin kita menjadi umat terbaik jika kita berusaha mengajak manusia kepada perkara makruf dan mencegah perkara mungkar, selain beriman kepada Allah. 

“Kamu (umat Islam) adalah UMAT TERBAIK yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah..” (Ali Imran 3 : 110)

No comments:

Post a Comment