Sunday, October 30, 2011

Hidupkan Malammu...

Oleh Wan Am


Penciptaan malam, sebagaimana ciptaan-ciptaan Tuhan yang lain merupakan rahmat buat manusia. Melalui petunjuk al-Quran, antara hikmah kejadian waktu malam adalah untuk memberikan peluang kepada manusia merehatkan jasmaninya selepas bertungkus-lumus bekerja pada siang hari.

“Dan kerana rahmat-Nya, Dia jadikan untukmu malam dan siang supaya kamu beristirehat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian daripada kurniaan-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya.” (al-Qasas : 73)

Bukan sekadar itu, malah waktu malam juga adalah detik paling sesuai yang disediakan Allah untuk manusia mendekatkan diri kepada-Nya serta bertafakur dan merenung sejenak perjalanan diri. Selain itu, waktu malam yang secara tabiinya dihampari permaidani ketenangan dan kedamaian menjadi medan terbaik untuk seseorang hamba bermunajat kepada Tuhan-Nya, mengingati hakikat kematian dan menangisi kedaifan diri, lantas bertaubat atas segala kesalahan yang telah dilakukan sepanjang hidupnya.

Dalam hal ini, Islam menggalakkan umatnya untuk ber”qiamullail”, yakni menghidupkan malam dengan melakukan solat seperti solat tahajud, solat taubat, solat witir dan solat sunat yang lain, serta amalan lain seperti berzikir, membaca al-Quran dan berdoa. Di kala manusia lain enak berdengkur, orang yang beriman menyahut seruan Tuhan, membersihkan dirinya lantas melaksanakan amal ibadah sebagai tanda pengabdian kepada-Nya. Mereka bersungguh-sungguh mahu merealisasikan anjuran al-Quran sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Israk ayat 79 (yang bermaksud):

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam dan kerjakanlah sembahyang tahajud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”

Seruan Tuhan agar manusia bangun malam dan menghidupkannya dengan amal ibadah ini turut ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sewaktu fasa awal dakwah baginda di Makkah. Hal ini merujuk kepada firman Allah dalam surah Muzzammil ayat 1 hingga 6 (yang bermaksud):

“Hai orang-orang yang berselimut (Muhammad). Bangunlah untuk sembahyang di malam hari kecuali sedikit daripadanya. Iaitu separuh daripadanya atau kurangilah sedikit dari separuh itu, atau tambahkan daripadanya. Maka bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya telah Kami turunkan kepadamu (Muhammad) perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat untuk khusyuk dan bacaan di waktu itu lebih berkesan.”

Berhubung ayat-ayat surah al-Muzzammil ini, dalam “Tafsir al-Quran al-Adzim”, Ibnu Kathir menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. pada masa-masa awal dakwah Islam di Makkah telah berhadapan dengan suku Quraisy yang tidak memberikan tumpuan yang seadilnya kepada baginda. Mereka mempermainkannya, dan mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. adalah dukun, tukang sihir dan orang gila, bahkan mereka mengancam untuk membunuh Rasulullah s.a.w. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah s.a.w. tertekan dan sedih, hingga baginda akhirnya mengambil selimut dan menutup tubuhnya. Maka pada ketika inilah ayat-ayat surah al-Muzzammil ini diturunkan.

Dalam al-Quran juga terdapat ayat-ayat Allah yang menjelaskan kelebihan bagi orang-orang yang melaksanakan qiamullail. Antaranya, Allah menyatakan bahawa orang-orang yang sentiasa bertakwa dan menghidupkan malamnya dengan beramal ibadat dan memohon keampunan dari Allah itu adalah orang-orang yang muhsinin, iaitu orang-orang yang berbuat kebajikan yang berhak mendapat balasan yang baik, yakni rahmat Allah dan syurga. Firman Allah (yang bermaksud):

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)." (Adz-Dzaariyaat : 15-18)

Allah juga mengiktiraf orang-orang yang menghidupkan malam mereka dengan amal ibadah sebagai hamba-hamba-Nya yang beriman. Firman Allah (yang bermaksud):

"Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur (sedikit sangat tidur kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal salih); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.” (as-Sajdah : 15-16)

Melalui lidah Nabi s.a.w. pula, baginda turut menyebut bahawa ganjaran syurga dijanjikan kepada orang-orang yang berqiamullail. Hadis yang berkaitan perkara ini adalah seperti berikut:

Berkata Abdullah bin Muslim, “Pada permulaan Rasulullah s.a.w. ke Madinah, berkejaranlah orang ramai mengunjungi kepada baginda, dan aku adalah seorang daripada mereka yang mengunjunginya, maka manakala aku memerhatikan mukanya dan aku telah mengenalnya, tahulah aku bahawa wajahnya bukanlah wajah manusia jenis pendusta.” Kata Abdullah selanjutnya, “Apa yang mula-mula sekali aku dengar percakapannya ialah sabdanya: ‘Wahai manusia! Kamu tebarkanlah salam, berjamulah makanan, hubungilah silaturrahim, dan kerjakanlah sembahyang waktu malam di kala manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat.’” (Riwayat Tirmizi)

Dalam hadis yang lain yang turut diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, daripada Bilal, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda (maksudnya):

"Hendaklah kamu bangun malam, sebab hal itu merupakan kebiasaan orang-orang salih sebelum kamu, wahana mendekatkan diri kepada Allah, penghapus dosa, pencegah kejahatan dan pengusir penyakit dari dalam tubuh.”

Qiamullail boleh mencegah penyakit? Benar, sebagaimana kenyataan Dr. Abdul Hamid Diyab dan Dr. Ahmad Qurquz dalam kitab “Ma’a al-Thibb fi al-Qur’an”, solat malam dapat meningkatkan ketahanan sistem imun daripada berbagai-bagai penyakit yang menyerang jantung, otak dan organ-organ yang lain. Hal ini berlaku kerana mereka yang bangun malam dapat menghentikan kebiasaan tidur dan ketenangan yang terlalu lama yang dapat menyebabkan pembuluh darah tersumbat. Malah, kata Prof. Dr. Mohammad Soleh dalam bukunya “Terapi Solat Tahaud: Menyembuhkan Berbagai Penyakit”, dalam solat malam juga terdapat unsur meditasi dan kerehatan yang dapat digunakan bagi meredakan tekanan.

Selain itu, qiamullail juga dapat membina fizikal yang kuat dan membentuk jiwa dan rohani yang kukuh. Dalam hal ini, saya teringat kepada satu kisah, bila mana Syed Qutb ditanya oleh rakan sebilik beliau dalam penjara, mengapa beliau masih lagi sanggup untuk bangun solat malam walau telah seharian suntuk dipukul dan diseksa dengan dahsyat, beliau dengan tenang menjawab, “Jika aku tidak bangun untuk qiamullail, sudah pasti aku tidak mampu untuk bertahan dengan seksaan pada siang hari.”

Sebagai mengakhiri artikel ini, saya ingin berkongsikan beberapa tips Imam al-Gazali daripada kitab “Ihya’ ‘Ulumiddin” yang perlu dilazimi oleh seseorang Muslim jika ingin konsisten berqiamullail. Antara tips tersebut ialah:

1. Tidak makan terlalu banyak sebelum tidur.
2. Tidak bekerja terlalu penat pada waktu siang.
3. Tidur sebentar pada siang hari (qailulah).
4. Tidak tidur terlalu lama pada siang hari.
5. Tidak melihat perkara yang diharamkan.
6. Tidak berbohong, mengadu-domba dan bergurau-senda yang keterlaluan pada siang hari.

No comments:

Post a Comment