Oleh Wan Am
Menangis adalah suatu perbuatan yang pasti dilakukan oleh mana-mana manusia di dunia ini. Manusia menangis atas pelbagai sebab; kerana berasa sakit, kerana dikecewakan, kerana terlalu gembira, kerana ketakutan, kerana kehilangan orang tercinta, malah boleh juga menangis kerana terlalu menghayati babak-babak menyayat hati dalam drama Korea “Winter Sonata” atau filem Bollywood “Khabie Khushi Khabi Ghum”. Adalah tidak normal jika anda bertemu dengan seseorang yang mengaku tidak pernah menangis, kerana paling tidak seseorang itu pasti akan menangis sebaik sahaja dia dilahirkan.
Di samping itu pelbagai persepsi pula yang dilemparkan oleh sesetengah orang dalam masyarakat kita terhadap orang dewasa yang menangis. Mereka ini dikatakan terlalu emosi, manja, lemah semangat dan bersikap kebudak-budakan. Malah, bertambah mengaibkan jika yang menangis itu lelaki. Mana bisa orang lelaki menangis, kan egonya tinggi. “Memalukan kaum aje!” tukas mereka.
Namun, berapa ramaikah yang tahu bahawa perbuatan menangis itu sebenarnya sangat dicintai Allah? Sehinggakan perbuatan menangis ini boleh menyebabkan seseorang itu mendapat nikmat daripada Allah dan terhindar daripada azab Allah, lantas memperoleh kebahagiaan yang didambakannya, di dunia dan akhirat.
Antara dalilnya adalah sebagaimana firman Allah:
“Mereka itu adalah orang-orang yang telah diberi nikmat oleh Allah, iaitu para nabi dari keturunan Adam, dan dari orang-orang yang Kami angkat bersama Nuh, dan dari keturunan Ibrahim dan Israil (Ya'qub), dan dari orang-orang yang telah Kami beri petunjuk dan telah Kami pilih. Apabila dibacakan ayat-ayat Allah yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka tersungkur dengan bersujud dan menangis.” (Maryam : 58)
Berhubung ayat ini, Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya menyatakan, "Adalah orang-orang yang telah diberi nikmat oleh Allah iaitu para nabi dan keturunan Adam... iaitu jika mereka mendengarkan Kalamullah yang mengandungi pelbagai hujah, fakta dan bukti-bukti (kekuasaan)-Nya, nescaya mereka sujud kepada Rabb mereka dengan penuh tunduk dan merendahkan diri sambil memuji dan bersyukur terhadap nikmat-nikmat agung yang diberikan kepada mereka."
Rasulullah s.a.w. dalam sabda baginda, ada menyatakan bahawa terdapat dua titisan di dunia ini yang amat dicintai Allah. Dua titisan tersebut adalah pertama, titisan air mata manusia yang menitis kerana takutkan-Nya, dan kedua, titisan darah yang mengalir dari tubuh manusia yang berjuang di jalan Allah(hadis riwayat at-Tirmizi).
Begitu juga Rasulullah s.a.w. mengkhabarkan, orang yang selalu bertaubat dan menangis kerana takut kepada Allah akan terselamat daripada seksa neraka. Dari Abu Raihanah, katanya:
“Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w. dalam sebuah peperangan dan aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): ‘Diharamkan neraka bagi mata yang selalu menangis kerana takut kepada Allah.’” (Riwayat al-Hakim)
Rasulullah s.a.w. sendiri yang kita ketahui terpelihara daripada segala dosa, adalah insan yang banyak menangis. Ibnu al-Qayyim dalam “Zadul Ma’ad" menjelaskan, sifat tangisan Nabi s.a.w. sama seperti sifat tertawa baginda. Tangisan baginda tidak tersedu-sedu dan juga tidak dengan suara yang kuat. Sama seperti ketawa baginda yang tidak terbahak-bahak. Tetapi mata baginda menitiskan air mata hingga meleleh dan di dada baginda terdengar suara mendidih. Kadangkala baginda menangis kerana rasa kasih sayang kepada orang yang meninggal. Kadangkala baginda menangis kerana rasa takut dan belas kasihan kepada umatnya. Kadangkala baginda menangis kerana rasa takut kepada Allah. Kadangkala baginda menangis kerana mendengar bacaan al-Quran.
Rasul-rasul terdahulu turut menangis ketika berdepan dengan ujian kehidupan. Nabi Adam a.s. menangis meraung-raung dan menderita kesedihan yang amat mendalam ketika dikeluarkan dari syurga. Nabi Nuh a.s. menangis kerana bersedih dan cemas atas keselamatan anaknya ketika peristiwa bah besar. Nabi Ibrahim a.s. menitis air matanya apabila mendapat perintah daripada Allah untuk menyembelih putera kesayangannya, Nabi Ismail a.s. Hidup Nabi Yusuf a.s. juga sarat dengan tangisan; ketika dibiarkan di dalam sumur seorang diri, ketika berada di rumah Raja Aziz dalam keadaan teraniaya, dan ketika berada dalam penjara. Manakala air mata Nabi Ya’qub a.s. mengalir kerana kehilangan anak tercinta.
Renungilah pesanan Syaikh Muhammad bin Shâlih al-‘Utsaimîn rahimahullah yang berikut, “Wahai saudaraku, jika engkau menyebut Allah Taala, sebutlah Rabbmu dengan hati yang kosong daripada memikirkan yang lain. Jangan fikirkan sesuatu pun selain-Nya. Jika engkau memikirkan sesuatu selain-Nya, engkau tidak akan bisa menangis kerana takut kepada Allah Tala atau kerana rindu kepada-Nya. Kerana seseorang tidak mungkin menangis sedangkan hatinya sibuk dengan sesuatu yang lain. Bagaimana engkau akan menangis karena rindu kepada Allah Taala dan kerana takut kepada-Nya jika hatimu disibukkan dengan selain-Nya?”
Sesungguhnya setiap perbuatan yang dituntut oleh Allah, ada sahaja rahsia di sebaliknya. Begitu jugalah dengan perbuatan menangis ini. Dengan menangis, di samping memperoleh kebaikan maknawi, ia juga mendatangkan faedah kepada kesihatan jasmani manusia itu sendiri. Hal ini berikutan banyaknya kajian yang membuktikan perbuatan menangis boleh merawat penyakit berbahaya, penyakit mata, hatta penyakit jiwa.
Kajian yang dibuat oleh Dr. Frey daripada Pusat Kajian Mata dan Air Mata di Sant Pholl Rams Medical Centre menjelaskan bahawa air mata sangat berkesan untuk membersihkan mata. Ia juga berperanan dalam mengubati tekanan jiwa yang disebabkan oleh masalah kesihatan fizikal seperti gastric ulcer (luka pada perut), hypertension (tekanan darah tinggi) dan ulcerative colitis (radang usus besar).
Pakar-pakar psiakiatri turut berpendapat bahawa perbuatan menangis sangat berguna dalam merawat tekanan saraf yang kerap dialami oleh manusia zaman moden. Air mata boleh menyucikan mata dan membuang kandungan racun yang terkumpul akibat adanya ketegangan jiwa, ketegangan urat saraf dan ketegangan emosi.
Selain itu, Dr Muhammad Abdullatif Bultiyah, seorang pakar mata yang terkenal juga menemukan bahawa air mata yang tumpah mempunyai nilai kesihatan yang tinggi, antaranya membantu kelenturan gerakan kelopak-kelopak mata, memelihara daripada penyakit kekeringan mata, membersihkan mata daripada segala habuk dan debu tanah serta melindungi mata secara terus-menerus.
Justeru, menangislah kita, Semoga dengan tangisan itu akan menyelamatkan kita daripada tipu daya dunia. Dan teruslah menangis wahai diri, moga-moga tangisan itu dapat mengingatkan kita pada hari-hari mati yang pasti datang tanpa mengenal usia.
No comments:
Post a Comment