Sunday, October 23, 2011

Rahmat Ujian

Oleh Wan Am


Beberapa jam sebelum artikel ini mula ditulis, saya baru sahaja selesai mengiringi majikan saya yang mengadakan kunjungan ke rumah seorang hamba Allah di Klang. Insan yang kami ziarahi ini sebenarnya telah diuji Allah dengan penyakit lumpuh sejak enam tahun lalu, malah kedua-dua kakinya juga terpaksa dipotong akibat penyakit “tiga serangkai” (sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi) yang dihidapinya sejak sekian lama. Tambah malang apabila Isterinya pula mengalami gangguan mental sejak setahun lalu.

Bagi meneruskan kehidupan, selain bantuan daripada Pusat Zakat, pasangan tersebut kini terpaksa bergantung harap kepada anak lelaki mereka yang berusia 19 tahun yang bersendirian bekerja demi mencari sesuap nasi. Manakala dua lagi anak perempuan mereka, masing-masing berumur 16 dan 14 tahun pula telah terpaksa berhenti sekolah kerana kekangan kewangan, di samping perlu membantu menguruskan mereka di rumah.

Penderitaan keluarga ini, bagi sesiapa yang melihat, sudah tentu akan timbul sekelumit keinsafan, atau sekurang-kurangnya perasaan belas kasihan jauh di sudut hati. Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Hanya mereka yang tahu betapa beratnya ujian Tuhan ini buat mereka. Ujian yang pastinya menuntut kesabaran dan kecekalan yang tidak berbelah bahagi. Dan bersyukurlah kita kerana kita masih belum diuji dengan dugaan sehebat ini.

Setiap manusia berhadapan dengan ujian hidup yang berbeza-beza. Ada manusia yang diuji dengan penyakit. Ada manusia yang diuji dengan hidup melarat. Juga ujian-ujian kehidupan lain seperti kehilangan insan tersayang, bebanan hutang keliling pinggang, dilemparkan cemuhan dan cacian, kediaman ditimpa bencana alam dan kegagalan dalam suatu pekerjaan. Malah, ramai juga manusia yang diuji Tuhan dengan kemewahan dan limpahan harta kekayaan.

“Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan kepada Kami-lah kamu semua kembali.” (al-Anbiya’ : 35)

Ada sebabnya setiap insan di dunia ini hidup dipagut ujian. Melalui al-Quran, Allah telah menjelaskan bahawa tidaklah sesuatu ujian itu ditimpakan kepada seseorang melainkan untuk menguji sama ada dia benar-benar tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.

Firman Allah:

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan: ‘Kami telah beriman’ sedangkan mereka tidak diuji terlebih dahulu? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (al-Ankabut : 2-3)

Dalam ayat yang lain, Allah juga menyatakan bahawa hubungan antara manusia dengan kehidupan adalah hubungan antara ujian dan cubaan.

“Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi itu sebagai perhiasan, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang paling baik amal perbuatannya. Dan sesungguhnya Kami akan menjadikan (pula) apa yang ada di atasnya menjadi tanah rata dan tandus.” (al-Kahfi: 7-8)

Salah satu bentuk ujian yang dihadapi oleh manusia ialah musibah. Musibah bolehlah diertikan sebagai segala sesuatu yang tidak disukai oleh manusia seperti kemiskinan, kegagalan, bencana, kesakitan, kematian dan lain-lain. Musibah pasti menimpa semua manusia, tidak kira apa latar belakangnya. Yang kaya atau yang miskin, yang baik atau yang jahat, yang muda dan yang tua, semuanya tidak terkecuali daripada merasai musibah dalam kehidupan mereka.

Secara umumnya musibah boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu kafarah, bala dan ibtila’. Kafarah ialah musibah yang berlaku ke atas orang yang baik yang terlanjur melakukan maksiat atau kejahatan lantaran kelalaian dan godaan hawa nafsu. Musibah ini ditimpakan ke atas mereka sebagai “tebusan” untuk menghapuskan dosa dan supaya mereka kembali kepada jalan kebenaran.

Firman Allah:

“Dan Kami timpakan mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.” (al-Zukhruf : 48)

Bala pula ialah musibah yang diturunkan ke atas orang yang jahat yang melakukan maksiat dan kejahatan. Mereka ditimpa musibah sebagai hukuman di dunia sebelum menerima hukuman yang lebih berat lagi di akhirat. Kaum nabi-nabi terdahulu seperti kaum Nabi Nuh, kaum Aad, kaum Thamud, kaum Nabi Lut dan kaum Nabi Musa yang telah dibinasakan Allah adalah tergolong dalam kumpulan orang yang terkena bala ini.

“Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan azabkan mereka dengan azab yang pedih di dunia dan akhirat.” (at-Taubah : 74)

Manakala ibtila’ pula bermaksud musibah yang ditimpakan ke atas orang yang baik yang melakukan kebaikan. Musibah ini adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya. Mereka yang merasai musibah ini akan mendapat pahala yang berganda serta ditinggikan darjatnya di sisi Allah. Antara mereka yang termasuk dalam golongan orang yang menerima ibtila’ ialah para rasul “ulul azmi” – Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. dan Nabi Muhammad s.a.w.

Selain musibah, satu lagi bentuk ujian Allah kepada manusia ialah ujian berupa kesenangan dan kemewahan. Hakikatnya ujian dalam bentuk inilah sebenarnya yang lebih berat berbanding ujian berbentuk musibah. Sehinggakan Rasulullah s.a.w. sendiri merasa bimbang dengan umatnya yang diuji Allah dengan nikmat kesenangan berbanding mereka yang hidup dalam kesusahan.

Sabda baginda s.a.w.:

“Demi Allah, bukanlah kekafiran atau kerana kemiskinan yang aku bimbangkan atas kamu, akan tetapi aku bimbang kalau-kalau kemewahan dunia yang kamu dapatkan sebagaimana yang telah diberikan kepada orang-orang yang sebelum kamu, lalu kamu bergelumang dalam kemewahan itu sehingga kamu binasa sebagaimana mereka dahulu bergelumang dan binasa pula.” (Riwayat Bukhari)

Walau apa pun, kita sebagai Muslim sudah tentu percaya bahawa pasti ada rahmat yang tersembunyi di sebalik setiap dugaan Tuhan ini. Daripada nas-nas di atas, dapatlah dirumuskan bahawa ujian Tuhan ke atas hamba-Nya adalah bertujuan:

1. Untuk membersihkan dan memilih, mana orang mukmin yang sejati dan mana yang munafik.
2. Untuk mengangkat darjat serta menghapuskan dosa.
3. Untuk melihat sejauhmana kesabaran dan ketaatan seorang hamba.
4. Untuk membentuk dan mendidik keperibadian manusia, sehingga menjadi umat berbudi tinggi.
5. Sebagai latihan, supaya manusia terbiasa menerima pelbagai ujian, dengan demikian akan bertambah kesabaran, kuat cita-cita dan tetap pendiriannya.

Justeru, bagaimanakah pula caranya untuk kita berhadapan dengan ujian Tuhan, terutamanya ujian berbentuk musibah? Dalam hal ini, ada kaedah-kaedah tertentu yang diajar oleh Islam. Antaranya, tika ditimpa ujian, tetapkan keyakinan bahawa ujian itu datangnya daripada Allah. Kita dididik bahawa segala yang berlaku adalah ketentuan Allah dan sebagai hamba-Nya, kita perlu menerima segala ketentuan-Nya dengan penuh kerelaan. Jangan benarkan hati kita terlalu fokus kepada “sebab-sebab” datangnya musibah, tetapi lihatlah kepada “musabbabil asbab” (penyebab segala sebab), yakni Allah.

“Tidak ada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah.” (al-Hadid : 22)

Selain itu, ketika ditimpa ujian, hiasilah hati dengan sifat sabar. Jangan terlalu mengikut perasaan marah atau bersedih ketika nikmat yang kita “pinjam” itu ditarik semula oleh pemiliknya, iaitu Allah. Sebaliklah banyakkanlah bersabar, kerana sabar adalah sebahagian perintah Allah dan akan terserlah hikmahnya jika kita mengamalkannya.

“Dan sesungguhnya Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang yang sabar, yakni orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘Innalillah wa inna ilaihi raji’un.’” (al-baqarah : 155-156)

Satu lagi langkah untuk menghadapi ujian ialah banyakkan berdoa dan berzikir kepada Allah. Kedua-duanya adalah amalan yang amat dianjurkan oleh Islam. Ketika ditimpa ujian, berdoalah kepada Allah agar memberikan kekuatan kepada kita untuk menghadapinya dan dikurniakan balasan yang baik di sisi-Nya. Berdoalah seperti doa Rasulullah s.a.w. berikut:

“Ya Allah, berilah pahala dalam musibahku ini dan berilah ganti bagi diriku yang lebih baik daripadanya.” (Riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment